Masih saya ingat semasa menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia, setiap kali berhenti untuk makan, menu Ayam Penyet adalah antara pilihan keluarga. Hanya dengan pandangan mata, hati sudah terpikat dengan rupa ayam penyet dan lidah sudah dapat merasakan kelazatan yang istimewa ini. Sememangnya rupa dan rasa ayam penyet memang memikat hati rata-rata penduduk Malaysia hingga menu yang berasal dari Surabaya, Indonesia ini sudah sebati di Malaysia. Bahkan....hidangan ini sudah mengalami evolusi resepinya setelah sekian lama menapak di Malaysia. Maka tidak hairanlah sekiranya kami akan menikmati ayam penyet berbagai versi apabila merantau di perbagai tempat di Malaysia. Setelah merasai versi yang berbagai, saya telah mengadunkan keperbagaian ini dan diterjemahkan dalam satu resepi yang sangat digemari oleh keluarga tersayang. Inilah yang dikatakan kesenian resepi masakan. Tidak mungkin boleh kita kata salah selagi rasanya enak memikat selera dan hati .
Dengan rasa bahagianya, saya hidangkan menu Ayam Penyet istimewa ini buat keluarga tersayang. Resepi ini saya olah istimewa buat COOKING CLASS homeschool kami. Buat ahli yang merantau, kerinduan pasti terubat kerana resepi sudah tersedia di sini untuk mereka menyediakan apa sahaja makanan kegemaran keluarga.
Hidangan Ayam Penyet terdiri daripada nasi minyak simple,
ayam goreng (marinate dan tumbuk), sup, sambal dan ulam-ulaman segar).
Menu ini adalah sempurna dari segi keseimbangan khasiatnya dan juga seimbang dari segi alkali dan acid. Memang mantap....
ATUR KERJA:
1)Marinate ayam(goreng rempah, blend, gaul, rebus)
2)Masak nasi (masak air, tumis bawang, kukus)
3)Buat sambal (goreng dan tumbuk)
4)Masak sup (tumis dan rebus)
5)Sediakan ulam-ulaman (bersih dan potong)
PENYEDIAAN AYAM:
1 ekor ayam besar( potong 8 dan simpan bahagian tulang seperti tengkok dan rangka dada untuk buat sup)
Rebus dengan secukup air untuk masak nasi, marinate dan sup.
Bahan di goreng tanpa minyak
3 sudu besar biji ketumbar
1/2 sudu besar jintan putih
1/2 sudu besar jintan manis
1/2 sudu besar biji lada putih
Bahan untuk di blend
5 ulas bawang putih telah dikopek kulit.
2 labu bawang besar
1 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas saiz ibu jari dihiris.
1 inci halia dihiris.
3 biji buah keras dihancurkan
10 helai daun limau purut (atau daun basil/selasih)
1 sudu besar Serbuk Kari Ayam
1 sudu besar Serbuk Kunyit
garam secukup rasa
2 sudu besar gula perang
Minyak masak untuk deep frying
2 sudu besar tepung beras
1 biji telur ayam sederhana besar
CARA:
1) Goreng rempah 4 jenis ini hingga garing dengan api sederhana sahaja. Sentiasa kacau rempah ini untuk mengelakkan hangus. Rempah yang hangus tidak boleh digunakan kerana akan rosak semua bahan lain. Tanda menunjukkan rempah sudah sempurna digoreng apabila kita boleh memicit biji ketumbar dengan senang. Angkat dan blend ketika panas agar dapat serbuk yang halus. Ketika ini seluruh rumah kita umpama disembur pewangi. Segar sekali dan menaikkan selera.
2) Tumbuk kasar buah keras dan blend bersama bahan-bahan yang lain hingga halus.
3) Masukkan serbuk kari, serbuk kunyit, garam dan gula perang.3 batang serai itu ditumbuk-tumbuk hingga kelihatan berjurai-jurai dan masukkan ke dalam periuk merebus ayam.
4) Ada dua cara untuk marinate ayam ini. Cara pertama ialah dengan memerap buat beberapa jam. Cara kedua ialah dengan merebus ayam bersama rempah dengan api perlahan hingga kering. Matalamat kedua-dua cara ini ialah untuk memasukkan rasa rempah ke dalam daging ayam. Cara kedua adalah lebih cepat.
5)Angkat bahagian yang senang empuk seperti sayap lebih awal. Teruskan proses marinate hingga air sudah agak kering dan daging ayam sudah masak. Untuk elakkan merebus dengan masa yang lama dan ayam sudah over cook, masukkan sedikit sahaja air semasa merebus ayam. Kita boleh masukkan air kemudian sekiranya daging masih mentah.
