TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Memaparkan catatan dengan label beef in the kitchen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label beef in the kitchen. Papar semua catatan

Jumaat, 22 November 2013

NASI DAGING SEDAP



Nasi daging adalah nasi kegemaran keluarga FCU. Walaupun cara memasaknya simple sahaja tetapi rasanya sangat enak. Hidangan ini juga menjadi pilihan untuk meraikan para tetamu yang  berkunjung. Terdapat berbagai jenis resepi Nasi Daging di internet. Setelah membuat penelitian, saya gabungkan apa yang saya fikir baik dan menghasilkan satu resepi yang sungguh enak buat keluarga. Saya sangat berterima kasih kepada tuan-tuan empunya resepi yang telah banyak membantu dengan koleksi resepi mereka. Semoga Allah merahmati mereka sekeluarga.


Kali ini saya buat cooking class dengan Afiqah. Sedikit demi sedikit kami serapkan ilmu memasak lauk pauk kepadanya. Memang target kami untuk melahirkan pelajar yang mahir dalam bidang memasak terutamanya kepada anakanda dan cucunda perempuan. Hasil dari cooking class sangat memberangsangkan dan telah terbukti berkesan apabila Hafidz dapat membuat pulut sekaya lebih sedap dari saya. 




RESEPI NASI DAGING


Bahan Untuk Nasi:

-2 kg daging yang ada urat (kuantiti daging boleh dikurangkan ikut suka hati. Daging yang ada urat lebih        enak apabila sudah direbus hingga empuk)
-6 cawan beras basmathi-direndam 30 minit dan toskan....kalau guna beras biasa tak perlu rendam. 
-1 inci halia(dicincang halus) dam 4 ulas bawang putih serta 7 ulas bawang merah di mayang nipis.
-3 helai daun pandan, disimpul
-2 batang kulit kayu manis, 6bunga cengkih, 4bunga lawang dan  8 buah pelaga
-3 sudu besar minyak sapi(boleh juga guna mentega atau marjerin)
-3 sudu besar serbuk nasi daging yang disediakan terlebih dahulu.
-3 sudu besar rempah kurma untuk ditumis dalam nasi
-1/3 cawan minyak masak
-7  cawan air rebusan daging (kalau tidak cukup, tambah air biasa)
-1 tin susu cair
-1 tin tomato puree (saya gunakan jenama kimbal)
-2 batang serai sedang diketuk.
-Garam secukup rasa
-20 ulas bawang merah untuk ditabur atas nasi(dimayang halus dan digoreng hingga warna keemasan. Jangan terlalu garing sebab rasanya pahit)
-Secekak aun sup dipotong halus untuk dimasak bersama nasi dan juga untuk hiasan atas nasi.

Cara Memasak Nasi Daging:
1)Dalam periuk, panaskan minyak , masukkan minyak sapi dan biar cair.
2)Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga berbau harum dan warna keemasan.
3)Masukkan kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga
4)masukkan daun pandan dan serai. Tumis hingga semerbak wangi.
5)Masukkan rempah kurma dan rempah nasi daging homemade dan sedikit air rebusan daging. Tumis hingga rempah betul-betul garing. Air rebusan daging ditambah sedikit demi sedikit dalam proses menggaringkan rempah.
6)Masukkan susu cair, tomato puree dan air rebusan daging. Diikuti dengan beras yang sudah disejat terlebih dahulu.
7)Masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa. 
8)Masak nasi dengan api sederhana kecil. Apabila nasi sudah kembang dan air kering, masukkan ketulan daging yang sudah diperisakan dengan rempah kurma. Kacau hingga rata.
9)Kukus nasi hingga masak.

Bahan Untuk Hiasan Nasi
-Bawang goreng (bawang merah dimayang dan digoreng hingga keemasan warnanya)
-Daun sup dihiris halus

Bahan Untuk Daging:
-3 ulas bawang merah (dimayang nipis)
-2 ulas bawang putih (dimayang nipis)
-3 sudu serbuk kurma
-gula dan garam secukup rasa
-sedikit minyak untuk menumis

Tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi. Masukkan rempah kurma dan sedikit air daging dan biarkan sampai pecah minyak. Masukkan ketulan daging yang sudah empok direbus dan sedikit lagi air daging hingga kelihatan berkuah pekat. Teruskan masak hingga air kering dan daging itu nampak seketul-seketul disaluti rempah.

Homemade Rempah Nasi Daging:
-2 sudu besar biji ketumbar
-1 sudu besar lada hitam
-1 sudu besar jintan manis
-1 sudu kecil jintan putih
-1 batang kulit kayu manis
-2 kuntum bunga lawang
-6 kuntum bunga cengkih
-7 biji buah pelaga
-1 sudu besar halba
-3 biji buah keras-ditumbuk kasar
-3 biji badam-ditumbuk kasar
Rempah-rempah ini disangai (goreng tanpa minyak hingga garing). 
Kemudian di kisar kering hinga halus


Bahan Untuk Sambal:
-20 biji cili kering
-3 labu bawang besar
-3 ulas bawang putih
-1 inci halia yang diameternya 1 inci
-1/2 inci lengkuas yang diameternya 1 inci
-3 batang serai
-1/2 cawan cili sos
-10 helai daun limau purut
-Garam dan gula secukup rasa
-1/2 cawan santan pekat (optional)
-1/2 cawan munyak untuk menumis
-4 biji buah pelaga, 3 kuntum bunga lawang, sekeping kulit kayu manis 2 inci panjang

Semua bahan dikisar halus. Tumis buah pelaga, bunga lawang dan kulit kayu manis hingga naik wangi. Masukkan semua bahan kisar dan tumis hingga naik minyak. Bila rempah sudah agak garing, masukkan santan pekat dan kacau lagi hingga pekat dan masukkan garam dan gula. 


