TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Khamis, 30 Ogos 2012

ILMU SARA HIDUP SEBAGAI ASAS PEMBELAJARAN FCU HOMESCHOOLING


FCU sangat menitik beratkan ILMU SARA HIDUP di kalangan anak-anak. Ilmu sara hidup adalah ilmu yang paling asas seseorang manusia perlu mahir demi meneruskan kehidupan dan menjalankan tugas sebagai khalifah diatas muka bumi ini. Dengan adanya ilmu sara hidup, anak-anak kita tidak akan lemah apabila berlaku sesuatu tanpa diduga di dalam kehidupan mereka. Kita sudah bekalkan ilmu asas kehidupan yang mana mereka hanya perlu ikhtiar untuk terus maju kedepan.

Setiap kali cuti semester universiti, mereka akan ke laut luas mengikuti para nelayan menangkap ikan. Mereka akan jadi pelatih tanpa gaji. Tujuan utama kursus pendek inilah untuk memahirkan mereka tentang selok belok mengendalikan bot, teknik menangkap ikan dan keberanian menghadapi ombak ganas di lautan. Langkah ini telah membentuk mereka menjadi berani dan tangkas dalam berenang dan menyelam. Saya sebagai ibu, sering rasa senak perut setiap kali mereka ke laut menangkap ikan. Tanpa henti doa dipanjatkan ke hadrat Illahi mengiringi setiap saat mereka di laut. Pernah satu ketika, bot yang ditumpangi oleh salah seorang anak lambat pulang. 

Mereka bertolak pada pukul 3.00 pagi bersama bekalan nasi,lauk dan air minuman. Lebih kurang pukul 4.00 petang keesokan harinya mereka sudah sepatutnya mula melabuhkan bot di pantai bersama hasil tangkapan. Jam sudah pukul 5.00 petang, kelibat sauh bot tidak juga kelihatan. Kalau ada apa-apa berlaku, mereka boleh guna hand phone sekiranya tidak jauh dari daratan. Sudah hampir maghrib dan mereka yang pergi menangkap ikan masih juga tidak pulang. Hatiku sudah tidak keruan. Isteri kepada nelayan yang kami tumpang itu datang ke rumah dan beliau juga dalam kebimbangan tentang nasib suaminya. Mereka telah hantar bot peronda untuk menjejak khabar dari laluan yang biasa diambil oleh nelayan tersebut. Lebih kurang pukul 9.00 malam, bot peronda kembali bersama bot yang ditumpang oleh anakku. Betapa rasa bersyukur ke hadrat Illahi atas takdir yang berkesudahan dengan anak kembali ke pangkuan. Rupa-rupanya berlaku kerosakan enjin semasa mereka dalam perjalanan pulang dan tempat itu terlalu jauh ke lautan untuk dapat coverage hand phone. Kejadian hari itu tidak melemahkan semangat kami untuk terus mendedahkan anak-anak kami bertarung di lautan luas. Sebagai pemimpin alam ini, seharusnya mereka juga pakar dalam selok belok lautan yang pastinya sangat berguna dalam kehidupan mereka kelak.

PUSAT BONSAI LANGKAWI
FCU BONSAI sudah tidak asing lagi di kalangan penggiat bonsai Langkawi. Kami sering menjadi pusat untuk pembelajaran bonsai samada oleh sifu yang di undang khas dari tanah besar mahu pun oleh  sifu dari FCU itu sendiri. Kami  dedahkan anak-anak dalam bidang pertanian khususnya  bonsai sejak dari kecil lagi. Sekiranya kita serius dalam perniagaan bonsai, pendapatannya memang lumayan kerana harga sepokok bonsai boleh mencecah ribuan ringgit.


PERNIAGAAN ADALAH SUMBER EKONOMI YANG TERBESAR



Kami mula menanam minat pada anak-anak dalam ilmu perniagaan sejak mereka kecil lagi. Cara yang terbaik ialah dengan melibatkan mereka dengan tugasan perniagaan keluarga sesuai dengan umur mereka. Kita hanya perlu percaya mereka boleh buat dan sesungguhnya mereka akan menjadi lebih mahir dalam apa yang kita dedahkan. FCUMIRACLE adalah perniagaan berasaskan perubatan traditional yang sedang kami usahakan. Kini, mereka adalah tulang belakang kepada family business ini. 


FCUPRODUCTION SEBAGAI WADAH UNTUK MAJU KEDEPAN 
Mereka tidak ke universiti untuk menggali ilmu penggambaran ini namun FCUPRODUCTION sudah cukup gah di kalangan pembuat video di Pulau Langkawi. Hanya pembelajaran dari rumah menerusi Youtube, mereka menjadi mahir lebih dari rakan-rakan mereka yang mempelajari bidang yang sama di pusat pengajian tinggi. Ini menjelaskan bahawa usaha yang gigih pasti membuahkan hasil walaupun hanya belajar kendiri. FCUPRODUCTION juga sering menjadi pilihan bagi syarikat swasta untuk membuat video korporat samada dari dalam negara mahupun luar negara. Kami bergiat aktif dalam menghubungkan warga Langkawi menerusi facebook dengan nama Langkawistory.


