TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Memaparkan catatan dengan label BIG DAY. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BIG DAY. Papar semua catatan

Rabu, 28 Mei 2014

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ




Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1)


Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah saw. Antaranya ialah kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga peristiwa penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda saw. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah swt kepada kekasih-Nya.


RINGKASAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
1) Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang2. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2) Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3) Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).

4) Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5) Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6) Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7) Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8) Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali2. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9) Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10) Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11) Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12) Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia2kan umurnya sampai ke tua.
Seorang perempuan bongkok 3 menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian Baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat 2 rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga lalu dibawa Jibrail 2 bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


NAIK KE HADRATUL-QUDUS MENEMUI ALLAH SWT

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama:
Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang2 yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua:
Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi2. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh: 
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu denan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah 5 kalimah, iaitu Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar dan Wa La Haula  Wa La Quwwata Illa Billahil - 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Langit Kelapan: 
Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi pemata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Baginda dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur' Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh:
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata2 dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia daibunya daripada syaitan.

Allah SWT:
Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik2 umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan 7 ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat2 di akhir surah al-Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji2 Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji2mu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas 9 kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

BANTAHAN ORANG QURAISY
Sekembali dari Israk dan Mikraj, Nabi Muhamad telah diragui dan ditertawakan oleh masyarakat Quraisy terutama pemimpinnya Abu Jahal dan Abu Lahab. Bagi Abu Jahal, inilah bukti Nabi Muhamad seorang yang gila dan ahli sihir kerana mana mungkin pergi ke Palestin hanya semalaman dan menjelang subuh sudah sampai di Mekah semula. Abu Jahal mempersendakan Rasulullah di Hijir Ismail di hadapan komuniti Bani Kaab bin Luay.

Namun Abu Bakar adalah orang pertama yang percaya dengan cerita itu kerana baginya Muhamad adalah seorang al Amin. Abu Bakar sentiasa membenarkan khbar langit yang Rasulullah bawa. Aisyah mencatatkan ada orang Islam yang murtad selepas peristikwa itu.

Setelah dicabar oleh Bani Kaab bin Luay, Nabi menceritakan keadaan Masjidil Aqsa hingga hampir keliru. Mujurlah saat itu Allah mendatangkan Masjid Aqsa dan diletakkan berdekatan rumah Uqail. Maka, mudahlah Nabi menceritakan masjid itu. Salah seorang dari mereka mengakui kebenaran gambaran itu kerana pernah pergi ke Masjidil Aqsa.

Selasa, 15 Oktober 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA DARI FCUHOMESCHOOLING





TAULADAN KISAH PENGORBANAN NABI IBRAHIM DAN ISMAIL

Suatu hari ketika berada di Mekah, nabi Ibrahim A.S telah bermimpi bahawa Allah memerintahkan baginda untuk menyembelih anak baginda Nabi Ismail. Baginda terjaga kerana mimpi aneh itu. Setelah memintakeampunan dan perlindungan dari Allah baginda tidur kembali. Namun mimpi yang sama berulang sama seperti tadi. Kemudian baginda tidur lagi. Mimpi aneh itu tetap berulang.
Kemudian tahulah baginda itu memang perintah dari Allah.
Diringkaskan cerita apabila tiba di Mina, tempat untuk melakukan penyembelihan itu, Nabi Ibrahim memberitahu anaknya Nabi Ismail seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran.
Nabi Ibrahim berkata:

“Anakku. Aku mendengar di dalam mimpiku bahawa Allah SWT telah memerintahkan aku supaya menyembelih kamu. Apa pendapat kamu?”

Nabi Ismail lantas menjawab:
“Wahai ayahku. Kerjakanlah apa yang Allah SWT perintahkan kepada kamu. InsyaAllah ayah akan mendapati aku sebagai orang yang sabar dalam menjalankan perintah Allah.”

Dengan jawapan anaknya itu tahulah Nabi Ibrahim bahawa Allah telah menunaikan doa baginda iaitu:
“Rabbi hablii mina soolihiin (Ya Tuhanku, kurniakan aku seorang anak yang soleh”

Sebelum peristiwa penyembelihan itu iaitu sewaktu perjalanan ke Mina Iblis laknatullah telah mendatangi ibu Nabi Ismail iaitu Siti Hajar menghasut supaya Siti Hajar membantah dan menggagalkan rancangan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Namun hasutannya itu ditolak mentah-mentah oleh Siti Hajar.
Iblis kemudiannya menghasut pula Nabi Ibrahim supaya tidak menyembelih anak baginda. Namun keimanan Nabi Ibrahim mengatasi segalanya.

