TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Memaparkan catatan dengan label AL- QURAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AL- QURAN. Papar semua catatan

Rabu, 28 Mei 2014

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ




Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1)


Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah saw. Antaranya ialah kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga peristiwa penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda saw. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah swt kepada kekasih-Nya.


RINGKASAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
1) Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang2. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2) Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3) Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).

4) Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5) Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6) Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7) Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8) Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali2. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9) Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10) Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11) Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12) Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia2kan umurnya sampai ke tua.
Seorang perempuan bongkok 3 menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian Baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat 2 rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga lalu dibawa Jibrail 2 bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


NAIK KE HADRATUL-QUDUS MENEMUI ALLAH SWT

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama:
Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang2 yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua:
Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi2. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh: 
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu denan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah 5 kalimah, iaitu Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar dan Wa La Haula  Wa La Quwwata Illa Billahil - 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Langit Kelapan: 
Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi pemata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Baginda dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur' Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh:
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata2 dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia daibunya daripada syaitan.

Allah SWT:
Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik2 umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan 7 ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat2 di akhir surah al-Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji2 Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji2mu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas 9 kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

BANTAHAN ORANG QURAISY
Sekembali dari Israk dan Mikraj, Nabi Muhamad telah diragui dan ditertawakan oleh masyarakat Quraisy terutama pemimpinnya Abu Jahal dan Abu Lahab. Bagi Abu Jahal, inilah bukti Nabi Muhamad seorang yang gila dan ahli sihir kerana mana mungkin pergi ke Palestin hanya semalaman dan menjelang subuh sudah sampai di Mekah semula. Abu Jahal mempersendakan Rasulullah di Hijir Ismail di hadapan komuniti Bani Kaab bin Luay.

Namun Abu Bakar adalah orang pertama yang percaya dengan cerita itu kerana baginya Muhamad adalah seorang al Amin. Abu Bakar sentiasa membenarkan khbar langit yang Rasulullah bawa. Aisyah mencatatkan ada orang Islam yang murtad selepas peristikwa itu.

Setelah dicabar oleh Bani Kaab bin Luay, Nabi menceritakan keadaan Masjidil Aqsa hingga hampir keliru. Mujurlah saat itu Allah mendatangkan Masjid Aqsa dan diletakkan berdekatan rumah Uqail. Maka, mudahlah Nabi menceritakan masjid itu. Salah seorang dari mereka mengakui kebenaran gambaran itu kerana pernah pergi ke Masjidil Aqsa.

Selasa, 7 Januari 2014

AL-QURAN MENGHIAS KEDATANGAN 2014


Lipatan memori 2013 diikat dengan kemas dan cantik sekali dengan Peperiksaan RAE sebagai penutup tirainya. Peperiksaan  RAE adalah merupakan batu tanda bagi kejayaan FCUHOMESCHOOLING dan permulaan kepada pendedahan yang berbentuk global. Mereka akan melangkah setapak lagi sekiranya lulus peperiksaan ini iaitu dengan memperolehi lesen B Radio Amatur. Seterusnya mereka akan menduduki   peperiksaan yang lebih tinggi demi untuk mendapat lesen A Radio Amatur. Demi untuk mencapai matalamat ini, mereka terpaksa melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan Radio dan secara meluasnya ialah elektrik. Pengetahuan berbentuk akedemik ini pasti akan melengkapkan lagi diri mereka yang telah kami isi dengan ilmu kemahiran untuk hidup (ilmu fardhu ain dan kifayah, ilmu berniaga, ilmu membina rumah, ilmu perubatan traditional, ilmu perfileman, ilmu bonsai dan ilmu astronomy)

MASUKKAN SELURUH AL-QURAN KE DALAM DIRI ANAK-ANAK 
Pembelajaran Al-Quran adalah yang paling terpenting dalam homeschool kami. Malah kami sudah mulakan pembelajaran ini sepanjang 9 bulan anak-anak di dalam rahim. Proses pembacaan Al-Quran ini saya khatam berkali-kali sepanjang mengandung kesemua anak-anak. Apabila teknologi makin maju, proses khatam berkali-kali ini di tambah lagi dengan memperdengarkan alunan Al-Quran secara 24 jam melalui Mp3. Setelah lahir di dunia, kami pastikan perkataan pertama mereka sebut ialah ALLAH dengan sentiasa menyebut kalimah ALLAH baik ketika anak-anak tidur dan jaga. Sememangnya semasa dalam pantang, mereka sudah berjaya menyebut ALLAH buat pertama kalinya. Saya juga mendendangkan Al-Quran untuk menidurkan mereka. Kesenambungannya, kami menggalakkan anak-anak untuk khatam  Al-Quran di usia yang muda. Secara fizikalnya, kita telah memasukkan seluruh Al-Quran ke dalam diri anak-anak. Secara hakikatnya, Al-Quran itu sendiri telah mula mencorak pembesaran anak-anak kita.




