TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Memaparkan catatan dengan label ROADSCHOOLING. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ROADSCHOOLING. Papar semua catatan

Selasa, 29 Oktober 2013

NATIONAL FIELD DAY DI TASIK BERJEMUR, PAHANG

Pada pagi Khamis (12.9.2013), FCU mula bergerak dari STATION 2 FCU (Pasir Gudang) menuju Pahang. Ini adalah penjelajahan sulung kami meneroka hutan belantara dan merupakan satu turning point bagi FCU itu sendiri dan paling istimewa bagi FCUROADSCHOOLING. Roadschooling yang bermula pada tarikh 21.12.2011 telah banyak mengubah pembelajaran para pelajar kami ke satu level yang lebih baik dan cemerlang. Penjelajahan seluruh Semenanjung Malaysia yang kerap kami lakukan iaitu sepanjang 2012 dan 2013, telah banyak membuka minda para pelajar dan menjana ilmu yang tidak mungkin dapat dicari dalam buku teks sekolah atau mana-mana buku pun. Buku minda mereka sentiasa berkembang dan terus berkembang kerana ilmu yang digali sudah beranak pinak. Inilah ciri-ciri ilmu yang dirahmati oleh Allah, tidak mungkin ada penghujungnya.

PERJUANGAN SULUNG WIRA-WIRA FCU

Maka bermulalah episod perjuangan wira-wira kami yang selama ini dibelai dan dimanjakan. Sesuai dengan ciri-ciri 4WD, kehebatan dan kebolehan mereka perlu diuji ke tahap maksima sebelum mereka layak untuk meneroka dunia ciptaan Allah yang lebih luas dan mencabar. Gambar dibawah diambil sebaik sahaja mereka sampai di Petronas Kelibang, Pulau Langkawi setelah melalui perjalanan yang panjang dari hutan Pahang.

  Mitsubishi Pajero L047 

 Nissan Frontier

Mitsubishi Pajero Exceed

NATIONAL FIELD  DAY

Aktiviti National Field Day ini adalah merupakan latihan kesiapsiagaan kepada pengemar radio amatur untuk menguji kemahiran komunikasi ketika berlaku kecemasan. Dimasa kecemasan berbagai-bagai kemungkinan akan berlaku seperti ketiadaan sumber elektrik dan sebagainya. Dengan adanya latihan simulasi sedemikian ianya dapat menguji persediaan peralatan komunikasi yang disediakan. Program ini dijalankan di seluruh Malaysia dibawah penganjuran MARL (Malaysian Amateur Radio League)  iaitu bermula pada 15hb Sept 2013 jam 2100 hrs sehingga 16hb Sept 2013 jam 2100 hrs.

Atas inasiatif jawatankuasa PERAMAH Temerloh & Jengka dengan kerjasama Kelab K'DAU Advanture, lokasi FD kali ini adalah di Tasik Berjemur, Sg Tekal, Jerantut, Pahang.

FCUPRODUCTION sedang merakam video beberapa ahli Persatuan Radio Amatur Pahang sedang membuat latihan simulasi dengan ahli-ahli lain di seluruh Malaysia dibawah penganjuran MARL (Malaysian Amateur Radio League). Untuk pengetahuan lanjut bolehlah lawati: 

Callsign Yang Telah Mengambil Bahagian Untuk National Field Day (NFD) :

1. 9M2SHQ - Sg. Congkak Hulu Langat, Selangor (MARES)
Station Master : 9M2SQL

2. 9M2STR - Paka Industrial Park, Terengganu
Station Master : 9M2AVB

3. 9M2SJR - Rumah Kelab JASRA, Bandar Baru Uda, Johor Bahru
Station Master : 9M2BAL

