TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
HAFIDZ YOUNG SCIENTIST

I am Hafidz, the young scientist.This blog is about my exciting homeschooling journey.It will remains as my sweet memories forever. Glad to share the special moments with you !!!


Wednesday, May 28, 2014

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ




Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1)


Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah saw. Antaranya ialah kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga peristiwa penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda saw. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah swt kepada kekasih-Nya.


RINGKASAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
1) Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang2. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2) Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3) Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).

4) Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5) Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6) Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7) Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8) Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali2. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9) Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10) Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11) Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12) Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia2kan umurnya sampai ke tua.
Seorang perempuan bongkok 3 menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian Baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat 2 rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga lalu dibawa Jibrail 2 bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


NAIK KE HADRATUL-QUDUS MENEMUI ALLAH SWT

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama:
Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang2 yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua:
Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi2. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh: 
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu denan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah 5 kalimah, iaitu Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar dan Wa La Haula  Wa La Quwwata Illa Billahil - 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Langit Kelapan: 
Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi pemata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Baginda dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur' Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh:
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata2 dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia daibunya daripada syaitan.

Allah SWT:
Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik2 umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan 7 ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat2 di akhir surah al-Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji2 Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji2mu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas 9 kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

BANTAHAN ORANG QURAISY
Sekembali dari Israk dan Mikraj, Nabi Muhamad telah diragui dan ditertawakan oleh masyarakat Quraisy terutama pemimpinnya Abu Jahal dan Abu Lahab. Bagi Abu Jahal, inilah bukti Nabi Muhamad seorang yang gila dan ahli sihir kerana mana mungkin pergi ke Palestin hanya semalaman dan menjelang subuh sudah sampai di Mekah semula. Abu Jahal mempersendakan Rasulullah di Hijir Ismail di hadapan komuniti Bani Kaab bin Luay.

Namun Abu Bakar adalah orang pertama yang percaya dengan cerita itu kerana baginya Muhamad adalah seorang al Amin. Abu Bakar sentiasa membenarkan khbar langit yang Rasulullah bawa. Aisyah mencatatkan ada orang Islam yang murtad selepas peristikwa itu.

Setelah dicabar oleh Bani Kaab bin Luay, Nabi menceritakan keadaan Masjidil Aqsa hingga hampir keliru. Mujurlah saat itu Allah mendatangkan Masjid Aqsa dan diletakkan berdekatan rumah Uqail. Maka, mudahlah Nabi menceritakan masjid itu. Salah seorang dari mereka mengakui kebenaran gambaran itu kerana pernah pergi ke Masjidil Aqsa.

Friday, May 2, 2014

KEISTIMEWAAN BULAN REJAB BULAN ALLAH...





Seperti tahun-tahun sebelumnya, FCU mula memasuki satu fasa yang penting dalam schedule tahunannya. Fasa ini dinantikan oleh semua ahli kerana kehebatan pengalaman kerohaniannya. Tidak kira di pelusuk dunia mana kami berada, aktiviti ini pasti menjadi ibadat bersama. Walaupun ibadat ini tidaklah dimestikan buat umat Islam, namun keberkatan hasil dari amalannya sungguh memberi impak yang besar dalam membentuk keharmonian dan keberkatan bagi FCU. Inilah bulannya...Rejab bulan Allah bagaikan menanam benih kerohanian, manakala Syaaban pula melihat pembesaran pohon kerohanian dan Ramadhan menyaksikan pohon kerohanian yang mula mekar dengan kembangan bunga yang sangat harum. Begitulah perumpamaannya puasa serangkai 3 bulan yang menjadi amalan tetap FCU.

DOA BULAN REJAB DAN SYAABAN MENYAMBUT RAMADHAN

اللهم بارك لنا فى رجب و شعبان وبلغنا رمضان
“Allaahumma baariklanaa fii Rajaba wa Sya’baana wa ballighna Ramadhana.”

Yang artinya: “Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rajab dan Sya’ban ini, dan sampaikanlah umur kami bertemu Ramadhan.”



KEISTIMEWAAN BULAN REJAB

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

“Ketahuilah bahawa bulan Rejab itu adalah bulan ALLAH, maka barangsipa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rejab dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH SWT.

Barangsiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan Rejab mendapat kemuliaan di sisi ALLAH SWT.

Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam bulan Rejab, maka ALLAH akan menyelamatkannya dari bahaya dunia, seksa akhirat, dari terkena penyakit gila, penyakit putih-putih di kulit badan yang menyebabkan sangat gatal dan diselamatkan dari fitnahnya syaitan dan dajjal.

Barangsiapa berpuasa tujuh hari dalam bulan Rejab, maka ditutupkan tujuh pintu neraka Jahanam.

Barangsiapa berpuasa lapan hari dalam bulan Rejab, maka dibukakan lapan pintu syurga baginya.

Barangsiapa yang berpuasa lima hari dalam bulan Rejab, permintaannya akan dikabulkan oleh ALLAH SWT.

Barangsiapa berpuasa lima belas hari dalam bulan Rejab, maka ALLAH mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barangsiapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH akan menambahkan pahalanya.”