Pada 19 Mei 2013 yang lalu, Afiqah telah mula membaca Al-Quran besar dan ini adalah sesuatu yang besar dalam hidupnya. Saya ada membuat entri mengenainya dalam SAAT YANG BAHAGIA BUAT AFIQAH. Episod seterusnya ialah pembelajaran membaca Al-Quran setiap selepas solat 5 kali sehari. Dengan kurnian Allah jua, Afiqah telah berjaya untuk khatam sebaik sahaja memasuki ambang 2014. Saat bersejah dalam hidup Afiqah ini akan terus terpahat di sanubarinya dan memori kami sekeluarga sebagai pemangkin dalam perjalanan kerohanian meniti kehidupan seterusnya hingga ke akhirat. Memang manis sekali kejayaan ini dan sangat penting buat rekod pembelajaran homeschool kami. Kejayaan ini akan membantu Afiq, Alyssa dan Adelyn untuk sama-sama khatam dalam usia yang lebih muda dari Afiqah. Insyaallah......


Inilah hadiah sempena Afiqah khatam Al-Quran. Semuga Quran ReadPen ini akan memaksimakan lagi kuasa pembelajaran Afiqah dan sebagai alat untuk menggalakkan adik-adiknya untuk berusaha sepertinya.


MAJLIS KHATAM AL-QURAN
Oleh kerana kesemua anak-anak khatam dengan kami, jadi tiadalah majlis rasmi seperti mereka yang berkhatam dengan guru Al-Quran atau dengan ustaz di masjid. Cukup dengan hidangan special kegemaran anak-anak dan sedikit hadiah berkaitan dengan pembelajaran Al-Quran.
Walaubagaimanapun...kisah-kisah berkhatan di zaman 1970an dahulu sering kami ceritakan kepada mereka supaya mereka tahu sejarah yang lepas.

Masih jelas dalam ingatan, ketika itu berusia enam tahun dan khatam Al-Quran. Rumah Tok Guru mengaji agak jauh dari rumah, lebih kurang 1 kilometer. Emak masak pulut kuning sebesen besar kerana anak murid Tok Guru itu ramai. Gandingan dengan pulut kuning itu pula ialah kari ayam 10 ekor dan seperiuk sira labu yang manis dan lazat. Setiap murid perempuan yang berkhatam  akan di arak dari rumahnya, berjalan kaki hinggalah ke rumah guru. Semua murid-murid lain akan mengiringinya sambil berselawat ke atas Nabi. Ada pula kumpulan kompang mengiringi perarakan kecil itu. Yang paling saya suka ialah baju gaun putih pengantin yang emak tempah khas. Memang happening lah buat seorang budak perempuan seusia enam tahun. Layanan istimewa sebegini memang dapat menaikkan semangat kanak-kanak lain yang mengaji untuk cepat khatam. Pada umur lapan tahun, saya khatam lagi untuk kali kedua.

Bagi pelajar lelaki pula, mereka akan diusung diatas pengusung yang dibuat khas bagaikan raja. Mereka juga akan diarak dari rumah mereka hinggalah ke rumah Tok Guru. Selepas itu barulah kenduri pulut kuning bermula. Memang manis sungguh kenangan di zaman dahulu yang kini sudah tidak diamal lagi. Zaman berubah dan masyarakat kian sibuk dengan urusan masing-masing.


MENGHAFAL AL-QURAN SEBAGAI PEMBELAJARAN SEUMUR HIDUP
Sememangnya menjadi idaman hati untuk mempunyai anak-anak yang hafal Al-Quran. Selepas khatam kali pertama, Afiqah akan khatam buat kali kedua. Kali ini prosesnya akan lebih lambat kerana berserta kelas tajwid dan juga menghafal Al-Quran. Lambat atau cepat mereka menghafal Al-Quran tidaklah kami kisah asalkan proses itu berterusan hingga ke akhir hayat. Seringkali kami menceritakan kisah moyang perempuan mereka yang menjadi guru Al-Quran ketika hayatnya. Moyang Halimatun Saadiah ini sentiasa membaca Al-Quran apabila ada masa lapang. Setelah berpuluh tahun mayatnya disemadikan, penduduk kampung yang membuat kerja memindah mayat ke tempat yang lebih sesuai, mendapati mayatnya masih elok dan kain kapannya juga tidak reput. Segalanya nampak seperti baru....Semoga sejarah yang baik ini akan berulang lagi di kalangan kami yang masih hidup. Amin.