MEMBINA RUMAH DALAM KEBERKATAN RAMADHAN

Pondok ini adalah titik tolak bermulanya era membina rumah. Tanpa sebarang kemahiran dan ilmu, anak-anak kami yang fresh dari universiti dan alam persekolahan telah mengembeling tenaga dan fikiran untuk membina sebuah rumah ringkas dalam masa 30 hari :
FCU CHALLENGE DAY 1 TO 3 : FCU BUILD A HOUSE IN 30 DAYS
Setelah 15 hari berlalu, kami mengubah rancangan asal dari membina sebuah rumah ringkas kepada sebuah rumah dua tingkat yang dilengkapi dengan segala kemudahan terkini seperti spa. Sudah tentu mereka tidak akan dapat menyiapkan rumah hebat ini dalam masa 30 hari. Kini tugasan mereka lebih mencabar untuk menrealisasikan impian sebuah  rumah hebat iaitu LOG HOUSE dua tingkat yang dilengkapi dengan spa.

Tuntutan tugas dalam FCUPRODUCTION, menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan pembinaan rumah tingkat atas. Hanya dalam bulan Ramadhan ini sahajalah mereka rehat dari sebarang penggambaran dan inilah peluang yang ada untuk menyudahkan apa yang telah dimulakan. Mentari terik bulan Ramadhan cukup memberi cabaran kepada usaha mereka.



Inilah dua buah mesin pengadun semen yang disewa dari penduduk kampung.
Oleh kerana kesempitan ruang, mesin ini diletakkan agak jauh dari
kawasan pembinaan rumah.




Hafidz mengangkut semen yang sudah siap diadun ke kawasan 
pembinaan.





Seterusnya semen ini akan diangkut ke tingkat dua rumah yang sedang dibina.



Tajrid dengan kostume pelindung matahari. Ini adalah antara 
fesyen rekaan mereka agar tidak hangus dibakar matahari 
yang memang sangat perit dan bahaya untuk kulit.





Tajrid dan Hafidz bergotong royong mengangkut semen ke tingkat atas.




 Sentuhan terakhir lantai tingkat atas sebelum dinaikkan dinding.




Hasil kerja mereka setaraf dengan kerja pembinaan yang diluluskan. 
Walaupun tanpa pengalaman dan ilmu pembinaan, mereka gigih 
menyiapkan sebuah rumah LOG HOUSE tiga tingkat dengan berbekalkan 
penyelidikan di internet sahaja. Homeschooling memang tiada batasannya selagi
kita ada usaha dan kemahuan.


GARDEN HOUSE, LOG HOUSE AND BEACH HOUSE
Ramadhan 2012 adalah masa yang paling berkat untuk 8 orang anak muda FCU 
( Hafiz dan abang-abangnya) memulakan pembinaan rumah menganjur ke laut. Rumah yang kami diami sekarang memang sudah berada dalam lautan bila air pasang dua kali sehari (waktu bulan mengambang). Kami telah menambak tanah di bahagian depan rumah hingga dapat membina kolam dan taman bonsai. Rumah ini kami namakan Garden House.

Log House yang sedang kami bina dihentikan buat sementara dan usaha seterusnya ialah pembinaan rumah ketiga yang kami panggil Beach House. Rumah ini akan masuk lebih jauh ke lautan dan pastinya bakal menikmati pemandangan lautan yang lebih menarik. Beach House ini juga bakal menjadi rumah tiga tingkat seperti Log House.

Pada akhir dan awal bulan Hijrah, air laut surut dan rumah kami seperti berada di atas padang yang luas. Waktu sebeginilah kami dapat menggali tanah untuk membina tiang rumah. Di sebabkan fakta inilah kami berhentikan pembinaan Log House buat sementara waktu dan teruskan dengan pembinaan Beach House.




Hafidz sedang memeriksa keutuhan rangka besi yang telah dibina.




Hafidz dengan kostume pelindung sinaran matahari ciptaannya sendiri.



 
FCU guys berhempas pulas menyiapkan tapak binaan sebelum
air laut pasang dalam. Adalah mustahil untuk membina tiang apabila 
air mula pasang dalam 2 kali sehari. Ketika itu struktur tanah juga 
sangat lembab kerana digenangi air laut berterusan.

 
Rumah yang bakal dibina akan menganjur jauh melintasi pokok bakau
di depan beranda belakang kami. Ini bermakna pokok ini bakal ditebang.
Memang sayang sekali...kerana pokok ini adalah tempat mainan anak-anak. 
Mereka sering membaca buku dan menikmati makanan sambil menghirup 
bayu lautan yang nyaman.