Sabda Rasulullah SAW: “Pada malam Mikraj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari ais dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya Jibril as: “Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?”
Berkata Jibril as: “Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab.”

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita:
“Ketika kami berjalan bersam-sama Nabi SAW melalui sebuah kubur, lalu Nabi berhenti dan Baginda menangis dengan amat sedih, kemudian baginda berdoa kepada ALLAH SWT. Lalu saya bertanya Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah SAW, mengapakan anda menangis?”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kubur mereka, dan saya berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH meringankan seksa ke atas mereka.”

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari saja dalam bulan Rejab, dan mereka tidak tidur semalam sahaja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan diseksa dalam kubur.”

Tsauban bertanya: “Ya Rasulullah SAW, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah boleh mengelakkan dari seksa kubur?”

Sabda Rasulullah SAW: “Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat kerana ALLAH, kecuali ALLAH mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun.”

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Rejab adalah bulan ALLAH, Sya’ban adalah bulan aku (Rasulullah SAW) dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku.”

“Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Syaaban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang serta tidak ada rasa lapar dan haus bagi mereka.”


KELEBIHAN-KELEBIHAN LAIN DI BULAN REJAB

Beberapa hadis lagi Rasulullah saw menunjukkan kelebihan bulan rejab:

1. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat.

2. Bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya’ban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.

3. Kemuliaan Rejab dengan malam Isra’ Mi’rajnya, Sya’ban dengan malam nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul-Qadarnya.

4. Puasa sehari dalam bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

5. Puasa 3 hari pada bulan Rejab, dijadikan parit yang panjang yang menghalangnya ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).

6. Puasa 7 hari pada bulan Rejab, ditutup daripadanya 7 pintu neraka.

7. Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga, dan menjadi orang yang pertama menziarahi Allah dalam syurga.

8. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan ialah seperti kelebihan Al-Quran ke atas semua kalam (perkataan).

9. Puasa sehari dalam bulan Rejab seumpama puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari syurga.

10. Bulan Rejab Syahrullah (bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya. Puasa dalam bulan Rejab, wajib bagi yang berpuasa itu:

a. Diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

b. Dipelihara Allah umurnya yang tinggal.

c. Terlepas daripada dahaga di akhirat.

11. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan pada akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya.

12. Siapa bersedekah dalam bulan Rejab, seperti bersedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya pada setiap helai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjah, dihapus seribu kejahatan.

13. Mencatat Amalnya selama 60 Bulan.
Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa puasa pada tanggal 27 Rejab, Allah mencatatnya sebagaimana orang yang puasa selama 60 bulan."

14. Puasa sehari pada bulan Rejab akan mendapatkan air susu yang berasal dari Sungai Rejab di syurga.
Rasanya manis melebihi madu.

Rasulullah SAW bersabda,

"Sesungguhnya di surga terdapat sungai yang dinamakan Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan rasanya lebih manis dari madu. Barang siapa puasa sehari pada bulan Rejab, maka ia akan dikarunia minum dari sungai tersebut."

15. Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Imam Syafie mengatakan : ‘Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam : malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban”.

ANTARA PERISTIWA-PERISTIWA BERSEJARAH DI BULAN REJAB 

1. HIJRAH PERTAMA UMAT ISLAM
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) pada bulan Rejab tahun ke-7 sebelum Hijrah. Hal terbabit pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w. dan orang-orang mukmin ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan mendapatkan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Sayidina Uthman r.a. dan isterinya Ruqiah anak Rasulullah s.a.w.

Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya (Najasyi) dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya. Beliau tidak menukar umat Islam walaupun akan dijanjikan berupa segunung emas sebagai imbalan.

Setelah Islam kembali kuat dan membina ketamaduna tersendiri dibumi Madinah, Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Ja’afar bin Abi Thalib untuk mengajak Raja Najasyi memeluk Islam.

Isi Surat :

Dari Muhammad utusan Islam untuk An-Najasyi, penguasa Abyssinia (Ethiopia).
Salam bagimu, sesungguhnya aku bersyukur kepada Allah yang tidak ada Tuhan kecuali Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, dan aku bersaksi bahwa Isa putra Maryam adalah ruh dhari Allah yang diciptakan dengan kalimat Nya yang disampaikan Nya kepada Maryam yang terpilih, baik dan terpelihara. Maka ia hamil kemudian diciptakan Isa dengan tiupan ruh dari-Nya sebagaimana diciptakan Adam dari tanah dengan tangan Nya. Sesungguhnya aku mengajakmu ke jalan Allah. Dan aku telah sampaikan dan menasihatimu maka terimalah nasihatku. Dan salam bagi yang mengikuti petunjuk ”.

2. KEMATIAN RAJA NAJASYI
Najasyi meninggal pada bulan Rejab tahun ke-9 Hijrah. Sayyidah Aisyah binti Abu Bakar melaporkan bahawa kubur Najasyi diliputii cahaya. Rasulullah mengadakan solat ghaib iaitu sembahyang jenazah dari jauh. Rasulullah tidak pernah solat jenazah ghaib sebelum ataupun sesudah meninggalnya raja Najasyi.