Selasa, 10 September 2013

MARI MENGHAFAL AL-QURAN BAHAGIAN 2







Masa begitu cepat berlalu. Memori satu dunia membuat count down menyambut tahun baru masih lagi segar dalam ingatan dan kini kita sudah berada di hujung tahun dan bakal membuat count down lagi. Begitulah umur kita berlalu dan sangat terasa ruginya tahun-tahun yang berlalu tanpa membuat sesuatu untuk diri sendiri yang bakal di bawa ke akhirat. Sebenarnya menghafal Al-Quran tidaklah susah sekiranya kita bersungguh-sungguh mengusahakan dan istiqamah. Sekiranya kita bermula di saat ini, pasti kita akan berjaya juga akhirnya walaupun mengambil masa yang lama. Di waktu itu, count down demi count down tidak lagi membawa penyesalan kerana usaha sudah bermula dan pasti ada akhirnya dengan izin Allah.

Saya sendiri dalam usaha menghafal Al-Quran walaupun progressnya sangatlah perlahan tetapi saya sangat positive dengan pertolongan Allah. Insyaallah hari bertuah itu pasti tiba dan permulaannya ada saya buat dalam entri                


: KALAU BUKAN DIRIMU WAHAI IBU, SIAPA LAGI YANG MESTI MENGHAFAL AL-QURAN?

: MARI MENGHAFAL AL-QURAN BAHAGIAN 1




                                               ihsan dari : http://maquraamesir.blogspot.com




HAFAL AL-QURAN KETIKA BERUMUR 82 TAHUN
Ummu Shaleh hanyalah seorang wanita kampong di Indonesia dan kejayaan beliau menjadi Hafizah Al-Quran pada usia 82 tahun telah tersebar secara meluas sekali dan telah dipaparkan dalam Majallah Ad-Dakwah Indonesia. 
Sejak kecil lagi beliau telah bercita-cita untuk menghafal Al-Quran. Cita-cita ini begitu membara dalam jiwa gadis kecil ini hingga telah berjaya menghafal hingga 3 juzuk. Setiap hari bapanya sentiasa mendoakan kejayaan anaknya ke hadrat Ilahi. Begitulah kasih sayang sejati sekorang bapa dan telah membawa berkat kepada usaha Ummu Shaleh.

Seperti gadis-gadis kampung yang lain, pendidikan tidaklah begitu diberatkan dan beliau telah berkawin pada usia 13 tahun. Semenjak itulah hasratnya tergendala dan hanya membara membakar jiwa yang tidak mungkin dapat dipadamkan walaupun dalam kesibukan mengurus rumah tangga. Beliau begitu sibuk mengurus 7 orang anaknya hasil dari pernikahan, Apabila suaminya meninggal dunia, hasrat untuk menghafal seperti terpaksa dilupakan sahaja kerana kini dia adalah ibu tunggal kepada 7  orang anak-anak yang masih kecil. 

Adakah wanita cekal ini mengalah begitu sahaja?  Hanya Allah sahaja yang tahu betapa beliau ingin kembali semula menghafal. Tanggungjawab sebagai ibu tunggal yang membesarkan tujuh orang anak sangatlah besar.

Semuanya bermula takala anak perempuan bongsunya masih tinggal bersama dengannya. Ketika itu anak perempuannya masih lagi belajar di tingkatan “Sanawiyyah” sedangkan anak-anak perempuan yang lain semuanya telah berkahwin. Cita-cita anak perempuan bongsunya ini sama seperti beliau jadi kedua beranak ini mula menghafal Al-Quran setiap hari sepuluh ayat selepas Solat Asar. Anak perempuannya akan membaca dan beliau akan mengikutinya sebanyak tika kali. Keesokkan pagi, anaknya akan akan mengulangi ayat yang sama sebanyak 3 kali dan beliau akan mengikutinya dan mengulangi sebanyak 3 kali juga. Hafalan sebegiini berlaku sebelum anak perempuannya pergi ke Madrasah. Selain itu beliau akan mendengar bacaan Al-Quran melalui tape recorder bacaan Syeikh Khalil Al-Husyairi serta sekali lagi mengulangi sebanyak tiga kali. Sebahagian besar waktunya itu beliau akan mendengar bacaan Syeikh Khalil Husyairi.

Dalam pada itu setiap hari Jumaat beliau dan anaknya mengkhususkan untuk mengulangi semua ayat-ayat yang telah mereka hafalkan selama seminggu. Begini aturan yang belau buat bersama anak perempuannya setiap hari dan setiap minggu.

Selapas 4 atau lima tahun program ini berjalan, beliau telah berjaya menghafal sebanyak 12 juzuk. Pada ketika ini anak perempuan bonsunya ini telah melansungkan perkahwinan, namun begitu apabila suaminya mengetahui kebiasaan beliau menghafal Al-Quarn bersama dengan anak perempuan bongsunya ini, maka menantunya telah menyewa rumah berdekatan dengan rumah beliau. Ini agar beliau (mentuanya) boleh meneruskan menghafal Al-Quran.

Tiga tahun kemuadian anak perempuanya ini telah dikurniakan anak. Maka beliau sibuk dengan urusan rumah dan anaknya. Bila keadaan ini berlaku, anak perempuan bongsunya ini bimbang hafalan beliau (emaknya) terbengkalai, maka beliau mencari seorang ustazah untuk mengajar ibunya.

