TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Selasa, 7 Januari 2014

AL-QURAN MENGHIAS KEDATANGAN 2014


Lipatan memori 2013 diikat dengan kemas dan cantik sekali dengan Peperiksaan RAE sebagai penutup tirainya. Peperiksaan  RAE adalah merupakan batu tanda bagi kejayaan FCUHOMESCHOOLING dan permulaan kepada pendedahan yang berbentuk global. Mereka akan melangkah setapak lagi sekiranya lulus peperiksaan ini iaitu dengan memperolehi lesen B Radio Amatur. Seterusnya mereka akan menduduki   peperiksaan yang lebih tinggi demi untuk mendapat lesen A Radio Amatur. Demi untuk mencapai matalamat ini, mereka terpaksa melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan Radio dan secara meluasnya ialah elektrik. Pengetahuan berbentuk akedemik ini pasti akan melengkapkan lagi diri mereka yang telah kami isi dengan ilmu kemahiran untuk hidup (ilmu fardhu ain dan kifayah, ilmu berniaga, ilmu membina rumah, ilmu perubatan traditional, ilmu perfileman, ilmu bonsai dan ilmu astronomy)

MASUKKAN SELURUH AL-QURAN KE DALAM DIRI ANAK-ANAK 
Pembelajaran Al-Quran adalah yang paling terpenting dalam homeschool kami. Malah kami sudah mulakan pembelajaran ini sepanjang 9 bulan anak-anak di dalam rahim. Proses pembacaan Al-Quran ini saya khatam berkali-kali sepanjang mengandung kesemua anak-anak. Apabila teknologi makin maju, proses khatam berkali-kali ini di tambah lagi dengan memperdengarkan alunan Al-Quran secara 24 jam melalui Mp3. Setelah lahir di dunia, kami pastikan perkataan pertama mereka sebut ialah ALLAH dengan sentiasa menyebut kalimah ALLAH baik ketika anak-anak tidur dan jaga. Sememangnya semasa dalam pantang, mereka sudah berjaya menyebut ALLAH buat pertama kalinya. Saya juga mendendangkan Al-Quran untuk menidurkan mereka. Kesenambungannya, kami menggalakkan anak-anak untuk khatam  Al-Quran di usia yang muda. Secara fizikalnya, kita telah memasukkan seluruh Al-Quran ke dalam diri anak-anak. Secara hakikatnya, Al-Quran itu sendiri telah mula mencorak pembesaran anak-anak kita.




Pada 19 Mei 2013 yang lalu, Afiqah telah mula membaca Al-Quran besar dan ini adalah sesuatu yang besar dalam hidupnya. Saya ada membuat entri mengenainya dalam SAAT YANG BAHAGIA BUAT AFIQAH. Episod seterusnya ialah pembelajaran membaca Al-Quran setiap selepas solat 5 kali sehari. Dengan kurnian Allah jua, Afiqah telah berjaya untuk khatam sebaik sahaja memasuki ambang 2014. Saat bersejah dalam hidup Afiqah ini akan terus terpahat di sanubarinya dan memori kami sekeluarga sebagai pemangkin dalam perjalanan kerohanian meniti kehidupan seterusnya hingga ke akhirat. Memang manis sekali kejayaan ini dan sangat penting buat rekod pembelajaran homeschool kami. Kejayaan ini akan membantu Afiq, Alyssa dan Adelyn untuk sama-sama khatam dalam usia yang lebih muda dari Afiqah. Insyaallah......


Inilah hadiah sempena Afiqah khatam Al-Quran. Semuga Quran ReadPen ini akan memaksimakan lagi kuasa pembelajaran Afiqah dan sebagai alat untuk menggalakkan adik-adiknya untuk berusaha sepertinya.


MAJLIS KHATAM AL-QURAN
Oleh kerana kesemua anak-anak khatam dengan kami, jadi tiadalah majlis rasmi seperti mereka yang berkhatam dengan guru Al-Quran atau dengan ustaz di masjid. Cukup dengan hidangan special kegemaran anak-anak dan sedikit hadiah berkaitan dengan pembelajaran Al-Quran.
Walaubagaimanapun...kisah-kisah berkhatan di zaman 1970an dahulu sering kami ceritakan kepada mereka supaya mereka tahu sejarah yang lepas.

Masih jelas dalam ingatan, ketika itu berusia enam tahun dan khatam Al-Quran. Rumah Tok Guru mengaji agak jauh dari rumah, lebih kurang 1 kilometer. Emak masak pulut kuning sebesen besar kerana anak murid Tok Guru itu ramai. Gandingan dengan pulut kuning itu pula ialah kari ayam 10 ekor dan seperiuk sira labu yang manis dan lazat. Setiap murid perempuan yang berkhatam  akan di arak dari rumahnya, berjalan kaki hinggalah ke rumah guru. Semua murid-murid lain akan mengiringinya sambil berselawat ke atas Nabi. Ada pula kumpulan kompang mengiringi perarakan kecil itu. Yang paling saya suka ialah baju gaun putih pengantin yang emak tempah khas. Memang happening lah buat seorang budak perempuan seusia enam tahun. Layanan istimewa sebegini memang dapat menaikkan semangat kanak-kanak lain yang mengaji untuk cepat khatam. Pada umur lapan tahun, saya khatam lagi untuk kali kedua.

Bagi pelajar lelaki pula, mereka akan diusung diatas pengusung yang dibuat khas bagaikan raja. Mereka juga akan diarak dari rumah mereka hinggalah ke rumah Tok Guru. Selepas itu barulah kenduri pulut kuning bermula. Memang manis sungguh kenangan di zaman dahulu yang kini sudah tidak diamal lagi. Zaman berubah dan masyarakat kian sibuk dengan urusan masing-masing.


MENGHAFAL AL-QURAN SEBAGAI PEMBELAJARAN SEUMUR HIDUP
Sememangnya menjadi idaman hati untuk mempunyai anak-anak yang hafal Al-Quran. Selepas khatam kali pertama, Afiqah akan khatam buat kali kedua. Kali ini prosesnya akan lebih lambat kerana berserta kelas tajwid dan juga menghafal Al-Quran. Lambat atau cepat mereka menghafal Al-Quran tidaklah kami kisah asalkan proses itu berterusan hingga ke akhir hayat. Seringkali kami menceritakan kisah moyang perempuan mereka yang menjadi guru Al-Quran ketika hayatnya. Moyang Halimatun Saadiah ini sentiasa membaca Al-Quran apabila ada masa lapang. Setelah berpuluh tahun mayatnya disemadikan, penduduk kampung yang membuat kerja memindah mayat ke tempat yang lebih sesuai, mendapati mayatnya masih elok dan kain kapannya juga tidak reput. Segalanya nampak seperti baru....Semoga sejarah yang baik ini akan berulang lagi di kalangan kami yang masih hidup. Amin.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...