TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Selasa, 28 Oktober 2014

KERABU BERONOK HIDANGAN EXOTIK PULAU LANGKAWI


Siapa pernah melihat Beronok? Beronok atau timun laut (sea cucumber) ini banyak terdapat di Pulau Langkawi yang bukan sahaja terkenal sebagai pusat pelancongan malahan mempunyai banyak rahsia tentang kehidupan laut yang masih belum diketahui ramai ini. Pertama kali saya melihatnya, aduh geli sungguh. Rupanya memang macam lintah besar. licin dan susah untuk dipegang. Warnanya kelabu kehitam-kehitaman dan agak kemerahan sedikit. Kalau dulu, memang tiada harganya kerana terlalu senang untuk mendapatkannya. Sebelum Pantai Cenang disentuh pembangunan, beronok akan memenuhi pantai hingga susah untuk kita berjalan. Kutip sahaja tiada siapa akan charge harganya. Sebab itulah tiada siapa yang menjualnya kerana pasti tak laku kan...Bagi penduduk tempatan, mereka lebih suka mengutip beronok segar yang akan tercampak ke atas pantai bila ombak memecah badai. Mereka hanya perlu membasuh pasir yang melekat pada beronok dengan air masin dan terus memakannya. Kanak-kanak yang bermain di tepi pantai pula terpaksa memijak sahaja beronok yang banyak terdampar di atas pantai.

Namun pemandangan ini sudah tidak lagi wujud. Ini adalah cerita lama kerana suasana Pantai Cenang sudah berubah rupa. Pantai-pantai itu sudah ditambak untuk pembangunan seperti Langkawi International Airport dan hotel-hotel sekelilingnya. Panorama mengutip beronok di atas pantai sudah berlalu. Kalau hendak cari juga, terpaksa meredah air laut setakat pinggang. Memang agak susah untuk mendapat beronok sekarang dan kalau ada orang jual pun dengan harga yang agak mahal.

Beberapa tahun yang lampau, juadah kerabu beronok adalah sesuatu yang mesti apabila penduduk tempatan membuat kenduri kendara. Masa berlalu, suasana juga berubah dan kerabu beronok makin menjadi asing dalam majils kenduri kerana tidak mudah untuk mendapatkan hidupan laut ini dalam jumlah yang banyak.

Selain beronok pantai, ada juga beronok yang hidup dalam selut. Pantai Langkawi rata-rata terbahagi kepada dua jenis. Satu pantai putih bersih dan keduanya pantai berselut yang banyak ditumbuhi oleh pokok bakau. Pantai di belakang rumah kami ini jenis berselut tetapi selutnya hanya setakat atas sedikit buku lali sahaja. Kalau pakai selipar, memang susah nak berjalan. Sebaiknya pakai bot atau kaki ayam sahaja seperti kebanyakan penduduk tempatan. Bukan sahaja beronok tetapi berbagai hidupan laut dapat dicari dalam selut ini seperti siput sedut, kepah dan remis. Selalunya waktu pagi ketika air tidak pasang lagi, ramai juga penduduk tempatan yang mencari sesuatu dalam selut ini untuk dijadikan hidangan keluarga. Ketika anak-anak dalam peringkat belasan tahun dulu, mereka kerap juga membawa balik sebaldi kepah untuk dibuat goreng bersambal.

Kerabu beronok adalah makanan esotik penduduk Pulau Langkawi. Juadah ini hanya terdapat di Pulau Langkawi dan memang tidak sah kalau anda menjejak Pulau Langkawi tanpa menjamah hidangan ini. Sekarang ini kita sudah dapat merasanya dengan membelinya di beberapa restoren yang ada menyediakan hidangan exotik ini. Rasanya memang sedap bak kata orang, sekali cuba mesti nak merasa lagi. Memang kecor air liur dibuatnya. Misterinya beronok ini ia tidak mungkin boleh dimasak. Apabila terkena sahaja haba, beronok akan bertukar jadi air masin. Sebab itulah ia hanya sesuai untuk dibuat kerabu dengan mempelam muda ke...atau betik muda, jantung pisang, daun selom, pucuk gajus dan ulam-ulaman lain. Tektur beronok memang rangup krup krap dan sedikit kenyal bila dikunyah ala-ala tulang ayam lembut. Memang lain dari yang lain sebab itu dinamakan hidangan esotik. Adalah rugi kalau tidak mencubanya apabila melancong di Langkawi, tanah tumpahnya darah Masuri.


