TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Sabtu, 15 September 2012

STAR GAZING : VENUS AND JUPITER IN THE DAWN SKY OF LANGKAWI


Aktiviti mencerap bintang sangat bergantung kepada cuaca dan keadaan langit yang cerah tanpa awan. Sudah hampir seminggu Kampung Bakau disirami hujan di waktu malam. Kerinduan kepada bintang dan planet bagaikan dihimpit-himpit. Sebenarnya aktiviti ini telah mewujudkan satu pertalian jiwa dengan alam semesta yang mana sebelum ini kami hanya pandai menikmati cahaya bulan dan kerlipan bintang sahaja.. Semakin kita mengenali setiap bintang yang terang berkelipan, semakin kita rasa ikatan "ukhwah" sesama makhluk Allah. Baru kini aku sedar bahawa jalinan kemesraan bukan sahaja wujud antara sesama manusia atau haiwan pepeliharaan tetapi rasa yang indah ini juga boleh wujud antara manusia dengan alam semesta. Sesungguhnya mereka juga hidup seperti kita dan sentiasa bertasbih ke hadrat Ilahi tanpa lalai.  Pengajian astronomi menceritakan kematian sesebuah bintang dan kematian itu menjurus kepada kewujudan bintang-bintang baru pula dan terus membiak tak terbilang. Dikatakan bilangan bintang di langit adalah jauh lebih banyak dari bilangan butir pasir di bumi. Memang benar dan Allah maha berkuasa mencipta semua ini .Tentu sekali kehidupan mereka tidak seperti hidupnya manusia dan binatang.


“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” Surah Al Israa’ : Ayat 44

Selepas solat witir, Hafidz menghilang ke Balai Cerap depan rumah. " Langit cerah penuh bintang" Hafidz menyapaku sebelum solat Subuh. Hatiku mekar dengan kuntuman senyum membalas info dari Hafidz. Selepas sahaja doa solat Subuh, kami terus ke Balai Cerap 3 iaitu di beranda belakang mengadap laut. Sebenarnya kami dah merancang untuk mencerap planet Jupiter dan Venus dari awal lagi. Sudah lama tak tengok jalur-jalur Jupiter dan empat bulan besar utama yang mengelilinginya. Memang menakjubkan. Kali ini Hafidz mengangkat peralatan kamera dan lenz yang berupaya zoom seperti teleskop. Oleh kerana peralatan itu agak berat, aku turut jadi crewnya membawa kamera.



Dalam kegelapan dinihari dan keheningan subuh, aku merasa 
sangat selesa dalam kepanasan kain telekung.



Begitu juga dengan Hafidz yang masih dalam jubah sembahyangnya.




Oleh kerana sudah mahir, Hafidz mengambil masa hanya 
beberapa minit sahajauntuk memasang segala peralatan kamera. 
Kami perlu cepat kerana cahaya matahari 
terbit akan menyusul selepas ini.







Peralatan sudah siap dipasang untuk aktiviti mencerap bintang




Hafidz sedang menikmati keindahan langit di lensa kameranya



"Sifu Astronomi" kami dalam aktiviti mencerap 
bintang turut sama menghangatkan suasana. 



Ini adalah rujukan kami dalam mencerap bintang iaitu Stellarium yang telah di download. Memang banyak membantu untuk mengetahui kedudukan terkini bintang dan planet. Kedudukan Jupiter dan Venus telah dibulatkan dalam screen di atas. Inilah target kami kali ini.
BERKENALAN DENGAN PLANET VENUS (ZUHRAH)



Susunan berserta perbandingan saiz 8 planet dan 3 planet kerdil dalam sistem suria



  Perbandingan saiz dan urutan kedudukan planet terestrial, yang terdiri dari batuan dan logam.



Zuhrah atau di dalam bahasa inggerisnya Venus planet kedua terdekat kepada Matahari, mengorbitnya pada setiap 224.7 hari bumi. Nama Zuhrah ini diambil daripada bahasa Arab bermaksud bunga kerana bentuknya pada waktu pagi atau pada waktu senja seakan-akan bunga, tetapi jika dirujuk pada nama bahasa inggeris, planet ini dinamakan bersempena Venus, Tuhan cinta Rom. Ia merupakan objek semulajadi yang paling terang di waktu malam, kecuali Bulan, mencapai magnitud kecerahan −4.6. Oleh kerana Zuhrah merupakan planet inferior dari Bumi, ia tidak pernah muncul jauh daripada Matahari: Kelonjongannya mencapai maksimum sebanyak 47.8°. Zuhrah mencapai kecerahan maksimum sebelum matahari naik atau pun terbenam, disebabkan alasan tersebut ia selalunya disebut sebagai Bintang Pagi atau pun Bintang Petang.


Sifat fizikal Zuhrah dianggap sebagai planet kembar Bumi kerana saiz, jisim, isipadu dan ketumpatannya yang hampir sama dengan bumi. Malahan, planet Bumi dan Zuhrah terbentuk daripada awan nebula yang sama. Walau bagaimanapun, kedua dua planet ini mempunyai sifat yang berbeza. Zuhrah tidak mempunyai lautan, dan diselubungi dengan atmosfera yang mengandungi karbon dioksida pada peratusan yang tinggi. Atmosfera Zuhrah juga tidak mempunyai wap air dan awan awan di Zuhrah terdiri daripada titisan titisan asid sulfurik. Di permukaan Zuhrah, tekanan atmosferanya 92 kali ganda lebih tinggi daripada tekanan udara Bumi pada

Zuhrah juga terkenal sebagai planet 'rumah hijau' kerana mempunyai kandungan karbon dioksida yang tinggi di dalam atmosferanya. Cahaya matahari akan memanaskan permukaan planet tersebut, namun disebabkan atmosferanya tumpat, tenaga haba tidak dapat dipancarkan semula ke angkasa lepas. Akibatnya suhu permukaan Zuhrah mencapai 480 C dan lebih panas daripada suhu permukaan Utarid.
Satu hari di Zuhrah adalah lebih panjang daripada satu tahun. Zuhrah melengkapkan putaran di paksinya dalam masa 245 hari Bumi, dan mengelilingi orbitnya dalam masa 225 hari Bumi. Zuhrah juga berputar daripada timur ke barat, berbeza dengan bumi, iaitu dari barat ke timur. Ini bermakna di Zuhrah, matahari akan terbit daripada barat.