3. PERANG TABUK
Perang Tabuk didalam bulan Rejab pada tahun ke-9 Hijrah. Ia terletak antara Hijaz dan Syam (Syiria). Dalam sejarah Islam, peperangan ini merupakan skop peperangan terakhir bagi Nabi Muhammad s.a.w. Ia dikenali juga dengan “Perang al-‘Usrah” kerana keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik bahkan Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh.

Kebiasaan dalam peperangan Nabi s.a.w. tidak memberitahu lokasi dan destinasi yang hendak dituju kerana untuk merahsiakannya daripada pengetahuan musuh, namun pada peperangan Tabuk berlaku sebaliknya. Ini kerana besarnya persiapan dan perbekalan yang harus disiapkan kerana amat sukar perjalanannya agar semuanya dapat memperlengkapkan diri secukupnya bagi menghadapi angkatan musuh yang besar.

Namun dalam masa yang sama, ketika inlah Allah s.w.t. ingin memperlihatkan sikap sebenar golongan munafik yang mencari pelbagai alasan untuk menghindari diri mereka keluar berperang kerana kesukaran tersebut bahkan dalam masa yang sama mengajak pula sahabat-sahabat lain untuk bersama mereka.

Lalu Allah s.w.t. berfirman : “Orang yang ditinggalkan (tidak ikut ke medan perang) berasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah dan mereka tidak suka berjihad (menegakkan ajaran Allah) dengan harta dan jiwa mereka dalam jalan Allah, dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat(pergi berperang)dalam panas terik ini. Katakanlah(wahai Muhammad, api neraka lebih panas, jika mereka mengetahui.” (Surah At-Taubah,ayat:81)

Namun, Rasulullah s.w.t. hanya mempercayai tiga orang dikalangan mereka yang memberikan alasan tersebut kerana benar-benar jujur mengakui kesilapan mereka. Sebagai ‘iqab (denda) yang dikenakan kepada mereka sebagai peringatan, Rasulullah dan para sahabat memulaukan ketiga-tiganya selama hampir 50 hari sehinggalah datangnya Firman Allah s.w.t. :

“Terhadap tiga orang yang tidak keluar perang, hingga bumi terasa sempit bagi mereka (kerana dipulau oleh Nabi dan Sahabat) padahal bumi itu luas, lalu jiwa mereka pula menjadi sempit, serta mereka telah mengetahui bahawa tiada tempat lari dari pengajaran Allah melainkan kepada-Nya jua, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka thabat dengan taubat mereka, seungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang”. (Surah al-Taubah : 118).

Pulangnya angkatan tentera Islam dari Tabuk tanpa berperang kerana bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk, mereka telah digentarkan 100,000 malaikat yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah. Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam.


4. ISRAK MIKRAJ RASULULLAH S.A.W.
Menurut catatan sejarah yang masyhur pada tanggal 27 didalam bulan Rejab tahun ke-11 dari masa kenabian beliau, merupakan peristiwa penting yang selalu diraikan setiap tahun oleh seluruh umat Islam dengan pelbagai amalan dan peringatan sebagai ‘ibrah (pengajaran).

Walaupun disana terdapat pelbagai khilaf dikalangan ulama’ pada menentukan tarikh dan tahun yang tepat namun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya al-Tobaqatil Qubra, bahawa berlaku Israk Mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah.

Israk ertinya berjalan manakala Mikraj ertinya diangkat kelangit menghadap Allah s.w.t. Dalam peristiwa tersebut Rasulullah dipertontonkan pelbagai perkara disetiap lapisan langit sehinggalah sampai ke hadrat Allah dengan difardhukan kepada Baginda dan semua umat Islam akan solat lima waktu.

Ianya sejarah penting memperlihatkan mukjizat Rasulullah s.a.w.

5. LAHIR IMAM SYAFIE R.A
Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie’. Beliau lahir di Ghazzah, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Fiqh.

Antara jasa besar beliau adalah menggabungkan antara dua jenis institusi pengajian (madrasah Hadith di Hijjaz dan madrasah Ra’yu di ‘Iraq). Beliau juga ulama’ pertama yang menyusun dan menulis Kitab Usul Fiqh dan diberi nama al-Risalah.

Antara peninggalan imam Syafie yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm, al-Risalah, al-Hujjah, Ikhtilaful Hadith dan lain-lain.

6. PEMBEBASAN BAITUL MAQDIS
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, golongan Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib tmenduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun.

Setelah itu ia dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H.

Pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.



Sabda Nabi Muhammad S A W: 

“Sesungguhnya Rajab adalah bulan ALLAH, Sya’ban adalah bulan aku dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku”. “Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rajab, Sya’ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang, serta tidak akan merasa lapar dan haus bagi mereka.”

MARILAH KITA SAMA-SAMA MENGAMALKAN IBADAT PUASA DALAM BULAN REJAB, SYAABAN DAN SETERUSNYA RAMADHAN YANG MULIA.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...