TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Memaparkan catatan dengan label cookies in the kitchen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cookies in the kitchen. Papar semua catatan

Selasa, 13 Oktober 2015

PROJEK AFIQAH DAN ALYSSA: BISKUT NESTUM RANGUP


Main masak-masak adalah satu permainan yang sangat digemari oleh kanak-kanak. Zaman sudah berubah dan bentuk permainan masak-masak juga sudah berbeza dengan generasi dahulu. Kalau dahulu zaman 60an, setiap petang selepas sekolah, mesti main masak-masak. Zaman tanpa internet
bagai itu memang memberi laluan seluas-luasnya kepada penerokaan permainan ini. Biasanya aktiviti ini dimainkan bersama kanak-kanak lain sekampung. Memang meriah sekali. Kuali dan periuk yang sudah tidak diguna kan menjadi peralatan utama. Biasanya bata akan digunakan sebagai tungku dapur. Siap ambil bawang dan cabai sebagai bahan dalam masakan. Pendek kata segala lebihan emak masak di dapur akan jadi bahan untuk main masak-masak. Sekali-sekala jari akan terkena api atau periok panas. Biasalah tu.... Lama kelamaan kita jadi mahir dengan penggunaan api dapur.

Jarang kanak-kanak zaman sekarang berpeluang untuk merasa kemeriahan main masak-masak seperti ini. Zaman berubah dan suasana juga berubah. Zaman teknoloji tinggi kini membuat kita rasa masa dalam satu hari begitu singkat. Kanak-kanak tidak mempunyai banyak peluang untuk meneroka semua ini terutamanya bila kerja sekolah menimbun setiap kali pulang dari sekolah.

MAIN MASAK-MASAK VERSI TERKINI
Cooking class adalah antara mata pelajaran yang paling digemari oleh pelajar kami. Kami sangat menitik beratkan pembelajaran sara diri seperti memasak, menjahit, berniaga, bertukang dan banyak lagi sebagai asas pendidikan homeschool. Kali ini mereka main masak-masak membuat biskut nestum yang rangup. Proses membuat biskut memang senang. Afiqah sudah mahir membuat sesetengah biskut yang senang-senang dan kali ini dia mengajar Alyssa pula. Proses pembelajaran begini memang meninggalkan kesan yang mendalam dan kekal dalam ingatan mereka. Sebenarnya mereka tidak menganggap proses ini sebagai satu tugasan tetapi sebagai satu permainan yang dinamakan main masak-masak. Memang benarlah...bila mereka rasa jemu, terpaksalah kita pula menerap dan membakar biskut-biskut itu. Apa yang penting, proses pembelajaran sudah berlangsung dan mereka akan menjadi bertambah bagus dari masa ke semasa hinggalah mahir dalam membuat kek dan biskut. Kita perlu bersabar dengan keletah anak-anak agar minat yang bertunas akan terus hidup dan berpucuk. Satu ketika nanti....tidak mustahil mereka akan mengusahakan perniagaan sendiri yang maju dan berjaya.

Semangat sebeginilah yang selalu kami tiupkan ke jiwa mereka. Sentiasa memberi gambaran secara besar tentang segala yang mereka pelajari. Ini bererti tiada satu pun pembelajaran menjadi sia-sia. Inilah sasaran kami sebagai pembimbing kepada para pelajar kami.




Pada permulaannya...Alyssa jadi penolong Afiqah. 
Jadi tukang bagi tepung untuk Afiqah gelek.



Alyssa terpegun dengan kepakaran Afiqah menerap biskut.
Diperhatikan dengan teliti segala perbuatan Afiqah.


Oo....That's easy. Let me try sis......




"Wow....my two flower biscuits"
Pada mulanya Alyssa hanya penyet tepung dengan 
tapak tangannya sahaja.



Setelah berkali-kali mencuba menggunakan kayu penggelek, 
akhirnya dia berjaya menghasilkan banyak biskut sekali gus. 
Seronok betul dia.....




Sedulang biskut nestum rangup tersedia untuk dibakar. Sebaik sahaja masak...
mereka makan hingga habis. Bila dah boring buat biskut.....
mereka tinggal segala kerja untuk kita sudahkan..