Kedudukan Venus telah di jumpai dan dibulatkan dalam gambar di atas. 
Kami akan menyapa Venus dahulu.


Masyaallah....hebatnya ciptaan Allah. Venus bersinar terang bagai bola api
di lensa kamera kami. Inilah planet yang paling panas antara 8 buah planet
dalam sistem suria.Terima kasih kepada teknologi sains 
yang membolehkan kita melihat dengan lebih jelas apa yang 
terbentang di angkasa.



BERKENALAN DENGAN PLANET JUPITER (MUSYTARI)
Selepas puas melihat planet Venus Sibintang Pagi (walaupun ianya bukan bintang), kami beralih kepada planet Jupiter yang kedudukannya di langit lebih tinggi dari Venus.

 Malangnya langit pagi ini tidak cukup terang untuk kami merakam bulan-bulan yang mengelilingi Jupiter. Image Jupiter juga tidak  begitu jelas. Pernah satu ketika dulu, kami dapat melihat Jupiter di sekelilingi bulan-bulannya.

Musytari lima kali lebih jauh dari Matahari berbanding dengan Bumi. Ini bermakna Musytari mengambil masa lebih lama untuk membuat satu pusingan mengelilingi Matahari. Musytari mengambil masa hampir 12 tahun. Musytari berputar lebih laju daripada planet-planet lain. Bumi mengambil masa 24 jam untuk sekali putaran sedangkan Musytari kurang daripada 10 jam. Kelajuan ini menjadikan planet kelihatan membonjol di tengahtengahnya atau di khatulistiwa. Planet kelihatan penyek sedikit. Paksi Musytari condong sedikit ke arah Matahari.

Terdapat banyak bulan di planet Musytari. Semuanya 16 buah. Kebanyakan bulan-bulan di musytari adalah kecil. Sesetengah darinya mempunyai orbit 'retrograde'. Ini membuatkan ahli astronomi mencadangkan yang bulan-bulan kecil ini berasal dari asteroid. Dari 16 buah bulan , terdapat 4 bulan utama terbesar. Bulan-bulan terbesar ini dipanggil 'Galilean'(berdasarkan orang yang menemuinya - Galileo). keempat-empat bulan ini ada hubungan diantara satu sama lain. Berkemungkinan besar bulan-bulan ini terbentuk bersama Musytari. ciri keempat-empat bulan ini di terangkan dibawah.
  • Callisto - bulan terluar, mempunyai ketumpatan yang rendah, 1/2 dari saiz bumi, permukaannya nampak purba dan gelap dan berais, dan ianya berkawah.
  • Ganymede - berketumpatan rendah, punyai ais, berkawah dan mempunyai garisan-garisan selari.
  • Europa - lebih aktif dari Ganymede, berketumpatan tinggi dari Ganymede, mengandungi batu dengan mantel dan kerak nya berisi air dan tiada kawah.
  • Io - Paling hampir dengan planet, paling aktif, punyai teras logam yang besar, permukaan berbatu dan keraknya berais.


Apa yang kita nampak seperti "mata" di planet Musytari(bintik merah besar) sebenarnya adalah ribut gergasi di dalam atmosfera planet itu. Saiz ribut itu adalah dua kali ganda planet bumi. Ribut ini telah berterusan sejak Musytari dapat dilihat melalui teleskop. Ia mungkin merupakan ribut paling lama bertahan di seluruh Sistem Suria. Meskipun Musytari adalah planet terbesar di dalam sistem ini tetapi ianya hanyalah bebola gas gergasi


MUSYTARI SEBAGAI PELINDUNG KEPADA BUMI
Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, planet yang terbesar ini berfungsi sebagai "perisai" kepada bumi dari serangan meteor-meteor di angkasa. Magnetosfera Musytari adalah rongga yang terhasil di dalam angin suria akibat daripada medan magnet Musytari yang sangat kuat. Magnetosfera itu meluas sehingga tujuh juta kilometer ke arah Matahari dan hampir menyentuh orbit Zuhal di arah yang setentang, dan adalah magnetosfera planet terbesar dan terkuat di dalam Sistem Suria. Dengan ini Musytari mempunyai graviti yang sangat kuat untuk menarik segala meteor dan ancaman-ancaman lain di angkasa. Sekali gus bumi kita telah terselamat dari hentaman meteor yang pastinya berupaya menghancurkan muka bumi.

 
BULAN OH BULAN !
Menjelang pagi, kedudukan bulan berada jauh ke Barat dan 
bertentangan dengan kedudukan Venus dan Jupiter.



Hafidz sedang membesarkan imej bulan di lensa kameranya

 


Bulan yang tadi kelihatan begitu kecil, kini sudah terpampang besara di depan mata.



