TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Tuesday, September 24, 2013

KAMPUNG BAKAU...KAMPUNGKU YANG INDAH !!! (BAHAGIAN 1)



Kampung Bakau adalah sebuah kampung nelayan yang sangat permai dan indah. Sejak akhir-akhir ini ramai warga Langkawi berpindah dan menetap di sini. Kini...walaupun masih berstatus sebagai kampung nelayan, tetapi ramai juga penduduknya berkerja sebagai ahli perniagaan dan juga petani selain kaki tangan kerajaan dan perhotelan. Kedudukannya yang terletak di sebuah teluk,membuat pemandangannya sungguh sejuk hati memandang.




FCU telah menetap di kampung ini selama 18 tahun. Masih ingat lagi saat kami  mula menjejakkan kaki ke rumah baru kami dan ketika itu saya masih dalam pantang melahirkan Tajrid. Baru beberapa saat, hati sudah terpaut dengan pemandangan indah laut bakau dan juga deruan ombak yang menghempas tiang-tiang rumah kami. Pemandangan dari beranda belakang kami yang mengadap laut juga sangat indah kerana lautnya di hiasi dengan Pulau Dayang Bunting dan juga daratan yang berbukit bukau.

Pembangunan di Pulau Langkawi sangat pesat. Lebih banyak hotel dan tempat peranginan di dirikan dalam projek terkini. Oleh kerana Kampung Bakau terletak di tepi laut dan berhampiran dengan pekan Kuah, tidak mustahil suatu hari nanti kampung bertuah yang indah ini juga akan ditebus guna lautnya untuk laluan projek pelancongan. Menyedari hakikat ini, Hafidz banyak mengambil photo di sekeliling kampung sebagai kenang-kenangan untuk masa depan.





Pemandangan pantai dari beranda belakang rumah kami. Kelihatan kapal-kapal besar sedang
menuju ke Pelabuhan Tanjung Limbong yang terletak sebelah kanan pantai. Pada waktu
photo ini diambil, pertandingan perahu layar sedang diadakan. 



Nun di hujung sana terletak Pelabuhan Tanjung Limbong. Hafidz mengambil photo ini
di waktu senja. Inilah pantai yang terletak di depan beranda belakang rumah
kami. Indah dan tenang sekali, jauh dari hiruk pikuk suasana di bandar.


Suasana perkampungan nelayan yang terletak di sebelah kanan rumah kami. Dari kejauhan
kelihatan bukit bukau yang mengelilingi kampung kami.



Kawasan ini terletak jauh ke dalam dari pantai. Kawasan hijau yang kelihatan seperti padang ragut ini adalah habitat ketam darat. Inilah antara makmal sains homeschooling kami. Hafidz banyak membuat kajian tentang habitat ketam darat dan juga siput yang berkongsi kawasan yang sama. Photo ini diambil oleh Hafidz ketika dia membuat rondaan selepas subuh.



Inilah hutan yang sering diterokai oleh Hafidz untuk mencari pokok bonsai dan mengkaji kehidupan hutan bakau. Hutan ini kaya dengan kehidupan burung-burung yang unik dan herba untuk perubatan traditional. Biasanya Hafidz akan mengambil photo-photo bahan kajian dan membuat rujukan di internet. Kami sangat menggalakkan Hafidz membuat kajian sendiri tanpa dipantau oleh kami sebagai pengajar. Dengan ini, Hafidz akan mempunyai keyakinan untuk membuat kajian yang lebih hebat di masa depan. Inilah latihan kami untuk melahirkan seorang saintis yang mampu menggunakan ilmu kajiannya untuk menjana kehidupan yang lebih baik buat dirinya dan masyarakat amnya.




Kebanyakan penduduk di kawasan ini terdiri dari peniaga dan nelayan.