Bahan Untuk Air Asam:
-4 biji tomato saiz sederhana (dadu kecil-kecil)
-3 labu bawang besar (didadu kecil-kecil)
-10 biji cili merah. (dipotong nipis)
-20 biji cili padi (dipotong nipis
-3 biji limau kasturi (diperah airnya)
-50 gram belacan bakar (terpulang kepada individu)
-Garam dan gula secukup rasa
-Air asam jawa pekat secukup masamnya
-3 sudu makan kerisik (boleh dikurangkan atau di)lebihkan)
-Air biasa secukup pekatnya.
Gaul semua bahan di atas hingga. Tambah air setakat mana pekat yang diingini. Setengah orang suka cair sedikit dan ada yang gemarkan air asam pekat. 


Bahan Untuk Acar Rampai:

-Timun muda 3 batang
-Lobak merah 2 batang
-5 biji cili besar merah
-air kapur
-Garam dan gula secukup rasa
-Cuka makan secukup masamnya.
Potong timun panjang-panjang dan buang pulur di tengahnya. Rendam timun ini dengan air kapur selama setengah jam untuk mendapat kerangupan. Lobak merah dan cili juga dipotong panjang-panjang. Saiz lobak merah hendaklah sama dengan timun manakala lebar potongan cili merah hendaklah dikurangkan sedikit. Keseragaman saiz ini akan menyerlahkan kecantikan acar rampai ini. 


Bahan Untuk Ulaman
-Salad
-Timun muda








STEP BY STEP CARA MEMASAK NASI DAGING SEDAP



Daging direbus hingga empuk





Afiqah  sangat gemar memotong daging. Daging dipotong 
besar-besar untuk menyicah dengan air asam.



Tumis rempah kurma dan bawang hingga wangi dan garing.


Masukkan sedikit air daging. Kacau 
hingga harum dan garing. Masukkan ketulan daging 
yang telah direbus hingga empok. Masukkan sedikit garam dan 
gula. Tutup api apabila rempah yang ditumis
bersalut dangan daging. 


Ini pula bahan untuk masak nasi. Segala bawang dan rempah 
ditumis dengan minyak dan minyak sapi hingga harum.


Masukkan daun pandan dan juga serai yang telah 
diketuk terlebih dahulu. Kemudian masukkan rempah 
kurma dan rempah nasi daging homemade.


Apabila rempah sudah garing, masukkan susu cair, air rebusan 
daging dan tomato puree berserta beras yang telah ditoskan. '


Masukkan daun sup dan kacau hingga rata. Hanya guna api sederhana
supaya nasi tidak hangit. Kacau sekali sekala sahaja agar beras basmati
kekal panjang dan cantik. 


Beginlah rupa nasi yang hampir kering. Ketika ini nasi masih mentah.
Elakkan kacau dengan kerap agar nasi tidak hancur. Masukkan
daging yang sudah cukup rasanya ke dalam nasi.
Timbuskan daging dengan nasi. 


Masukkan nasi ke dalam kukusan yang berlapik jala mata halus.Bagi kami yang tinggal di kampung nelayan. jala jenis ini senang di dapati dari nelayan. Jala ini digunakan untuk memukat ikan bilis. Jala yang sama boleh dibeli dari kedai iaitu jala untuk membasuh pinggan mangkuk. Buka ikatan gumpalannya dan dibasuh terlebih dahulu. Jala ini mengelakkan beras jatuh ke dalam air dan juga memastikan wap air panas keluar dari celah-celah lubang yang kita buat pada nasi dalam bekas kukusan. Daging sudah empok dan penuh dengan rasa. Nasi pula masak dengan sempurna tanpa kerak. Nasi dan daging menjadi satu hati satu jiwa walaupun bertemu di akhir perjalanan.




Taburkan bawang goreng dan daun sup yang dipotong halus ke atas nasi yang telah dihidang ke dalam bekas.




Inilah bahan-bahan untuk  air asam iaitu tomato, cili besar merah,
cili api merah (hijau pun boleh), belacan, bawang besar, kerisik,
 air asam jawa ikut cita rasa masamnya, sedikit garam,
sedikit gula dan kerisik.


Sudah bersedia untuk dicampurkan dengan air asam jawa, kerisik, 
perahan limau, garam dan gula secukup rasa.




Pastikan air asam tidak cair. Kepekatan seperti di atas sesuai untuk 
dicicah daging.




Acar rampai yang terdiri dari timun batang (di potong panjang-panjang tanpa pulurnya dan direndam dalam air kapur selama 10 minit supaya rangup), carrot, bawang besar dan cili besar merah dapat menambah nikmatnya nasi daging. Saya juga sediakan sambal tumis ala masak merah di samping air asam untuk menambah perisa yang ada. 


Sambal ini disediakan menggunakan resepi ayam masak merah. 
Cuma kita tidak perlu masukkan ayam goreng sahaja.



Ulam-ulaman seperti timun dan salad juga sesuai untuk dicicah air asam. 
Daging adalah makanan bersifat asid dimana ia akan mengeluarkan asid ketika
dihadamkan. Sayuran pula bersifat alkali dan gabungan 
kedua-duanya akan mengimbangkan kandungan asid dalam badan. 
Keseimbangan ini sangat penting untuk mempunyai badan sihat walafiat.