4. 9M2SRT - Bkt. Kledang, Ipoh, Perak (PARTS)
Station Master : 9M2SLJ

5. 9M2SKK - Taman Rekreasi JPS Kuala Kangsar
Station Master : 9M2AGC

6. 9M2SPG - Fort Cornwallis, Penang
Station Master : 9M2DY

7. 9M2SKB - Kuala Kubu Baru, Selangor (HUSAR)
Station Master : 9M2YRS

8. 9M2SMM - Pulau Besar, Melaka
Station Master : 9M2YOT

9. 9M2SKT - Kelantan*

10. 9M2SPJ - Tasik Berjemur, Sg. Tekal, Jerantut, Pahang
Station Master : 9M2RDX

11. 9M8SKS - Sarawak*

12. 9M6SWR - Sabah*

Gandingan 4x4 group (Kelab K'DAU Advanture) dengan Persatuan
Radio Amatur jelas digambarkan  dalam logo adventure ini.

Kek yang dibuat sempena event ini.


FCUPRODUCTION terlibat dalam pembuatan video sepanjang NFD ini berlangsung. Pendedahan sebegini sangat membantu dalam pembelajaran homeschool pelajar kami teruramanya Hafidz yang sedang meningkat remaja.


Semua ahli 4x4 berkumpul di Bandar Jengka. 
Mereka datang dari berbagai negeri termasukklah 
FCU iaitu dari Langkawi. Inilah peluang untuk berkenalan 
dan merapatkan ukhwah sesama kami.

Secara rasminya YB Wan Salman Adun Jengka melepaskan
26 buah 4WD memulakan perjalanan ke dalam
hutan belantara Pahang menuju Tasik Berjemur.


    Hafidz dan Afiqah sedang menikmati juadah makan tengahari di tepi
jalan dalam hutan. Ketika    ini masih dalam perjalanan
           menuju Tasik Berjemur.
                         

Peringkat awal perjalanan kami menyusur jalan merah yang
bengkang bengkok dan penuh dengan lubang.


Akhirnya jalan menjadi sangat sempit dan merbahaya kerana
terdapat banyak lubang dalam yang mesti di harungi.
Pengalaman ini sangat penting buat kami untuk
menambah ilmu tentang hutan.

Saat genting bagi wira kami untuk menyusur jambatan batang pokok.
Jambatan ini adalah hasil usaha gotong royong para peserta.


Perjalanan kami melintasi sebuah perkampungan orang asli.


Akhirnya ketiga-tiga wira kami berjaya sampai di Tasik Berjemur.

Wira-wira 4WD berehat di tepi Tasik Berjemur selepas 
melalui perjalanan yang mencabar.


Inilah dua khemah kami yang menjadi "rumah idaman"
kanak-kanak dan wanita FCU di Tasik Berjemur.


Ini adalah antara khemah yang telah didirikan oleh para peserta lain. Oleh
kerana mereka sudah biasa dengan adventure dalam hutan, perlengkapan
mereka lebih canggih. Kami banyak belajar dari mereka yang
sudah berpengalaman dan Insyaallah akan lebih kemas lagi untuk
adventure yang akan datang.

Khemah terbuka ini didirikan buat kaum lelaki. Di sinilah
kebanyakan FCU guys berkampung untuk merakam segala
aktiivti NFD samaada siang ataupun malam.


Indahnya pemandangan Tasik Berjemur di ambang senja. Sungguh permai dan damai alam ciptaan Tuhan. Musik belantara dari penghuninya sentiasa bersahutan sayup-sayup jauh kedengaran. Inilah warisan kita, Malaysia bumi bertuah. Adalah tanggungjawab kita untuk terus mengekalkan keasliannya dari segala kedurjanaan sesetengah manusia yang hanya mementingkan diri.


Pada malamnya, aktiviti panggang memanggang hasil tangkapan
di Tasik Berjemur menjadi pilihan para peserta.


Tetamu yang tidak diingini datang menjengok. Alhamdulillah
berjaya ditangkap dan diikat dengan tali. Bayangkan sekiranya
ular sawa ini membelit salah seorang dari peserta NFD.
Apabila kita masuk hutan, risiko sebegini memang
tidak boleh dielakkan. Disinilah kita belajar berbagai ilmu
yang membolehkan kita hidup di dalam hutan dengan selamat.

