TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Sabtu, 15 September 2012

STAR GAZING : VENUS AND JUPITER IN THE DAWN SKY OF LANGKAWI


Aktiviti mencerap bintang sangat bergantung kepada cuaca dan keadaan langit yang cerah tanpa awan. Sudah hampir seminggu Kampung Bakau disirami hujan di waktu malam. Kerinduan kepada bintang dan planet bagaikan dihimpit-himpit. Sebenarnya aktiviti ini telah mewujudkan satu pertalian jiwa dengan alam semesta yang mana sebelum ini kami hanya pandai menikmati cahaya bulan dan kerlipan bintang sahaja.. Semakin kita mengenali setiap bintang yang terang berkelipan, semakin kita rasa ikatan "ukhwah" sesama makhluk Allah. Baru kini aku sedar bahawa jalinan kemesraan bukan sahaja wujud antara sesama manusia atau haiwan pepeliharaan tetapi rasa yang indah ini juga boleh wujud antara manusia dengan alam semesta. Sesungguhnya mereka juga hidup seperti kita dan sentiasa bertasbih ke hadrat Ilahi tanpa lalai.  Pengajian astronomi menceritakan kematian sesebuah bintang dan kematian itu menjurus kepada kewujudan bintang-bintang baru pula dan terus membiak tak terbilang. Dikatakan bilangan bintang di langit adalah jauh lebih banyak dari bilangan butir pasir di bumi. Memang benar dan Allah maha berkuasa mencipta semua ini .Tentu sekali kehidupan mereka tidak seperti hidupnya manusia dan binatang.


“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” Surah Al Israa’ : Ayat 44

Selepas solat witir, Hafidz menghilang ke Balai Cerap depan rumah. " Langit cerah penuh bintang" Hafidz menyapaku sebelum solat Subuh. Hatiku mekar dengan kuntuman senyum membalas info dari Hafidz. Selepas sahaja doa solat Subuh, kami terus ke Balai Cerap 3 iaitu di beranda belakang mengadap laut. Sebenarnya kami dah merancang untuk mencerap planet Jupiter dan Venus dari awal lagi. Sudah lama tak tengok jalur-jalur Jupiter dan empat bulan besar utama yang mengelilinginya. Memang menakjubkan. Kali ini Hafidz mengangkat peralatan kamera dan lenz yang berupaya zoom seperti teleskop. Oleh kerana peralatan itu agak berat, aku turut jadi crewnya membawa kamera.



Dalam kegelapan dinihari dan keheningan subuh, aku merasa 
sangat selesa dalam kepanasan kain telekung.



Begitu juga dengan Hafidz yang masih dalam jubah sembahyangnya.




Oleh kerana sudah mahir, Hafidz mengambil masa hanya 
beberapa minit sahajauntuk memasang segala peralatan kamera. 
Kami perlu cepat kerana cahaya matahari 
terbit akan menyusul selepas ini.







Peralatan sudah siap dipasang untuk aktiviti mencerap bintang




Hafidz sedang menikmati keindahan langit di lensa kameranya



"Sifu Astronomi" kami dalam aktiviti mencerap 
bintang turut sama menghangatkan suasana. 



Ini adalah rujukan kami dalam mencerap bintang iaitu Stellarium yang telah di download. Memang banyak membantu untuk mengetahui kedudukan terkini bintang dan planet. Kedudukan Jupiter dan Venus telah dibulatkan dalam screen di atas. Inilah target kami kali ini.
BERKENALAN DENGAN PLANET VENUS (ZUHRAH)



Susunan berserta perbandingan saiz 8 planet dan 3 planet kerdil dalam sistem suria



  Perbandingan saiz dan urutan kedudukan planet terestrial, yang terdiri dari batuan dan logam.



Zuhrah atau di dalam bahasa inggerisnya Venus planet kedua terdekat kepada Matahari, mengorbitnya pada setiap 224.7 hari bumi. Nama Zuhrah ini diambil daripada bahasa Arab bermaksud bunga kerana bentuknya pada waktu pagi atau pada waktu senja seakan-akan bunga, tetapi jika dirujuk pada nama bahasa inggeris, planet ini dinamakan bersempena Venus, Tuhan cinta Rom. Ia merupakan objek semulajadi yang paling terang di waktu malam, kecuali Bulan, mencapai magnitud kecerahan −4.6. Oleh kerana Zuhrah merupakan planet inferior dari Bumi, ia tidak pernah muncul jauh daripada Matahari: Kelonjongannya mencapai maksimum sebanyak 47.8°. Zuhrah mencapai kecerahan maksimum sebelum matahari naik atau pun terbenam, disebabkan alasan tersebut ia selalunya disebut sebagai Bintang Pagi atau pun Bintang Petang.