6)Gaulkan tepung beras dan telur. Masukkan garam dan gula secukup rasa.Gorengkan dengan minyak yang panas pada permulaan dan turunkan suhu agar kulit ayam jadi rangup. Goreng sekali batang serai yang berjurai-jurai itu bersama ayam. Aroma serai goreng akan menyebabkan ayam akan rasa sangat enak dan baunya semerbak harum. Sekiranya kita buka restaurant, bau ini sudah boleh menggamit ramai pelanggan. Inilah hebatnya rempah ayam penyet.
7)Untuk memenyetkan ayam juga ada caranya. Masukkan ayam ke dalam lesung dan letakkan secukup sambal di atasnya. Tekan alu lesung pada ayam hingga masuk segala rasa sambal ke dalam isi ayam. Cukup dengan sekali tekan yang kuat. Kita tidak mahu ayam jadi hancur. Pastikan ayam masih seketul dan rempah melumuri segala isi ayam. Proses ini dilakukan hanya apabila kita mahu hidang untuk santap hidangan.
Rempah-rempah terpilih ini adalah rahsia besar kepada sajian nusantara
Pastikan rempah-rempah ini digoreng dengan api sederhana dan dikacau.
Tambahkan garam ketika hendak kisar supaya rempah cepat jadi halus.
bermakna kita tidak perlu menambah garam di dalam bahan marinate.
Semua bahan diatas diblend hingga halus kecuali serai.
Campuran telur dan tepung beras akan menjadikan ayam goreng rangup
diluar dan juicy di dalam. Jangan terlebih tepung kerana akan menjadikan
ayam bersalut tepung tebal. Apa yang kita inginkan ialah ayam goreng yang
mempunyai crust nipis yang rangup sahaja.
Sebaik sahaja kita ingin menghidang sajian Ayam Penyet,
barulah kita melakukan proses memenyetkan ayam yang sudah
digoreng garing.
Sebab itulah dipanggil Ayam Penyet.................
PENYEDIAN NASI MINYAK:
Cara memasak nasi minyak ini sesuai untuk segala jenis nasi seperti nasi lemak, nasi beriani dan sebagainya. Penyedian yang unik ini dapat membantu mereka yang baru berjinak dengan bidang memasak untuk menghasilkan nasi yang hebat setaraf tukang masak professional. Nasi masak dengan sempurna, tiada kerak dan tidak hancur.
Nasi untuk 6-8 orang makan
2 sudu besar mentega/marjerin/minyak masak
1 batang (3 inci) kulit kayu manis.
3 ulas bawang putih
3 kuntum bunga lawang
5 helai daun pandan disimpul
7 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
garam secukupnya
1sudu teh gula
2 inci halia
Air rebusan ayam
CARA:
1) Masakkan air dalam periuk besar lebih kurang setengah dari periuk itu. Jerang hingga mendidih.Basuh beras hingga bersih. Apabila air sudah mendidih, masukkan beras yang sudah ditoskan dan kacau tanpa henti. Sebaik sahaja beras sudah setengah masak, tuangkan ke dalam penapis. Apa yang kita mahu ialah beras yang lembut di sekeliling tetapi masih mentah di dalam.
2) Panaskan mentega dan tumis halia dan rempah berkenaan. Apabila sudah layu, masukkan bawang putih serta daun pandan dan goreng lagi hingga bawang jadi keemasan. Awas...jangan sampai bawang putih hangus kerana rasanya pahit.
3)Masukkan rempah yang sudah siap digoreng ke dalam nasi yang sudah ditapis. Masukkan air rebusan ayam hingga paras nasi dan masaklah dengan api perlahan. Kacau sekali sekala agar beras tidah patah. Apabila nasi sudah 3/4 masak, tutup api.
4) Ketika kita menumis rempah untuk nasi minyak, kita sudah boleh masakkan air untuk mengukus nasi. Sebaik sahaja air sudah mendidih, kita kukus nasi hingga masak.
Sukatan air mestilah lebih dari beras. Sebenarnya sukatan air
tidak akan menjejaskan nasi asalkan tidak terlalu sedikit dan
tidak terlalu banyak.
Air yang mendidih ini akan memasakkan nasi dibahagian luar
cepat. Matikan api dan cepat-cepat masukkan beras yang sudah
dibasuh dan disejat airnya.