Kesudahannya, beliau berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran semasa beliau berumur 82 tahun. Kini beliau juga mula menghafal hadsi-hadis Nabi saw dan telah pun berjaya beliau hafal kira-kira 90 hadis dan akan berusaha menghafal lebih banyak lagi.

Kisah Ummu Shaleh ini sangat  bermakna buat diri saya yang serba kekurangan. Walaupun beliau hanyalah seorang anak kampung tanpa pendidikan tinggi, akhirnya berjaya juga untuk menghafal Al-Quran. Beliau juga berjaya membuktikan bahawa umur 72 tahun tidaklah lewat lagi untuk menghafal. Selain dari Ummu Shaleh, saya juga kagum dengan  anak-anak cilik yang mula menghafal dari usia muda. 


sumber:
http://www.facebook.com/notes/blog-teh-secawan/hafal-quran-umur-82-tahun/267106669984834?comment_id=4087224

Ahad, 1 September 2013

KALAU BUKAN DIRIMU WAHAI IBU, SIAPA LAGI YANG MESTI MENGHAFAL AL QURAN ?







photo: ihsan google



AZAM YANG TAK PERNAH PADAM
Sebenarnya diri ini sudah berjanji pada diri sendiri untuk menghafal Al-Quran sebaik sahaja membuat entri  MARI MENGHAFAL AL-QURAN pada bulan Oktober 2011.

 Ini bermakna sudah dua tahun waktu berlalu dengan begitu sahaja tanpa sebarang usaha yang bersungguh-sungguh. Azam sahaja tidak cukup tanpa mengambil satu langkah yang bermakna dan jitu ke arah matalamat  yang satu.

Akhirnya aku mengambil langkah yang strategik iaitu menggunakan blog ini sebagai satu  wadah untuk mencatit segala hafalanku agar semangat yang ada terus membakar dan memerlukan kesungguhan untuk membuat catitan yang terus maju ke depan. Memang terasa pelik tetapi inilah satu-satunya cara yang aku fikir dapat terus memberi semangat agar hafalan tidak tergendala di tengah jalan kerana sudah berkali-kali aku cuba dan terus cuba tetapi sering kesibukan sebagai suri rumah dan pengajar menjadikan diri ini kalah.

Masih bolehkah aku untuk menghafal di usia menganjak lima puluhan? Mengapa tidak...Kalau masa belajar di UPM dulu, segala buku tebal dapat ku hafal demi untuk lulus peperiksaan. Inikan pula satu kitab yang mengandungi segala kebaikan dan mukjizat. Kitab yang penuh dengan penyembuhan zahir dan batin. 

Pasti boleh dengan izin Allah yang Maha Pengasih Dan Penyayang. Aku cukup pasti di saat ini mesti ramai kaum ibu di luar sana yang mempunyai hasrat seperti diriku tetapi sering kecundang. Marilah kita mulakan sekarang. Sekiranya tiada titik permulaan, maka kita tidak akan mula bergerak walaupun setapak.


SERAMPANG BANYAK MATA
Peranan seorang ibu dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang dikasih Allah memang besar. Bayangkan apabila si ibu adalah seorang Hafizah, atau dalam proses menghafal Al-Quran, pasti tempiasnya adalah kepada anak-anaknya yang telah dikandungnya selama 9 bulan dan menyusu selama 2 tahun dan yang diasuh dari kecil tapak tangan hingga besar panjang. Tambah lagi air tangan yang menghafal ayat suci inilah yang membelai segala hidangan yang membesarkan anak-anak. Sebenarnya inilah senjata besar kita sebagai ibu untuk melahirkan khalifah agung yang mencorak alam ini seperti yang sepatutnya. 

Saya yakin, hasil dari usaha kita menghafal akan menjadi cetusan api yang akan membara dan seterusnya membakar dalam jiwa anak-anak kita. Tidak mustahil sekiranya terdapat lebih dari seorang penghafal Al-Quran dalam keluarga kita nanti. Bila...? Pasti ada walaupun ianya memerlukan sepanjang hayat kita untuk melihatnya. Inilah kata-kata hikmat yang sering dititipkan oleh suami agar diri ini menjadi ibu yang bahagia dunia dan akhirat.



LANGKAH SETERUSNYA


Hadiah dari anak-anak untuk ibu

Dengan izin Allah aku terserempak dengan WEBSITE ini. Berbekalkan mp3, aku rakam ayat-ayat lazim dari web ini dengan aturcara diulang 10 kali setiap ayat. Inilah kelebihan website ini dimana kita boleh programme sendiri aturcara bacaan Al-Quran sesuai dengan diri kita. Terdapat 17 orang Qari yang boleh kita pilih sesuai dengan jiwa kita. Saya memilih Misyari-Rashid sebagai pembacanya. Bacaannya membuat hati ini rasa syahdu dan sejuk. 