 Memasang kayu pada palang besi untuk membuat foundation bangunan.




Sedang memeriksa foundation agar semuanya dalam keadaan yang stabil.






Air laut sudah mula pasang. Terpaksa tunggu beberapa jam 
kemudian barulah air laut kembali surut.  Ini bermakna kerja
 tergendala buat beberapa jam.





Oleh kerana mesin pengadun semen terletak jauh di depan 
sana (tempat parking kereta), anak-anak mengadun semen
secara manual sahaja.




Dalam usia yang baru meningkat remaja(13 tahun), Hafidz sudah biasa dengan selok belok pembinaan rumah. Inilah pembelajaran homeschool yang sangat real dan berguna dalam hidupnya. Tanpa homeschool, Hafidz hanya akan bergelumang dengan kerja sekolah yang menimbun setiap hari dan zaman remajanya berlalu begitu sahaja tanpa suatu impac yang besar dalam hidupnya. Suatu ketika nanti, dia akan bina rumahnya sendiri tanpa campur tangan orang lain. 



Masih ingat lagi arwah ayah di kampung. Masa itu aku sedang belajar di Sekolah Tun Fatimah. Selama setahun ayah telah bekerja di Singapura sebagai buruh pembinaan bangunan pencakar langit. Sepanjang hidupnya dia adalah seorang pemandu kereta sewa, yang membolehkan kami keluarga yang hidup secara sederhana menikmati keistimewaan dan kemudahan bergerak dalam kereta Merchedese benz. Selama setahun itulah aku sering menerima lawatan ayah pada setiap hujung minggu kerana Johor Baharu (tempat sekolahku)  tidak jauh dari Singapura. Ayah mempunyai misi khas bekerja sebagai buruh meninggalkan keluarga nun jauh di Kelantan. Di samping bayaran yang lumayan, ayah beroleh segala kepakaran terkini dalam pembinaan rumah. Setahun kemudian, ayah membina sebuah rumah menggantikan rumah pusaka yang sudah uzur dimamah usia. Ayah tidak mahu mengupah orang lain kerana dia hendak pastikan rumah itu dibina oleh orang yang bersembahyang dan berakhlak mulia. Walaupun mengambil masa yang agak lama, akhirnya ayah telah menghadiahkan kepada kami sebuah rumah hasil titik peluhnya sendiri yang penuh keberkatan. Di rumah itulah kami sembilan adik beradik membesar.

Sememangnya setiap rumah mempunyai aura tersendiri. Aura ini banyak dipengaruhi oleh jiwa-jiwa orang yang membinanya. Bukannya senang untuk mencari pembina rumah yang tidak meninggalkan solat. Alternatifnya, terpaksalah kita bina sendiri.




Mengisi foundation yang dibina dengan semen.


  
Muafakat membawa berkat. Mereka sentiasa bersatu hati dalam setiap aktiviti keluarga. 
Homeschool dalam keluarga yang besar seperti kami adalah satu kelebihan dan 
begitu istimewa. Homeschool membuat mereka bersatu hati dan maju kedepan
 bersama-sama. Pembelajaran tiada sempadan ini berlangsung seumur hidup mereka.




Keesokan harinya, semen dah mula kering. Beberapa keping play wood 
diletak atas alang besi  sebagai dasar lantai  bangunan.





Langkah seterusnya ialah menutup play wood dengan batang keluli yang 
telah disusun terlebih dahulu seperti di dalam gambar.




Memang sudah lama kami mengidam rumah yang jauh menganjur ke laut.
Selain pemandangan dapat menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam, 
ikan-ikan yang dipancing di kawasan ini juga lebih banyak variety  nya.




Sebaik sahaja lepas solat zohor dan makan tengahari, FCU guys terus
memulakan kerja mereka. Air laut dah surut waktu ini dan segala kerja
menjadi lebih senang. Air laut akan mula memenuhi ruangan bawah rumah kami pada 
pukul sebelas. Sebenarnya, waktu pasang surut air laut tidak tetap pada setiap hari. Ianya 
banyak bergantung kepada bentuk bulan di langit. Pada malam bulan mengambang penuh, air lautpasang dalam dan ombak pun besar. Masa inilah yang paling best 
kerana boleh tidur dalam ulitan dan irama ombak yang sangat 
menyegarkan minda. Masyaallah...Alhamdulillah..





Proses pembuatan lantai bangunan ini diteruskan hingga ke malam hari. Mereka hanya berhenti untuk mengerjakan solat. Masa berbuka puasa pun, makan ala kadar sahaja. Tiada masa boleh dilengah-lengahkan kerana faktor air akan pasang bila tiba waktunya dan ini bermakna semua kerja perlu diberhentikan. Aku hanya menyediakan air minuman selepas satu jug ke satu jug yang lain. Mula-mula fresh orange juice, lepas tu...miracle tea (herba tea buatan sendiri) dan akhirnya kopi panas untuk mengembalikan tenaga yang sudah dikerah sejak waktu zohor lagi.....Ibu salute anak-anakku semua. You are the best of all.....