Sifat fizikal Zuhrah dianggap sebagai planet kembar Bumi kerana saiz, jisim, isipadu dan ketumpatannya yang hampir sama dengan bumi. Malahan, planet Bumi dan Zuhrah terbentuk daripada awan nebula yang sama. Walau bagaimanapun, kedua dua planet ini mempunyai sifat yang berbeza. Zuhrah tidak mempunyai lautan, dan diselubungi dengan atmosfera yang mengandungi karbon dioksida pada peratusan yang tinggi. Atmosfera Zuhrah juga tidak mempunyai wap air dan awan awan di Zuhrah terdiri daripada titisan titisan asid sulfurik. Di permukaan Zuhrah, tekanan atmosferanya 92 kali ganda lebih tinggi daripada tekanan udara Bumi pada

Zuhrah juga terkenal sebagai planet 'rumah hijau' kerana mempunyai kandungan karbon dioksida yang tinggi di dalam atmosferanya. Cahaya matahari akan memanaskan permukaan planet tersebut, namun disebabkan atmosferanya tumpat, tenaga haba tidak dapat dipancarkan semula ke angkasa lepas. Akibatnya suhu permukaan Zuhrah mencapai 480 C dan lebih panas daripada suhu permukaan Utarid.
Satu hari di Zuhrah adalah lebih panjang daripada satu tahun. Zuhrah melengkapkan putaran di paksinya dalam masa 245 hari Bumi, dan mengelilingi orbitnya dalam masa 225 hari Bumi. Zuhrah juga berputar daripada timur ke barat, berbeza dengan bumi, iaitu dari barat ke timur. Ini bermakna di Zuhrah, matahari akan terbit daripada barat.


Kedudukan Venus telah di jumpai dan dibulatkan dalam gambar di atas. 
Kami akan menyapa Venus dahulu.


Masyaallah....hebatnya ciptaan Allah. Venus bersinar terang bagai bola api
di lensa kamera kami. Inilah planet yang paling panas antara 8 buah planet
dalam sistem suria.Terima kasih kepada teknologi sains 
yang membolehkan kita melihat dengan lebih jelas apa yang 
terbentang di angkasa.



BERKENALAN DENGAN PLANET JUPITER (MUSYTARI)
Selepas puas melihat planet Venus Sibintang Pagi (walaupun ianya bukan bintang), kami beralih kepada planet Jupiter yang kedudukannya di langit lebih tinggi dari Venus.

 Malangnya langit pagi ini tidak cukup terang untuk kami merakam bulan-bulan yang mengelilingi Jupiter. Image Jupiter juga tidak  begitu jelas. Pernah satu ketika dulu, kami dapat melihat Jupiter di sekelilingi bulan-bulannya.

Musytari lima kali lebih jauh dari Matahari berbanding dengan Bumi. Ini bermakna Musytari mengambil masa lebih lama untuk membuat satu pusingan mengelilingi Matahari. Musytari mengambil masa hampir 12 tahun. Musytari berputar lebih laju daripada planet-planet lain. Bumi mengambil masa 24 jam untuk sekali putaran sedangkan Musytari kurang daripada 10 jam. Kelajuan ini menjadikan planet kelihatan membonjol di tengahtengahnya atau di khatulistiwa. Planet kelihatan penyek sedikit. Paksi Musytari condong sedikit ke arah Matahari.