Salah satu wira kami sedang menerima rawatan dari pakar 4WD.
Dengan cara ini, wira-wira kami akan jadi lebih mantap apabila
satu demi satu kelemahan dapat dicari. Pengalaman dari
pakar-pakar yang sudah arif dengan adventure dibelantara
sangat penting untuk kami. Insyaallah...kami
sedang mempersiapkan diri untuk kembara ke luar negara pula.

Sepanjang penjalanan, ada sahaja wira-wira yang mengalami masaalah.
Yang istimewanya, dalam setiap kembara pasti ada pakar yang sangat arif
dalam apa sahaja bentuk pembaikan 4WD. Mereka akan
mengembeling tenaga untuk menyelesaikan segala permasaalahan.
Semangat setia kawan dan kasih sayang sesama insan sangat
diutamakan dalam setiap advanture.

Dalam setiap pembaikan, Hafidz tidak akan melepaskan peluang untuk
menggali ilmu mechanic. Sesungguhnya Roadschooling sangat
bererti kepada pembelajaran di luar kotak.Kami memang target
untuk memberi peluang kepada Hafidz untuk explore dunia 4WD
termasuklan memandu di dalam hutan. Cabaran sebegini akan
mematang jiwa remajanya yang sentiasa inginkan
kelainan dan explore new thing.

Berbagai acara sukan neka diadakan buat kanak-kanak. Afiqah dengan
sedaya upaya cuba mengatasi rakan barunya.


Afiqah sedang menerima hadiah kemenangannya. Semua peserta mendapat hadiah sagu hati. Keriangan jelas terpancar di wajah kanak-kanak yang sememangnya menjadi nadi kemeriahan advanture ini. Walaupun advanture 4WD sangat lasak, setiap kembara mereka pasti diikuti           oleh isteri dan anak-anak. Dengan lain perkataan, aktiviti 4WD sangat mementingkan kasih sayang dan penambahan ilmu penguasaan hutan dan pengendalian kenderaan itu sendiri.

Afiq dan Afiqah sedang berkayak.

Peluang berenang sepuas-puasnya buat Afiqah.


Dalam masa yang sekejap sahaja, Afiq dan Afiqah sudah ada
kawan baru. Sesungguhnya homeschooling tidak menghalang
mereka untuk bersosial. Malah mereka menjadi tumpuan untuk
rakan-rakan lain bertanya tentang homeschool dan
kehidupan mereka sebagai pelajar.

FCU ROADSCHOOLING

 
Walaupun di dalam hutan belantara, pembelajaran tetap diteruskan.
Alyssa sedang membaca buku kegemarannya.

 
Homeschool membuat mereka sentiasa ingin ambil tahu terutamanya
mengenai alam sekeliling. Ketika ini mereka sedang mengutip batu sungai
yang menarik dan berbagai bentuk.

Kami tidak melepaskan peluang untuk meneroka kawasan hutan
di sekelilingtapak perkhemahan bersama para pelajar.
Berbagai flora dan fauna yang tidak pernah kami lihat sebelum
dapat dipelajari. Bunga yang cantik ini...hingga
kini kami masih tidak tahu namanya.

Buah senduduk merah ini menjadi tumpuan para pelajar kami. 
Rasanya manis dan sungguh enak terutamanya di tengah 
belantara yang pasti mustahil untuk mendapatkan 
buah anggur, pear dan epal.

Gugusan buahnya bagaikan buah anggur. Bentuk daun juga hampir sama.
Namun rasanya sangat berbeza. Maha Suci Allah mencipta segalanya.


Kami berpeluang melihat kepulan awan membentuk kalimah Allah
di Tasik Berjemur. Masyaallah...Semoga adventure ini
mendapat keberkatan dari Ilahi.