Wednesday, September 18, 2013

A VISIT FROM NEW ZEALANDER FRIENDS




Perkenalan antara kami dengan Lyn ( Warga negara New Zealand yang mencintai keindahan Langkawi) memang sudah lama. Pencetusnya adalah dari Hafidz sendiri. Ketika itu Hafidz masih kecil, dalam lingkungan umur sepuluh tahun. Semenjak kecil lagi dia suka meronda-ronda sekeliling kampung dengan kameranya. Banyaklah photo-photo dan video yang telah dirakamnya. Satu petang dia telah melihat kelibat Lyn dan suaminya sedang membaiki sebuah rumah milik penduduk kampung. Pemilik rumah tersebut adalah seorang janda tua dan juga uzur. Wanita ini tinggal dalam sebuah rumah kecil di tepi laut dan kehidupannya tidak terbela di samping penyakit kencing manisnya. Bagi Hafidz, pemandangan seperti ini sungguh pelik terutamanya melihat keikhlasan dan kesungguhan pasangan mat salleh ini memberi pertolongan yang istimewa kepada wanita yang terbiar ini. Lantas dia mengambil video ketika mereka sedang membetulkan tiang dan mendirikan dinding rumah yang uzur itu. Berlakulah sapa menyapa dan Hafidz menjemput pasangan ini ke rumah kami yang tidak jauh dari situ. Begitulah perkenalan ini bermula.......Lyn juga commited dalam menjaga kesihatan wanita tersebut. Setiap kali wanita ini ada appointment dengan doktor, Lyn akan betanggung jawab menghantar dan membawa pulang wanita itu dari hospital. 


       
Kelihatan Adelyn menyapa Lyn diambang pintu. Adelyn mempunyai personaliti yang berani dan suka berkawan tanpa mengira tahap umur. Sekiranya kita menyediakan suasana yang sesuai, tidak timbul langsung masaalah anak-anak homeschooling yang tidak pandai bergaul. Malah saya berkeyakinan bahawa anak-anak homeschool lebih berkeyakinan dan cepat matang dibandingkan rakan sebayanya kerana mereka tidak terpengaruh dengan sikap keanak-anakan rakan mereka. Mereka bebas dari pengaruh aura pemikiran rakan-rakan sebaya yang mempunyai element negative. Pertumbuhan pemikiran mereka sangat terjaga kerana kita sebagai ibubapa mencuba sedaya upaya untuk  memasukkan hanya element positive sahaja kepada anak-anak. Mereka umpama sepohon pokok yang sentiasa dijaga, disiram, dibaja dan dibuang segala rumput rumpainya. Rumput rumpai inilah umpama pemikiran negative yang sering mempengaruhi anak-anak,  apalagi  jika kita biarkan mereka bergaul bebas dengan rakan-rakan yang mempunyai banyak pemikiran negative.


Pasangan suami isteri ini adalah pemilk sebuah hotel di New Zealand. Mereka telah menjual hotel mereka dan membina rumah di Langkawi. Kecintaan mereka terhadap keindahan ukiran melayu telah diterjemahkan kepada pembinaan sebuah rumah agam yang seratus peratus bercirikan rumah tradisi melayu. Rumah mereka sering menjadi lokasi perfileman termasuklah filem "Lagenda Budak Setan"




The Charity Club Langkawi

The Charity Club Langkawi adalah sebuah kelab yang dianggotai oleh kebanyakan bangsa asing yang tinggal menetap di Langkawi. Mereka berasal dari berbagai-bagai negara dari pelusuk dunia dan ingin berbakti kepada golongan yang kurang bernasib baik di Langkawi tanpa mengira bangsa. Kelab ini berpegang kepada motto "Bringing charity straight to the home". Lyn adalah salah seorang ahli kelab ini. Antara program mereka ialah mengambil "keluarga angkat" kepada keluarga yang kurang bernasib baik. Ada juga ikatan kekeluargaan ini berterusan walaupun mereka sudah kembali menetap ke negara asal.



 Chris and Diana from Australia, who have 'adopted' the Hassan family, kindly arranged for her mother to make some traditional Hari Raya cookies, which we sent by post to Langkawi. The picture shows some of the Hassan family on the steps of their home, with the much travelled cookies, which survived the journey well. Read More athttps://www.facebook.com/CharityClubLangkawi



Selain itu mereka juga merupakan sponsor pengajian beberapa pelajar cemerlang Langkawiyang berjaya ke peringkat universiti. Kebanyakan pelajar ini adalah dari golongan yang kurang kemampuan dan merupakan anak jati Langkawi.


Thanks to a generous sponsor, this bright young man, has the finances for 
his three year university degree course, specialising in Mathematics. 
He wants to be a teacher. The same sponsor funded 
his one year matriculation course.