Hidangan Nasi Daging ini senang dan sungguh lazat. Sangat sesuai untuk meraikan tetamu yang berkunjung. Pasti tetamu akan datang lagi untuk menikmatinya.



Untuk keluarga tersayang dengan penuh kasih sayang.




Semoga anak-anak membesar dengan sihat dan dirahmati Allah. Bersyukurlah dengan air mata kerana ada mereka yang tidak bernasib baik dan dalam kelaparan. Pendidikan kerohanian dapat disampaikan kepada anak-anak ketika menikmati hidangan di meja makan agar mereka menjadi generasi yang menghargai segala nikmat Allah kepada mereka.






Sabtu, 22 September 2012

BEEF STEAKS AND SPINACH DUMPLING


(GUIDANCE CORNER)


 "You are what you eat" Kata-kata ini sering kita dengar di mana-mana sahaja. Kebenarannya juga sudah tidak perlu disangsikan kerana tidak mungkin kita makan pisang, perut kita pula memproses daging dan badan kita mendapat zat nasi. Oleh itu sangat penting bagi para ibu mahir dalam keseimbangan pemakanan yang diperlukan oleh keluarga. Untuk mendapat anak yang pintar dan sihat, kualiti makanan memainkan peranan yang penting. Tidak semestinya makanan yang mahal itu mempunyai kualiti yang bagus dan begitu juga sebaliknya. Sebenarnya ilmu di dadalah yang dapat menilai yang terbaik dan tahu bagaimana mengolah makanan itu jadi menarik agar ahli keluarga tertarik.

HOMESCHOOL DAN MASAKAN
Semenjak homeschoolkan anak-anak, aktiviti masak memasak menjadi makin rancak. Kesedaran tentang pengaruh makanan terhadap minda anak-anak menyebabkan saya banyak meneliti resepi-resepi dari berbagai negara dan mencari gandingan terbaik buat selera keluarga. Sememangnya cooking class bukan sahaja membolehkan kita menghidang juadah yang berkhasiat di atas meja tetapi juga menimba ilmu dalam berbagai aspek. Sejarah bagaimana makanan itu tercipta dan bagaimana budaya sesebuah negara mempengaruhi cara memasak sesuatu juadah juga dapat diajar kepada anak-anak. Memang seronok dapat sama-sama memasak dengan anak-anak. Riuh rendah jadinya. Apalagi semerbak satu rumah dengan aroma rempah yang digunakan. Menambahkan bahagia rumahtangga dengan ikatan kasih sayang yang tiada tolok tandingnya.


FCUHOMESCHOOLING COOKING CLASS


BEEF STEAKS
Hafidz memang suka makan daging terutamanya yang jenis panggang. Apabila saya merancang untuk buat steak, dialah yang mula-mula sekali bersuara untuk tolong di dapur. Kalau ikutkan seleranya, hari-hari makan daging pun tak apa. Di sinilah peranan kita sebagai ibu untuk mengajar mereka tentang bahaya dan risiko jika daging diambil secara keterlaluan. Dari kecil lagi kita sudah ajar akan berbagai-bagai penyakit yang sering dihidapi oleh mereka yang mengambil seseuatu makanan secara keterlaluan.

Resepi Beef Steaks:
-1 kilo daging tanpa lemak
-2 biji limau nipis
-2 sudu makan serbuk lada hitam
-2 sudu makan serbuk lada putih
-1 sudu makan serbuk jintan putih
-1 sudu makan rosemarry kering ( tak ada pun tak apa)
-1 sudu makan thyme kering (tak ada pun tak apa)
-1 sudu makan oregano kering( tak ada pun tak apa)
-1 sudu makan garam halus (ikut selera masinnya. Jangan terlalu masin kerana kita akan makan dengan sos lada hitam.
-2 sudu makan brown sugar. Memberi rasa manis yang lebih enak pada daging
-2 sudu makan sos tiram
-3 susu makan cilli sos
-3 sudu makan kicap pekat.





Daging dipotong lebar-lebar setebal satu inci. Kemudian dicucuk-cucuk 
dengan pisau agar daging ini tidak liat apabila dimakan. Saya guna daging 
biasa dan bukan jenis batang pinang. Harganya jauh lebih murah dan 
hasilnya pun sangat memuaskan. Kerja cincang mencincang ini 
memang kegemaran Hafidz.


Taburkan segala jenis rempah. Selain oregano, rosemarry dan thyme, 
kita boleh guna rempah kegemaran masing-masing.


Herba Mat Salleh (rosemarry, thyme dan oregano) mempunyai 
haruman yang sangat berbeza dari rempah dan rempah ratus kita. 
Bagi saya, umpama timur dan barat, utara dan selatan, perbezaannya 
memang ketara. Berbaloi memperkenalkan rasa yang berlainan 

untuk membuka jiwa dan minda anak-anak kita.




Buat steak ni....memang senang. Anak bujang pun boleh buat. 
Yang penting ialah jenis rempah yang akan memberi rasa kepada daging.


Vitamin C dalam limau nipis ini akan memainkan peranannya 
dalam pemerapan daging agar daging jadi lembut.