HOMESCHOOL MENYATUKAN MEREKA


Sejuk mata memandang....Pasti mana-mana ibupun akan merasa bangga bila anak-anak bermuafakat bersatu hati membangunkan keluarga. Apalagi dengan bilangan anak yang ramai dan mereka mula berbakti kepada kedua ibu bapa. Homeschool merapatkan ikatan mereka dunia dan akhirat. Mereka membesar saling bantu membantu dan tiada yang tercicir dari segi perkembangan jasad dan minda. Mereka umpama satu badan dan setiap individu adalah merupakan anggota-anggota penting yang menghidupkan roh dan jasad. Umpama seberkas kayu yang diikat, mereka teguh berdiri mengharung kehidupan.

Aku juga dari keluarga besar. Adik beradik sembilan orang semuanya. Memanglah kedua ibubapaku tidak mengamalkan homeschool di kalangan kami adik beradik. Masing-masing berjaya mengikut keupayaaan dan usaha masing-masing. Dalam kesemua adik beradik itu, tidak semua yang bernasib baik dan berjaya dalam pelajaran dan standard kehidupan mereka seterusnya sangat bergantung kepada pencapaian akademik mereka. Bila berkahwin dan ada keluarga sendiri, masing-masing membawa haluan masing-masing. Yang senang tetap senang dan yang susah asyik meraih simpati. Jauh sekali dengan corak kekeluargaan yang kami bina sekarang. Walaupun sudah berkeluarga, tetapi kami tetap dalam satu kumpulan FCU. Tiada kepentingan pribadi kerana kami lebih utamakan keperkasaan FCU itu sendiri. Kesemua anak naik serentak dan masing-masing dengan kelebihan personaliti yang sangat istimewa dan keistimewaan ini adalah kekuatan kami  sekeluarga. Sebenarnya inilah kunci kejayaan masyarakat Islam pada zaman dahulu. Mereka bergerak bawah nama keluarga dan muafakat yang jitu tanpa mementingkan diri sendiri mencetus kejayaan yang unggul.




Memasang lampu untuk mencerahkan suasana tempat kerja




Baju yang dipakai oleh Tajrid ini sangat istimewa kerana mampu 
melantunkan cahaya dalam gelap.






Jam hampir pukul sebelas malam. Gigi air laut sudah mula mencecah tiang-tiang rumah. Gurindam ombak sungguh permai telinga mendengarnya. Dilangit bulan mengambang penuh dan di hiasi bintang-bintang gemerlapan. Akhirnya, mereka berjaya menyiapkan sebahagian lantai rumah. Esok-esok mereka akan menanam tiang lagi untuk menambah lantai rumah menganjur ke laut luas.



Hafidz dan abang Musa sedang menikmati secangkir kopi panas, mengubat lelah bekerja dari tengahari lagi. Aku di dapur sedang sibuk menyediakan makanan panas buat anak-anak yang memang sudah lapar sangat-sangat. Apa tidaknya.....masa berbuka tadi..hanya lapik perut sahaja. Lepas mandi....ramai-ramai makan bersama. Indahnya hidup sekiranya kita tahu apakah tujuannya dan ke manakah akhirnya kita. Kehidupan di dunia ini hanyalah jambatan untuk kita ke sana.


Rabu, 22 Ogos 2012

MARI KITA BERPUASA 6 HARI DI BULAN SYAWAL

Indah nian bulan sabit di malam Syawal (ihsan: falakonline)

Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri di FCU sangat meriah. Pagi-pagi hari lagi sudah ada tetamu datang menjengah. Sebab itulah kami membuat persiapan sejak selepas subuh lagi. Tetamu istimewa ini tidak lain tidak bukan adalah kanak-kanak sekitar Kampung Bakau yang sentiasa menanti untuk menikmati Sate FCU yang hanya dapat dirasa sekali sahaja dalam setahun. Mereka datang bukan untuk duit raya atau untuk menikmati hidangan lain. Ada yang datang berulang-ulang demi menikmati hidangan sate sepuas-puasnya. Di samping umat Islam, kami juga menerima tetamu dari berbagi bangsa yang juga merupakan kenalan rapat keluarga kami. Inilah gambaran tepat komuniti masyarakat Pulau Langkawi yang didiami oleh berbagai bangsa sesuai dengan gelaran Bandaraya Perlancongan Malaysia. Begitulah kenangan
1 Syawal setiap tahun yang sangat disyukuri atas limpah rahmat Allah.