CCL is delighted to have introduced a generous sponsor for Aishwariya to be able to complete her 4 year Hons Degree in Chemical Engineering. She is a delightful young lady who has achieved very good results after her first year, when CCL sponsored her living costs. She comes from a family of bright children which is a financial challenge for her parents. Now without the financial worry she can concentrate on her studies.



CCL (Charity Club Langkawi) ini juga banyak membantu membaik pulih rumah warga Langkawi yang tidak berkemampuan.
Kelab ini memang sangat dekat di hati warga Langkawi kerana aktiviti mereka meliputi berbagai lapisan masyarakat yang memerlukan pertolongan.

Informasi berkenaan aktiviti charity kelab ini boleh diperolehi di sini:
http://www.langkawicharity.com/
https://www.facebook.com/CharityClubLangkawi


FCUPRODUCTION telah membuat liputan mengenai aktiviti charity kelab ini dalam usaha mengumpul dana pembedahan seorang kanak-kanak Melayu (Aqmal- 7 tahun) 






Aqmal has had his final appointment with the specialist in Penang. We raised RM 29,858.60 and spent RM 18,914.85 on medical matters and RM 6,188.75 on travel/subsistence which leaves RM 4,755 in the special fund. We have transferred this amount to a Medical Fund which will be ringfenced and used only for medical expenses for other families. 




Wanita warga New Zealand ini adalah kakak kepada Lyn dan sedang bercuti selama sebulan di Langkawi. Mo pernah melawat kami 5 tahun yang lepas. Kini umurnya sudah mencecah 70an dan masih lagi kuat dan berupaya travel seorang diri dari New Zealand. Sekali lagi Adelyn menjadi buah hati para pengunjung. 






Alyssa juga turut membawa kedua-dua adik beradik ini meninjau aquarium kami. 






Afiqah (9 tahun) sedang menceritakan pengalamannya bersama kucing-kuching FCU. Perbezaan usia tidak menghalang mereka untuk berkawan dan bertukar-tukar pendapat. Suasana begini memang mematangkan pemikiran seorang kanak-kanak dan hasilnya kita mempunyai generasi yang matang dalam pertimbangan walaupun umur masih muda. Situasi sebegini akan menjurus kepada kebolehan mereka memilih perkara yang baik dan tidak baik di sisi Allah untuk menjadi generasi yang soleh dan mencintai Allah.






Afiqah menunjukkan bonsai mini kepunyaannya kepada Mo, yang pernah menanam 
bonsai ketika muda dahulu.





Melalui Google Map, kami dapat melihat rumah Mo di New Zealand. Insyaalllah..ada rezeki kami juga ingin melihat keindahan negara New Zealand dan membalas kunjungan Mo yang sungguh berani dan berdikari walaupun sudah berusia dalam 70an





Kenangan indah diabadikan dalam sebuah photo sebelum berpisah. Semoga jumpa lagi Mo...



Tuesday, September 10, 2013

MARI MENGHAFAL AL-QURAN BAHAGIAN 2







Masa begitu cepat berlalu. Memori satu dunia membuat count down menyambut tahun baru masih lagi segar dalam ingatan dan kini kita sudah berada di hujung tahun dan bakal membuat count down lagi. Begitulah umur kita berlalu dan sangat terasa ruginya tahun-tahun yang berlalu tanpa membuat sesuatu untuk diri sendiri yang bakal di bawa ke akhirat. Sebenarnya menghafal Al-Quran tidaklah susah sekiranya kita bersungguh-sungguh mengusahakan dan istiqamah. Sekiranya kita bermula di saat ini, pasti kita akan berjaya juga akhirnya walaupun mengambil masa yang lama. Di waktu itu, count down demi count down tidak lagi membawa penyesalan kerana usaha sudah bermula dan pasti ada akhirnya dengan izin Allah.

Saya sendiri dalam usaha menghafal Al-Quran walaupun progressnya sangatlah perlahan tetapi saya sangat positive dengan pertolongan Allah. Insyaallah hari bertuah itu pasti tiba dan permulaannya ada saya buat dalam entri                


: KALAU BUKAN DIRIMU WAHAI IBU, SIAPA LAGI YANG MESTI MENGHAFAL AL-QURAN?

