TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Khamis, 5 Mei 2016

BAGAIMANAKAH UNTUK MENGGALAK ANAK KECIL AGAR RAJIN BELAJAR


Memang benarlah kata-kata dalam peribahasa melayu iaitu "Melentur buluh biarlah dari rebungnya".
Begitulah pengamatan orang-orang dulu pada pokok  buluh yang cepat sekali keras batangnya dan tidak mungkin lagi dapat dibentuk ke kira mahupun ke kanan kerana sifatnya yang lurus dari perdu hinggalah ke pucuknyu.

Sifat anak-anak kecil memang suka bermain. Di sinilah kita kena bijak untuk menggunakan sifat suka bermain itu dan terapkan dalam pembelajaran yang sesuai dengan mereka. Pembelajaran ini tidaklah hanya kepada belajar membaca atau menulis, malah ianya meluas kepada kerja-kerja rumah yang simple mahupun cara bergaul yang betul. Semua ini memerlukan usaha dari kedua ibubapa dan seringkali usaha ini gagal separuh jalan sekiranya kita tidak mempunyai satu matalamat kejayaan. Ini kerana usaha ini tidaklah dapat dilihat kejayaannya dalam sehari dua, malah melalui usaha berterusan yang gigih dan bertahun-tahun lamanya.

Seringkali ibubapa memilih jalan singkat dalam mendidik sikecil iaitu dengan membiarkan mereka menonton tv sepanjang masa asalkan mereka tidak menangis dan buat hal. Lagi senang lagi ialah dengan membiarkan anak-anak menggunakan komputer atau gadget yang memang mengasyikkan. Rumah tidak bersepah, boleh buat kerja tanpa gangguan kerana anak-anak tidak banyak bergerak bila sudah terlalu asyik. Hasilnya sungguh menyedihkan dan para ibubapa terpaksa menanggung kesusahan untuk mendidik mereka untuk minat belajar, apalagi untuk membaca buku. Beginilah bermulanya kerusakkan pendidikan anak-anak tanpa kita sedari. 

Berbagai-bagai cara telah dipraktikkan oleh ibubapa cemerlang demi untuk menghasilkan anak-anak gemilang. Kita boleh saja memilih apa yang sesuai dengan situasi keluarga kita namun kebanyakkan cara-cara ini memang mempunyai banyak persamaan antara satu sama lain.

1) Menyediakan persekitaran pembelajaran buat sikecil
Tidak semua orang berkemampuan untuk menyediakan bilik khas untuk belajar kerana ianya memerlukan ongkos yang besar. Bilik tidur, dapur, ruang tamu mahupun beranda rumah masih berjaya menjadi tempat belajar yang berkesan dengan sedikit usaha dan kreativiti. Lagipun kanak-kanak sering jemu sekiranya belajar di tempat yang sama setiap masa. Mereka suka pada kelainan. Apa yang mereka perlukan ialah alat tulis, kertas dan beg. Selain itu peralatan pembelajaran lain seperti kerusi kecil dan meja kecil juga tidaklah terlalu mahal untuk sikecil tersayang. Mungkin boleh saja kita gantikan hadiah harijadi mereka seperti toys dengan alat-alat belajar saja. Ini yang kami praktikkan dan hasilnya mereka tidak berminat sangat dengan toys dan lebih cenderung untuk memilih buku bila diberi pilihan.

2) Memberi ganjaran bila mereka menghasilkan kejayaan walaupun kecil
Memang sudah jadi tabiat kanak-kanak, sukakan sebarang ganjaran sama seperti kita orang dewasa. Ganjaran ini jangan pula disalah ertikan dengan wang ringgit atau berbentuk materialistik. Oleh kerana mereka rajin mengemas barang mainan mereka, kita ringan tulang menyediakan makanan kegemaran mereka. Nyatakan bahawa makanan itu adalah sebagai hadiah kepada mereka atas kerajinan mereka. Mereka akan rasa sangat gembira padahal kalau mereka malas pun, kita tetap menyediakan makanan kepada mereka tetapi tidaklah makanan kegemaran mereka. Malah puji-pujian yang membina dan tidak keterlaluan juga turut membantu sikecil untuk minat belajar.