Di bawah adalah beberapa teknik menghafal yang saya pilih untuk menghafal ayat lazim yang kebanyakannya pendek sahaja. Teknik "chunking", "pointer", "keyword" dan "mindmapping" akan saya gunakan apabila mula menghafal surah yang panjang kelak. 
                                

 A. Teknik Mengulang 
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur’an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.


B. Teknik Tumpu dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.


C. Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari’ yang baik bagi seluruh Al-Qur’an atau beberapa qari’ bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari’ tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari’ tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur’an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.



D. Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.

E. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur
2.Semasa melelapkan mata,dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisinya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.

DOAKAN SAYA
Besarlah hasrat hati ini untuk melahirkan para kekasih Allah yang mana ayat Al -Quran mengalir dalam darah mereka, hinggakan segala perbuatan mereka adalah terbit dari cernaan ayat Allah semata-mata. Mereka kenal siapa diri mereka sebenarnya dan mereka kenal dengan sebenar-benar kenal akan Penciptanya. Doakan agar perjalanan hafalan saya diberkati Allah dan diberikan segala kemampuan dan hati yang terang seterangnya. Saya juga mendoakan para ibu di luar sana juga beroleh keberkatan dan azam yang sama dalam usaha membangun ummah. Wallahhualam



Khamis, 1 Disember 2011

ADAB MEMBACA ALQURAN




1.Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhuk dan dalam keadaan bersih kerana yang di baca adalah ayat-ayat Allah. Tangan kanan hendaklah digunakan untuk mengambil kitab ini, manakala menggunakan kedua-dua belah tangan semasa memegang Al-Quran.Membawanya dengan  penuh hormat.Mencium dan mengucup Al Quran.

Firman Allah Ta'ala : Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya.
( Surah Saad - ayat 29 )

2.Mulut hendaklah bersih, tidak berisi makanan. Sebaiknya sebelum membaca Al-Quran, mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu(bersugi).


3.Sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca ta'awwudz, iaitu meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan yang direjam. Doa bagi menerangkan hati juga boleh dibaca sebelum atau selepas membaca ta'awwudz. Membaca Bismillah pada permulaan surah kecuali Surah At Taubah.

4.Disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, surau, musollah dan tempat lain yang dianggap bersih. Tempat yang paling utama adalah di dalam masjid.
5.Disunatkan menghadap ke arah Qiblat ketika membacanya. 
6.Membaca dengan bertajwid. Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.Membaca Al Quran secara baik, melagukannya serta memperelokkan suara. Membaca Al-Quran tanpa tajwid adalah umpama membaca syair dan bukan membaca ayat suci Allah (Kalamullah)
Firman Allah Ta'ala : Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.(Surah Al Muzammil - ayat 4)

Daripada Abu Hurairah r.a. telah bersabda Rasulullah S.A.W bermaksud : Bukan dari golonganku orang-orang yang tidak memperelokkan suaranya ketika membaca AlQuran. (HR Imam Bukhari)

Bersederhana antara membaca dengan suara kuat dan perlahan dan tidak mengganggu orang-orang yang sedang shalat, orang yang sedang tidur, maupun yang sedang membaca Al-Quran.t

Firman Allah Ta'ala : Dan janganlah kamu menguatkan suaramu dalam solat dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah antara keduanya.
( Surah Al Israa' - ayat 110 )

Daripada 'Uqbah Bin Amir r.a. berakata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : Orang yang membaca Al Quran secara perlahan-lahan seperti bersedekah secara sembunyi.( Riawayat Abu Daud dan Tarmizi dan An Nisai'e )( Tarmizi berkata : Hadis ini hasan )

7.Bagi yang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pengertian tentang ayat-ayat yang di baca.
Firman Allah Ta'ala :
Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya.( Surah Saad - ayat 29 )


8.Seelok-eloknya, ketika membaca Al-Quran, pembacaan hendaklah sehingga tamat tanpa ada diputuskan kerana ingin berbual-bual, ketawa dan bermain-main.Kesucian Al-Quran hendaklah di jaga.ftidak melihat pada sesuatu yang dapat memalingkannya.
9.Menangis dan berusaha menangis (pada ayat-ayat ancaman).
Firman Allah Ta'ala : 
Mengapakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataupun hati mereka terkunci.
( Surah Muhammad - ayat 24 )
10.Tidak berbicara kepada siapapun di saat membaca, kecuali yang bersifat darurat dan mendesak.
11.Tidak ketawa, tidak bersendau gurau dan tidak melihat pada sesuatu yang dapat memalingkannya.
12.Membaca Al-Quran dengan  mushaf.