 CRUNCHY NESTUM COOKIES (BISKUT NESTUM RANGUP)

Bahan-bahan A :
1 cawan tepung gandum 
1 1/2 tsp serbuk penaik ( diayak dengan tepung diatas)
1 cawan bijirin NESTUM original  (dikisar halus)
1 cawan bijirin NESTUM original  (tak perlu dikisar)


Bahan-bahan B :
125 gm butter
1/2 cawan gula kastor (boleh kurangkan 1-2 Tbsp untuk kurangkan sikit rasa manisnya)
1 tsp esen vanilla
1 biji telur gred A @ B


Bahan-bahan C (untuk hiasan) :
Bijirin NESTUM secukupnya

Cara penyediaan :
1) Satukan semua bahan A ke dalam sebuah mangkuk. Ketepikan.
2) Di dalam mangkuk pengadun, pukul butter dengan gula hingga sebati. Masukkan esen vanilla dan telur dan terus memukul hingga sebati lagi.
3) Masukkan bahan A ke dalam bahan adunan dan uli hingga membentuk doh yang lembut. Balut doh dengan plastik pembalut dan simpan ke dalam peti sejuk selama 20 minit.
Keluarkan adunan dari peti sejuk. 
4) Terap dengan acuan yang digemari.
5) Tabur nestum sebagai hiasan.
6)Bakar biskut di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175 C selama 20-25 minit atau sehingga biskut bertukar warna menjadi perang. Sejukkan biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.



Rabu, 30 April 2014

APPLES SEASON






Melihat kepada epal-epal ini, terasa bagaikan mempunyai ladang sendiri. Ini hanya sebahagian  dari dua guni epal. Masyaallah....Rezeki dari Allah. Kami pula memang peminat epal hijau. Seharian menggigit epal... sudah dua hari namun epal masih lagi banyak di dapur. Rasanya manis dan rangup...dan kami dapat percuma. Hai..siapalah nak bagi percuma sedangkan harganya agak mahal di Langkawi. Lebih kurang 60 sen hingga 80 sen sebiji bergantung kepada saiz dan kesegarannya.

Ada lebam sikit-sikit di sebahagian buah epal. Itu sajalah kecacatannya yang sedikit pun tidak mencacatkan rasa atau rupanya apabila dikupas. Dengan perkataan lain...ini epal reject !! Menurut tuan kedai, masaalah ini berkaitan cara menyimpan epal yang tidak sempurna. Sebenarnya memang ada epal yang dijual dalam plastik dan di kupas serta dipotong. Kita hanya masuk ke dalam mulut sahaja. Mungkin tuan kedai ini tak cukup pekerja untuk menjual epal bentuk sebegini. Sudah menjadi rezeki kami. Sebenarnya masih berguni lagi epal yang lebam ini di kedainya yang bakal menjadi rezeki pelanggan lain yang sudi. Alhamdulillah..


Alhamdulillah ada juga anak dara sorang yang boleh tolong kupas 
kulit epal yang banyak ni..
Afiqah : Please not onion. I can't stand the tears. It hurts my eyes.




Apple girl....Lepas kupas, kena potong dan masak cepat. Kalau tidak apple 
akan cepat bertukar warna jadi brown. Sebahagian besar apple ini dibuat jem. Berbotol-botol jem apple dapat dihasilkan. Simpan dalam refrigerator agar tahan lama. Memang sedap dimakan dengan roti dan pan cake. Selebih dari makan mentah, saya masak filling apple pie. Mana-mana yang hampir rosak, tidak juga dibazirkan begitu sahaja. Alhamdulillah ...berjaya buat garbage enzime untuk dijadikan baja pokok dan juga sebagai bahan pencuci. 


APPLE FILLING FOR PIE


Selonggok apple di pilih ......



Kemudian dipotong kecil-kecil...



Masukkan gula perang dan gula putih serta secubit garam. Manisnya ikut suka. 
Kulit kayu manis memang sangat sesuai dengan apple. Daun pandan juga 
dapat menambah keharuman apple filling. Kacau hingga apple lembut. 
Air ditambah bila perlu sahaja agar filling tidak rentung. 



Apabila apple sudan hancur sedikit dan lembut, masukkan mentega beberapa sudu. 
Sukatannya ikut selera. Tepung gandum atau tepung jagung ditambah untuk memekatkan
filling. Sukatannya juga..ikut suka pekat. Saya masukkan empat sudu sahaja... 
sudah memadai.