Setelah digaul dengan rata, masukkan daging ini ke dalam bekas tertutup dan simpan 
dalam peti sejuk untuk semalaman. Lagi lama lagi sedap dan lagi lembut daging itu. 
Namun begitu sekiranya rempah yang dimasukkan bukan dari jenis yang kuat baunya 
seperti kunyit, garam dan bawang putih sahaja, tidak boleh terlalu lama kerana bimbang 
daging akan berbau. Bila dah masukkan macam-macam rempah seperti di atas, kita boleh 
perap lama kerana rempah-rempah itu mengawet daging sambil memberi rasa yang enak.



Masukkan daging yang telah diperam semalaman itu ke dalam kuali. 
Tambah air hingga melepasi paras daging dan masak dengan api perlahan. 
Air boleh ditambah apabila kering sekiranya daging masih liat.


Langkah yang berikutnya ialah panggang daging yang dah lembut ini. 
Oleh kerana daging ini sudah masak, tidaklah perlu lama. Cukuplah 
untuk ada sedikit kerak dan warna panggang yang cantik.


Saya suka mencampurkan hidangan barat dengan timur dalam satu pinggan. Gandingan ini mestilah ada keserasiannya dimana rasanya masuk untuk kedua-dua makanan barat dan timur. Kali ini saya gandingkan steak dengan nasi goreng cina dan spinach dimpling. Pasti anak-anak akan gemarkan bayam yang telah diolah sedemikian rupa dan di baluti dengan white 
sauce yang lazat itu.



Black paper sauce adalah gandingan terbaik untuk beef steak.


Resepi spinach dumpling akan disertakan dalam entry akan datang.



Secawan nasi goreng Cina dan sebiji spinach dumpling 
sudah cukup untuk bekalan carbohydrate kepada 
anak-anak yang sedang membesar.



Tiga pinggan untuk tiga anak bujang yang turut menjadi Penjaga Langkawi 
bersama saya. Tidak perlu menghabiskan duit ke hotel for candle light dinner.


Dengan kos yang rendah kita sudah dapat sediakan hidangan yang enak kepada keluaraga. Kreativiti dalam masakan menjadikan makan malam satu kenangan 
yang indah buat anak-anak tersayang. 



Sabtu, 30 Jun 2012

ITALIAN CROCK POT BEEF STEW


( GUIDANCE CORNER )





Memang benar kenyataan bahawa apabila kita mula homeschool anak-anak, sebenarnya kita sedang melalui satu pembelajaran kendiri tanpa sempadan. Bukan sahaja anak-anak diajar oleh kita, kita juga terus kedepan menimba sebanyak-banyaknya ilmu bagi memertabatkan homeschool kita. Oleh itu, lulusan universiti bukanlah modal utama bagi para pengajar. Cinta pada pembelajaran seperti yang disarankan dalam Islam, Tuntutlah Ilmu Hingga Keliang Lahat adalah kata kunci yang jadi penggerak utama untuk kejayaan sesebuah homeschool.

Semenjak wujudnya cooking class dalam kurikulum FCUHOMESCHOOLING, saya mula meneroka alam masakan yang sebelum ini saya anggap hanya tanggungjawab seorang ibu dalam sebuah keluarga. Penerokaan itu telah membawa saya kepada The Passion Of Cooking yang sebelum ini tidak pernah saya miliki. Rupanya dalam bidang masakan, bukanlah juadah yang dihasilkan yang terpenting tetapi kesenian dan ilmu dalam menyediakan sesuatu juadah yang akan menyerlahkan hasilnya. Kita memberi jiwa kepada apa yang kita masak dan jiwa itu disambut oleh orang-orang kesayangan kita ketika menyantap hidangan. Bayangkan pengisian jiwa pada makanan inilah yang membesarkan anak-anak kita dan sudah pasti akan mewujudkan satu generasi Islam yang cemerlang. Apalagi sekiranya setiap saat ketika menyediakan hidangan itu, kita titipkan zikir dan doa. Masyaallah.....


ITALIAN CROCK POT BEEF STEW
Masyaallah...kunyahan daging yang lembut dan relai dalam mulut berserta rasa masam dan manis yang seimbang sungguh lazat dan berzat. Carrot dan kentang juga hancur tanpa perlu kunyahan menjadikan stew ini sungguh istimewa dan sesuai untuk semua golongan tua dan muda. Rasa rempah tyme,oregano, jintan putih, lada hitam dan keunikan daun kemuning/selasih (basil leave) pasti membawa kita jauh ke Eropah. Kelazatan ini kita sulam dengan rasa bersyukur akan nikmat Allah dan segala kebesaran mencipta segala kelainan atas muka bumi ini. Memang berbaloi untuk mencubanya....

Sebenarnya resepi asal telah diubah ikut versi selera FCU. Yang penting....kesenian dan ketulinan rasa stew itu tetap dikekalkan . Cooking class ini membawa para pelajar merantau jauh ke Itali melalui penerokaan internet. Apabila mereka sudah menikmati kelazatan masakan Itali, dengan sendirinya mereka ada sebab yang kuat untuk kenal budaya masyarakat Itali dan keunikan bentuk negara tersebut seperti kasut but. Dari cooking class kita masukkan pembelajaran Geographi dan History seperti dalam entri HEY!! LET'S TRAVEL WITH ME TO INDIA TO EAT DELICIOUS THOSAI.

Insyaallah...pembelajaran tentang Itali dan penerokaan secara maya oleh anak-anak akan dicoretkan dalam entri yang akan datang. Inilah indahnya bila kita homeschool anak-anak. Kita bebas menyampaikan apa sahaja dan juga anak-anak bebas untuk belajar apa sahaja tanpa terikat kepada hafalan yang pasti dilupakan kelak. Mereka seronok belajar kerana jiwa mereka bebas meneroka satu alam.