: MARI MENGHAFAL AL-QURAN BAHAGIAN 1




                                               ihsan dari : http://maquraamesir.blogspot.com




HAFAL AL-QURAN KETIKA BERUMUR 82 TAHUN
Ummu Shaleh hanyalah seorang wanita kampong di Indonesia dan kejayaan beliau menjadi Hafizah Al-Quran pada usia 82 tahun telah tersebar secara meluas sekali dan telah dipaparkan dalam Majallah Ad-Dakwah Indonesia. 
Sejak kecil lagi beliau telah bercita-cita untuk menghafal Al-Quran. Cita-cita ini begitu membara dalam jiwa gadis kecil ini hingga telah berjaya menghafal hingga 3 juzuk. Setiap hari bapanya sentiasa mendoakan kejayaan anaknya ke hadrat Ilahi. Begitulah kasih sayang sejati sekorang bapa dan telah membawa berkat kepada usaha Ummu Shaleh.

Seperti gadis-gadis kampung yang lain, pendidikan tidaklah begitu diberatkan dan beliau telah berkawin pada usia 13 tahun. Semenjak itulah hasratnya tergendala dan hanya membara membakar jiwa yang tidak mungkin dapat dipadamkan walaupun dalam kesibukan mengurus rumah tangga. Beliau begitu sibuk mengurus 7 orang anaknya hasil dari pernikahan, Apabila suaminya meninggal dunia, hasrat untuk menghafal seperti terpaksa dilupakan sahaja kerana kini dia adalah ibu tunggal kepada 7  orang anak-anak yang masih kecil. 

Adakah wanita cekal ini mengalah begitu sahaja?  Hanya Allah sahaja yang tahu betapa beliau ingin kembali semula menghafal. Tanggungjawab sebagai ibu tunggal yang membesarkan tujuh orang anak sangatlah besar.

Semuanya bermula takala anak perempuan bongsunya masih tinggal bersama dengannya. Ketika itu anak perempuannya masih lagi belajar di tingkatan “Sanawiyyah” sedangkan anak-anak perempuan yang lain semuanya telah berkahwin. Cita-cita anak perempuan bongsunya ini sama seperti beliau jadi kedua beranak ini mula menghafal Al-Quran setiap hari sepuluh ayat selepas Solat Asar. Anak perempuannya akan membaca dan beliau akan mengikutinya sebanyak tika kali. Keesokkan pagi, anaknya akan akan mengulangi ayat yang sama sebanyak 3 kali dan beliau akan mengikutinya dan mengulangi sebanyak 3 kali juga. Hafalan sebegiini berlaku sebelum anak perempuannya pergi ke Madrasah. Selain itu beliau akan mendengar bacaan Al-Quran melalui tape recorder bacaan Syeikh Khalil Al-Husyairi serta sekali lagi mengulangi sebanyak tiga kali. Sebahagian besar waktunya itu beliau akan mendengar bacaan Syeikh Khalil Husyairi.

Dalam pada itu setiap hari Jumaat beliau dan anaknya mengkhususkan untuk mengulangi semua ayat-ayat yang telah mereka hafalkan selama seminggu. Begini aturan yang belau buat bersama anak perempuannya setiap hari dan setiap minggu.

Selapas 4 atau lima tahun program ini berjalan, beliau telah berjaya menghafal sebanyak 12 juzuk. Pada ketika ini anak perempuan bonsunya ini telah melansungkan perkahwinan, namun begitu apabila suaminya mengetahui kebiasaan beliau menghafal Al-Quarn bersama dengan anak perempuan bongsunya ini, maka menantunya telah menyewa rumah berdekatan dengan rumah beliau. Ini agar beliau (mentuanya) boleh meneruskan menghafal Al-Quran.

Tiga tahun kemuadian anak perempuanya ini telah dikurniakan anak. Maka beliau sibuk dengan urusan rumah dan anaknya. Bila keadaan ini berlaku, anak perempuan bongsunya ini bimbang hafalan beliau (emaknya) terbengkalai, maka beliau mencari seorang ustazah untuk mengajar ibunya.

Kesudahannya, beliau berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran semasa beliau berumur 82 tahun. Kini beliau juga mula menghafal hadsi-hadis Nabi saw dan telah pun berjaya beliau hafal kira-kira 90 hadis dan akan berusaha menghafal lebih banyak lagi.