Pastikan sentiasa kacau agar tidak hangit. Memang rosaklah rasa kalau terhangit. 
Apabila cukup likat kepekatannya....boleh angkat untuk disejukkan.



Rasanya memang berlainan dari jem apple... 



Jumaat, 30 Ogos 2013

YOUNG CHEF HAFIDZ AND ALMOND LONDON




"Siapa hendak makan biskut Almond London pada Hari Raya ni..." Tanya Chef Hafidz.
Ramai yang mengangkat tangan. 

Selalunya biskut rangup kacang badam bersalut coklat ini dibuat oleh kakak Hafidz.  Hari Raya tahun  ini anak teruna pula mengambil alih  tugas menyediakan biskut raya.   

Pada mulanya aku sendiri rasa ragu-ragu tentang kebolehan Hafidz kerana biskut ini agak rumit. Awal-awal pagi lagi Hafidz sudah menguasai ruang dapur. Kemudahan ipad untuk mencari resepi masakan memang banyak membantu Hafidz. Aku tidak masuk campur kerana Hafidz suka buat semuanya sendiri. Sekejap-sekejap aku datang menjengok Hafidz untuk snap photo dia sedang memasak. 


Perkembangan terbaru Hafidz ini sangat-sangat membantu kehangatan Cooking Class homeschool kami. Sasaran kami dalam bidang masak memasak ini ialah Afiqah yang sedang menguntum menjadi anak dara sunti. Apabila Hafidz mula menunjukkan kepakarannya, Afiqah juga sedikit sebanyak mula menunjukkan minat untuk sama-sama hebat. Syukur Alhamdulillah...






ALMOND  LONDON

Anggaran dalam 120-150 biji biskut Almond London
250 gm butter
450 gn teoybg gandum
2 sudu kecil emplex
140 gm gula icing
2 biji kuning telur
1 sudu kecil esen vanilla
150 biji badam dipanggang



Untuk Menyalut biskut

Cawan kertas saiz kecil secukupnya (lebih kurang 160)
Coklat masakan secukupnya
Badam cincang secukupnya  yang telah dipanggang



Cara membuatnya:-

Satukan mentega dan gula aising, kacau hingga sebati, masukkan kuning telur dan esen vanilla, terus memukul hingga berkrim.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh yang lembut. Tutup doh dengan tuala lembap. Ambil sedikit doh, kurang lebih 3/4 camca teh dan salutkan doh tadi pada sebiji badam. Buat hingga habis.
Bakar dalam oven pada suhu 150C selama 10 - 12 minit. Sejukkan atas jaringan. 
Cairkan coklat secara double boiler (meletak mangkuk tahan panas berisi coklat masakan di atas periuk air mendidih). Bila coklat cair, masukkan lemak sayur dan kacau rata.
Ambil sebiji biskut yang "botak" tadi, masukkan dalam peper cup dan sudukan coklat masakkan hingga memenuhi biskut. Tabur sedikit badam cincang dan susun dalam bekas. Buat seterusnya dan susuh rapat2 anrata satu sama lain, tujuan untuk menjadikan biskut sedikit bujur bila coklat mula membeku nanti. Buat hingga habis dan biar coklat betul2 beku, baru simpan dalam bekas kedap udara....selamat mencuba!!!!




                                           Segala bahan mesti ditimbang dengan tepat.                                                                                                                                                                           


Oleh kerana bilangan kami yang ramai, Hafidz buat dua adunan sekali gus.



Bukan senang untuk membalut kacang badam dan menggentel hingga menjadi bentuk 
 seperti di atas. Inilah masanya untuk beramai-ramai menggentel depan tv. 
Dalam masa sekejap sahaja, dua adunan biskut Almond London siap untuk dibakar.






Untuk mencairkan coklat, Hafidz mengguna teknik double boiler (bain marie).




Proses menyalut biskut dengan coklat cair ini mesti dilakukan dengan pantas kerana coklat cepat mengeras kembali. Memang saya merasa kagum dengan ketelitian kerja Hafidz. Coklat cair itu dituang ke atas biskut dengan cermat sekali.




Kerja Hafidz lebih kemas dari gurunya. Saya tepaksa mengaku kerana ini adalah benar.
Walaupun Hafidz baru berkecimpung dalam bidang masakan namun dia telah mempamerkan 
kepakaran yang boleh dibanggakan. 



