AZAM YANG TAK PERNAH PADAM
Sebenarnya diri ini sudah berjanji pada diri sendiri untuk menghafal Al-Quran sebaik sahaja membuat entri MARI MENGHAFAL AL-QURAN pada bulan Oktober 2011.
Ini bermakna sudah dua tahun waktu berlalu dengan begitu sahaja tanpa sebarang usaha yang bersungguh-sungguh. Azam sahaja tidak cukup tanpa mengambil satu langkah yang bermakna dan jitu ke arah matalamat yang satu.
Akhirnya aku mengambil langkah yang strategik iaitu menggunakan blog ini sebagai satu wadah untuk mencatit segala hafalanku agar semangat yang ada terus membakar dan memerlukan kesungguhan untuk membuat catitan yang terus maju ke depan. Memang terasa pelik tetapi inilah satu-satunya cara yang aku fikir dapat terus memberi semangat agar hafalan tidak tergendala di tengah jalan kerana sudah berkali-kali aku cuba dan terus cuba tetapi sering kesibukan sebagai suri rumah dan pengajar menjadikan diri ini kalah.
Masih bolehkah aku untuk menghafal di usia menganjak lima puluhan? Mengapa tidak...Kalau masa belajar di UPM dulu, segala buku tebal dapat ku hafal demi untuk lulus peperiksaan. Inikan pula satu kitab yang mengandungi segala kebaikan dan mukjizat. Kitab yang penuh dengan penyembuhan zahir dan batin.
Pasti boleh dengan izin Allah yang Maha Pengasih Dan Penyayang. Aku cukup pasti di saat ini mesti ramai kaum ibu di luar sana yang mempunyai hasrat seperti diriku tetapi sering kecundang. Marilah kita mulakan sekarang. Sekiranya tiada titik permulaan, maka kita tidak akan mula bergerak walaupun setapak.
SERAMPANG BANYAK MATA
Peranan seorang ibu dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang dikasih Allah memang besar. Bayangkan apabila si ibu adalah seorang Hafizah, atau dalam proses menghafal Al-Quran, pasti tempiasnya adalah kepada anak-anaknya yang telah dikandungnya selama 9 bulan dan menyusu selama 2 tahun dan yang diasuh dari kecil tapak tangan hingga besar panjang. Tambah lagi air tangan yang menghafal ayat suci inilah yang membelai segala hidangan yang membesarkan anak-anak. Sebenarnya inilah senjata besar kita sebagai ibu untuk melahirkan khalifah agung yang mencorak alam ini seperti yang sepatutnya.
Saya yakin, hasil dari usaha kita menghafal akan menjadi cetusan api yang akan membara dan seterusnya membakar dalam jiwa anak-anak kita. Tidak mustahil sekiranya terdapat lebih dari seorang penghafal Al-Quran dalam keluarga kita nanti. Bila...? Pasti ada walaupun ianya memerlukan sepanjang hayat kita untuk melihatnya. Inilah kata-kata hikmat yang sering dititipkan oleh suami agar diri ini menjadi ibu yang bahagia dunia dan akhirat.
LANGKAH SETERUSNYA
Hadiah dari anak-anak untuk ibu
Dengan izin Allah aku terserempak dengan WEBSITE ini. Berbekalkan mp3, aku rakam ayat-ayat lazim dari web ini dengan aturcara diulang 10 kali setiap ayat. Inilah kelebihan website ini dimana kita boleh programme sendiri aturcara bacaan Al-Quran sesuai dengan diri kita. Terdapat 17 orang Qari yang boleh kita pilih sesuai dengan jiwa kita. Saya memilih Misyari-Rashid sebagai pembacanya. Bacaannya membuat hati ini rasa syahdu dan sejuk.
Di bawah adalah beberapa teknik menghafal yang saya pilih untuk menghafal ayat lazim yang kebanyakannya pendek sahaja. Teknik "chunking", "pointer", "keyword" dan "mindmapping" akan saya gunakan apabila mula menghafal surah yang panjang kelak.
A. Teknik Mengulang
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur’an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.
B. Teknik Tumpu dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.
C. Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari’ yang baik bagi seluruh Al-Qur’an atau beberapa qari’ bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari’ tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari’ tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur’an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.
D. Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.
E. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur
2.Semasa melelapkan mata,dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisinya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.
DOAKAN SAYA
Besarlah hasrat hati ini untuk melahirkan para kekasih Allah yang mana ayat Al -Quran mengalir dalam darah mereka, hinggakan segala perbuatan mereka adalah terbit dari cernaan ayat Allah semata-mata. Mereka kenal siapa diri mereka sebenarnya dan mereka kenal dengan sebenar-benar kenal akan Penciptanya. Doakan agar perjalanan hafalan saya diberkati Allah dan diberikan segala kemampuan dan hati yang terang seterangnya. Saya juga mendoakan para ibu di luar sana juga beroleh keberkatan dan azam yang sama dalam usaha membangun ummah. Wallahhualam