Sang Mentari mula mencelikkan matanya. Simbahan cahaya mentari pagi memenuhi ruang pantai di depan balai cerap kami. Ini bermakna aktiviti mencerap bintang juga berakhir di sini. Malam esok, lusa dan seterusnya....Insyaallah kita akan berjumpa lagi wahai Sang Planet dan Sang bintang.



INFO FCUHOMESCHOOL ASTRONOMI CLASS

AL-BATTANI: AHLI FALAK ISLAM TERUNGGUL
Di zaman kegemilangan Islam, tamadun dan pusat ilmunya menjadi rujukan kepada para sarjana yang datang dari timur dan barat. Pada masa itu, barat masih berada di dalam zaman kegelapan. Pengetahuan sains, matematik, falsafah, perubatan dan sebagainya masih belum lagi berkembang luas. Berbanding dunia Islam yang telah berjaya menghasilkan sejumlah ahli sains yang cukup terkenal di dalam bidang masing-masing. Salah seorang daripada mereka ialah Al Battani atau lebih dikenali di barat sebagai Albategnieus. Al Battani merupakan gelaran yang diberikan kepada beliau bersempena tempat kelahirannya di Battan. Al-Battani atau Muhammad Ibn Jabir Ibn Sinan Abu Abdullah adalah bapa trigonometri dan dilahirkan di Battan, Damsyik. Beliau putera Arab dan juga pemerintah Syria. Al-Battani diiktiraf sebagai ahli astronomi dan matematik Islam yang tersohor. Beliau berjaya meletakkan trigonometri pada tahap yang tinggi dan merupakan orang pertama yang menghasilkan jadual cotangents.


 


Sumbangan terbesar beliau kepada dunia sains ialah dalam bidang falak di mana Al-Battani telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya membina pusat kajian cakerawala di Rakyah. Beliau telah mengemukakan kaedah pengukuran bintang di cakerawala menggunakan garis lengkuk. Sebelum itu, para saintis Yunani telah memperkenalkan pengukuran bintang menggunakan tali. Pengukuran Al-Battani itu didapati lebih tepat dan praktikal kerana ia berdasarkan kepada teori tangen dan kotangen yang ditemuinya.

Namun begitu, barat tidak pernah memberi penghargaan kepada Al-Battani berhubung penemuan teorinya itu. Sebaliknya mereka menceduk dan "mencuri" teori Al-Battani serta mengubahsuai dan menukarnya kepada istilah Yunani ialah sine yang berasal daripada kata dasar "sinus". Dalam teorinya, Al-Battani telah membahagikan garis kotangen kepada 12 berdasarkan kepada formula seperti berikut:

Kos a
Kot a = ---- 12
Sin a

Kot "a" yang terdapat dalam formula itu merujuk kepada satu hari yang dibahagi 12. Kos "a" pula merupakan perjalanan matahari dalam sehari. Sin "a" pula adalah istilah bagi mewakili perjalanan malam yang sama waktunya dengan Kos "a" iaitu waktu siang. Berdasarkan kepada formula ini, sekiranya Kos a + Sin a hasilnya ialah 24 jam. Jikalau Kos a - Sin a maka hasilnya ialah 12 jam pada waktu siang dan malam.

Perhitungan yang digunakan oleh Al-Battani ini masih digunakan sehingga ke hari ini dan menjadi asas kepada penciptaan jam yang digunakan dalam kehidupan kita seharian. Teori yang dikemukakan oleh beliau ternyata mendahului zamannya dan merupakan satu penemuan yang cukup besar serta merubah perjalanan sejarah dan ilmu pengetahuan manusia. Bagaimanapun usaha Al-Battani itu tidak pernah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh saintis barat. Beliau bukan sahaja dinafikan hak ciptanya ke atas teori tersebut tetapi juga kaedah "algorism" atau "algorithm" yang dirintis oleh beliau.

Nasib yang serupa juga dihadapi oleh seorang ahli falak yang hidup sezaman dengan Al-Battani yang bernama Al-Habash pernah cuba menbahagikannya kepada 60 bahagian sebagai asas kepada penghitungan 60 saat bagi satu minit dan 60 minit sebagai satu jam. Tetapi yang menjadi masalah ialah pembahagian 60 jam tidak sama dengan satu hari yang mengandungi 24 jam sahaja. Jadi, teori Habash dikatakan gagal dan sumbangannya di dalam bidang falak tidak lagi pernah disebut dan menjadi sebutan.

Walhal sumbangan dan jasa Al-Habash dan Al-Battani cukup banyak serta tidak terbatas kepada ilmu falak semata-mata. Al-Battani sesungguhnya merupakan seorang saintis Islam yang terulung dan tiada tolok bandingannya di dalam bidang matematik, geometri dan fizik. Dalam bukunya yang berjudul "al-Mijisti", beliau telah membetulkan beberapa kesilapan yang dibuat oleh Batlaimus, seorang saintis Yunani. Buku ini  bukan sekadar menerangkan konsep dan kepentingan cakerawala tetapi juga menunjukkan cara-cara untuk mengukur perjalanan planet serta bintang.



Walaupun peralatan pada zaman Al-Battani tidak semaju dan secanggih zaman ini tetapi beliau telah membuktikan kebenaran ajaran Islam bahawa akal merupakan sebaik-baik kurniaan Tuhan kepada mahklukNya. Melalui pemerhatian dan pengkajiannya terhadap bintang di langit akhirnya Al-Battani menemui beberapa teori yang ternyata amat berguna dan memberikan manfaat yang besar kepada umat manusia seluruhnya. Jadi adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Al-Battani layak digelar sebagai Bapa Ilmu Falak dan Astronomi Moden kerana sumbangannya dalam bidang ini telah merintis jalan kepada berbagai-bagai penemuan lain dan penerokaan untuk membongkarkan rahsia alam semesta.