Pada waktu malam pula, kami mengambil peluang untuk menjejak bintang
di langit belantara Tasik Berjemur. Malam sungguh indah di hiasi bulan hampir mengambang penuh. Keistimewaan jauh dari cahaya lampu dan riuh rendah di luar sana sangat memberi impak kepada suasana pembelajaran astronomi. Aktiviti mencerap bintang juga dapat dilakukan sepanjang malam kerana kami baring di atas tikar dan beratapkan langit yang luas terbentang. Peluang keemasan ini pasti tidak kami sia-siakan dan menjadi satu kenangan manis buat para pelajar.

Bersalam-salaman sebelum berpisah. Dalam masa tiga hari dan
dua malam ini, semua peserta telah menimba pengalaman
berguna dan masing-masing akan pulang ke destinasi tersendiri
dengan kenangan manis di Tasik Berjemur.

Gambar kenang-kenangan sebahagian dari ahli FCU sebelum kami menghidupkan enjin wira-wira kami untuk ke destinasi seterusnya sebelum menyambut lambaian Pulau Langkawi yang menggamit kepulangan kami.




Isnin, 7 Oktober 2013

TRANSFORMATION OF FOUR WHEEL DRIVE AND ROADSCHOOLING.

Tarikh Rabu, 21 Dec. 2011 adalah merupakan satu turning point dalam pembelajaran FCUHOMESCHOOLING. Kenangan penjelajahan sulung ini telah saya abadikan dalam posting SIRI 1 (BERANGKAT): CACATAN PENJELAJAHAN FCU SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA.

Sejak tarikh tersebut kami telah membuat penjelajahan demi penjelajahan ke merata tempat seluruh semenanjung. Pembelajaran sudah tidak lagi hanya bertempat di STATION 1 FCU( LANGKAWI) atau di STATION 2 FCU (PASIR GUDANG, JOHOR). Biasanya kami akan berada di Langkawi selama sebulan dan akan berada di Johor pula selama sebulan. Perjalanan pergi balik dari Langkawi ke Johor akan mengambil masa selama dua minggu. Ini bermakna kami berpeluang membuat ROADSCHOOLING dalam setiap perjalanan yang panjang itu. Sepanjang persinggahan di mana-mana homestay, chalet, apartment dan hotel, semuanya banyak memberi impak kepada pembelajaran kami. Tempat-tempat yang dilawati juga telah mematangkan para pelajar dalam tempoh 2011 hingga 2013.

Pada awal 2013 kami telah mula membuat transformasi kepada 3 wira kami yang telah banyak berjasa sepanjang penjelajahan ini. Kalau dulu mereka hanya meluncur laju di atas jalan-jalan seluruh Semenanjung Malaysia. Kini, kami melangkah selangkah lagi dengan meneroka jauh ke dalam hutan dimana wira-wira ini terpaksa melalui jalan yang tidak menentu dan melintasi sungai yang deras untuk membawa kami meneroka hutan-hutan di Malaysia. Pembelajaran ROADSCHOOLING kami menjadi lebih rancak dan lebih bermakna terutamanya kepada Alyssa dan Adelyn yang membesar di atas jalan. Tentu banyak sekali input perjalanan yang telah mereka serap ke dalam minda mereka dan semua ini adalah modal berharga yang tidak mungkin dapat dijual beli. Insyaallah, akan saya kongsi sedikit sebanyak tentang penjelajahan belantara Semenanjung Malaysia dalam posting yang akan datang. Pengalaman perjalanan bahaya di dalam hutan sangat penting buat kami dalam persediaan untuk menrealisasikan cita-cita kami menjelajah dunia melalui jalan darat pada masa akan datang. Semoga Allah mentakdirkan semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan. Saya pasti, pembelajaran generasi FCU akan lebih bermakna dengan segala pengalaman yang bakal mencorak kehidupan mereka. Bila? Kita hanya bisa merancang dan selebihnya adalah kuasa Allah.