Terdapat banyak bulan di planet Musytari. Semuanya 16 buah. Kebanyakan bulan-bulan di musytari adalah kecil. Sesetengah darinya mempunyai orbit 'retrograde'. Ini membuatkan ahli astronomi mencadangkan yang bulan-bulan kecil ini berasal dari asteroid. Dari 16 buah bulan , terdapat 4 bulan utama terbesar. Bulan-bulan terbesar ini dipanggil 'Galilean'(berdasarkan orang yang menemuinya - Galileo). keempat-empat bulan ini ada hubungan diantara satu sama lain. Berkemungkinan besar bulan-bulan ini terbentuk bersama Musytari. ciri keempat-empat bulan ini di terangkan dibawah.
  • Callisto - bulan terluar, mempunyai ketumpatan yang rendah, 1/2 dari saiz bumi, permukaannya nampak purba dan gelap dan berais, dan ianya berkawah.
  • Ganymede - berketumpatan rendah, punyai ais, berkawah dan mempunyai garisan-garisan selari.
  • Europa - lebih aktif dari Ganymede, berketumpatan tinggi dari Ganymede, mengandungi batu dengan mantel dan kerak nya berisi air dan tiada kawah.
  • Io - Paling hampir dengan planet, paling aktif, punyai teras logam yang besar, permukaan berbatu dan keraknya berais.


Apa yang kita nampak seperti "mata" di planet Musytari(bintik merah besar) sebenarnya adalah ribut gergasi di dalam atmosfera planet itu. Saiz ribut itu adalah dua kali ganda planet bumi. Ribut ini telah berterusan sejak Musytari dapat dilihat melalui teleskop. Ia mungkin merupakan ribut paling lama bertahan di seluruh Sistem Suria. Meskipun Musytari adalah planet terbesar di dalam sistem ini tetapi ianya hanyalah bebola gas gergasi


MUSYTARI SEBAGAI PELINDUNG KEPADA BUMI
Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, planet yang terbesar ini berfungsi sebagai "perisai" kepada bumi dari serangan meteor-meteor di angkasa. Magnetosfera Musytari adalah rongga yang terhasil di dalam angin suria akibat daripada medan magnet Musytari yang sangat kuat. Magnetosfera itu meluas sehingga tujuh juta kilometer ke arah Matahari dan hampir menyentuh orbit Zuhal di arah yang setentang, dan adalah magnetosfera planet terbesar dan terkuat di dalam Sistem Suria. Dengan ini Musytari mempunyai graviti yang sangat kuat untuk menarik segala meteor dan ancaman-ancaman lain di angkasa. Sekali gus bumi kita telah terselamat dari hentaman meteor yang pastinya berupaya menghancurkan muka bumi.

 
BULAN OH BULAN !
Menjelang pagi, kedudukan bulan berada jauh ke Barat dan 
bertentangan dengan kedudukan Venus dan Jupiter.



Hafidz sedang membesarkan imej bulan di lensa kameranya

 


Bulan yang tadi kelihatan begitu kecil, kini sudah terpampang besara di depan mata.



Sang Mentari mula mencelikkan matanya. Simbahan cahaya mentari pagi memenuhi ruang pantai di depan balai cerap kami. Ini bermakna aktiviti mencerap bintang juga berakhir di sini. Malam esok, lusa dan seterusnya....Insyaallah kita akan berjumpa lagi wahai Sang Planet dan Sang bintang.



INFO FCUHOMESCHOOL ASTRONOMI CLASS

AL-BATTANI: AHLI FALAK ISLAM TERUNGGUL
Di zaman kegemilangan Islam, tamadun dan pusat ilmunya menjadi rujukan kepada para sarjana yang datang dari timur dan barat. Pada masa itu, barat masih berada di dalam zaman kegelapan. Pengetahuan sains, matematik, falsafah, perubatan dan sebagainya masih belum lagi berkembang luas. Berbanding dunia Islam yang telah berjaya menghasilkan sejumlah ahli sains yang cukup terkenal di dalam bidang masing-masing. Salah seorang daripada mereka ialah Al Battani atau lebih dikenali di barat sebagai Albategnieus. Al Battani merupakan gelaran yang diberikan kepada beliau bersempena tempat kelahirannya di Battan. Al-Battani atau Muhammad Ibn Jabir Ibn Sinan Abu Abdullah adalah bapa trigonometri dan dilahirkan di Battan, Damsyik. Beliau putera Arab dan juga pemerintah Syria. Al-Battani diiktiraf sebagai ahli astronomi dan matematik Islam yang tersohor. Beliau berjaya meletakkan trigonometri pada tahap yang tinggi dan merupakan orang pertama yang menghasilkan jadual cotangents.