Kisah Ummu Shaleh ini sangat  bermakna buat diri saya yang serba kekurangan. Walaupun beliau hanyalah seorang anak kampung tanpa pendidikan tinggi, akhirnya berjaya juga untuk menghafal Al-Quran. Beliau juga berjaya membuktikan bahawa umur 72 tahun tidaklah lewat lagi untuk menghafal. Selain dari Ummu Shaleh, saya juga kagum dengan  anak-anak cilik yang mula menghafal dari usia muda. 


sumber:
http://www.facebook.com/notes/blog-teh-secawan/hafal-quran-umur-82-tahun/267106669984834?comment_id=4087224

Thursday, September 5, 2013

YOUNG CHEF HAFIDZ AND CHEESE CAKE




Selain Pavlova, anak-anak FCU juga menggemari Cheese Cake. Aduhai... harganya memang mahal. Satu bekas kecil sebesar telapak tangan pun sudah mencecah RM20. Untuk menjamu selera ahli keluarga yang ramai, tentu sahaja seratus ringgit baru cukup.

Alhamdulillah..Chef Muda Hafidz membuat cadangan untuk membuat Cheese Cake sendiri. Bagi saya, Cheese Cake bukan senang seperti kek biasa melainkan memerlukan pengalaman. Namun Hafidz tidak merasakan proses membuat Cheese Cake satu perkara yang susah. Sambil tersenyum dia berkata bahawa sekira kita yakin jadi, pasti jadi walaupun tidak sempurna. Dua tiga kali buat, tentu akan lebih baik dan jadi sempurna. Yang penting mesti berani mencuba!!!


ANAK-ANAK HOMESCHOOL MEMANG BERKEYAKINAN TINGGI
Pada pandangan saya, tahap keyakinan diri Hafidz memang tinggi kerana saya sendiri sering teragak-agak  apabila mencuba resepi baru yang asing seperti Western Food. Begitu juga dengan Afiqah, yang dari awal lagi memang tidak pernah mahu mengalah dalam mempelajari sesuatu dan selalu lebih cepat dari kita yang sudah berumur terutamanya dalam bidang komputer. Personaliti mereka berdua memang nampak ketara jika dibanding dengan abang-abang semasa seusia mereka.

Nampaknya Homeschooling memang berjaya membentuk keyakinan diri yang tinggi pada anak-anak. Mereka tidak pernah merasa mereka kurang atau dikategorikan yang kurang baik kerana tidak ada peperiksaan yang akan meletakkan diri mereka dalam kategori A atau sebaliknya. Apa yang mereka rasa ialah mereka yang terbaik kerana kami sentiasa memberitahu mereka bahawa mereka memang hebat asalkan mereka rajin berusaha. Sekali mereka mengorak langkah, memang mereka dapat pergi jauh kerana mereka tidak pernah tahu apakah standard rakan-rakan sebaya mereka. Mereka hanya akan membuat rujukan kepada orang-orang dewasa di sekeliling mereka ataupun individu-individu yang mereka belajar di internet seperti video youtube.

Hal ini dapat dilihat dalam diri Hafidz. Sekali dia mula minat memasak, dia membandingkan dirinya dengan Chef Wan dan Chef-Chef lain yang di youtube. Masyaallah....Saya mula nampak keajaiban dalam pendidikan homeschooling yang tidak akan tercapai di sekolah-sekolah biasa. Saya selalu membandingkan dengan pencapaian saya semasa di bangku sekolah sebagai batu ukuran. Saya akan sentiasa terpengaruh dengan tahap pencapaian rakan-rakan sebaya. Semasa saya di sekolah rendah, tidak pernah terfikir untuk membuat pencapaian seperti mereka di sekolah menengah. Ketika di sekolah menengah pula, tidak terfikir untuk mencabar mereka yang berada di peringkat Universiti. Melainkan kita terperangkap dalam pemikiran kawan sebaya dan tidak dapat berfikir diluar kotak yang telah tercetak untuk kita. Cuba kita hitung, ruang masa kita bersama rakan adalah jauh lebih lama dibandingkan ruang masa kita bersama keluarga. Andai kita murid cemerlang, kita akan berpeluang untuk belajar di asrama penuh dan kemudian sambung belajar ke universiti. Siapakah yang selalu mendampingi kita saban waktu sepanjang pembesaran itu?