3) Berlapang dada bila sikecil membuat rumah berselerak dalam proses pembelajaran mereka
Sudah adat kanak-kanak akan membuat sepah kerana mereka masih kecil. Kita baru saja lipat baju mereka yang berbakul, namun dalam sekelip mata sahaja mereka mengeluarkan semua baju itu dari almari kerana ingin belajar melipat baju sendiri. Apa yang dapat kita lakukan ialah dengan cuba mendisiplinkan mereka sesuai dengan umur mereka. Memang sukar untuk mendisiplinkan anak-anak kecil tetapi sekiranya kita berterusan mengajak mereka sama-sama mengemas balik barang yang bersepah, lambat laun mereka akan terikut dengan kebiasaan ini.

4) Mendidik melalui tauladan 
Tauladan dari ibubapa adalah yang terbaik untuk mendidik anak-anak kecil. Janganlah kita bersikap bagai "Ketam mengajar anaknya berjalan lurus" apabila asyik dengan handphone dan berjam di depan komputer, membiarkan anak-anak sendirian tanpa masa berkualiti bersama kita. Kita sendiri perlu mempamerkan hobi suka membaca dan juga mengamalkan membaca bersama anak-anak. Walaupun mereka tidak pandai membaca, penceritaan kita yang menarik tentang isi sesuatu buku kegemaran anak-anak sudah cukup untuk membuat mereka teruja untuk terus membaca. Usaha ini menjadi lebih berkesan sekiranya kita dapat meluangkan masa kita membaca buku kepada sikecil sebelum mereka dibuai mimpi indah. 

4) Mengajak anak-anak berbincang secara logik
Kita sering memperlekehkan kebolehan anak kecil tanpa kita sedari. Malah ada juga ibubapa yang bertutur secara pelat bila berbicara dengan anak kecilnya kerana menyangka itulah bahasa bayi dan bayi akan memahaminya. Hasilnya apabila anak itu meningkat umur lima tahun pun, masih tidak dapat bercakap dengan bahasa yang betul. Sebenarnya kita sudah boleh mengajak anak-anak kita berbincang sebaik sahaja mereka pandai bertutur. Biarpun bahasa mereka banyak berbentuk isyarat atau pelat yang susah kita fahami. Mereka boleh faham apa yang cuba kita sampaikan dengan baik sesuai dengan umur mereka. Fahamkan kepada mereka bahawa sekiranya barang mainan mereka berselerak, mereka akan jatuh tersungkur bila berjalan. Sekiranya mereka taburkan makanan mereka atas lantai, Allah tidak sayang mereka dan kita juga tidak sayang mereka dan orang lain juga tidak sayang mereka. Berbagai-bagai perbincangan ringan tetapi logik difikiran mereka dapat kita sampaikan untuk mereka belajar cara berakhlak. 

5) Meletakkan anak-anak dalam persekiran pergaulan yang sihat
Seringkali ibubapa pening kepala bila anak kecil mengeluarkan perkataan yang berbentuk mencarut atau sumpahan atau jengkel sedangkan mereka sendiri tidak pernah mengeluarkan perkataan sebegitu terutamanya di depan anak-anak mereka. Pasti sekali ianya datang dari pergaulan anak-anak kita dengan anak-anak lain atau orang sekelilingnya yang sudah terbiasa menggunakan perkataan sebegitu. Adalah tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk menyediakan persekitaran yang sihat buat sikecil. Anak kecil sangat senang mengikut dan sekiranya mereka ada abang-abang dan kakak-kakak yang sudah terdidik, amat senang mereka mengikut segala perbuatan positive itu. Ini adalah bonus buat ibubapa yang bersusah payah mendidik anak-anak yang terdahulu. Hal ini memang berlaku kepada Alyssa dan Adelyn yang turut berminat untuk homeschool walaupun umur mereka masih kecil. Afiqah dan Afiq memang banyak memainkan peranan dalam membentuk jati diri mereka. Malah mereka lebih senang untuk menurut contoh Afiqah dan Afiq dari mengikut contoh yang kita sediakan. Inilah sifat kanak-kanak yang perlu kita gunakan kearah kebaikan dan sekiranya kita tidak mengambil peluang ini dengan baik, mereka juga senang sekali mengikut kearah yang negative. Ini adalah kerana anak-anak kita yang kecil itu umpama kain yang putih dan terpulanglah kepada kita untuk mencorakkannya.