13. Memperbanyakkan bacaan Al Quran dan mengkhatamkannya. Daripada Abdullah Bin 'Amru beliau menceritakan : Rasulullah S.A.W. bersabda : Bacalah Al Quran dalam masa sebulan. Aku menjawab : Aku masih mampu. Rasulullah S.A.W. bersabda lagi : Bacalah ia dalam masa sepuluh hari. Aku menjawab: Sesungguhnya aku masih lagi mampu. Rasulullah S.A.W. bersabda lagi : Bacalah ia dalam masa tujuh hari dan jangan lebih dari itu.( Riwayat Bukhari dan Muslim)

14.Sujud Tilawah. Disahkan daripada Omar r.a. bahawa ia membaca di atas mimbar pada hari Jumaat Surah An Nahl sehingga sampai ayat sujud maka beliau turun dan sujud, orang ramai turut sujud bersama beliau. Sehingga apabila tiba hari Jumaat ia membaca surah tersebut dan apabila sampai kepada ayat sujud ia berkata : Wahai manusia sekelian, sesungguhnya kita melalui ayat sujud maka barangsiapa sujud ia beroleh pahala, dan barangsiapa yang tidak sujud tiada dosa baginya dan Omar r.a tidak sujud pada ketika itu.( Riwayat Bukhari ).

15.Berhenti untuk berdoa ketika membaca ayat rahmat dan ayat azab. Daripada Huzaifah r.a. ia berkata : Aku bersembahyang bersama Nabi Muhammad S.A.W. pada satu malam, baginda membaca Surah Al Baqarah kemudian An Nisaa' kemudian A-li 'Imraan. Baginda membaca secara terhenti-henti apabila sampai ayat tasbih maka baginda bertasbih dan apabila baginda membaca ayat tentang permohonan maka baginda memohon dan apabila membaca ayat mohon perlindungan maka baginda mohon berlindung dengan Allah S.W.T.
(Riwayat Muslim ).
16.Meletakkan Al-Quran di tempat yang  sesuai. Meletakkan Al-Quran di tempat yang tinggi dan tidak meletakkan sesuatu benda lain di atas Al-Quran. 



    Khamis, 20 Oktober 2011

    MARI HAFAL AL-QURAN BAHAGIAN 1


    "Ummu tengah kumpul info apa ni..?" Tanya Hafidz sambil mencapai kerusi dan duduk di sisiku.
    "Ini ha..pasal nak hafal Al-Quran. Banyak sungguh kaedah-kaedahnya. Ummu tengah cari kaedah yang terbaik. Ambil sana sikit dan sini sikit, dapatlah kaedah yang terbaik." Terangku dengan harapan dapat menarik perhatian Hafidz.
    "Ummu nak hafal Al-Quran ke...banyak tu..entah bila baru habis.Dahlah tak tahu bahasa Arab pula tu."Hafidz cuba meneka.
    "Memang....agak susah kalau tak tahu bahasa Arab. Tapi tak mustahilkan. Sudah ramai orang dah boleh hafal. Kenapa tidak kita? Tak ada apa pun yang mustahil sekiranya kita bersungguh-sungguh minta pada Allah dan bersungguh-sungguh usaha. Pasti boleh. Menghafal Al-Quran tidak sama dengan menghafal buku pelajaran. Lagi kita hafal lagi hati kita tenang. Bila hati tenang, makin senanglah untuk menghafal seterusnya. Insyaallah....dengan bantuan Allah. Lagi pun umur Ummu dah separuh abad. Kalau tak mula sekarang, bila lagi."Aku senyum lebar kerana Hafidz dah tunjuk minat. Mudah-mudahan terbuka hatinya.

    "Betulkah mayat orang yang hafal Al-Quran tak reput?" Soal Hafidz minta kepastian.
    "Ya, betul. Mereka adalah antara 10 golongan yang mana mayat tak reput dan busuk. Ini ha...baca artikel ini" Aku tunjuk info yang sudah aku coppy-paste di screen computer.

    10 golongan yang mana mayat tak reput dan busuk
    1. segala Nabi
    2. Orang Yang Berperang Kerana Allah (Jihad)
    3. Orang Alim (Ahli ulama' Yang Diredhai oleh Allah)
    4. Orang Yang Mati Shahid (mati ketika berperang menegakkan Islam)
    5. Orang yang Menanggung Al-Quran (Orang yang Menghafal ayat-ayat Al-Quran)
    6. Raja Yang Adil
    7. Tukang Azan (Bilal yang azan selama 12 tahun harus masuk Syurga)
    8. Orang yang mati Ketika Nifas (orang yang mati bersalin)-> Kelebihan para Ibu
    9. Orang yang dibunuh dengan zalim
    10. Orang yang beriman yang mati Hari Jumaat @ malamnya (jumaat)
    "Nak dengar kisah benar? Nenek Hafidz sebelah abah, namanya Halimatun Saadiah. Dah pernah tengok gambarnya kan...Beliau adalah seorang guru Al-Quran. Kalau ada anak muridnya yang baca silap, dari jauh dia dah boleh tegur apa silapnya kerana dia dah hafal Quran. Tapi orang tak pernah iktiraf dia sebagai Al-Hafizah kerana zaman tu...zaman dulu. Setelah sepuluh tahun beliau meninggal dunia, kawasan perkuburan itu telah digali untuk memindahkan mayat-mayat ke kawasan lain yang lebih strategik. Masa tulah..Allah menunjukkan kekuasaannya kepada orang awam. Mayat nenek masih dalam keadaan baik, malah kain kapannya masih elok, tak terjejaspun. Masyaallah....begitu tinggi Allah letak golongan Al-Hafidz dan Al-Hafizah." Terlopong Hafidz mendengar cerita itu.