PUASA MEMBERI MODAL KEROHANIAN UNTUK BERJAYA
Puasa 3 bulan berturut-turut ( Rejab, Syaaban dan Ramadhan ) adalah amalan tetap di FCU. Kebaikan berpuasa selama 3 bulan ini memang meninggalkan kesan yang sangat positif kepada minda dan jasad. Puasa itu sendiri tidak langsung membebankan malah adalah satu bekalan kerohanian untuk kita harungi setahun sebelum bertemu kembali di tahun hadapan. Tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad Al- Fateh sentiasa berpuasa pada siangnya dan tidak merasa letih untuk melakukan latihan perang. Di sebelah malamnya pula dihabiskan dengan ibadat malam. Sesungguhnya mereka adalah sebaik-baik tentera dan Sultan Muhammad Al-Fateh adalah sebaik-baik raja hingga ditakdirkan Allah dapat menakluki Konstatinopel. Malah Afiqah (8 tahun) juga dapat menghabiskan puasa ini hingga ke akhirnya tanpa dipaksa. Homeschool sangat membantu proses ini kerana anak-anak kecil sebesar Afiqah tidak perlu berdepan dengan pengaruh rakan-rakan di sekolah yang tidak berpuasa sepertinya.

Sebagai penamatnya, kami memulakan puasa 6 pada 2 Syawal dan ibadat ini tidak menghalang tetamu yang
datang pada hari raya kedua dan ketiga. Insyaallah kami akan merayakan Hari Raya Puasa 6 pada 8 Syawal nanti. Semua kudrat ini adalah dari Allah yang memberkati dan setinggi-tinggi kesyukuran jua dipanjatkan. Dapatlah merasa 2 kali raya dalam masa terdekat.

FADHILAT PUASA 6
Nabi saw memberi galakan menyusuli puasa Ramadhan dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, Abu Ayyub al-Ansori meriwayatkan:

Maksudnya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan (puasa) 6 hari dalam bulan Syawal, maka seoleh-olah dia berpuasa setahun penuh.” (HR Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Yang dimaksudkan dengan al-Dahr (الدهر) ialah al-Sanah (السنة = setahun) yakni seolah-olah dia berpuasa setahun penuh, maka jika sentiasa menunaikannya sepanjang tahun, dia seolah-olah berpuasa seumur hidupnya.

Penerangan ini tardapat di dalam hadith yang lain:

Maksudnya : “Puasa sebulan (Ramadhan) menyamai dengan 10 bulan, dan puasa 6 hari (dalam bulan Syawal) menyamai 2 bulan, maka jadilah puasa itu penuh setahun.”

Diantara kelebihan puasa 6 hari di bulan Syawal ialah puasa 6 umpama sunat rawatib sesudah solat fardhu bagi menampung kekurangan kita berpuasa fardhu bulan Ramadhan.

Berbahagialah kita kerana berpeluang hidup berpuasa sepanjang tahun seperti yang diterangkan dalam hadith di atas. Sesungguhnya pertolongan kerohanian sangat penting untuk kita berjaya dalam apa sahaja yang kita usahakan di atas muka bumi demi menjadi khalifah Allah. Semoga Allah masukkan kita ke dalam golongan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Ahad, 19 Ogos 2012

SALAM AIDILFITRI 2012





Saya Mohd Noor Hafidz, sebagai mewakili seluruh pengajian 
FCUHOMESCHOOLING
mengambil kesempatan keemasan ini untuk mengucapkan 
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 
kepada seluruh pembaca  terutamanya para pengajian homeschool yang lain.

Rabu, 15 Ogos 2012

INDAH NIAN BULAN DIAPIT ZUHRAH DAN MUSYTARI


(GUIDANCE CORNER)


MENCERAP BINTANG TANGGAL 13 OGOS 2012
Sudah hampir 3 bulan aktiviti mencerap bintang dilakukan sebelum subuh. Selepas sahur, kami solat tahjud dan witir sekali. Ada banyak lagi ruang masa sementata menunggu solat subuh. Biasanya kami hanya bersantai di depan jambatan gantung. Memang selesa melabuhkan punggung keatas birai jambatan sambil mendongakkan kepala ke langit luas. Kami jarang ke atas bumbung tempat khas mencerap bintang. Mungkin fakta terpaksa memanjat dalam gelap (kerana elektrik masih belum disambung ke rumah baru itu) membuat kami memilih ruang di atas jambatan walaupun terpaksa berdepan dengan gangguan cahaya dari lampu rumah jiran yang mampu mengaburkan pemandangan langit.