RESEPI CROCK POT ITALIAN BEEF STEW

-2 kilo daging ( daging yang ada urat dan sedikit lemak) dipotong dadu besar ukuran 1.5 inci dan direbus
  hingga betul-betul empok.
-1 cawan tepung gandum
-2 sudu makan serbuk lada hitam
-2 sudu makan thyme kering (Semua rempah mat salleh ni...saya beli dikedai rempah India. Agak mahal   
  di Langkawi. Mungkin harga di tanah besar lebih murah)
-2 sudu makan oregano kering
-1 sudu makan serbuk jintan putih
-1/3 cawan sos cili
-1/2 cawan sos tomato
-1 genggam daun basil (kemuning atau selasih)
-3 helai daun bay ( bay leave)
-Stok daging atau kiub daging. Boleh juga gunakan air rebusan daging di atas.
-2 batang carrot besar dipotong sebesar ibu jari setiap satu.
-4 biji kentang didadu besar-besar seperti carrot. Direbus hingga empok. Jangan masukkan direct ke dakam
  stew seperti carrot kerana kentang senang hancur dalam kuah. Ini akan menyebabkan kuah rasa tak sedap dan kuah menjadi  terlalu pekat.
-1/2 cawan kismis hitam  (dikecualikan kalau tak mahu. Zat kismis yang direneh sangat baik untuk otak)
-3 labu besar bawang besar didadu kecil-kecil.
-1 labu bawang putih saiz besar (dimasak khas untuk menghasilka garlic cream )
-1 biji tomato bersaiz besar.
-2 sudu besar marjerin atau mentega.

Cara:
1- Keluarkan daging yang telah empok dan masukkan ke dalam bekas besar. Jangan sampai daging itu relai
     kerana terlalu empok.
2- Taburkan garam secukupnya dan 2 sudu makan serbuk lada hitam. Gaulkan dengan 1/2 cawan tepung
     gandum hingga semua daging itu bersalut. Ambil sedikit air rebusan daging untuk proses penyalutan.
     Simpan lebihan tepung kerana terlalu bayak tepung akan membuat gravy stew terlalu pekat.


Daging disalut dengan tepung gandum.

3. Tuangkan sedikit minyak ke dalam kuali leper. Saya gunakan dulang pembakar .Goreng ketulan daging 
    dengan api perlahan. Tujuannya adalah untuk garingkan tepung penyalut daging. Tepung ini akan 
    memastikan ketulan daging tidak hancur dalam stew walaupun teksturnya sangat lembut. Gandum ini juga
    akan memekatkan stew dengan rasa yang lebih hebat dibandingkan kita tambah air tepung untuk memekat
    kan kuah. 

Daging ini digoreng secara berperingkat.

4-Masukkan 2 camca besar mentega atau majerin ke dalam kuali. Setelah cair dan panas, masukkan
    bawang besar yang sudah didadu kecil-kecil. Sebaik sahaja berbau harum, masukkan tyme dan oregano
    kering. Tumis hingga bawang berwarna keemasan. Ketika ini bau harum bahan yang sedang ditumis
    semerbak hingga ke halaman rumah. Begitulah hebatnya herba Mat Salleh ni....memang setaraf dengan
    bau rempah kita. Masukkan serbuk jintan putih dan serbuk lada hitam. Goreng hingga semuanya agak
    garing. Masukkan air rebusan daging, daging yang sudah digoreng, carrot yang didadu besar ibu jari, daun
    bay, sos tiram, sos tomato, tomato dadu, sos cili, garam dan gula secukup rasa. Daun basil dibahagi dua
    bahagian, Masukkan sebahagian ke dalam stew dan sebahagian lagi akan dimasukkan kemudian.



5. Bawang putih dimasak cara khas untuk mendapat bau yang hebat.

Cara untuk membuat garlic cream:


Bawang putih dipotong dua secara melintang dan dimasukkan kedalam periuk kecl. Masukka minyak hingga menenggelamkan setengah dari ketinggian bawang tersebut. Tutup periuk dan letak atas api perlahan. Bawang ini akan masak secara perlahan hingga isinya menjadi lembut gebu dan berbau harum sekali. Hasilnya tidak sama dengan bawang putih yang digoeng secara biasa. Kelainan cara memasak bawang putih ini akan meyerlahkan kelazatan stew.



n
 Beginilah hasil bawang putih yang digoreng peram.dalam periuk kecil. Boleh juga dimasukkan
 ke dalam oven dengan suhu yang rendah buat 3 jam.




 Isi bawang putih di tumbuk lumat sebelum dimasukkan ke dalam periuk.stew.


 6. Masukkan kentang yang telah direbus hingga empok dan separuh lagi daun basil ke dalam periuk .
     Masukkan gula dan garam secukup rasa. Keseimbangan rasa manis, masin dan masam serta bau

     daun bay serta daun basil menyerlahkan identiti stew Itali ini.

     Lima minit kemudian angkat dari dapur. Dengan ini, kita akan rasa kesegaran daun basil dalam gravy.


Stew ini dimasak dengan api yang perlahan buat jangka masa yang lama hingga
 semua bahan-bahannya akan hancur dalam mulut kita.