    " Nama Hafidz pun ada ceritanya tersendiri. Sebaik sahaja Hafidz dilahirkan, abah yang memilih nama tersebut dengan harapan Hafidz akan menjadi seorang Al-Hafidz seperti nenek. Semasa Hafidz kecil, kami sentiasa menimang Hafidz dengan nama Al-Hafidz Yang Hebat. Sampai sekarang pun, Ummu selalu teriak Hafidz dengan nama Al-Hafidz (terutamanya bila nak kontrol marah kat Hafidz...hmhm). Mungkin Hafidz tak sedar akan keramat nama tersebut. Ha...sekarang dah tahu,  mestilah tanam nekad untuk menrealisasIkannya." Terangku dengan harapan tinggi .



    " Ini ha...Ummu ada masukkan info dalam blog cara-cara untuk hafal. " Sambil aku menggosok-gosok belakang anak terunaku, dengan harapan apa yang baru diceritakan itu memberi impak yang besar kepadanya.






    SEBELUM MENGHAFAL AL-QURAN:
    1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal 
    2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal. 
    3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal.
    4. Berada dalam keadaan tenang. 
    5. Kosongkan fikiran sebelum menghafal. 
    6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
    7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafal.
    8. Membaca ayat 164 surah Al-Baqarah sebelum mula menghafal.



    TEKNIK MENGHAFAL

    A. Teknik “Chunking”

    1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
    2. Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
    3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
    4. Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu’, cerita dan sebagainya.
    5. Memisah-misahkan Al-Qur’an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.



    B. Teknik Mengulang 
    1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
    2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
    3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
    4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
    5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur’an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.

    C. Teknik Tumpu dan Ingat
    1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
    2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
    3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
    4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.

    D. Teknik Menghafal Dengan Seorang Teman
    1. Pilih seorang teman yang sama minat.
    2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
    3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
    4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.


    E. Teknik Mendengar Kaset
    1. Pilih seorang qari’ yang baik bagi seluruh Al-Qur’an atau beberapa qari’ bagi surah-surah tertentu.
    2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
    3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari’ tersebut sehingga terpahat di fikiran.
    4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari’ tersebut.
    5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur’an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.


    F. Teknik Merakamkan Suara
    1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
    2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya.


    G. Teknik Menulis
    1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
    2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
    3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.


    H. Teknik “Pointers” dan “Keyword”
    1. Buat beberapa kotak.
    2. Setiap kotak merupakan satu mukasurat.
    3. Catit dalam kotak tersebut beberapa perkataan yang menjadi keyword bagi mukasurat tersebut.
    4. Merenung dan membayangkan kotak tersebut dalam ingatan.


    I. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
    1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
    2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisi-nya di minda kita.
    3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.


    J. Teknik “Mindmaping”
    1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu rubu’. Tulis ayat pertama rubu’ tersebut dicabangnya.
    2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu’.
    3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi rubu’.


    UNTUK MENGEKALKAN HAFAZAN
    1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
    2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
    3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
    4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.
    5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
    6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
    7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk.
    8. Menulis setiap ayat yang mutashabih.


    "Sebaik­baik kamu adalah yang mempelajari Al­Qur'an dan mengajarnya" 
    (Hadith riwayatBukhari)
     
    ·
    "Mereka yang membaca Al­Qur'an dan dia mahir didalamnya maka ia bersama para malaikat
    pencatit yang mulia. Mereka yang membaca Al­Qur'an sedangkan ia tidak lancar bacaannya dan
    payah baginya untuk membaca maka untuknya dua pahala." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
    ·
    "Bacalah Al­Qur'an kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat
    kepada pembacanya." (Hadith riwayat Muslim) 



    ·
    Tiada ada hasad kecuali pada dua perkara: 

    1-Orang yang Allah berikan kepadanya Al­Qur'an
    maka dia membacanya siang dan malam. 