 


Sumbangan terbesar beliau kepada dunia sains ialah dalam bidang falak di mana Al-Battani telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya membina pusat kajian cakerawala di Rakyah. Beliau telah mengemukakan kaedah pengukuran bintang di cakerawala menggunakan garis lengkuk. Sebelum itu, para saintis Yunani telah memperkenalkan pengukuran bintang menggunakan tali. Pengukuran Al-Battani itu didapati lebih tepat dan praktikal kerana ia berdasarkan kepada teori tangen dan kotangen yang ditemuinya.

Namun begitu, barat tidak pernah memberi penghargaan kepada Al-Battani berhubung penemuan teorinya itu. Sebaliknya mereka menceduk dan "mencuri" teori Al-Battani serta mengubahsuai dan menukarnya kepada istilah Yunani ialah sine yang berasal daripada kata dasar "sinus". Dalam teorinya, Al-Battani telah membahagikan garis kotangen kepada 12 berdasarkan kepada formula seperti berikut:

Kos a
Kot a = ---- 12
Sin a

Kot "a" yang terdapat dalam formula itu merujuk kepada satu hari yang dibahagi 12. Kos "a" pula merupakan perjalanan matahari dalam sehari. Sin "a" pula adalah istilah bagi mewakili perjalanan malam yang sama waktunya dengan Kos "a" iaitu waktu siang. Berdasarkan kepada formula ini, sekiranya Kos a + Sin a hasilnya ialah 24 jam. Jikalau Kos a - Sin a maka hasilnya ialah 12 jam pada waktu siang dan malam.

Perhitungan yang digunakan oleh Al-Battani ini masih digunakan sehingga ke hari ini dan menjadi asas kepada penciptaan jam yang digunakan dalam kehidupan kita seharian. Teori yang dikemukakan oleh beliau ternyata mendahului zamannya dan merupakan satu penemuan yang cukup besar serta merubah perjalanan sejarah dan ilmu pengetahuan manusia. Bagaimanapun usaha Al-Battani itu tidak pernah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh saintis barat. Beliau bukan sahaja dinafikan hak ciptanya ke atas teori tersebut tetapi juga kaedah "algorism" atau "algorithm" yang dirintis oleh beliau.

Nasib yang serupa juga dihadapi oleh seorang ahli falak yang hidup sezaman dengan Al-Battani yang bernama Al-Habash pernah cuba menbahagikannya kepada 60 bahagian sebagai asas kepada penghitungan 60 saat bagi satu minit dan 60 minit sebagai satu jam. Tetapi yang menjadi masalah ialah pembahagian 60 jam tidak sama dengan satu hari yang mengandungi 24 jam sahaja. Jadi, teori Habash dikatakan gagal dan sumbangannya di dalam bidang falak tidak lagi pernah disebut dan menjadi sebutan.

Walhal sumbangan dan jasa Al-Habash dan Al-Battani cukup banyak serta tidak terbatas kepada ilmu falak semata-mata. Al-Battani sesungguhnya merupakan seorang saintis Islam yang terulung dan tiada tolok bandingannya di dalam bidang matematik, geometri dan fizik. Dalam bukunya yang berjudul "al-Mijisti", beliau telah membetulkan beberapa kesilapan yang dibuat oleh Batlaimus, seorang saintis Yunani. Buku ini  bukan sekadar menerangkan konsep dan kepentingan cakerawala tetapi juga menunjukkan cara-cara untuk mengukur perjalanan planet serta bintang.



Walaupun peralatan pada zaman Al-Battani tidak semaju dan secanggih zaman ini tetapi beliau telah membuktikan kebenaran ajaran Islam bahawa akal merupakan sebaik-baik kurniaan Tuhan kepada mahklukNya. Melalui pemerhatian dan pengkajiannya terhadap bintang di langit akhirnya Al-Battani menemui beberapa teori yang ternyata amat berguna dan memberikan manfaat yang besar kepada umat manusia seluruhnya. Jadi adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Al-Battani layak digelar sebagai Bapa Ilmu Falak dan Astronomi Moden kerana sumbangannya dalam bidang ini telah merintis jalan kepada berbagai-bagai penemuan lain dan penerokaan untuk membongkarkan rahsia alam semesta.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...