Stew sebenarnya dimakan dengan roti. Kami telah ubah resepi asalnya agar sesuai untuk dimakan dengan nasi. Nasi minyak, sambal belacan, sayur goreng tepung dan stew memang satu gandingan yang hebat. Anak-anak sangat menyukainya dan mencadangkan resepi ini menjadi hidangan khas sekiranya kami buka
restaurant kelak. Macam-macam.....Memang sedap sekali.



Nasi minyak ini sangat simple. 
Tidak perlu nasi minyak yang heavy kerana Italian Stew ini sudah cukup sedap.
Dengan adanya sambal belacan, hidangan ini jadi balance antara timur dan barat. 
Inilah istemewanya hidangan ini.

RESEPI NASI MINYAK KUNING

5 ulas bawang merah di mayang untuk bahan tumis nasi
20 ulas bawang merah dimayang untuk bawang goreng

5 kuntum bunga lawang
2 inci kulit kayu manis
6 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
2 sudu mentega atau marjerin atau hanya minyak biasa bagi yang mementing kesihatan lebih dari rasa.
Sedikit tambahan minyak sekiranya terlalu kering untuk menumis bahan-bahan. Elakkan guna terlalu banyak minyak demi kesihatan.
3 ulas bawang putih dimayang
2 inci halia di cincang halus atau di tumbuk lumat.
1 sudu lada hitam
2 sudu besar serbuk jintan manis
2 sudu besar serbuk kurma daging ( Bukan kemestian. Hanya untuk lebih sedap)
Kismis hitam. Ini juga bukan kemestian. Hanya untuk lebih sedap dan juga nasi nampak lebih menarik.
Daun sup untuk ditabur atas nasi.

 Cara-cara:

1.Panaskan mentega hingga cair dan tambah sedikit minyak. Masukkan bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis, lada hitam dan buah pelaga. Tumis hingga wangi dan masukkan hirisan bawang merah dan bawang putih. Tumis hingga berwarna perang dan wangi dengan api yang sederhana sahaja. Jangan sampai terlalu garing kerana akan menyebabkan nasi rasa pahit nantil Masukkan serbuk jintan manis dan serbuk kurma dan sedikit air. Tumis hingga rempah garing dan berbau wangi.

2. Masukkan air dan beras yang telah di basuh cuci. Nisbah air dan beras adaalah seperti masak nasi biasa. Masukkan serbuk kunyit untuk dapatkan nasi berwarna kuning. Elakkan mengguna pewarna kuning kerana tidak bagus untuk kesihatan. Bila dah kering air, masukkan kismis  dan kacau. Kecilkan api setelah air nasi kering



  Kerangukan sayur goreng ini menambahkan impact kelazatan
 hidangan campuran timur dan barat ini.


RESEPI SAYUR GORENG BERTEPUNG

-Bayam (diambil bahagian daun dan juga batang)
-Bawang besar kuning (bawang besar biasa pun boleh. Bawang kuning lebih lembut dan manis. Bawang
 dipotong bulat atau separuh bulat sekiranyan bawang itu besar)
-Carrot yang dipotong pnjang-panjang dan nipis.
-1 biji telur
-tepung beras dan sedikit tepung gandum untuk dapat hasil yang lebih baik
-sedikit serbuk kari daging atau apa-apa rempah serbuk ikut cita rasa.
-garam dan sedikit gula ikut cita rasa
-Air ais (untuk menjadikan juadah lebih rangup)
Goreng dalam minyak yang banyak seperti goreng pisang,
Selamat mencuba dan hayati kelazatan yang Allah ciptakan dalam hidangan ini.


ORIGINAL RECIPE OF ITALIAN CROCK POT BEEF STEW

Ingredients
  • 2 Tbsp cooking oil, divided
  • 2 lb beef round roast
  • Salt
  • 1 large onion, sliced into thin wedges
  • 2 large carrots, cut into 2 inch pieces (split in half if they
  • 8 oz red potatoes, skin-on, quartered
  • 1 14.5 oz can reduced-fat/sodium chicken broth
  • 6 oz tomato paste
  • 1 cup red wine
  • 4 clove garlic, minced
  • 1 sprig rosemary (or 1 tsp dried)
  • 2 sprigs each thyme, and oregano (or 1/2-1 tsp each dried)
  • 2 Tbsp cornstarch
  • 1 cup spinach leaves, chopped
  • 1 cup basil leaves, choppedI

Rabu, 5 Oktober 2011

CARROT RICE AND MASALLA BEEF

It has been so long since I have my last cooking class. Frankly speaking, I avoid to have any connection with cooking during fasting month.
Yesterday, my mom asked me to join the mission in the kitchen. In other word, we were having an exciting activities dealing with knife and chopping board. This time, we made carrot rice and masala beef. What a perfect match for our lunch. Thank You Allah....

We need a big pot when cooking a special meal.
My mom said that the big pot would produce a lots 
of steam that help to cook rice properly. So..it was
time to have a feast.



I loved cutting meat, chicken, potatoes and vegetables 
but not chilies. Usually it took hours to finish cutting
the whole lots. Alhamdulillah my brother Tajrid helped 
me to make it faster.



My mother kept on remind me to stir the rice 
every 10 minutes when it was nearly cooked.
The process would prevent the rice from 
having a thick crust at the bottom. 
Wow !! The smell made me really hungry.




At last, carrot rice and masala beef were on the table. 
Where was everybody? Lets eat together. 
Read doa first and praise Allah for the food. 
Alhamdulillah....