    2-orang yang Allah berikan kepadanya harta maka
    ia menafkahkannya siang dan malam. 
    (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)



    "Berkata Allah s.w.t.: Sesiapa yang disibukkan dengan membaca Al­Qur'an dan mengingati Aku
    daripada meminta sesuatu dari Aku, maka Aku akan memberikannya lebih baik dari apa yang
    diminta oleh orang lain. Dan kelebihan perkataan Allah (Al­Qur'an) atas perkataan­perkataan lain
    adalah seperti kelebihan Allah atas makhluknya." (Hadith riwayat Tarmidzi)

    ·
    "Bacalah Al­Qur'an kerana Allah s.w.t tidak mengazabkan hati yang menyimpan Al­Qur'an. Dan
    sesungguhnya Al­Qur'an ini adalah jemputan Allah. Siapa yang mendatanginya maka ia akan
    merasa keamanan. Dan sesiapa yang cinta akan Al­Qur'an maka bergembiralah." (Hadith riwayat
    Ad­Darimy)





    ADAT  MEMBACA DAN MENGHAFAL AL-QURAN:
    1.Ikhlaskanniat.
    2.Bersabar.
    3. Mulakan bacaan dengan Bismillah.
    4. Banyak berdoa kepada Allah s.w.t.
    5. Bersih dari hadas kecil dan besar.
    6. Sebaiknya menghadap kiblat.
    7. Memakai pakaian putih yang bersih dan menutup aurat.
    8. Jangan banyak berkata dan ketawa ketika membaca dan menghafal.
    9. Memberikan tumpuan sepenuhnya.
    10. Jangan membaca ketika mengantuk atau menguap.
    11. Berhenti membaca ketika ingin membuang angin.
    12. Menghormati Al­Qur'an.
    13. Menghormati guru.
    14. Solat dua rakaat sebelum memulakan kelas.




    (UNTUK MENGUATKAN HAFALAN):
    Disunatkan bagi mereka yang ingin menguatkan hafalan mereka, terutama yang menghafal Al­Quran,
    agar mengerjakan solat sunat Taqwiyatul Hifzi.
    Kaedahnya:
    1. Mengerjakan solat ini empat rakaat dengan dua kali tahiyat akhir.
    2. Mengerjakannya pada malam Jumaat, sebaik­baiknya selepas tidur.
    3. Mengerjakannya 3, 5 atau 7 malam Jumaat berturut­turut.
    4. Membaca pada rakaat pertama Surah Yaasin.
    5. Membaca pada rakaat kedua Surah Ad­Dukhan
    6. Membaca pada rakaat ketiga Surah As­Sajadah.
    7. Membaca pada rakaat keempat Surah Muluk.
    8. Setelah solat, bacalah doa ini:






    { دعاء سلفس صلاة الحفظ }
    اللَّهُمَّ ارحَمْنِي بِتَركِ الْمَعَاصىْ أَبَدًا مَّاأَبْقَيْتَنِيْ وَارحَمْنِيْ أَنْ أَتَكَلَّفَ مَالايُعْنِيْنِىْ وَارْزُقْنِيْ حُسْنَ النَّظَرِفِيْمَايُرضِيْكَ عَنِّيْ اللَّهُمَّ بَدِيعَ السَّمَوَاتِ والأَرْضِ ذَالْجَلاَلِ وَالإكْرَاِم وَالْعِزَّةِ الَّتِي لاَتُرَامُ أَسْأَلُكَ يَااللهُ يَارَحْمَن بِجَلاَلِكَ وَنُورِوَجْهِكَ أَن تُلزمَ قَلْبِي حِفْظَ كِتَابِكَ كَمَا عَلَّمْتَنِى وَارْزُقْنِي أَنْ أَتْلُوَهُ عَلَىالنَّحْوِ الَّذِي يُرْضيكَ عَنّي.
    اللَّهُمَّ بَدِيعَ السَمَوَاتِ وَالأَرْضِ ذَالْجَلاَلِ والإكْرَامِ وَالْعِزَّةِ الَّتِى لاَ تُرَامُ أَسْأَلُكَ يَا اللهُ يَارَحْمَن بِجَلاَلِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَن تُنَوّرَبِكِتَابِكَ بَصَرِي وَأَن تَطْلُقَ بِهِ لِسَانِي وَأَن تَفَرّجَ بِهِ عَن قَلْبِي وَأَن تَشْرَحَ بِهِ صَدْرِي وَأَن تَسْتَعْمِلَ بِهِ بَدَنِي فَإِنَّهُ لاَ يُعِينَنِي عَلَىالْحَقِّ غَيْرَكَ وَلاَيُؤْتِينِيهِ إلاأَنتَ وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلا بِاللهِ الْعَلِيّ الْعَظِيمِ


    Dipetik daripada website Pusat Tahfiz Al-Quran Singapura
    Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada penulisnya.

     



    DEAR READERS!! 
    YOUR POSITIVE COMMENTS ARE HIGHLY APPRECIATE. 
    ♥♥♥ FCU MALAYSIAN HOMESCHOOLING ♥♥♥
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...