Kita tidak akan dapat keluar dari lingkaran yang telah ditetapkan. Inilah titik perbezaan yang paling besar antara anak-anak homeschool dan mereka yang dihantar ke sekolah biasa. Dengan lain perkataan, anak-anak homeschool tidak mengenal batas dalam pencapaian kerana mereka tidak terperangkap dalam lingkaran pemikiran yang telah dicetak. Mereka sangat bebas untuk berkarya apa sahaja tanpa ada batasan tajuk tertentu yang akan menjerat mereka dari terus ke hadapan.


KEK KEJU OREO

1) RESEPI KEK CHIFFON COKLAT

Bahan A
7 kuning telur (gred B)
150 ml susu segar (apa-apa susu pun boleh asalkan jangan susu tepung)
85 ml minyak jagung (minyak masak pun boleh)
1/4 camca teh garam halus
100 gm gula halus
150 gm tepung gandum
20 gm serbuk koko
1 camca teh esen vanilla
1 camca teh baking powder
1 camca teh omelette (tidak mahu gunakan pun tak apa tetapi kena pukul telur lama sikit)
Bahan B
7 putih telur (gred B)
90 g gula halus
Secubit cream of tartar
Cara-cara
Panaskan oven pada suhu 175C. Satukan tepung gandum, serbuk koko, baking powder dan garam, gaul rata dan ayak. Satukan kuning telur bersama omelette dan gula halus (bahan A), kacau rata dan tuang susu, kacau hingga gula larut. Masukkan bahan yang diayak tadi dan gaul hingga sebati, tuang minyak dan esen vanilla, kacau hingga sebati. Ketepikan.
Putar putih telur hingga kembang, masukkan gula halus (bahan B), dan cream of tartar dan terus memutar hingga pekat.
Campurkan 1/4 dari adunan putih telur tadi ke dalam adunan no 1 dan kacau dengan spatula menggunakan kaedah kaup balik hingga sebati. Kemudian masukkan 1/4 lagi adunan putih telur ke dalam adunan no 1 dan ulang kaedah kaup balik hingga sebati. Kaedah kaup balik ini perlu dibuat dengan lembut dan tidak terlalu laju kerana kita tidak mahu udara yang telah terperangkap dalam adunan putih telur terlepas keluar. Langkah seterusnya ialah memasukkan adunan no 1 yang baru kita adunkan itu ke dalam 1/2 adunan putih telur yang masih berbaki. Sekali lagi kita menggunakan teknik kaup balik agar udara yang terperangkap tidak terlepas keluar.
Alas dasar loyang yang diguna dengan kertas kek sebelum menuang aduan kek. Jangan sesekali menyapu mentega di sekeliing loyang,  Bakar kek selama 45-50 minit  hingga kek masak. Keluarkan dari oven dan terbalikkan loyang serta merta dan biarkan kek berada dalam keadaan macam tu sehingga betul2 sejuk.
Bila kek sejuk, sisip tepi tin dengan pisau untuk melonggarkannya.


2)KRIM KEJU
2 paket biskut oreo
250g krim keju ~ pada suhu bilik
80g gula kastor
100g coklat masakan putih ~ dicairkan
250g krim putar
50g air
15g halal gelatin
1 sudu teh asen vanilla

Larutkan gelatin dalam 50g air dan biarkan kembang
Kemudian panaskan gelatin secara double boiler hingga gelatin melarut dan ketepikan
Cairkan coklat masakan putih secara double boiler juga dan ketepikan

Pukul krim keju dan gula kastor hingga lembut dan berkrim.
Pastikan krim keju pada suhu bilik. 
Tuangkan coklat putih ke dalam adunan krim keju
Tuangkan pula gelatin dan kacau hingga sebati
Tambahkan sedikit asen vanilla dan kacau adunan sempurna

Dalam bekas lain, pukul krim putar (non dairy whipping krim) hingga gebu dan kental.
Masukkan 1/3 krim putar ke dalam adunan keju tadi
Kaup balik adunan hingga rata
Tuangkan baki krim putar yang selebihnya dan kaup balik hingga bergaul sempurna



 Hafidz memutar putih telur hingga menjadi kental sama seperti proses membuat Pavlova. Beginilah gaya Chef muda yang lebih lebih mementingkan cepat dan ringkas dalam segala gerak kerja. Tidak hairanlah dalam masa sekejap dia sudah siap segala kerja dibandingkan dengan saya yang lebih mementingkan                                                                  ketelitian dalam atur kerja.                                                                                                                                                                                                          



Telur merah diputar  dengan bahan-bahan yang lain sebelum dicampur 
dengan putih telur yang sudah kembang.