Ahad, 2 September 2012

BLUE MOON LIGHTS UP THE NIGHT OF OUR NATIONAL DAY



 ( GUIDANCE CORNER )


31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat bagi rakyat Malaysia dan pada setiap tahun kita akan merayakan Hari Kemerdekaan dengan penuh pengertian. Semoga ulang tahun ke 55 ini memberi kita kemerdekaan dari segala fikiran negatif.

Ditakdirkan pada 31 Ogos 2012 juga berlaku phenomena BLUE MOON. Fenomena blue moon menyinari langit dapat dinikmati di serata dunia kelmarin. Dari petangnya lagi, anak-anak sudah stand by dengan binakular dan camera untuk memeriahkan suasana malam. Yang paling teruja ialah Afiqah kerana teringin melihat bulan berwarna biru.

Adakah bulan betul-betul berwarna biru?
Bila saya menerangkan bahawa Blue Moon adalah hanya istilah yang digunakan bagi menerangkan bulan penuh yang berlaku dua kali dalam tempoh sebulan, Afiqah menunjukkan reaksi hampa. Sebenarnya sudut pandangan Afiqah tentang Astronomi memang penuh dengan fantasi kanak-kanak. Dia mengharapkan gambaran-gambaran fantasi dari cerita dongeng kanak-kanak yang dibacanya benar-benar wujud. Termasuklah wujudnya makhluk asing di angkasa lepas dan berbagai-bagai lagi.
Constellation Jula Juli Bintang Tujuh (Seven Sisters) juga begitu mempengaruhi imaginasinya. Semasa saya sebaya Afiqah, kisah puteri kayangan tujuh beradik(seven sisters) turun bermandi manda di bumi ini memang terpahat di fikiran hingga ke usia remaja. Apalagi memang ada filem melayu yang bertajuk Jula Juli Bintang Tujuh dan menjadi filem kegemaran ramai ketika itu.

Di bawah ini ada sedikit sedutan filem melayu Jula Juli Bintang Tujuh. Filem klasik ini memang dapat mengembalikan nostalgia semasa zaman kanak-kanak.


Hal ini berbeza dengan Hafidz yang sudah meneroka jauh ke angkasa melalui alam maya. Minatnya bercambah subur hingga di saat ini, sudah banyak info-info yang dia sudah tahu melebihi apa yang saya
(tenaga pengajar yang mencetus "api") tahu.

CARA PEMBELAJARAN HOMESCHOOL SUNGGUH  MENGUNTUNGKAN
Perkembangan inilah yang sangat saya nanti-nantikan kerana mereka akan terus meneroka hingga ke akhir hayat mereka. Apabila api sudah dinyalakan, anak-anak akan sambut dan membawa obor ini untuk terus mara ke destinasi yang diinginkan. Cahaya obor yang kecil ini sangat bermakna untuk mereka terus menghidupkan cahaya yang lebih terang dan jelas hasil dari penerokaan mereka sendiri. Inilah idea di sebalik homeschool di mana anak-anak digalakkan mencari sendiri ilmu yang mereka minati dengan bimbingan dan sokongan ibubapa. Memang berlainan dengan sistem sekolah yang kebanyakan ilmu disuap dari guru dan buku text. Ada ilmu yang mereka tidak minat tetapi mereka terpaksa juga menghafalnya dan sesungguhnya ilmu sebegini akan hilang sekelip mata. Berlainan dengan module homeschooling dimana anak-anak kami belajar ilmu yang diperlukan pada ketika itu. Contohnya Hafizd hendak menjual bonsainya kepada pembeli. Ketika itulah kami mula mengajar cara pengiraaan jual beli termasuk pengiraan peratus, untung dan modal barangan dan modal masa yang telah diambil untuk membela bonsai itu. Hasilnya..ilmu mathematik ini benar-benar terpahat dalam sanubari mereka kerana secara praktikal mereka memang menggunakan pengiraan tersebut dalam urusan niaga kini dan akan datang. Ilmu yang datang bersama praktikal live ini akan terus hidup segar dan berguna buat diri mereka.

BAGAIMANAKAH BLUE MOON BOLEH WUJUD ?
Puratanya blue moon ini berlaku ialah pada setiap 2.7 tahun. Pada awal bulan ini iaitu pada 2 Ogos 2012, sudah berlaku bulan penuh dan sekali lagi berlaku pada penghujug bulan ini iaitu 31 Ogos.

Namun, bulan pernah berwarna biru selama dua tahun apabila Gunung Berapi Krakatoa meletus di Indonesia pada 1883. Warna biru tersebut ekoran abu mikroskopik gunung berapi yang melitupi angkasa dan hanya membenarkan sebahagian gelombang cahaya menembusi atmosfera bumi.