Kacau sekali sekala agar beras masak sekata dan jangan
sesekali tinggalkan beras ini dan buat kerja lain. Peringkat
ini sangat penting. Seandainya kita rendam terlalu lama, nasi akan
jadi lembut sangat.
Sebaik sahaja sekeling nasi kelihatan masak dan bahagian dalamnya masih
mentah, segeralah menapis beras agar proses memasak beras dihentikan.
Bahan-bahan untuk ditumis.
Pastikan api sederhana sahaja agar rempah tidak hangus.
Masukkan beras yang ditapis tadi dan tuangkan air rebusan ayam hingga
separas dengan beras. Guna api kecil sahaja dan di kacau sekali sekala
agar beras tidak patah.
Lapik bekas kukusan dengab jala mata halus agar nasi tidak jatuh ke dalam air kukusan.
Nasi 3/4 masak ini boleh sahaja dilambatkan mengukusnya. Lambat cepat
waktu mengukusnya tidak akan merosakkan nasi. Masa untuk
mengukusnya juga singkat sahaja kerana nasi ini sudah hampir masak.
Oleh kerana kita sudah membuang kebanyakan kanji ketika menapis
buang air rebusan sebelum ini, nasi ini tahan lebih lama (lambat basi).
Lihatlah hasilnya. Beras masak sekata dan sempurna.....
Cara ini sangat sesuai untuk beras basmati yang panjang. Beras tidak patah dan juga nasi tidak berkerak. Walaupun anda baru saja belajar memasak nasi yang sempoi-sempoi, hasilnya seperti seorang yang pakar.
CARA PENYEDIAAN SAMBAL
10 biji cili merah
Secekak cili api merah (ikut suka pedas)
Seketul belacan sebesar telur burung puyuh.
4 labu besar bawang besar
Secekak ikan bilis yang sudah dibersihkan
3 biji tomato
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
Sebiji limau nipis
CARA:
1) Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan.
2) Goreng belacan hingga harum semerbak.
3) Masukkan bawang besar, bawang putih dan bawang merah yang sudah dimayang terlebih dahulu.
4) Apabila layu, masukkan cili merah(dipotong-potong terlebih dahulu), cili api dan diikuti oleh tomato yang dipotong nipis.
5) Goreng hingga semuanya layu dan angkat serta toskan.
Bahan-bahan yang perlu digoreng. Kuantiti cabai adalah ikut
kepedasan masing-masihg.
Setelah layu. masukkan kembali ikan bilis dan goreng lagi hingga ikan garing.
Tumbuk segala-galanya dan tambah gula dan garam secukup rasa.
CARA PENYEDIAAN SUP :
Sebatang carrot
5 ulas bawang merah untuk menumis
10 ulas bawang merah untuk dibuat bawang goreng(jangan terlalu garing sebab rasanya pahit)
1/2 inci halia
4 ulas bawang putih
2 tangkai daun sup
8 biji cili api merah
1 sup bunjut
8 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
CARA:
1) Tumis bawang merah (mayang), bawang putih (mayang) dan halia (dimayang halus-halus) dengan sedikit minyak masak.
2) Masukkan cili api yang dipecah-pecah dan 3 jenis rempah tadi.
3) Setelah harum, masukkan air rebusan ayam dan sup bunjut.
4) Masukkan tulang ayam yang dipotong kecil-kecil berserta sup bunjut.
5) Masukkan carrot yang dipotong nipis setelah mendidih.
6) Untuk mendapat rasa sup yang lebih kaw, tumbuk rempah di dalam sup bunjut. Oleh kerana kita sudah rebus, rempah itu sudah agak lembut dan senang dihancurkan. Masukkan sedikit air dan tapiskan ke dalam periuk sup.
7) Masukkan bawang besar yang dipotong baji. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Taburkan daun sup yang dipotong halus. Jangan lupa menaburkan bawang goren sebelum menghidang. Bagi melengkapkan lagi khasiatnya ambil sehiris limau nipis dan titiskan jusnya secukup rasa.
Rempah dan bahan yang diperlukan untuk membuat sup
Taburkan bawang goreng untuk menaikkan lagi rasa dan khasiatnya.
Alhamdulillah.....Semoga rezeki Allah ini membawa berkat untuk anak-anak terus berkembang maju sebagai khalifah Allah. Sangat penting untuk para ibu sentiasa mengingatkan anak-anak agar bersyukur dengan rezeki di atas meja. Makanlah dengan hati yang rendah diri sebagai hamba dan ingatlah akan mereka yang tidak bernasib baik. Berdoalah agar makanan ini dapat menyampaikan kita kepada Allah. Amin.....