Iblis datang pula kepada Nabi Ismail. Nabi Ismail juga tidak terpengaruh malah dilontarnya batu kepada Iblis lalu terkena mata kiri lalu menjadi buta. Peristiwa inilah yang menjadi lambang kepada perintah Allah agar jemaah haji melontar di jamrah.

Akhirnya Nabi Ibrahim tetap meneruskan perintah Allah iaitu menyembelih anaknya. Sewaktu pisau diletakkan di leher nabi Ismail dan sembelihan dimulakan, para Malaikat tersungkur sujud kepada Allah SWT kerana mengagumi Nabi anak beranak itu. Ikuti kisah lanjut di sini.

Ketaatan dan kepatuhan keluarga Nabi Ibrahim kepada Allah swt dalam menghadapi ujian berat telah dipuji oleh Allah swt dan telah menjadi contoh tauladan kepada umat Islam. Allah swt yang Maha Pengasih telah menggantikan Ismail dengan seekor kambing atau kibas. Firman Allah swt dalam surah Ash shaffat: 106 hingga 109:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاءُ الْمُبِينُ. وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ. وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الآخِرِينَ. سَلامٌ عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim"

Peristiwa ini memberi kita gambaran dan tauladan iaitu demi perintah Allah kita wajib berkorban. Berkorban apa saja demi keredhaan Allah. Demi agama Allah kita wajib berkorban tenaga, masa, duit dan sebagainya.

Menurut Imam Suhaib Webb semasa memberikan tazkirah di sebuah stesen tv baru-baru ini, beliau mengatakan bahawa Nabi Ismail yang sanggup dikorbankan itu sebenarnya juga satu perlambangan kepada kita. Di dalam diri kita sebenarnya ada “Ismail”. Kita harus keluarkan “Ismail” dari dalam diri kita dan mula berkorban untuk Allah dan agama Islam.Korbankan masa senang kita untuk Islam. Korban duit untuk Islam. Korbankan tenaga kita untuk Islam. Jadikan diri kita seorang yang dapat memberi manfaat kepada Islam.

Imam Suhaib Webb memberikan contoh satu kumpulan anak muda di satu kawasan miskin di Amerika Syarikat mengorbankan masa muda mereka. Mereka mengorbankan muzik-muzik Hip Hop, Rock dan sebagainya yang menjadi kegilaan kepada remaja seusia mereka. Mereka mengorbankan TV dan masa rehat mereka. Apa yang mereka buat? Mereka telah menawarkan khidmat PERCUMA untuk menemani anak-anak kejiranan mereka sewaktu pergi dan balik dari sekolah. Ini kerana di kawasan tersebut jenayah memang kerap berlaku. Rompakan, rogol dan bunuh menjadi perkara biasa. Anak-anak yang mereka temani dan jaga di sepanjang perjalanan pergi dan balik sekolah itu kebanyakkannya bukan Muslim. Ini secara otomatik membersihkan imej Muslims di kalangan kejiranan tersebut.

Bilamana media massa melabelkan Muslim sebagai pengganas, mereka berkata:
“Macamana kamu menggelarkan mereka (muslim) ini pengganas sedangkan merekalah yang membahayakan nyawa mereka menemani anak-anak kami pergi dan balik dari sekolah. Malah kami amat terhutang budi kepada mereka”

Itu adalah contoh pengorbanan yang kita harus lakukan di masa sekarang. Itu lah pengorbanan ataupun “Ismail” yang ada dalam diri kita.

Di Malaysia ini, antara yang kita boleh lakukan pengorbanan untuk masyarakat amnya dan Islam khasnya ialah kita boleh menjadi sukarelawan dalam membantu rumah anak-anak yatim misalnya. Persatuan ibu-ibu tunggal juga memerlukan sokongan dari masyarakat. Rumah orang-orang tua juga boleh dibantu.

Bantuan boleh diberi di dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kepakaran masing-masing. Yang kuat boleh membantu dari segi tenaga. Membantu membuat jualan amal misalnya. Yang pakar IT dan pandai membuat blog dan website misalnya boleh membantu membuat blog dan website untuk mempromosikan badan-badan kebajikan ini.

Ayuh kita berkorban untuk masyarakat. sekurang-kurangnya kita “pergi” dengan memberikan sesuatu kepada masyarakat. Hidup ini amat singkat. Berikanlah sesuatu kepada masyarakat supaya menjadi masyarakat yang lebih baik. Jika hidup kita memberi, mati kita akan disanjungi. InsyaAllah sanjungan berupa doa untuk menyejukkan kubur kita.
Jom Berkorban! Selamat Hari Raya Eidul Adha. Selamat Hari Raya Korban.
Wallahua’lam


Selasa, 24 Julai 2012

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK


 FCUHOMESCHOOLING mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca yang bertandang di sini. Semoga puasa kita kali ini adalah yang terbaik dan mendapat keberkatan dari Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...