                           Kek Chiffon Coklat sudah bersedia untuk di lapisi dengan cheese cream                                                                    



Dengan penuh teliti Hafidz memotong dibahagian tengah kek untuk mendapat dua lapis kek yang seragam tebalnya, Ini bermakna kita boleh membuat dua biji Cheese Cake kerana setiap kek hanya 
memerlukan selapis sahaja.      




Masukkan selapis kek ke dalam loyang yang telah di lapik dengan plastik terlebih dahulu. 
Dengan ini kita akan dapat keluarkan kek ini dengan senang apabila keju sudah mengeras. 


Fungsi gelatin yang berasaskan tumbuh-tumbuhan ini adalah untuk mengeraskan
 kek keju agar senang untuk dipotong   




Teknik double boiler digunakan untuk melarutkan gelatin 




Hafidz memasukkan periuk yang berisi heavy cream ke dalam periuk lain yang berisi ketulan ais.
Cara ini dapat mempercepatkan proses heavy cream menjadi whipping cream. 





Cream Cheese  yang telah dicairkan dicampur bersama white chocolate(dicairkan terlebih dahulu) dan whipping cream. Walaupun pertama kali membuat Cheese Cake, Hafidz dapat mengadun bahan-bahan dengan baik sekali.




Sebahagian dari cream cheese dituang kedalam loyang yang berisi kek tadi. Susun biskut oreo
 mengikut gaya sendiri. Biskut oreo membuat cheese cake ini menjadi lebih istimewa dan lazat. Kemudian tuangkan lebihan cream cheese ke dalam loyang. Pastikan lapisan kedua cream cheese menutup semua biskut oreo dengan sempurna.




Hiasan biskut oreo di atas kek ini juga menarik walaupun ringkas. Sebagian dari biskut itu dihancurkan untuk mendapat texture yang menarik.





Inilah Cheese Cake yang menjadi idaman semua. Belum boleh makan lagi....Mesti masukksan ke dalam freezer selama 3 jam atau lebih. Suhu dingin dalam peti ais memejalkan cream cheese. Sebaik sahaja kek itu sudah mengeras, keluarkan kek tersebut dari loyang dengan menarik plastik pelapik ke atas. 



Lapisan biskut oreo di tengah-tengah kek membuat kek ini menarik sekali.




Hafidz menghidangkan sekeping Cheese Cake untuk "cikgunya",
"Wah..ini dah boleh buka kedai. Ummu tengok kek ini lebih canggih dari Cheese Cake yang kita beli dulu. Rasanya mesti double sedapnya dari rupa" Komen dari seorang ibu yang merasa sangat bangga dengan kebolehan anak terunanya. Habis licin aku menikmati hasil air tangan Hafidz. Memang sedap dan terasa mahu sekeping lagi tetapi aku perlu pertimbangkan kandungan cholestrol yang tinggi ini. Kesihatan juga perlu dijaga dan sebaiknya makan secara sederhana sahaja.



Sunday, September 1, 2013

KALAU BUKAN DIRIMU WAHAI IBU, SIAPA LAGI YANG MESTI MENGHAFAL AL QURAN ?







photo: ihsan google



AZAM YANG TAK PERNAH PADAM
Sebenarnya diri ini sudah berjanji pada diri sendiri untuk menghafal Al-Quran sebaik sahaja membuat entri  MARI MENGHAFAL AL-QURAN pada bulan Oktober 2011.

 Ini bermakna sudah dua tahun waktu berlalu dengan begitu sahaja tanpa sebarang usaha yang bersungguh-sungguh. Azam sahaja tidak cukup tanpa mengambil satu langkah yang bermakna dan jitu ke arah matalamat  yang satu.