Tetapi  tanggal 13 Ogos, kami terlambat sedikit bangun sahur dan aktiviti yang biasa dilakukan tak
tertunai. Selepas solat, Seperti biasa, Hafidz akan turun meredah kelam subuh sambil meronda-ronda di sekitar perkampungan nelayan. Begitulah cara dia menghabiskan wirid pagi sambil menikmati keindahan mentari terbit di pantai bakau. Di samping lampu suluh, dia berbekalkan sebuah kamera untuk merakam apa-apa yang menarik di sepanjang rondaan itu. Tak semena-mena dia menarik tangan ku untuk ke taman tanpa memberi apa-apa sebab. Aku hanya mengikut sahaja kerana hati meneka tentu ada sesuatu yang hendak ditunjukkan oleh Hafidz. Memang tepat sekali tekaanku...Tertera satu pemandangan  BULAN DIPAGARI BINTANG bergemerlapan di langit subuh 25 RAMADHAN 1433 HIJRAH. Khabarnya untuk melihat pemandangan ini sekali lagi, kita mesti menunggu tanggal 2026 kelak.


Art illustration: pemandangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini



Inilah pemandangan yang diizinkan Allah dapat dirakam oleh kamera kami. Sungguh teruja bila tahu bahawa pemandangan seperti ini hanya akan dapat dinikmati pada 2026. Ini bermakna 14 tahun dari sekarang dan Hafidz sudah berusia 27 tahun. Cukup bersyukur kerana dapat nikmatinya sekarang dan semoga Allah izinkan untuk melihatnya lagi pada 2026 nanti. Kedudukan sebenar adalah seperti gambar dibawah. Oleh kerana terpaksa adjust kedudukan kamera, dapatlah gambaran seperti diatas.





Gambaran yang lebih jelas dari http://www.facebook.com/search/results.php?q=falak&init=quick&tas=0.9111548640126921


PENERANGAN BERPANDUKAN GAMBAR DI ATAS:
Pandukan arahan di bawah dengan gambarajah yang telah disediakan.
1.Tulisan Putih menunjukkan nama bintang, planet dan bulan.
2.Tulisan Coklat serta garisan-garisan yang membentuk bulatan tu, menunjukkan kawasan Buruj-buruj tumpuan pagi ni.
3. Garisan Purple, menunjukkan Arah pandangan yang kita harus ikut (refer kepada arahan di bawah nanti)

Jom kita mula!

Mula pada BULAN.

Dari BULAN, naik ke ATAS (tengok arrow warna purple). Kita akan bertemu dengan MUSYTARI.

Kemudian, kalau dari MUSYTARI, kita sambung ke ATAS lagi, senget sikit ke KIRI, kita bertemu dengan Gugusan bintang SEVEN SISTERS (ingat lagi kan kat depa?)

Dari MUSYTARI, ke KANAN SIKIT darinya, akan nampak sebiji bintang terang warna merah, itu ialah ALDEBARAN.

Semua depa di atas ni , berada dalam buruj TAURUS.


OK, sekarang kembali ke BULAN.

Dari BULAN, arahkan pandangan ke KIRInya. Kita akan jumpa dengan sebuah bintang terang warna putih-putih sikit. Itu ialah bintang CAPELLA. Kawasan tu ialah kawasan buruj bernama AURIGA.


Kembali ke BULAN.

Dari BULAN, arah pandangan anda ke BAWAH sikit. Akan bertemu dengan planet ZUHRAH. Memang tak akan miss, padal Zuhrah-lah yang paling terang di situ (selain Bulan lah).

Dari ZUHRAH, turun ke arah KIRI BAWAH (lower left). Kita akan jumpa 2 buah bintang yang sama terang. Itulah bintang CASTOR (yang sebelah kiri) dan POLLUX (yang kanan). Depa berdua ni dok dalam buruj GEMINI.

Kembali ke BULAN.

Dari BULAN, pandang ke arah KANAN nya. Kita akan jumpa dengan buruj ORION. Semua orang kenal buruj ni, pasal susunan nya cantik. Dan ada 3 deretan bintang sama terang di tengah-tengahnya.

Sementara di ORION ni, jangan lupa tengok bintang BETELGEUSE yang berwarna merah garang pada PENJURU KIRI BAWAH, dan bintang RIGEL, berwarna putih di PENJURU KANAN ATAS.

Dari ORION juga, dan pandang arah deretan 3 bintang di tengah-tengah dia tu, buat garisan dan unjurkan ke KANAN BAWAH… kita akan bertemu dengan bintang paling cerah di langit, iaitu SIRIUS. Sirius ni dok dalam sebuah buruj bernama CANIS MAJOR.

source: http://www.facebook.com/search/results.php?q=falak&init=quick&tas=0.9111548640126921

