PERMAINAN CONGKAK
Antara kelebihan homeschool ialah para pelajarnya tidak mempunyai sebarang kerja sekolah yang perlu disiapkan setelah sessi pembelajaran berakhir. Ini memberi peluang kepada mereka untuk meneroka dunia luar yang sangat menyeronokkan bagi mengisi pembesaran mereka. Kami memperkenalkan permainan congkak kepada mereka dan membeli peralatan congkak moden melalui online.
Congkak moden yang berwarna warni ini cantik sekali dan menarik minat kanak-kanak
untuk bermain. Buah congkak juga direka seperti bentuk gula-gula kegemaran
kanak-kanak. Memang berbeza dengan buah congkak generasi dahulu yang
hanya terdiri dari batu-batu kecil yang dikutip ditebing sungai ataupun
dari biji buah asam jawa dan sebagainya.
Kalau ada anak-anak kecil yang masih belum mengerti
perbezaan buah congkak dan gula-gula, perlulah
diambil perhatian. Mereka boleh tercekik
bila tertelan buah congkak yang berwarna warni ini.
Congkak yang kami beli ini mempunyai 7 lubang. Ini bererti setiap lubang akan diisi
dengan 7 biji buah congkak. Setiap belah papan congkak ada 7 lubang dan
memerlukan 49 biji buah congkak. Dengan itu kita perlu menyediakan 98 biji buah
congkak untuk bermain congkak 7 lubang. Ada dua lubang besar disetiap kiri
pemain. Mereka akan mulakan dari kanan dan bergerak ke arah kiri. Pada mulanya
dua lubang ini kosong dan akan bertambah sebiji buah congkak setiap kali
pemain melintasinya. Ketika ini Afiqah dan Afiq baru mula bermain dan
dalam setiap lubang besar mereka yang dipanggil "rumah" hanya ada
satu biji buah congkak. Bilangan ini akan bertambah setiap kali mereka
melintasi "rumah" masing-masing.
Afiqah terpaksa berhenti bermain apabila lubang terakhir dia masukkan buah berjiran dengan lubang yang kosong. Ini bermakna dia sudah kehabisan buah untuk teruskan permainan. Afiq terus bermain dan sekiranya Afiq tahu strategi untuk congkak buah 7, dia akan habiskan semua buah congkak dan masukkan ke dalam "rumah"nya dan Afiqah tidak berpeluang untuk menyambung permainan ini. Ini bermakna Afiq telah memenangi permainan ini. Kelihatan Afiqah begitu asyik meneliti setiap perjalanan Afiq agar Afiq tidak boleh mengelat (menipu).
Nampaknya Afiq masih tidak pakar dengan strategi congkak lubang 7
ini kerana Afiqah berpeluang untuk meneruskan permainan . Ketika ini Afiq
terpaksa berhenti setelah kehabisan buah ketika bermain tadi. Strategi
congkak buah 7 berlainan dengan strategi congkak buah 8 atau 9. Kita perlu
menghafal lubang mana perlu dimulakan dalam setiap permainan congkak.
Sebab itulah permainan congkak ini dapat meningkat perkembangan
otak anak-anak kita. Wah.....Adelyn juga berminat demgan permainan ini.
(Gambar: Ihsan google)
Zaman dahulu kita hanya bermain congkak tanah. Kita boleh buat
congkak 9 lubang atau 10 lubang ikut suka hati. Buahnya pula boleh guna
guli atau biji buah getah.
ASAL USUL PERMAINAN CONGKAK
Dari Timur Tengah,permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab. Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupaan pusat perdagangan pada waktu dahulu.Kanak-kanak di Kepulauan Carubran juga bermain congkak. Congkak dipercayai sampai di sana melalui perdagangan hamba. Di sana, congkak dikenali sebagai warri atau awari. Di Indonesia congkak dikenali dengan nama congklak,manakala di Filipina dikenali sebagai sungka.
Pada zaman dahulu,golongan istana bermainan congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara di kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah. Pada hari ini, congkak dimainkan di seluruh dunia. Congkak begitu popular dan diminati sehingga peminat-peminatnya mencipta pelbagai laman web di internet. Dalam laman-laman web ini disenaraikan pelbagai maklumat tentang congkak dalam budaya dan bangsa di seluruh dunia. Di zaman teknologi ini Terdapat juga permainan congkak dalam talian yang telah dicipta.
Bentuk papan congkak yang dimainkan oleh golongan bangsawan.
Berbagai bentuk ukiran papan congkak telah direka termasuk
bentuk bangau menyudu.
Papan congkak bentuk kuda kepang.
Permainan congkak boleh dimainkan oleh setiap lapisan
masyarakat tanpa had peringkat umur.