Memang menjadi rezeki kami bila ada jiran yang memberi sebesen beronok. Mereka meredah persisiran pantai dekat Langkawi International Airport dimana kedalaman airnya setakat dada.Mereka terpaksa meraba beronok dengan kaki dan menyelam untuk mengambilnya. Beronok-beronok ini akan dicucuk dengan tali yang diikat disekeling pinggang mereka. Boleh bayangkan betapa rumitnya untuk mendapat beronok. Mungkinkah generasi yang akan datang berpeluang merasa hidangan esotik ini?


Inilah rupa beronok yang masih segar yang dapat dilihat dari rupa bentuk macam timun. Lama kelamaan, rupa beronok ini akan jadi leper kerana sebahagian airnya telah hilang. Tengoklah rupanya tetapi jangan terhenti pada rupa kerana rasanya memang sedap dan penuh dengan khasiat. 


Ini adalah kali pertama generasi cucunda FCU melihat beronok. Kami mengambil peluang untuk menjadikan beronok bahan untuk kajian sains pelajar cilik ini. Memang kelakar melihat gelagat mereka sebaik sahaja melihat rupa beronok. Lihatlah mulut Alyssa yang ternganga kerana rasa terkejut dan geli geleman.Afiq yang paling berani dan mula memegang hidupan laut ini. Inilah agaknya perbezaan anak lelaki dengan anak perempuan.


Adelyn memang lebih berani dari Alyssa. Sebaik sahaja dia melihat Afiqah mula memegang 
beronok, dia pun tidak mahu ketinggalan. Cuma Alyssa yang masih terbeliak matanya 
dan teragak-agak untuk mencuba. 


At last.... Alyssa juga turut memegang beronok yang licin itu. Pembelajaran menjadi lebih seronok bila kami bercerita tentang habitat species ini dan bagaimana untuk mendapatkan beronok. Kami biarkan sahaja mereka memicit-micit beronok itu dan memancut keluar air. Berbagai-bagai soalan mereka tanya termasuk apa pemakanan mereka dan bagaimana mereka membiak. Terdapat berbagai jenis sea cucumber dan bentuk juga berlainan seluruh dunia. Cuma beronok ini sahaja yang banyak terdapat di Pulau Langkawi.



Yang besar dan berwarna kemerah-merahan itu adalah beronok 
yang sudah matang. Teksturnya sungguh liat dan 
tidak boleh dimakan. Yang kecil-kecil sikit tu...
memang rangup.


RESEPI KERABU BERONOK

Bahan-bahan:

1 kg beronok- yang telah dipotong dan dibersihkan
1/2 ikat pucuk gajus dihiris nipis
1/2 ikat kacang panjang dihiris nipis
1/2 biji kelapa parut untuk dibuat sambal
1/2 biji kelapa parut untuk dibuat kerisik
2 ulas bawang besar dimayang nipis 
5 biji cili padi (ikut kesukaan anda)
5 biji cili kering
1/2 cawan serbuk beras (beras disangai sampai kuning dan dimesin halus)
1/2 sudu besar lada hitam
Sebesar ibu jari belacan
Sebiji lemon atau limau nipis
garam
gula

Tip Memasak Kerabu Beronok:

1-Jangan basuh beronok yang telah dipotong sehingga saat nak buat kerabu, kerna beronok ni akan menjadi hitam sedikit jika dibasuh terlalu awal..

2- Beronok tak boleh di masak diatas api kerna ianya akan menjadi air laut balik apabila di masak di atas api.