( GUIDANCE CORNER )
Sekali sekala, masak nasi yang best sikit untuk family. Kalau  nak beli kat luar, memang kena keluarkan duit yang banyak untuk menjamu family yang besar ini. Itupun belum tentu sedap. Bagaimana dengan kebersihannya dan juga bahan-bahan yang digunakan? Sebilangan peniaga memasukkan bahan perasa untuk jadikan masakan lebih lazat. Jimat...tak perlu masukkan bahan- bahan mentah lain dengan banyak. Itulah hakikat di sebalik hidangan lazat di restaurant atau gerai kegemaran kita.

Apabila kita memasak untuk keluarga, bermakna kita berhasrat  untuk melanjutkan "kehidupan" kepada yang tersayang. Di sinilah seorang ibu memainkan peranan yang penting membentuk keperibadian anak-anaknya secara kerohanian. Bermula dengan niat untuk Allah. Makanan yang dimasak adalah untuk para pejuang Allah. Niatlah yang hebat-hebat dan sebanyak mungkin. Insyaallah...makananan yang dimakan akan mengorak mengikut apa yang telah diniatkan sepertu kueh dan acuannya. Bila dah niat yang terhebat, pastilah masakan itu akan jadi sedap dimakan. Apalagi jika ibu yang menyediakan masakan itu sentiasa mencari ilmu dalam mempertingkatkan kualiti pemakanan keluarga.

RESEPI NASI KARROT:

Bahan-bahan (10-13 orang )

Bahan A - dikisar
    * 2 sudu besar lada putih
    * 3 sd besar jintan manis
    * 10 ulas bawang putih
    
Bahan utk menumis:
    * Buah pelaga, Bunga lawang
    * Bunga cengkih, Kulit kayu manis

Bahan-bahan lain:
    * 6 cawan beras (cuci & toskan)
    *2 batang carrot dipotong 1.5 inci panjang dan dipotong halus memanjang
    * 10 biji cili api (boleh kurangkan sekira tak mahu pedas)
    * 4 tomato (potong dadu & campurkan gula batu sedikit)
    * 3 biji bawang besar (di hiris)
    * 5 sd besar minyak sapi
    * 4.5 cawan air rebusan daging. Gunkan air rebusan daging untuk masak masalla
    * 1 cawan santan pekat (susu)
    * garam
    * daun pandan 
    * Kismis hitam (warna lain pun boleh)
    *Daun sup untuk tabur atas nasi
    *Bawang goreng untuk tabur atas nasi

Cara-cara 
1. Panaskan minyak sapi, tumis bawang besar hingga kekuningan. Masukkan bahan penumis, bahan
    A, cili api, garam, dan biarkan hingga naik bau.2.2. Masukkan air rebusan daging, santan, tomato 2. Masukkan air rebusan daging, santan, kismis, tomato, daun pandan dan beras yg digaul bersama    
    carrot.     
3. Kacau kerap-kerap supaya tidak berkerak. Apabila kering, kecilkan api dan kacau kadang- kadang
    supaya nasi masak sekata.


RESEPI DAGING REMPAH GARAM MASALA:

Bahan-bahannya
2 KG daging tanpa tulang
7 sudu kecil rempah garam masala
6 biji bawang besar (2 blend and 4 dadu besar-besar)
17 ulas bawang putih
4 inci halia
4 sudu kecil jintan manis
4 sudu besar serbuk rempah kari
7 sudu besar serbuk rempah korma
2 1/2 cawan santan pekat
1 cawan air
10 tangkai cili kering
5 batang kulit kayu manis+6 kuntum bunga lawang
7 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih
4 sudu besar kicap manis
2 sudu besar kicap pekat
Cara-cara:
1. Potong daging sederhana tebal (bentuk kiub). Rebus daging hingga mendidih. Tutup periuk dan gunakan api kecil sahaja. Biarkan hingga daging empuk betul.
    TEKNIK MENGEMPUKKAN DAGING:
    - Boleh masukkan seketul gula batu (saiz telur puyuh) dalam air rebusan.
    - Ataupun masukkan akar daun pandan dalam air rebusan.
    - Membungkus daging yang akan dimasak dengan daun betik selama beberapa jam.
    - Memasukkan sendok ke dalam air rebusan daging
    - Rebus air dengan sedikit beras hingga mendidih baru masukkan daging dan rebus hingga      
      empuk. 
    - Perapkan daging dengan parutan nenas sebelum dimasak.

    2. Kisar halus bawang besar, halia, cili kering. Panaskan api dan tumis daun kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga dan bahan yang telah dikisar tadi. Tumis sehingga naik bau.
    3. Campurkan rempah kari, rempah korma dan garam masala, jadikan pes dan curah dalam periuk, kacau sebati, dan biarkan bahan tumisan agak garing, selepas itu masukkan daging.

    4. Kemudian masukkan santan, air, kentang serta kicap pekat dan kicap manis. Masukkan garam dan gula sesuka rasa. Masak hingga daging dan kentang empuk. Angkat apabila kuah sudah pekat dan pecah minyak.                      

    Panduan Pemakanan Mengikut Islam :

    Islam sebagai agama luhur bukan setakat mengajar umatnya mengenai amalan ibadah semata-mata, sebaliknya Islam melengkapi segenap lapangan kehidupan manusia. Apa saja gerak kerja telah disediakan panduan lengkap, padat dan penuh berhikmah buat manusia. Hal itu termasuk dalam aspek gaya pemakanan.

    Mengapa Islam turut memberi penekanan soal pemakanan? Di sini kita sewajarnya menelusuri sirah perjalanan Nabi s.a.w yang sentiasa mempamerkan jalur penghidupan terbaik yang mengajar umatnya bagaimana etika makan dan minum. Inilah yang dikatakan Islam bersifat universal dan menyeluruh.


