TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Selasa, 15 Oktober 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA DARI FCUHOMESCHOOLING





TAULADAN KISAH PENGORBANAN NABI IBRAHIM DAN ISMAIL

Suatu hari ketika berada di Mekah, nabi Ibrahim A.S telah bermimpi bahawa Allah memerintahkan baginda untuk menyembelih anak baginda Nabi Ismail. Baginda terjaga kerana mimpi aneh itu. Setelah memintakeampunan dan perlindungan dari Allah baginda tidur kembali. Namun mimpi yang sama berulang sama seperti tadi. Kemudian baginda tidur lagi. Mimpi aneh itu tetap berulang.
Kemudian tahulah baginda itu memang perintah dari Allah.
Diringkaskan cerita apabila tiba di Mina, tempat untuk melakukan penyembelihan itu, Nabi Ibrahim memberitahu anaknya Nabi Ismail seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran.
Nabi Ibrahim berkata:

“Anakku. Aku mendengar di dalam mimpiku bahawa Allah SWT telah memerintahkan aku supaya menyembelih kamu. Apa pendapat kamu?”

Nabi Ismail lantas menjawab:
“Wahai ayahku. Kerjakanlah apa yang Allah SWT perintahkan kepada kamu. InsyaAllah ayah akan mendapati aku sebagai orang yang sabar dalam menjalankan perintah Allah.”

Dengan jawapan anaknya itu tahulah Nabi Ibrahim bahawa Allah telah menunaikan doa baginda iaitu:
“Rabbi hablii mina soolihiin (Ya Tuhanku, kurniakan aku seorang anak yang soleh”

Sebelum peristiwa penyembelihan itu iaitu sewaktu perjalanan ke Mina Iblis laknatullah telah mendatangi ibu Nabi Ismail iaitu Siti Hajar menghasut supaya Siti Hajar membantah dan menggagalkan rancangan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Namun hasutannya itu ditolak mentah-mentah oleh Siti Hajar.
Iblis kemudiannya menghasut pula Nabi Ibrahim supaya tidak menyembelih anak baginda. Namun keimanan Nabi Ibrahim mengatasi segalanya.

Iblis datang pula kepada Nabi Ismail. Nabi Ismail juga tidak terpengaruh malah dilontarnya batu kepada Iblis lalu terkena mata kiri lalu menjadi buta. Peristiwa inilah yang menjadi lambang kepada perintah Allah agar jemaah haji melontar di jamrah.

Akhirnya Nabi Ibrahim tetap meneruskan perintah Allah iaitu menyembelih anaknya. Sewaktu pisau diletakkan di leher nabi Ismail dan sembelihan dimulakan, para Malaikat tersungkur sujud kepada Allah SWT kerana mengagumi Nabi anak beranak itu. Ikuti kisah lanjut di sini.

Ketaatan dan kepatuhan keluarga Nabi Ibrahim kepada Allah swt dalam menghadapi ujian berat telah dipuji oleh Allah swt dan telah menjadi contoh tauladan kepada umat Islam. Allah swt yang Maha Pengasih telah menggantikan Ismail dengan seekor kambing atau kibas. Firman Allah swt dalam surah Ash shaffat: 106 hingga 109:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاءُ الْمُبِينُ. وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ. وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الآخِرِينَ. سَلامٌ عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim"

Peristiwa ini memberi kita gambaran dan tauladan iaitu demi perintah Allah kita wajib berkorban. Berkorban apa saja demi keredhaan Allah. Demi agama Allah kita wajib berkorban tenaga, masa, duit dan sebagainya.

Menurut Imam Suhaib Webb semasa memberikan tazkirah di sebuah stesen tv baru-baru ini, beliau mengatakan bahawa Nabi Ismail yang sanggup dikorbankan itu sebenarnya juga satu perlambangan kepada kita. Di dalam diri kita sebenarnya ada “Ismail”. Kita harus keluarkan “Ismail” dari dalam diri kita dan mula berkorban untuk Allah dan agama Islam.Korbankan masa senang kita untuk Islam. Korban duit untuk Islam. Korbankan tenaga kita untuk Islam. Jadikan diri kita seorang yang dapat memberi manfaat kepada Islam.

Imam Suhaib Webb memberikan contoh satu kumpulan anak muda di satu kawasan miskin di Amerika Syarikat mengorbankan masa muda mereka. Mereka mengorbankan muzik-muzik Hip Hop, Rock dan sebagainya yang menjadi kegilaan kepada remaja seusia mereka. Mereka mengorbankan TV dan masa rehat mereka. Apa yang mereka buat? Mereka telah menawarkan khidmat PERCUMA untuk menemani anak-anak kejiranan mereka sewaktu pergi dan balik dari sekolah. Ini kerana di kawasan tersebut jenayah memang kerap berlaku. Rompakan, rogol dan bunuh menjadi perkara biasa. Anak-anak yang mereka temani dan jaga di sepanjang perjalanan pergi dan balik sekolah itu kebanyakkannya bukan Muslim. Ini secara otomatik membersihkan imej Muslims di kalangan kejiranan tersebut.

Bilamana media massa melabelkan Muslim sebagai pengganas, mereka berkata:
“Macamana kamu menggelarkan mereka (muslim) ini pengganas sedangkan merekalah yang membahayakan nyawa mereka menemani anak-anak kami pergi dan balik dari sekolah. Malah kami amat terhutang budi kepada mereka”

Itu adalah contoh pengorbanan yang kita harus lakukan di masa sekarang. Itu lah pengorbanan ataupun “Ismail” yang ada dalam diri kita.

Di Malaysia ini, antara yang kita boleh lakukan pengorbanan untuk masyarakat amnya dan Islam khasnya ialah kita boleh menjadi sukarelawan dalam membantu rumah anak-anak yatim misalnya. Persatuan ibu-ibu tunggal juga memerlukan sokongan dari masyarakat. Rumah orang-orang tua juga boleh dibantu.

Bantuan boleh diberi di dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kepakaran masing-masing. Yang kuat boleh membantu dari segi tenaga. Membantu membuat jualan amal misalnya. Yang pakar IT dan pandai membuat blog dan website misalnya boleh membantu membuat blog dan website untuk mempromosikan badan-badan kebajikan ini.

Ayuh kita berkorban untuk masyarakat. sekurang-kurangnya kita “pergi” dengan memberikan sesuatu kepada masyarakat. Hidup ini amat singkat. Berikanlah sesuatu kepada masyarakat supaya menjadi masyarakat yang lebih baik. Jika hidup kita memberi, mati kita akan disanjungi. InsyaAllah sanjungan berupa doa untuk menyejukkan kubur kita.
Jom Berkorban! Selamat Hari Raya Eidul Adha. Selamat Hari Raya Korban.
Wallahua’lam


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...