PERKEMBANGAN ASTRONOMI
Bidang ilmu ini diperkenalkan kepada anak-anak setelah kami mula homeschool. Setakat ini, Hafidz sudah mahir menceritakan  kedudukan buruj dan planet di langit setiap kali kami buat aktiviti mencerap bintang. Malah dia lebih cepat menangkap kedudukan buruj-buruj ini dari saya sendiri. Konsep pembelajaran homeschool kamai dimana ibubapa hanya sebagai pencetus kepada anak-anak memang sangat berkesan. Dorongan dan sokongan dari ibubapa umpama bara api yang seterusnya akan menjadi unggun yang terus menyinari hidup anak-anak. Kita akan terkejut dengan penerokaan anak-anak kerana  pencapaian mereka lebih jauh meluas dari apa yang kita ajar. Memang berlainan dengan konsep pembelajaran di sekolah dimana segala ilmu adalah dari buku teks dan guru yang mengajar berlandaskan peperiksaan. Anak-anak tidak bebas dalam penerokaan dan seringkali terhenti kerana menghafal apa yang bakal dijawab dalam peperiksaan. Sistem sebegini memang mematikan ilmu yang dipelajari dan akhirnya ilmu yang dipelajari hanya setakat menjawab peperiksaan dan dilupakan setelah habis sekolah.
Berbeza dengan homeschool dimana ilmu itulah pencapaian sepanjang hidup. Anak-anak akan terus meneroka hingga ke liang lahat.

Gambaran yang diperolehi dari Stellarium o.11.3. Art Illustration ini memang banyak membantu pelajar kami mengingati kedudukan buruj.



Jumaat, 10 Ogos 2012

NASI KERABU KELANTAN MEMANG BEST.....



FCUHOMESCHOOLING COOKING CLASS

"Sedapnya nasi ni....nasik kabu klate" Inilah antara komen pahlawan-pahlawan FCU yang cuba berlagak macam pandai cakap loghat kelantan. Lucu betul dan aku hanya ketawa terkekeh-kekeh tanpa membetulkan perkatakan "kabu" dengan perkataan "khabu". Lidah pelat Kedah mereka memang berlaga dengan pelat Kelantan.

" Buatlah kerap sikit...memang dah lama tak makan nasi best nih" Mencelah Hafidz.
"Ha ah lah....kenapa aku jarang sekali masak nasi kerabu. Bukan setahun sekali...Mungkin juga tidak tiga tahun sekali. Kenapa ya..." Aku sendiri pun tak tahu sebabnya. Mungkin agak cerewet nak buat masakan popular Kelantan ni dan perlukan ruang masa yang lama. Kalau kuah tumis dan sambal kelapa dibuat pada hari sebelumnya...tentu tidak jadi masaalah. Insyaallah..Kali ini akan dihidang dengan lebih kerap lagi dan memangpun one of my favorite. Masih segar kenangan mengutip ulam dan pucuk-pucuk kayu buat rampai dalam nasi kerabu. Bagaimana aku nak lupa sebab dalam semak itulah aku di patuk ular. Alhamdulillah hanya ular daun aje. Zaman dulu....segala jenis ulam dipetik dalam hutan. Pucuk penna yang paling aku suka petik. Sebabnya...buahnya yang kecil tapi keras akan ku kutip untuk buat peluru senapang buluh. Ah...Kenangan zaman kanak-kanak tak mungkin hilang dalam ingatan.

Kami sekeluarga berbuka dengan nasi kerabu Kelantan hari ini. Sambil masak, aku perturunkan beberapa tips dan juga resepi yang memang sudah terpahat dalam ingatan kepada anak-anak.


RESEPI NASI KERABU


Makanan seimbang dan lazat. Warnanya yang berbagai mampu menarik anak-anak keci untuk menjamahnya.


Nasi Kunyit Berseri

5 cawan beras biasa
Beberapa ketul kunyit hidup (ikut suka)
2 sudu makan kunyit serbuk (hingga beras jadi warna kuning)
10 helai daun limau purut
2 batang serai sedang

Caranya:
 Masak macam biasa cuma masukkan kunyit, daun limau dan serai.


Bahan-bahan diatas akan menjadikan nasi kita warna kuning. Selain warna kuning, kita juga boleh warnakan nasi dengan warna biru dengan memasukkan bunga telang. Arwah mak banyak tanam bunga ini di pagar tepi rumah. Selain nampak cantik, senang untuk buat nasi kerabu. Kalau tak ada semua bahan-bahan di atas, nasi kerabu putih pun boleh.....


Bunga telang yang menghasilkan warna biru natural bagi makanan.




Nasi kerabu hitam dihasilkan dengan memasukkan berbagai jenis daun seperti
serai kayu, daun jambu batu, daun mengkudu , daun lengkuas dan banyak lagi.
Rasanya juga cukup hebat setelah berbagai jenis khasiat ulam-ulaman sebati dengan nasi.




Kuah Tumis Nasi Kerabu

4 cawan santan pekat
8 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih
3 bawang besar
25 cili kering
1 inci halia
2 batang serai sedang - ketuk
1 asam keping
3 keping gula melaka
5 sudu besar budu
1/2 cawan minyak
Garam secukup rasa selepas memasukkan budu. 