    Misalnya, dalam satu peringatan Allah berfirman, “Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 168).


    Ayat ini suatu panduan proaktif dalam membina kekuatan jasmani, emosi dan rohani manusia yang murni. Makanan halal lagi baik menjadi teras dalam ajaran Islam yang bukan semata-mata menjaga kelangsungan sihatnya jasmani, tetapi juga akan memercikkan kesihatan jiwa dan hati.

    Malah, Islam meletakkan kebersihan dan kesempurnaan adab dan aturan pemakanan sebagai satu prasyarat dimakbulnya doa oleh Allah. Mukmin yang sentiasa memenuhkan perutnya dengan sumber makanan haram bukan saja dilarang Allah, tetapi segala munajat doanya tidak diperkenankan Allah.


    Dalam satu kisah yang diceritakan Ibnu Mardawaih yang diperoleh daripada Ibnu Abbas bahawa seorang sahabat Rasulullah, iaitu Saad Ibn Abu Waqqas memohon kepada Rasulullah supaya Baginda memohon kepada Allah agar dikabulkan segala doanya.


    Berkata Rasulullah kepada Saad, “Wahai Saad. Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan haram ke dalam perutnya, tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api lebih baik baginya.”


    Justeru, melalui kisah tersebut nyatalah Islam sangat memberikan penekanan kepada aspek pemakanan dengan mengajak seluruh umatnya supaya berhati-hati memilih makanan serta menjauhi sumber haram.

    Islam juga menekankan kepada gaya pemakanan yang bercorak sederhana dan tidak melampau. Menurut Imam Al-Ghazali terdapat enam sifat tercela yang berlaku akibat pola pemakanan yang melampau atau berlebihan. 

    Kata beliau, antaranya timbul sikap malas untuk beribadah kepada Allah, tidak memberi tindak balas apabila mendengar perkataan yang penuh hikmah, apabila menyampaikan nasihat dan hikmah, maka penyampaiannya itu tidak menyentuh hati ramai orang. Yang paling penting kata Imam Al-Ghazali ialah akan menimbulkan banyak penyakit.


    Demikian impak negatif daripada budaya pemakanan berlebihan. Kerana faktor itulah Islam menunjukkan jalan yang penuh berinti pati pencegahan, iaitu dengan mengamalkan pola pemakanan seimbang dan sederhana.

    Dalam dunia serba moden, kita sentiasa disajikan di depan mata dengan aneka menu yang menyelerakan sehingga ada kalanya kita terlupa segala pesanan Rasulullah dan peringatan Allah agar bersederhana dalam makan dan minum.


    Semua yang dilarang Allah mempunyai hikmah bermanfaat buat umat.
    Misalnya, Allah berfirman, “Makan dan minumlah kamu, jangan melampaui batas.” (Maksud Surah Al-A’raf ayat 31). Dalam ayat ini, Allah memerintahkan kita agar tidak melampau dalam aspek makan minum. Dengan erti kata lain, seseorang mukmin perlu bersederhana dan tidak mengikut nafsu.


    Peringatan Allah supaya kita tidak berlebih-lebihan dalam makan minum ditinjau daripada perspektif sains kesihatan sememangnya menepati kehendak piawai sains moden. Terangkum padat dalam arahan Allah itu kemanfaatan buat umat manusia yang memelihara kualiti kesihatan fizikal dan mental.



    Mari kita hayati sejenak apa yang pernah Nabi Daud wasiatkan. Katanya, “Kesihatan adalah nikmat yang tersembunyi, ia seperti mahkota di atas kepala orang yang sihat dan hanya dilihat oleh orang yang sakit.


    Bagaimana saudaraku yang dirahmati Allah? Betul atau tidak apa yang dikatakan Nabi Daud itu?

    Sudah tentu kita bersetuju 100 peratus apa yang diluahkan baginda itu, tetapi memahami saja tidak mencukupi. Kita seharusnya menghayatinya dalam amalan kehidupan seharian.


    Dr Adi Hashman, penulis buku ‘Mengapa Rasulullah s.a.w Tidak Sakit’ ada mengatakan dalam karyanya bahawa status kesihatan individu dipengaruhi makanan. Katanya lagi, faktor ini penting kerana menjadi faktor yang dapat dikendali dan dikawal. Orang yang memiliki prinsip ‘hidup untuk makan’ sebenarnya mempercepatkan ajal seperti menggali kubur dengan giginya sendiri.


    Pelbagai penyakit muncul pada era moden ini berkaitan pola makan yang berlebihan serta sistem pemilihan makanan yang tidak betul atau makan dengan kekerapan tidak teratur.

    Pada zaman Rasulullah terdapat seorang tabib atau doktor yang mendalami ilmu perubatan Galenik iaitu Haris Ibnu Kaladah dan beliau merumuskan ‘Perut itu punca segala penyakit.’ Manakala Rasulullah sendiri ada mengatakan, “Perut itu gudang penyakit.” (Hadis riwayat Muslim).

    Jadi, untuk memastikan kualiti kesihatan jasmani dan emosi kita berada pada tahap berpiawai tinggi seharusnya kita menyusuri panduan yang diperturunkan Rasulullah khususnya dalam aspek pemakanan itu.


    sumber:
    http://intim.wordpress.com/2011/07/16/panduan-pemakanan-mengikut-cara-islam/



    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...