TRANSFORMASI WIRA-WIRA FCU





Hafidz (sedang mencangkung) banyak belajar tentang cara-cara penambahan peralatan kereta 4WD. Insyaallah FCU guys akan membuat sendiri segala penambahan ini pada masa akan datang. Buat masa sekarang, mereka mesti menambah banyak lagi ilmu tentang pembinaan kereta dan spare partnya. Dalam usia 13 tahun, Hafidz telah mempelajari banyak ilmu yang hanya digali oleh orang dewasa. Pembelajaran skil kehidupan sebeginilah yang membuat pembelajaran sekolah biasa tidak dapat menandingi pembelajaran homeschool. Ini adalah satu hakikat yang tidak dapat disangkal kerana homeschool mengajar ilmu yang dipraktikkan dalam kehidupan sebenar. 

Dalam kamus pembelajaran mereka tidak wujud istilah ilmu dipelajari hanya untuk dihafal dan dilupakan selepas itu. Mereka belajar sesuatu yang perlu mereka gunakan dan ilmu itu terus berkembang dari level diploma ke level ijazah dan terus ke level pakar iaitu PhD. Ini telah kami buktikan dalam FCUPRODUCTION di mana semua crewnya adalah self learning at home (homeschool). Hanya dalam beberapa tahun sahaja mereka sudah berjaya meletakkan taraf mereka ke peringkat profesional dimana syarikat-syarikat besar seperti SHELL, SIMEDARBY, MMHE (Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd) dan syarikat persendirian luar negara yang beroperasi di Malaysia telah menggunakan khidmat mereka untuk membuat video korporate syarikat masing-masing. Saya sebagai ibu merasa sangat bangga dengan pencapaian mereka dan kejayaan ini telah meletakkkan taraf homeschool di Malaysia ke satu level yang lebih tinggi.


 
Hasil transformasi dengan izin Allah jua....

 
Hasil transformasi dengan izin Allah jua....


  
Wira-wira kami masih "manja" lagi ketika ini kerana hanya menyusur jalan raya yang luas dan hebat tanpa apa-apa halangan. Tayar-tayarnya masih mencengkam tar dan bukan selut di hutan. Badan mereka juga sangat mulus tanpa calar duri-duri bertam dan tumbuhan liar yang menghiasi hutan belantara. Mereka juga belum bertarung dengan jalanan yang berlopak dalam dan sungai deras yang boleh membalikkan mereka.

   
Ketika ini juga, mereka belum lagi kami uji sejauh manakah kehebatan mereka meredah hutan belantara dan melindungi kami hingga sampai ke destinasi dengan selamat. Allah jua menentukan segalanya.

MONSTERS ON THE ROAD
Video FCUPRODUCTION: Sebahagian dari ahli kelab 4WD LANGKAWI yang membuat perjumpaan menyusur jalan raya di Pulau Langkawi.

*Please watch in HD by clicking HD at the bottom right corner of the video...... Sila lihat video di dalam HD dengan klik HD di kanan bawah pada video.....

Khamis, 5 Januari 2012

SIRI 1 (BERANGKAT) : CACATAN PENJELAJAHAN FCU KE SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA



( GUIDANCE CORNER )
MEMORI KHAS BUAT TATAPANMU WAHAI  PENJAGA  LANGKAWI

PERCUTIAN KELUARGA
Dengan izin Allah, FCU telah memulakan percutian keluarga di perakhiran 2011 dan di ambang 2012. Percutian panjang itu bermula pada hari Rabu, 21 December 2011. Perancangan ini telah diatur dengan rapi kerana percutian kali ini melibatkan hampir seluruh ahli keluarga FCU. Kali ini kami akan menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia, bermula dari Kedah.