 Letupan gunung berapi Krakatoa dalam tahun 1883 telah menyebabkan
 bulan kelihatan berwarna biru seluruh dunia selama 2 tahun

VIDEO MENJELASKAN PHENOMENA BLUE MOON






BALAI CERAP FCU

Sejak akhir-akhir ini, kelas astronomi di FCUHOMESCHOOL sungguh meriah. Bermula dalam bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan, boleh dikatakan setiap malam dan pagi kami akan ke Balai Cerap FCU 2 DAN 3 untuk menikmati ciptaaan Allah. Sepanjang puasa tiga bulan, kebanyakan ahli FCU banyak berjaga malam dan terus ke waktu sahur. Biasanya waktu tidur yang tergendala akan di ganti selepas matahari naik. Walaupun menjelang Syawal, selepas habis puasa 6 hari Syawal, kegiatan mencerap bintang tetap berjalan seperti biasa cuma masanya berubah iaitu selepas Subuh. Aktiviti harian kembali aktif selepas subuh kerana aktiviti berjaga malam sudah berkurang. Sememangnya...kenangan 3 bulan berpuasa adalah terlalu manis dan penuh dengan nostalgia yang membahagiakan jiwa nurani. Alhamdulillah.....
 
Terdapat 3 Balai Cerap FCU:

1) Balai Cerap 1




Terletak di tingkat 2 rumah Log House yang tengah kami bina. Ketinggiannya menyebabkan kami tidak diganggu oleh cahaya dari rumah jiran dan juga tiada objek yang bakal menghalang pemandangan di langit. Langit luas terbentang dan pemandangan laut yang indah memang sangat menambat hati kami. Biasanya kami akan ke Balai Cerap 1 bila ada aktiviti besar seperti melihat phenomena luar biasa di langit. Aktiviti ini akan melibatkan FCUPRODUCTION mengendalikan seluruh operasi seperti melihat gerhana bulan penuh dalam entry:KENANGAN MANIS GERHANA BULAN PENUH 10 DECEMBER 2011

2) Balai Cerap 2



Balai Cerap 2 ini terletak di bahagian depan rumah iaitu di dalam 
Bonsai Garden. Balai Cerap inilah yang paling popular kerana 
kedudukannya sangat hampir dengan bilik solat. Biasanya 
selesai sahaja solat Maghrib, solat Isyak dan solat Subuh, 
kami akan menjenguk balai cerap ini untuk mencerap bintang.


Selalunya kami akan bertenggek di atas jambatan gantung ini sambil 
berceloteh tentang bintang-bintang yang bertaburan di langit.



3) Balai Cerap 3





Balai Cerap ini terletak di beranda belakang yang mengadap laut. 
Kedudukannya hanya di sebelah dapur, membolehkan aku mencerap 
bintang dan bulan sambil memasak. Pemandangan di bahagian ini
 sangat cantik di waktu malam. Kita akan nampak lampu berkelipan 
dari kapal-kapal yang berlabuh di telok ini. Selain mencerap bintang, 
kami juga sering makan-makan di sini terutamanya pada waktu malam. 
Memang indah sekali bersantai dalam gelap, bertemankan cahaya 
sang rangbulan dan kerlipan bintang sambil berborak-borak dan makan. 
Terima kasih Allah atas segala limpah rahmat dan rezekiMu.


BINOKULAR DAN KELAS ASTRONOMI


Pada mulanya binokular ini digunakan untuk menikmati keindahan laut di beranda belakang ( Balai Cerap 3). Anak-anak sering meneropong kapal-kapal yang banyak lalu lalang di perairan belakang rumah kami. Binokular ini juga sering menemani Hafizd apabila dia meneroka hutan bakau memerhati burung yang banyak berterbangan di kawasan pantai ini. Setelah kami memiliki kamera yang berupaya untuk zoom jarakjauh, binokular ini jarang digunakan Hafidz untuk memerhati burung-burung hutan bakau. Semenjak kelas astronomi diperkenalkan, binokular umpama sahabat yang sangat baik mempamerkan bintang-bintang dengan lebih jelas kepada kami. Selalunya kami agak malas hendak set up peralatan kamera yang kami ada melainkan untuk upacara yang istemewa sahaja.  Binokular sangat handy dan dalam sekelip mata dah boleh fokus bintang di langit walaupun sekadar kerdipan yang lebih tajam. Sekali sekali saya dan Hafidz set up kamera yang berupaya mempamerkan planet jupiter dan bulan-bulannya. Saya akan postkan gambar-gambar bulan dan planet yang berjaya kami rakam dalam entry yang akan datang. Insyaallah...



Binokular yang banyak berjasa kepada pembelajaran 


homeschool kami



Afiqah tengah asyik meneropong blue moon di Balai Cerap 2













 Blue Moon yang dirakam dari Balai Cerap 3


;
Sememangnya cantik pemandangan bulan purnama menyinar langit malam


Khamis, 30 Ogos 2012

ILMU SARA HIDUP SEBAGAI ASAS PEMBELAJARAN FCU HOMESCHOOLING


FCU sangat menitik beratkan ILMU SARA HIDUP di kalangan anak-anak. Ilmu sara hidup adalah ilmu yang paling asas seseorang manusia perlu mahir demi meneruskan kehidupan dan menjalankan tugas sebagai khalifah diatas muka bumi ini. Dengan adanya ilmu sara hidup, anak-anak kita tidak akan lemah apabila berlaku sesuatu tanpa diduga di dalam kehidupan mereka. Kita sudah bekalkan ilmu asas kehidupan yang mana mereka hanya perlu ikhtiar untuk terus maju kedepan.

Setiap kali cuti semester universiti, mereka akan ke laut luas mengikuti para nelayan menangkap ikan. Mereka akan jadi pelatih tanpa gaji. Tujuan utama kursus pendek inilah untuk memahirkan mereka tentang selok belok mengendalikan bot, teknik menangkap ikan dan keberanian menghadapi ombak ganas di lautan. Langkah ini telah membentuk mereka menjadi berani dan tangkas dalam berenang dan menyelam. Saya sebagai ibu, sering rasa senak perut setiap kali mereka ke laut menangkap ikan. Tanpa henti doa dipanjatkan ke hadrat Illahi mengiringi setiap saat mereka di laut. Pernah satu ketika, bot yang ditumpangi oleh salah seorang anak lambat pulang. 

