PETIKAN DARI KOSMO 4.10.2015
Sumber: Kosmo
Sebahagian daripada graduan yang hadir pada Pameran Kerjaya Berasaskan
Sektor di Rompin, Pahang pada Ogos lalu
HAKIKAT YANG PERLU DITERIMA
Kejatuhan ekonomi boleh berlaku pada mana-mana negara sahaja di dunia ini. Masaalah ini bukanlah salah negara itu seratus peratus, Kadang-kadang kejatuhan itu adalah disebabkan oleh percaturan ekonomi dunia yang tidak memihak pada sesuatu negara. Ada persamaan dengan percaturan di jalan raya. Apabila berlaku kemalangan, kadang-kadang bukanlah di sebabkan oleh kelalaian pemandu tersebut tetapi oleh pemandu lain yang memecut laju. Malah ada seribu sebab lain yang boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan.
SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN
Kita sebagai ibubapa mempunyai hak untuk memilih corak pendidikan anak-anak kita. Janganlah kita mempertaruhkan seratus peratus kepada pendidikan sejagat hingga kita lepas tangan dan tidak memandang jauh masa depan anak-anak kita. Sejak dulu lagi sudah berlaku pengangguran di kalangan graduan universiti dan angka itu terus meningkat. Apabila negara menghadapi kegawatan ekonomi, masaalah ini menjadi parah. Malah akan berlaku makin ramai para pekerja terpaksa dibuang kerja kerana majikan sudah tidak mampu membuat operasi secara besar-besaran.
Kebanyakan para graduan yang dihasilkan oleh universiti tidak begitu mahir dalam ilmu sara diri. Mereka berharap pada makan gaji semata-mata dan bila tiada majikan yang dapat memenuhi hasrat ini, mereka jadi penganggur. Tidak ramai dari mereka yang boleh memikirkan cara lain untuk mencari rezeki dan terus produktif. Sudah tentu bukan salah mereka kerana sejak dari kecil hingga umur meningkat puluhan tahun, hanya kertas dan pensel yang mereka pegang setiap hari. Malah mereka juga tidak membantu para ibubapa dengan kerja-kerja di rumah kerana terlalu sibuk dengan pengajian persekolahan. Hanya ibubapa membanting tulang empat kerat mencari wang untuk pembelajaran mereka. Akhirnya...apabila tiba masa mereka untuk berdikari, mereka menjadi umpama orang patah kaki apabila tiada sebarang jawatan menjemput.
PILIHAN HOMESCHOOL TEPAT BUAT KAMI
Pembelajaran homeschoool tidak hanya berkisar pada akedemik semata-mata. Kami banyak mendedahkan anak-anak kepada hakikat kehidupan sebenar. Mereka diajar berniaga kerana kami adalah peniaga produk tradisional yang berasaskan bahan semula jadi. Dari kecil lagi mereka sudah diberi tugasan untuk sama-sama mengembelingkan tenaga dalam bisnes keluarga. Mereka di dedahkan pada jatuh bangun perniagaan hingga mereka jadi cukup peka dan sanggup membantu apa sahaja demi meningkatkan pendapatan keluarga. Mereka belajar dari hari ke hari selok belok perniagaan dan pasti mereka mahir apabila tiba masa berdikari kelak.
Kami juga mengajar mereka dalam sektor pembinaan rumah. Untuk membina sebuah rumah yang sempurna, banyak kemahiran yang dapat mereka belajar. Dari membancuh semen hingga ke peringkat memasang wayar elektrik ke dalam rumah cara profesional, perlu mereka lakukan sendiri. Rumah itu juga perlu dihiasi dengan perabut-perabut moden agar kelihatan cantik. Mereka juga perlu mahir dalam bidang hiasan dalaman. Dari A hingga Z pembinaan rumah terpaksa mereka mahirkan diri kerana kami tidak mengupah orang. Kemahiran ini adalah modal mereka untuk berdikari kelak kerana banyak peluang yang boleh mereka ceburi dalam perniagaan.
Kami juga adalah penggiat bonsai dan memang terkenal di Langkawi. Ilmu bonsai diterapkan sejak umur mereka kecil lagi. Bonsai adalah satu seni tanaman yang dijual dengan harga yang mahal. Ini adalah kerana setiap bonsai memerlukan bertahun-tahun untuk disiapkan. Paling cepatpun...kita perlu menunggu selama 5 tahun untuk mendapat bonsai yang sempurna. Banyak ilmu penanaman perlu dimiliki dalam pembuatan bonsai, bukan sekadar menabur benih, menyiram dan membaja. Mereka perlu arif dalam struktur batang setiap species tanaman bonsai itu kerana lain jenis pokok memerlukan penjagaan yang berlainan. Mereka juga perlu arif dengan jenis tanah tanih yang sesuai kerana Cucur Atap yang biasa hidup di tepi pantai perlukan pasir manakala pokok Setulang yang hidup di paya pula perlu gabungan tanah dan pasir. Selain itu mereka perlu mahir dalam penyakit-penyakit yang sering menyerang bonsai hingga sering membuat pokok bonsai yang sudah sempurna boleh mati begitu sahaja. Ilmu-ilmu ini sangat penting untuk mereka menjadi usahawan dalam bidang pertanian kelak.
Pmbelajaran yang paling penting yang kami tekankan ialah bidang kerohanian. Kerohanian sangat penting untuk mengisi jiwa manusia agar perjalanan di atas dunia ini mendapat ketenangan dan berjaya dunia akhirat. Perjalanan kita masih jauh. Hidup di dunia hanyalah umpama jambatan menuju akhirat. Janganlah kita terhenti pada segala permasaalahan yang kita hadapi sepanjang melalui jambatan dunia ini kerana semua itu adalah ujian-ujian dari Allah untuk menilai siapakah yang paling bertakwa. Wallahualam...