Akhirnya....Almond London siap untuk disantap oleh semua ahli FCU. Amazing!! Rupanya seindah nama....Oh Almond London. Bak kata Afiqah...." A Royal biscuit ".



Jumaat, 16 Ogos 2013

YOUNG CHEF HAFIDZ DAN TAT NENAS



HOMESCHOOLING MELAHIRKAN PELAJAR SERBA BOLEH !

Saya sendiri tidak menduga malah hampir tidak percaya dengan kebolehan Hafidz dalam bidang masakan. Semuanya bermula apabila kami memberi peluang untuk dia teroka sendiri pembelajaran homeschoolingnya tanpa ada pantauan dari pengajar secara langsung. Kami letakkan Hafidz bersama anggota FCU lain di STATION 2 (Pasir Gudang) selama 2 bulan. Dalam masa 2 bulan tersebut saya tidak langsung masuk campur dalam pembelajarannya. Hanya doa mengiringi setiap solat agar Allah membimbing Hafidz dan memberi kekuatan untuk dia berdikari.

Suasana di Taman Scientex di Pasir Gudang memang sangat berlainan dengan Kampung Bakau Langkawi. Bagai bumi dengan langit dari segi persekitaran dan budaya penduduknya. Hafidz dibesarkan sebagai NATURE BOY dimana lautan, sungai dan hutan adalah taman permainannya sejak dari kecil lagi. Malah dia sendiri sering meluahkan hasrat untuk mempunyai ladang sendiri untuk bercucuk tanam dan menternak lembu, kambing,ayam, itik serta ikan.

Taman Scientex hanya dipenuhi bangunan batu tanpa hutan, sungai dan lautan. Penduduk persekitarannya juga sangat menjaga privasi masing-masing hingga untuk bertegur sapa juga bagaikan mustahil. Rupa-rupanya kebosanan yang meronta dalam jiwa Hafidz telah memutik satu minat baru iaitu masakan. Saban hari dia meneliti video masakan terutamanya oleh Chef Wan. Setelah puas menonton berkali-kali, barulah dia mencuba resepi yang telah dipilihnya tanpa pertolongan dari sesiapa. Antara resepi yang telah dicuba ialah pai labu, kueh ketayap, kueh srikaya dan juga lauk pauk. Menurut komen dari ahli FCU  yang lain, memang sedap dan menjadi. Apabila Hafidz kembali ke Langkawi, dia turut menyumbang menyediakan juadah Hari Raya seperti Tat Nenas, Almond London dan Cheese Cake. Syabas buat Hafidz !!

Apa yang dicapai oleh Hafidz adalah hasil dari pembelajaran homeschool yang bersifat terbuka. Homeschool tidak membataskan pembelajaran kepada peperiksaan dan hafalan. Apa yang dipelajari adalah berbentuk praktikal dan untuk kegunaan kehidupan. Pembelajaran tidak hanya tertakluk kepada bilik darjah yang sempit tetapi alam semesta yang bermula dari celik mata di pagi hari hingga saat melelapkan mata di malam hari.

Setakat ini sudah banyak ilmu yang telah dikuasai oleh Hafidz selain dari akedemik yang tertakluk dalam jadual homeschooling yang beroperasi enam hari dalam seminggu (kecuali hari Jumaat)
1) Pembinaan rumah (Hafidz terlibat dalam pembinaan Log House dan Beach House)
2) Menternak ikan dalam kolam dan aquarium
3) Penggiat muda bonsai yang aktif ( Insyaallah dalam beberapa tahun lagi akan bertaraf sifu)
4) Terlibat secara langsung dalam perniagaan keluarga (FCUMIRACLE)
5) Pengamal Perubatan traditioanal (Bekam darah dan bekam angin serta penggunaan herba dalam mengubati penyakit)
6) Luas pengetahuan tentang hutan paya bakau (fauna dan floranya terutama spesies burung) yang diterokainya sejak kecil lagi
7) Mahir berenang dan menyelam kerana rumah kami berada dalam laut apabila air pasang
8) Terlibat dalam penggambaran FCUPRODUCTION
(bidang photography dan video making)
9) Young Scientist (selalu mencuba dan kini  sedang meneroka solar energy untuk kegunaan domestik)
10) Young Chef (baru mula berputik dan sangat berbakat)
11) Mula berjinak dengan mesin jahit ( membuat Baju Melayu untuk Hari Rayanya sendiri)