Mereka bertolak pada pukul 3.00 pagi bersama bekalan nasi,lauk dan air minuman. Lebih kurang pukul 4.00 petang keesokan harinya mereka sudah sepatutnya mula melabuhkan bot di pantai bersama hasil tangkapan. Jam sudah pukul 5.00 petang, kelibat sauh bot tidak juga kelihatan. Kalau ada apa-apa berlaku, mereka boleh guna hand phone sekiranya tidak jauh dari daratan. Sudah hampir maghrib dan mereka yang pergi menangkap ikan masih juga tidak pulang. Hatiku sudah tidak keruan. Isteri kepada nelayan yang kami tumpang itu datang ke rumah dan beliau juga dalam kebimbangan tentang nasib suaminya. Mereka telah hantar bot peronda untuk menjejak khabar dari laluan yang biasa diambil oleh nelayan tersebut. Lebih kurang pukul 9.00 malam, bot peronda kembali bersama bot yang ditumpang oleh anakku. Betapa rasa bersyukur ke hadrat Illahi atas takdir yang berkesudahan dengan anak kembali ke pangkuan. Rupa-rupanya berlaku kerosakan enjin semasa mereka dalam perjalanan pulang dan tempat itu terlalu jauh ke lautan untuk dapat coverage hand phone. Kejadian hari itu tidak melemahkan semangat kami untuk terus mendedahkan anak-anak kami bertarung di lautan luas. Sebagai pemimpin alam ini, seharusnya mereka juga pakar dalam selok belok lautan yang pastinya sangat berguna dalam kehidupan mereka kelak.

PUSAT BONSAI LANGKAWI
FCU BONSAI sudah tidak asing lagi di kalangan penggiat bonsai Langkawi. Kami sering menjadi pusat untuk pembelajaran bonsai samada oleh sifu yang di undang khas dari tanah besar mahu pun oleh  sifu dari FCU itu sendiri. Kami  dedahkan anak-anak dalam bidang pertanian khususnya  bonsai sejak dari kecil lagi. Sekiranya kita serius dalam perniagaan bonsai, pendapatannya memang lumayan kerana harga sepokok bonsai boleh mencecah ribuan ringgit.


PERNIAGAAN ADALAH SUMBER EKONOMI YANG TERBESAR



Kami mula menanam minat pada anak-anak dalam ilmu perniagaan sejak mereka kecil lagi. Cara yang terbaik ialah dengan melibatkan mereka dengan tugasan perniagaan keluarga sesuai dengan umur mereka. Kita hanya perlu percaya mereka boleh buat dan sesungguhnya mereka akan menjadi lebih mahir dalam apa yang kita dedahkan. FCUMIRACLE adalah perniagaan berasaskan perubatan traditional yang sedang kami usahakan. Kini, mereka adalah tulang belakang kepada family business ini. 


FCUPRODUCTION SEBAGAI WADAH UNTUK MAJU KEDEPAN 
Mereka tidak ke universiti untuk menggali ilmu penggambaran ini namun FCUPRODUCTION sudah cukup gah di kalangan pembuat video di Pulau Langkawi. Hanya pembelajaran dari rumah menerusi Youtube, mereka menjadi mahir lebih dari rakan-rakan mereka yang mempelajari bidang yang sama di pusat pengajian tinggi. Ini menjelaskan bahawa usaha yang gigih pasti membuahkan hasil walaupun hanya belajar kendiri. FCUPRODUCTION juga sering menjadi pilihan bagi syarikat swasta untuk membuat video korporat samada dari dalam negara mahupun luar negara. Kami bergiat aktif dalam menghubungkan warga Langkawi menerusi facebook dengan nama Langkawistory.


MEMBINA RUMAH DALAM KEBERKATAN RAMADHAN

Pondok ini adalah titik tolak bermulanya era membina rumah. Tanpa sebarang kemahiran dan ilmu, anak-anak kami yang fresh dari universiti dan alam persekolahan telah mengembeling tenaga dan fikiran untuk membina sebuah rumah ringkas dalam masa 30 hari :
FCU CHALLENGE DAY 1 TO 3 : FCU BUILD A HOUSE IN 30 DAYS
Setelah 15 hari berlalu, kami mengubah rancangan asal dari membina sebuah rumah ringkas kepada sebuah rumah dua tingkat yang dilengkapi dengan segala kemudahan terkini seperti spa. Sudah tentu mereka tidak akan dapat menyiapkan rumah hebat ini dalam masa 30 hari. Kini tugasan mereka lebih mencabar untuk menrealisasikan impian sebuah  rumah hebat iaitu LOG HOUSE dua tingkat yang dilengkapi dengan spa.

Tuntutan tugas dalam FCUPRODUCTION, menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan pembinaan rumah tingkat atas. Hanya dalam bulan Ramadhan ini sahajalah mereka rehat dari sebarang penggambaran dan inilah peluang yang ada untuk menyudahkan apa yang telah dimulakan. Mentari terik bulan Ramadhan cukup memberi cabaran kepada usaha mereka.



Inilah dua buah mesin pengadun semen yang disewa dari penduduk kampung.
Oleh kerana kesempitan ruang, mesin ini diletakkan agak jauh dari
kawasan pembinaan rumah.




Hafidz mengangkut semen yang sudah siap diadun ke kawasan 
pembinaan.





Seterusnya semen ini akan diangkut ke tingkat dua rumah yang sedang dibina.