Jasa kamu sangatlah kami hargai

Inilah dua kenderaan kesayangan kami yang akan membawa FCU menjelajah segenap peruk Malaysia. Kedua-duanya telah berjasa dalam menyempurnakan banyak misi kami dan kali ini, sekali lagi menjadi taruhan kami untuk meredah apa jua keadaan dalam musafir panjang ini. Yang pasti...perjalanan ini akan berlanjutan hingga ke tahun 2012 dan tarikh pengakhirannya bergantung kepada perancangan Allah.

Misi utama percutian ini adalah untuk pengisian kerohanian setiap individu FCU bagi 2012. Sudah pastilah pencarian bonsai adalah antara aktiviti yang utama selain menambahkan lagi ilmu di dada.


Suasana pagi yang segar dan nyaman menyambut ketibaan rombongan kami.
PERANCANGAN YANG TELITI
Sebelum subuh lagi kami sudah bangun dan siap berpakaian. Sebaik sahaja selepas solat subuh berjemaah, kami terus bergerak ke Jeti Kuah untuk menaiki bot yang terawal. Bila bergerak dalam kumpulan yang ramai, disiplin setiap ahli sangat penting agar segalanya ikut perancangan dan tepat pada waktunya.



Menunggu ketibaan bot kami dengan tenang di balai ketibaan Jeti Kuah.


Suasana di balai ketibaan Jeti Kuah sudah ceria dengan penumpang seperti kami yang ingin keluar dari Langkawi seawal yang mungkin. Rupanya ramai juga penduduk Langkawi yang berurusan di awal pagi. Kami memerlukan 3 buah troli untuk mengangkut segala barangan 11 orang dewasa (termasuk Hafidz), 3 orang kanak-kanak dan juga segala peralatan kamera FCUPRODUCTION. Jelaslah perjalanan ini adalah satu perjalanan yang sangat menarik kerana kami akan membuat liputan video apa sahaja peristiwa yang menarik di sepanjang penjelajahan ini.

DOA-DOA SEBELUM MEMULAKAN PERJALAN

Apabila kita dalam perjalanan terutamanya yang jauh dan ambil masa yang lama, doa-doa sebelum dan semasa perjalanan sangatlah penting. Kita bakal menempuh banyak kemungkinan yang jarang kita tempuhi. Apalagi sekiranya kenderaan adalah sebagai taruhannya , setiap individu yang menaikinya mestilah  sentiasa berdoa agar ditolak segala bala petaka dan dikurniakan segala keajaiban pada kenderaan agar sentiasa dalam keadaan terbaik untuk melaksanakan misi penting ini.



1)


Dengan Nama Allah (semoga) menyertai perjalanan dan selamatnya kendaraan ini. Sungguh, Tuhanku, benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. 
 (Dari Alqur'an Surah Hud 11 : 41)

2)


Artinya :


Dengan memohon pertolongan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Maha Suci Allah yang menganugerahi kami kemampuan memanfaatkan (kendaraan) ini, sedang kami sendiri (tanpa pertolonganNya) tidak mampu menguasainya. Sesungguhnya hanya kepada Tuhan kita, kita pasti akan kembali. Ya Allah, kami bermohon kepada-Mu, anugerahilah kami dalam perjalanan ini, kebajikan dan ketaqwaan, serta usaha yang Engkau ridhai Ya Allah, mudahkanlah perjalanan ini bagi kami dan perpendeklah jaraknya. Ya Allah, Engkaulah teman dalam perjalanan, dan Engkau pula Pelindung bagi keluarga. Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari kesulitan perjalanan, kesuraman pandangan, serta bencana menyangkut harta dan keluarga.
(Dari Doa Nabi Muhammad SAW)

SEDEKAH DAN PEMBERSIHAN
Sudah menjadi amalan kami untuk menghulur sedekah kepada mana-mana anak yatim dan mereka yang memerlukan di kawasan kami setiap kali sebelum memulakan perjalanan. Setiap kali anak-anak memulakan perjalanan pulang ke rumah bercuti atau bertolak dari rumah untuk ke universiti, mereka disarankan bersedekah pada yang memerlukan atau sesiapa sahaja yang layak. Ini adalah antara usaha untuk mendapat berkat dan perlindungan Allah . Umpama pembayaran tol peribadilah.....