Sebagai seorang ibu, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian Hafidz. Saya sendiri semasa sebaya dengan Hafidz, tidak mempunyai apa-apa kemahiran selain akedemik yang dipelajari di sekolah. Terbaru dan yang paling menyentuh hati apabila dia menyuarakan hasrat untuk menghafal Al-Quran. Saya sering mengingatkannya bahawa nama Hafidz yang dipilih oleh kami itu adalah dengan harapan agar dia menjadi printis kepada keluarga menjadi Al-Hafidz. Arwah neneknya Halimatun binti Abdul Kasim juga adalah seorang Al-Hafidz. 

Janji Allah itu ternyata benar apabila manyat Al-Hafidz Halimatun Abdul Kassim masih dalam keadaan baik dan kain kapannya juga tidak terusik oleh puluhan tahun di dalam kubur apabila masyarakat setempat memindahkan mayat-mayat di kuburan tersebut ke tempat yang lebih strategik. Subhanallah....

RESEPI TAT NENAS

Bahan-bahannya:
250 gram mentega 
410 gram tepung gandum
40 gram tepung kastard. Satukan kedua-dua jenis tepung ini dan ayak.
50 gram gula aising
2 kuning telur
1 camca teh esen vanilla
Inti nenas secukupnya, digentel sebesar biji kurma
Kuning telur untuk disapu
Acuan kertas cup cake yang terkecil.

Cara Membuatnya:

1) Putar mentega dan gula aising hingga sebati. 
2) Masukkan kuning telur dan esen vanilla. 
3) Perlahankan kelajuan dan masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang lembut. 
4) Satukan adunan menjadi bulatan dan tutup dengan tuala dapur bersih yang telah dilembapkan.
5) Isi sedikit doh tadi dalam acuan tekan yang dipasang muncung tat gulung. Picit panjang hingga habis. 
6) Letak inti dan gulung kemas-kemas. 
7) Masukkan ke dalam acuan cup cake kertas dan susun di atas dulang pembakar.  Buat hingga siap.
8) Sapu kuing telur atas tat gulung tadi dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 20 - 25 minit atau hingga kuning keemasan. 






Gaya seorang Chef Muda






Kepakaran diperlukan untuk membentuk kulit tat yang nipis dan
 sempurna kerana dough tat nenas sangat lembut dan peroi.





Langkah seterusnya ialah membalut inti (jem nenas yang telah dibentuk bujur 
terlebih dahulu oleh Hafidz) dengan kulit tat. Ketelitian dan kekemasan tata 
kerja sangat diperlukan untuk menghasilkan bentuk tat nenas yang cantik.





Sapuan telur kuning ke atas permukaan tat nenas akan membuat warnanya 
menyerlah dan lebih menarik.




Inilah hasil dari ketekunan Chef Muda Hafidz. Hmm.. sedapnya tat nenas yang gebu ni. Syabas anakku !!!




Semua ini bermula dengan episod cooking class yang diajar secara santai dan penuh keseronokan. Pada peringkat awal mengikuti kelas memasak, Hafidz dengan tegasnya menyatakan bahawa dia tidak berminat untuk menjadi chef. Segalanya berubah apabila dia sendiri sangat berminat untuk mencuba berbagai-bagai resepi dan sudah menyimpan angan-angan untuk membuka perniagaan yang berunsurkan makanan secara online. 


Inilah yang ditunggu-tunggu oleh setiap pendidik apabila benih yang ditabur mula bercambah dan berbunga mekar serta menghasilkan buah yang ranum dan manis. Apabila saya merasa masakan Hafidz, saya tahu bahawa benih yang ditabur sudah mengahasilkan buah yang sangat lazat, selazat Tat Nenas yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Saya sangat positif bahawa homeschooling memang satu corak pendidikan yang terbaik untuk membentuk peribadi anak-anak kearah menjadi seorang khalifah. Semoga Allah sentiasa memberkati perjalanan homeschooling kami dan sesungguhnya tiadalah daya upaya kami melainkan semuanya dari Allah semata-mata.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...