Tajrid dengan kostume pelindung matahari. Ini adalah antara 
fesyen rekaan mereka agar tidak hangus dibakar matahari 
yang memang sangat perit dan bahaya untuk kulit.





Tajrid dan Hafidz bergotong royong mengangkut semen ke tingkat atas.




 Sentuhan terakhir lantai tingkat atas sebelum dinaikkan dinding.




Hasil kerja mereka setaraf dengan kerja pembinaan yang diluluskan. 
Walaupun tanpa pengalaman dan ilmu pembinaan, mereka gigih 
menyiapkan sebuah rumah LOG HOUSE tiga tingkat dengan berbekalkan 
penyelidikan di internet sahaja. Homeschooling memang tiada batasannya selagi
kita ada usaha dan kemahuan.


GARDEN HOUSE, LOG HOUSE AND BEACH HOUSE
Ramadhan 2012 adalah masa yang paling berkat untuk 8 orang anak muda FCU 
( Hafiz dan abang-abangnya) memulakan pembinaan rumah menganjur ke laut. Rumah yang kami diami sekarang memang sudah berada dalam lautan bila air pasang dua kali sehari (waktu bulan mengambang). Kami telah menambak tanah di bahagian depan rumah hingga dapat membina kolam dan taman bonsai. Rumah ini kami namakan Garden House.

Log House yang sedang kami bina dihentikan buat sementara dan usaha seterusnya ialah pembinaan rumah ketiga yang kami panggil Beach House. Rumah ini akan masuk lebih jauh ke lautan dan pastinya bakal menikmati pemandangan lautan yang lebih menarik. Beach House ini juga bakal menjadi rumah tiga tingkat seperti Log House.

Pada akhir dan awal bulan Hijrah, air laut surut dan rumah kami seperti berada di atas padang yang luas. Waktu sebeginilah kami dapat menggali tanah untuk membina tiang rumah. Di sebabkan fakta inilah kami berhentikan pembinaan Log House buat sementara waktu dan teruskan dengan pembinaan Beach House.




Hafidz sedang memeriksa keutuhan rangka besi yang telah dibina.




Hafidz dengan kostume pelindung sinaran matahari ciptaannya sendiri.



 
FCU guys berhempas pulas menyiapkan tapak binaan sebelum
air laut pasang dalam. Adalah mustahil untuk membina tiang apabila 
air mula pasang dalam 2 kali sehari. Ketika itu struktur tanah juga 
sangat lembab kerana digenangi air laut berterusan.

 
Rumah yang bakal dibina akan menganjur jauh melintasi pokok bakau
di depan beranda belakang kami. Ini bermakna pokok ini bakal ditebang.
Memang sayang sekali...kerana pokok ini adalah tempat mainan anak-anak. 
Mereka sering membaca buku dan menikmati makanan sambil menghirup 
bayu lautan yang nyaman.




 Memasang kayu pada palang besi untuk membuat foundation bangunan.




Sedang memeriksa foundation agar semuanya dalam keadaan yang stabil.






Air laut sudah mula pasang. Terpaksa tunggu beberapa jam 
kemudian barulah air laut kembali surut.  Ini bermakna kerja
 tergendala buat beberapa jam.





Oleh kerana mesin pengadun semen terletak jauh di depan 
sana (tempat parking kereta), anak-anak mengadun semen
secara manual sahaja.




Dalam usia yang baru meningkat remaja(13 tahun), Hafidz sudah biasa dengan selok belok pembinaan rumah. Inilah pembelajaran homeschool yang sangat real dan berguna dalam hidupnya. Tanpa homeschool, Hafidz hanya akan bergelumang dengan kerja sekolah yang menimbun setiap hari dan zaman remajanya berlalu begitu sahaja tanpa suatu impac yang besar dalam hidupnya. Suatu ketika nanti, dia akan bina rumahnya sendiri tanpa campur tangan orang lain. 



Masih ingat lagi arwah ayah di kampung. Masa itu aku sedang belajar di Sekolah Tun Fatimah. Selama setahun ayah telah bekerja di Singapura sebagai buruh pembinaan bangunan pencakar langit. Sepanjang hidupnya dia adalah seorang pemandu kereta sewa, yang membolehkan kami keluarga yang hidup secara sederhana menikmati keistimewaan dan kemudahan bergerak dalam kereta Merchedese benz. Selama setahun itulah aku sering menerima lawatan ayah pada setiap hujung minggu kerana Johor Baharu (tempat sekolahku)  tidak jauh dari Singapura. Ayah mempunyai misi khas bekerja sebagai buruh meninggalkan keluarga nun jauh di Kelantan. Di samping bayaran yang lumayan, ayah beroleh segala kepakaran terkini dalam pembinaan rumah. Setahun kemudian, ayah membina sebuah rumah menggantikan rumah pusaka yang sudah uzur dimamah usia. Ayah tidak mahu mengupah orang lain kerana dia hendak pastikan rumah itu dibina oleh orang yang bersembahyang dan berakhlak mulia. Walaupun mengambil masa yang agak lama, akhirnya ayah telah menghadiahkan kepada kami sebuah rumah hasil titik peluhnya sendiri yang penuh keberkatan. Di rumah itulah kami sembilan adik beradik membesar.

Sememangnya setiap rumah mempunyai aura tersendiri. Aura ini banyak dipengaruhi oleh jiwa-jiwa orang yang membinanya. Bukannya senang untuk mencari pembina rumah yang tidak meninggalkan solat. Alternatifnya, terpaksalah kita bina sendiri.