Caranya:
1) Kisar semua bahan kecuali serai. Guna air yang sedikit agar rempah senang garing nanti.
2) Panaskan minyak dan tumis bahan yang telah dikisar. Masukkan serai yang telah diketuk. Tumis hingga rempah betul-betul garing. Air ditambah sedikit demi sedikit semasa menumis. Rempah yang ditumis dengan sempurna ( masa agak lama) akan menghasilkan kuah tumis yang se.dap dibandingkan rempah yang ditumis hanya sekejap. 
3) Masukkan budu dan sedikit air dan terus menumis hingga pecah minyak dan bau sangat harum.
4) Masukkan santan pekat. Kacau dan masak hingga mendidih. Perlu kacau kuah sentiasa agar kuah tidak berketul. 
5) Masukkan gula melaka yang dicincang terlebih dahulu sebelum ditumbuk. Rasakan masin dan manis kuah secukupnua




Gula melaka ini boleh digantikan dengan gula merah atau gula perang. 
Kuah tumis rasanya lebih masin sedikit.


Sambal Kelapa Nasi Kerabu

-20 ekor ikan kembung bakar (terpulang pada kita. Lagi banyak ikan lagi sedap rasanya).       Ikan rebus akan membuat rasa sambal agak hanyir.

-1 biji kelapa parut. Kelapa yang agak muda lebih sedap dari kelapa yang tua. Buang dulu kulit ari-ari kelapa sebelum di parut. 
-10 bawang merah (tumbuk/blend kering hingga halus)

-4 batang serai sedang( dihiris nipis sebelum diblend kering hingga halus)

-1 inci halia (ditumbuk halus)

-2 sudu makan serbuk lada hitam (kuantiti terpulang kepada selera kita)

-Gula dan garam secukup rasa. 


Kami sangat beruntung kerana tinggal di tepi laut. Ikan segar yang 
baru ditangkap oleh nelayan memang mudah didapati. Harganya 
juga jauh lebih murah dari harga pasar.  Masyaallah...ikannya 
keras dan penuh dengan lendir. Rasanya sangat segar bila dibakar.



Antara bahan-bahan untuk sambal ikan iaitu dari kiri: isi ikan rebus yang 
sudah ditumbuk, halia dan serai yang sudah diblend kering hingga lumat, 
bawang merah yang ditumbuk hingga lumat dan di bahagian 
belakang sekali ialah kelapa goreng keperangan.




Pastikan kelapa goreng tidak hangus.

Caranya:

1) Goreng kelapa dengan api yang sederhana hingga rangup dan berwarna perang muda.
2) Buang tulang ikan bakar. Pastikan tiada sebarang tulang agar tiada siapa yang terlekat tulang bila makan nasi kerabu nanti. Tumbuk isi ikan hingga lumat.
3) Gaul semua bahan yang telah disediakan. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Biasanya rasa sambal ikan manis sikit manakala rasa kuah tumis pula masin sikit. Jadi barulah seimbang rasanya.
4) Kalau kelapa goreng agak kasar, tumbuklah sedikit. Kalau dah halus, biarkan sahaja.
5) Masukkan semula semua bahan yang telah digaul ke dalam kuali dan goreng sekali lagi. Agak-agak dah panas segala bahan barulah diangkat.



Sambal kelapa nasi kerabu ini memang sedap dan boleh 
dimakan dengan nasi himpit.


Kuah Budu

Budu

Limau nipis

Cili padi yang dipotong-potong






Ulam Ulaman
Kacang panjang
Kubis
Timun
Daun kesum
Bunga kantan
Bawang besar
Kacang botol
Taugeh
  
Hiris halus kesemua ulam ulaman.







Sambal Cili
Cili padi
Cuka
Garam
Gula 

Sambal cili adalah wajib jika tak dibuat kuah tumis

Lauk pauk

Telur masin 
Ikan rebus goreng celup tepung
Daging bakar
Daging goreng atau ayam goreng
Keropok atau keropok lekor
Solok lada
Bawang putih jeruk

Atau apa apa jer yang disukai


Cara Menghidang


Letakkan nasi di dalam pinggan. Masukkan ulam ulaman diikuti dengan sambal kelapa.
Kemudian sendukkan sedikit kuah tumis, budu dan sambal.

Akhir sekali, letakkan keropok dan lauk pauk  dabseperti telur masin, daging bakar, ikan celup tepung, daging goreng





Lauk pauk yang paling asas ialah ikan goreng tepung, telur masin dan keropok ikan.
Lauk pauk yang lain tu....sebagai tambahan sahaja.



Memang berselera makan nasi kerabu kuning Kelantan. Kita tidak perlu nasi yang banyak kerana apabila dah dimasukkan sambal ikan, kuah tumis, ulam-ulaman dan lauk pauknya...dah penuh pinggan.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...