Selain itu kami amalkan membuat pembersihan diri agar diri yang memulakan perjalanan dalam keadaan bersih rohani dan jasmani. Pembersihan diri ini bukanlah seperti rutin harian seperti mandi dan sebagainya. Ianya lebih kepada pembersihan kepada alam sekitar samaada dalam atau luar dari rumah. Kita membersihkan alam dengan niat agar diri kita akan turut bersih rohaninya seperti apa yang kita lakukan pada alam. Sudah pastilah pembersihan ini perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh hingga terasa kepuasan pada diri.


PEMBELAJARAN HOMESCHOOL YANG PENUH ERTI
Antara yang paling teruja ialah pelajar FCUHOMESCHOOLING seperti Tajrid, Hafidz, Afiqah, Afiq dan Alyssa. Pasti ramai orang yang akan kami jumpa di sepanjang perjalanan yang panjang ini. Setiap negeri mempunyai loghat masing-masing yang berlainan dengan loghat Langkawi khasnya. Mereka akan berpeluang untuk mendengar dan belajar tentang adat-adat penduduk setempat negeri yang bakal dilalui. Apabila jauh berjalan,tentu luas pandangan. Tentu sekali banyak tempat menarik yang menanti kami di sepanjang perjalanan.

Sangat terasa keuntungan membuat homeschool apabila perjalanan yang panjang ini dapat dilaksanakan tanpa mengganggu pembelajaran anak-anak. Inilah masanya mereka akan berada dalam bilik darjah seluas semenanjung Malaysia dan menimba berbagai-bagai ilmu yang tidak ada dalam buku teks sekolah.

Hanya kesyukuran yang tak terhingga dipanjatkan pada Allah. Tidak semua orang berpeluang untuk melancung bersama keluarga yang besar seperti kami dan dalam masa yang panjang. Saya sebagai pendidik mereka, selalu ingatkan anak-anak agar banyak bersyukur kepada Allah atas nikmat yang besar ini. Di samping itu, perjalanan ini melibatkan kenderaan-kenderaaan kami yang akan meredah jalan-jalan raya yang sibuk dan juga hutan-hutan, doa yang berpanjangan sangat diperlukan agar segalanya dalam perlindungan Allah. Berbagai kemungkinan boleh berlaku dan setiap ahli perlu ada persediaan mental yang kuat.


JEJAK-JEJAK KAMI KE SERANTAU SEMENANJUNG
Ini adalah jejak yang akan kami lalui. Namun begitu, segala perancangan adalah hak milik Allah yang mutlak. Sebarang kemungkinan jejak-jejak ini bertukar arah adalah besar mengikut keadaan semasa. Penyerahan kepada Allah sangat  penting dan lalui apa yang telah ditakdirkan.





WAHAI PENJAGA LANGKAWI YANG SANGAT KAMI BANGGAKAN
Semungkin boleh, kami ingin muatkan segala perkembangan seawal yang mungkin buat tatapanmu khasnya dan juga perkongsian teman seblogger amnya. Namun ianya tidak semudah itu walaupun kebanyakkan tempat yang kami singgah ada kemudahan internet. Pada setiap persinggahan, terlalu banyak urusan penyelenggaran perlu dibuat agar perjalanan seterusnya berjalan dengan lancar. Pakaian perlu dibasuh dengan segera dan tidak semua tempat ada washing machine. Terpaksalah  basuh cepat dan guna seterika untuk mengeringnya.

Segala cacatan perjalanan ini dijadikan sebuah journal FCUHOMESCHOOLING untuk tatapan dan memori FCU sendiri. Kenangan yang amat manis ini pasti amat bermakna kepada semua pelajar homeschool kami dan akan termaktub sebagai sejarah keluarga kami.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...