Mengisi foundation yang dibina dengan semen.


  
Muafakat membawa berkat. Mereka sentiasa bersatu hati dalam setiap aktiviti keluarga. 
Homeschool dalam keluarga yang besar seperti kami adalah satu kelebihan dan 
begitu istimewa. Homeschool membuat mereka bersatu hati dan maju kedepan
 bersama-sama. Pembelajaran tiada sempadan ini berlangsung seumur hidup mereka.




Keesokan harinya, semen dah mula kering. Beberapa keping play wood 
diletak atas alang besi  sebagai dasar lantai  bangunan.





Langkah seterusnya ialah menutup play wood dengan batang keluli yang 
telah disusun terlebih dahulu seperti di dalam gambar.




Memang sudah lama kami mengidam rumah yang jauh menganjur ke laut.
Selain pemandangan dapat menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam, 
ikan-ikan yang dipancing di kawasan ini juga lebih banyak variety  nya.




Sebaik sahaja lepas solat zohor dan makan tengahari, FCU guys terus
memulakan kerja mereka. Air laut dah surut waktu ini dan segala kerja
menjadi lebih senang. Air laut akan mula memenuhi ruangan bawah rumah kami pada 
pukul sebelas. Sebenarnya, waktu pasang surut air laut tidak tetap pada setiap hari. Ianya 
banyak bergantung kepada bentuk bulan di langit. Pada malam bulan mengambang penuh, air lautpasang dalam dan ombak pun besar. Masa inilah yang paling best 
kerana boleh tidur dalam ulitan dan irama ombak yang sangat 
menyegarkan minda. Masyaallah...Alhamdulillah..





Proses pembuatan lantai bangunan ini diteruskan hingga ke malam hari. Mereka hanya berhenti untuk mengerjakan solat. Masa berbuka puasa pun, makan ala kadar sahaja. Tiada masa boleh dilengah-lengahkan kerana faktor air akan pasang bila tiba waktunya dan ini bermakna semua kerja perlu diberhentikan. Aku hanya menyediakan air minuman selepas satu jug ke satu jug yang lain. Mula-mula fresh orange juice, lepas tu...miracle tea (herba tea buatan sendiri) dan akhirnya kopi panas untuk mengembalikan tenaga yang sudah dikerah sejak waktu zohor lagi.....Ibu salute anak-anakku semua. You are the best of all.....




HOMESCHOOL MENYATUKAN MEREKA


Sejuk mata memandang....Pasti mana-mana ibupun akan merasa bangga bila anak-anak bermuafakat bersatu hati membangunkan keluarga. Apalagi dengan bilangan anak yang ramai dan mereka mula berbakti kepada kedua ibu bapa. Homeschool merapatkan ikatan mereka dunia dan akhirat. Mereka membesar saling bantu membantu dan tiada yang tercicir dari segi perkembangan jasad dan minda. Mereka umpama satu badan dan setiap individu adalah merupakan anggota-anggota penting yang menghidupkan roh dan jasad. Umpama seberkas kayu yang diikat, mereka teguh berdiri mengharung kehidupan.

Aku juga dari keluarga besar. Adik beradik sembilan orang semuanya. Memanglah kedua ibubapaku tidak mengamalkan homeschool di kalangan kami adik beradik. Masing-masing berjaya mengikut keupayaaan dan usaha masing-masing. Dalam kesemua adik beradik itu, tidak semua yang bernasib baik dan berjaya dalam pelajaran dan standard kehidupan mereka seterusnya sangat bergantung kepada pencapaian akademik mereka. Bila berkahwin dan ada keluarga sendiri, masing-masing membawa haluan masing-masing. Yang senang tetap senang dan yang susah asyik meraih simpati. Jauh sekali dengan corak kekeluargaan yang kami bina sekarang. Walaupun sudah berkeluarga, tetapi kami tetap dalam satu kumpulan FCU. Tiada kepentingan pribadi kerana kami lebih utamakan keperkasaan FCU itu sendiri. Kesemua anak naik serentak dan masing-masing dengan kelebihan personaliti yang sangat istimewa dan keistimewaan ini adalah kekuatan kami  sekeluarga. Sebenarnya inilah kunci kejayaan masyarakat Islam pada zaman dahulu. Mereka bergerak bawah nama keluarga dan muafakat yang jitu tanpa mementingkan diri sendiri mencetus kejayaan yang unggul.




Memasang lampu untuk mencerahkan suasana tempat kerja




Baju yang dipakai oleh Tajrid ini sangat istimewa kerana mampu 
melantunkan cahaya dalam gelap.






Jam hampir pukul sebelas malam. Gigi air laut sudah mula mencecah tiang-tiang rumah. Gurindam ombak sungguh permai telinga mendengarnya. Dilangit bulan mengambang penuh dan di hiasi bintang-bintang gemerlapan. Akhirnya, mereka berjaya menyiapkan sebahagian lantai rumah. Esok-esok mereka akan menanam tiang lagi untuk menambah lantai rumah menganjur ke laut luas.



Hafidz dan abang Musa sedang menikmati secangkir kopi panas, mengubat lelah bekerja dari tengahari lagi. Aku di dapur sedang sibuk menyediakan makanan panas buat anak-anak yang memang sudah lapar sangat-sangat. Apa tidaknya.....masa berbuka tadi..hanya lapik perut sahaja. Lepas mandi....ramai-ramai makan bersama. Indahnya hidup sekiranya kita tahu apakah tujuannya dan ke manakah akhirnya kita. Kehidupan di dunia ini hanyalah jambatan untuk kita ke sana.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...