Akhirnya aku mengambil langkah yang strategik iaitu menggunakan blog ini sebagai satu  wadah untuk mencatit segala hafalanku agar semangat yang ada terus membakar dan memerlukan kesungguhan untuk membuat catitan yang terus maju ke depan. Memang terasa pelik tetapi inilah satu-satunya cara yang aku fikir dapat terus memberi semangat agar hafalan tidak tergendala di tengah jalan kerana sudah berkali-kali aku cuba dan terus cuba tetapi sering kesibukan sebagai suri rumah dan pengajar menjadikan diri ini kalah.

Masih bolehkah aku untuk menghafal di usia menganjak lima puluhan? Mengapa tidak...Kalau masa belajar di UPM dulu, segala buku tebal dapat ku hafal demi untuk lulus peperiksaan. Inikan pula satu kitab yang mengandungi segala kebaikan dan mukjizat. Kitab yang penuh dengan penyembuhan zahir dan batin. 

Pasti boleh dengan izin Allah yang Maha Pengasih Dan Penyayang. Aku cukup pasti di saat ini mesti ramai kaum ibu di luar sana yang mempunyai hasrat seperti diriku tetapi sering kecundang. Marilah kita mulakan sekarang. Sekiranya tiada titik permulaan, maka kita tidak akan mula bergerak walaupun setapak.


SERAMPANG BANYAK MATA
Peranan seorang ibu dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang dikasih Allah memang besar. Bayangkan apabila si ibu adalah seorang Hafizah, atau dalam proses menghafal Al-Quran, pasti tempiasnya adalah kepada anak-anaknya yang telah dikandungnya selama 9 bulan dan menyusu selama 2 tahun dan yang diasuh dari kecil tapak tangan hingga besar panjang. Tambah lagi air tangan yang menghafal ayat suci inilah yang membelai segala hidangan yang membesarkan anak-anak. Sebenarnya inilah senjata besar kita sebagai ibu untuk melahirkan khalifah agung yang mencorak alam ini seperti yang sepatutnya. 

Saya yakin, hasil dari usaha kita menghafal akan menjadi cetusan api yang akan membara dan seterusnya membakar dalam jiwa anak-anak kita. Tidak mustahil sekiranya terdapat lebih dari seorang penghafal Al-Quran dalam keluarga kita nanti. Bila...? Pasti ada walaupun ianya memerlukan sepanjang hayat kita untuk melihatnya. Inilah kata-kata hikmat yang sering dititipkan oleh suami agar diri ini menjadi ibu yang bahagia dunia dan akhirat.



LANGKAH SETERUSNYA


Hadiah dari anak-anak untuk ibu

Dengan izin Allah aku terserempak dengan WEBSITE ini. Berbekalkan mp3, aku rakam ayat-ayat lazim dari web ini dengan aturcara diulang 10 kali setiap ayat. Inilah kelebihan website ini dimana kita boleh programme sendiri aturcara bacaan Al-Quran sesuai dengan diri kita. Terdapat 17 orang Qari yang boleh kita pilih sesuai dengan jiwa kita. Saya memilih Misyari-Rashid sebagai pembacanya. Bacaannya membuat hati ini rasa syahdu dan sejuk. 

Di bawah adalah beberapa teknik menghafal yang saya pilih untuk menghafal ayat lazim yang kebanyakannya pendek sahaja. Teknik "chunking", "pointer", "keyword" dan "mindmapping" akan saya gunakan apabila mula menghafal surah yang panjang kelak. 
                                

 A. Teknik Mengulang 
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur’an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.


B. Teknik Tumpu dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.


C. Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari’ yang baik bagi seluruh Al-Qur’an atau beberapa qari’ bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari’ tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari’ tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur’an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.



D. Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.

E. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur
2.Semasa melelapkan mata,dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisinya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.

DOAKAN SAYA
Besarlah hasrat hati ini untuk melahirkan para kekasih Allah yang mana ayat Al -Quran mengalir dalam darah mereka, hinggakan segala perbuatan mereka adalah terbit dari cernaan ayat Allah semata-mata. Mereka kenal siapa diri mereka sebenarnya dan mereka kenal dengan sebenar-benar kenal akan Penciptanya. Doakan agar perjalanan hafalan saya diberkati Allah dan diberikan segala kemampuan dan hati yang terang seterangnya. Saya juga mendoakan para ibu di luar sana juga beroleh keberkatan dan azam yang sama dalam usaha membangun ummah. Wallahhualam



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...