3-Kebiasaannya beronok di buat kerabu sahaja.

Cara-cara:
1) Cucuk belacan dengan garfu dan bakar seketika di atas dapur gas. Pusing-pusingkan garfu itu agar belacan dibakar dengan sempurna. Bila bau harum semerbak dan warnanya bertukar cokelat, belacan itu sudah dibakar dengan sempurna.
2) Tumbuk belacan, cili api, cili kering dan lada hitam hingga lumat. Masukkan kelapa parut ke dalam lesung dan ditumbuk lagi hingga agak hancur dan sebati.
3) Sangai bahan-bahan di atas di dalam kuali hingga agak garing. 
4) Gaulkan semua bahan dan pastikan beronok yang paling akhir.
5) Tambahkan sedikit garam dan gula serta perahkan lemon hingga semuanya cukup rasa. Paling sedap dimakan dengan nasi panas. 


Oleh kerana beronok ini sangat licin dan liat, mestilah menggunakan 
pisau yang tajam untuk membelahnya. Kita akan dapati hanya ada air 
dan sedikit selut di dalam perut. Tak jumpa pun perutnya. Sebab 
itulah boleh dimakan terus bila dikutip dari pantai. 
Masyaalllah ciptaan Allah !! 


Setelah di basuh bersih, potong kecil-kecil. Kita akan dapati saiz beronok makin mengecil setelah dibelah. Ini adalah kerana kandungan utama beronok adalah air. Kalau dimasak, semua isi yang kenyal ini akan bertukar menjadi air. Fakta ini membuat para pelajar kami hairan dan tertanya-tanya mengapa jadi begitu. Oleh kerana tiada fakta terperinci di dalam internet, terpaksalah kami bagi teori tentang air batu yang direbus, pasti akan bertukar menjadi air, Barulah mereka puas hati tetapi masih lagi kehairanan.






Kelapa parut disangai dengan api sederhana agar tidak hanyit. 
Jika kita blend kelapa yang sudah digoreng itu semasa masih
 panas, memang cepat ia bertukar jadi kerisil yang sempurna.


Kalau kita blend kering pun boleh tetapi rasanya kurang enak.



Kelapa parut dtumbuk bersama cili kering, cili api, belacan 
dan lada hitam.


 Bahan yang ditumbuk disangai hingga agak garing.


Ulam-ulaman yang digunakan dalam membuat kerabu. 
Kita boleh saja menukar dengan ulam yang lain seperti 
betik muda, mempelam muda dan jantung pisang.


Kerisik dan beras goreng yang sudah dikisar halus menunggu 
untuk dicampur dengan bahan-bahan lain.


Bahan-bahan yang digunakan boleh diubah ikut kesukaan hati tetapi 
secara kasarnya beginilah ratio antara sambal kelapa, pucuk gajus, 
bawang besar mayang dan kacang panjang.


Setelah digaul sebati dan diperasakan garam dan gula, air lemon 
atau limau nipis akan menambahkan kehebatan hidangan exotic 
dari Pulau Langkawi ini.


Kerabu beronok



Kerabu beronok ini kami gandingkan dengan gulai lemak kadok pisang muda. Wah...memang menyelerakan dan sangat sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu dari bandar yang agak susah untuk mencari pisang muda dan daun kadok. Inilah makanan orang pulau.....


Selera orang Pulau Langkawi yang pasti menjilat jari. Alhamdulillah ke hadrat Ilahi di atas segala rezeki. Semoga rezeki ini diberkati.


sumber: google
Anda pasti terkejut apabila anda berada di sebuah restoran di Trengganu
dan memesan bronok. Usah harap untuk mendapat kerabu bronok 
tetapi anda akan dihidang dengan kueh sagu. Lain tempat lainlah pula namanya.
Bagaimanalah agaknya penduduk di sana mendapat nama bronok bagi kueh
sagu ini. Mesti ada cerita di sebalik nama ini. Wallahualam.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...