6) Mendoakan anak agar anak menjadi soleh, pintar dan rajin belajar
Inilah kunci utama dalam usaha kita mendidik anak-anak. Setelah berusaha berbagai cara, selebihnya kita panjatkan kehadrat Ilahi agar anak kita menjadi gemilang di sisi Allah dan berguna kepada umat manusia sejagat. Inilah ciri-ciri khalifah yang perlu kita terapkan kepada anak kita. Doa memainkan peranan yang sangat besar untuk mencapai sesuatu kejayaan. 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ. الّلهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا فُتُوْحَ الْعَارِفيْنَ بِحِكْمَتِكَ وَانْشُرْ عَلَيْنَا رَحْمَتَكَ يَا ذَاالْجَلاَلِ وَالْإِكْرَامِ 
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM, ALLAHUMMAFTAH ALAYYA FUTUUHAL AARIFFIN BIHIKMATIKA, WANSYUR ALAYNA RAHMATAKA YA DZAL JALAALI WAL IKRAM.

Selain kita membaca doa ini kepada anak-anak kita terutamanya ketika mereka sedang nyenyak tidur, kita juga boleh bacakan doa ini kepada makanan dan minuman anak-anak. Sebaik sahaja anak mula bertutur, boleh ajarkan doa ini kepada mereka. Memang doa ini agak panjang untuk diingati oleh anak-anak. Cara yang paling senang ialah mengajak anak-anak mengikut bacaan kita setiap hari. Insyaallah.

7) Sentiasa membayangkan anak kita menjadi anak soleh, pintar dan rajin
Inilah kuasa minda dan ianya sangat berkesan. Apa sahaja keinginan kita, jika disebut dan dibayangkan setiap hari dengan yakin sebenar-benar yakin, pasti keinginan kita akan tercapai.

 Dari Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah سبحانه وتعالى berfirman,

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.” (Muttafaqun ‘alaih).



ALYSSA DAN ADELYN BELAJAR TANPA DISURUH
Hari Ahad hingga hari Khamis adalah hari pembelajaran homeschool kami. Kebiasaannya Alyssa dan Adelyn akan turut serta kelas Afiqah dan Afiq. Ini membuatkan suasana homeschool kami sangat ceria dan seronok. Namun begitu Alyssa dan Adelyn juga berminat untuk belajar pada hari Jumaat dan Sabtu. Oleh kerana kami tidak sediakan kerusi meja seperti pada hari-hari pembelajaran, mereka akan berusaha sendiri untuk kelas persendirian mereka. 


Masing-masing dengan beg sekolah Barbie yang berwarna pink menuju ruang 
pembelajaran harian homeschool kami. 


 Sama-sama mengeluarkan meja mereka dari tempat simpanan. Seronok betul melihat sifat muafakat mereka yang pasti sekali hasil dari pergaulan mereka dengan Afiqah dan Afiq yang
sering menyediakan meja sebelum kelas homeschool bermula.


 Adelyn memerhati bagaimana Alyssa membuka kaki meja. Kemahiran ini tidak lagi dikuasainya. Sikap Alyssa membantu Adelyn menyiapkan meja belajarnya memang perlu dipuji. Alyssa sudah mempamerkan satu tauladan yang sangat baik buat Adelyn ikuti.


 "This is your beg and your paper" Begitulah prihatinnya dan kasihnya Alyssa(4) kepada adiknya Adelyn(3) yang hanya berbeza satu tahun dari umurnya. Dia berjaya menjadi seorang kakak yang baik kepada Adelyn.


Masa untuk belajar. Hari ini mereka bebas untuk belajar apa yang mereka minat. Kebiasaannya bila hari-hari homeschool, kami akan tentukan apa yang mereka belajar mengikut kegemaran mereka dan keselesaan mereka. 


 Alahai....beginilah Adelyn. Seringkali kelasnya habis awal berserta dengan tangisan. Bukan ada orang yang kacau tetapi dia sendiri yang geram samaada dengan penselnya mahupun dengan lakarannya yang tak menjadi. Its okey baby.....you can join later when you're ready!!


 Alyssa meneruskan pembelajarannya sendirian. Alyssa memang bersikap tekun dan akan habiskan kerjanya selagi boleh. Dia juga sangat kemas dan tidak suka menconteng kertasnya. Satu sikap yang perlu dipuji agar dia dapat meneruskan tabiat ini sehingga besar.


Syabas Alyssa.....good work!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...