TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Rabu, 13 Julai 2011

WHAT IS THE CRITERIA OF SUCCESSFUL HOMESCHOOLERS




1- Intention:
Segala-galanya bermula dengan niat.

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.(Q.S Al-An’am : 162)”.

Allah menilai segala perbuatan kita diatas niat. Betapa hebat  pun apa yang kita lakukan, ianya tidak bernilai disisi Allah sekiranya niat tidak betul. Segala apa yang kita lakukan mestilah hanya untuk keredhaan Ilahi. Dengan itu barulah berkat. Segala usaha kita yang diberkati Allah, Insyaallah akan menjadi lebih besar dan berjaya. Mendidik anak-anak adalah \tanggungjawab ibubapa yang akan dipersoalkan kelak di akhirat. Adalah tugas kita untuk memberi yang terbaik pada pandangan Allah dan bukan pada pandangan dunia. Kita mesti menilai mana-mana pusat pembelajaran yang bakal kita masukkan anak-anak kita dari semua segi. Apalagi untuk mencanai anak kecil kita yang umpama rebung buluh. Adakah mampu pusat pembelajaran itu melentur jiwa anak-anak ke arah ketuhanan.



Alyssa dan Adelyn.

Siapakan yang paling layak untuk mendidik anak sejecil ini. Mereka umpama span yang akan menyerap apa sahaja suasana di sekeliling mereka. Hanya ibubapa sahaja yang tahu personaliti setiap anak secara mendalam. Berlainan personaliti memerlukan approach pembelajaran yang berlainan. 

Mengambil kira semua inilah kami memilih untuk mengajar anak-anak di rumah. Dengan adanya segala kemudahan terkini dan teknologi moden, pembelajaran menjadi sangat mudah dan seronok.


2- Enthusiasm:
Mesti ada semangat yang tinggi dan tak pernah padam walaupun dalam berbagai ujian. Kalau tak ada yang ni....alamak jadi beku teruslah homeschool. Bukan senang nak jadi guru sekaligus menguruskan sebuah rumah yang mana kerja tak pernah habis. Seringkali saat mata dah nak terlelap setelah penat seharian bekerja, tiba-tiba terlintas di kepala tentang kerja homeschool yang belum beres. Macam magnet atau pun macam kena letrik, badan terus bingkas duduk dari baring. Cepat-cepat ke komputer, meneliti programme yang pernah di rakam dan dianalisa. Jadual subjek dah ada tapi...apa yang nak suruh anak buat ?. Kalau esok baru nak fikir, memang nahas.

Ajar anak remaja bukanlah seperti ajar anak yang kecil. Mereka paling tak suka kalau kita teragak-agak atau tak pasti. Apalagi kalau kita suruh buat benda yang mereka fikir tak perlu. Lagilah teruk akibatnya.Ya Allah bantulah....Inilah senjata yang paling saya pegang dan menenangkan hati. Memang dapat bantuan apabila kita minta sungguh-sungguh dan berkali-kali. Ajar remaja samalah kita ajar orang dewasa. Mereka dah boleh berfikir akan kebaikan apa yang diajar. Pernah saya ajar mathematik pada anak tingkatan 4. Bab itu agak complek. Dia tanya balik pada saya apa tujuan saya ajar benda yang nampak tak logik tu...Dia kata yang dia bukan nak jadi computer programmer. Barulah saya tersedar hakikat bahawa apa yang diajar mestilah ditapis betul-betul. Sekali gus, saya rasa bersyukur kerana anak-anak mulai matang dan ada sikap tak mudah menerima sesuatu membuta tuli. Setidak-tidaknya inilah hasil homeschooling. Anak kita tidak mudah dikotak katikkan oleh orang lain kerana mereka sudah tahu menilai.

Bukan sekali atau dua, anak-anak buat hal. Almaklumlah...mereka tak ada saingan seperti di sekolah kerajaan. Semangat yang tinggilah yang menyebabkan saya tak rasa putus asa. Buat analisa terperinci sebab musabab perkara yang tak diingini dalam HS berlaku.
Sekali lagi....doa dan doa yang tak putus-putus dari mulut dan hati nurani. Usaha dan doa berjalan seiring. Ia memang berkesan. Sejak homeschool inilah saya paling banyak berdoa. Kalau dulu banyak berdoa selepas solat sahaja tetapi bila buat homeschool, doa seperti berada dalam nafas kita. Pergantungan pada Allah mesti kuat dan sepanjang masa.

3- Knowledge:
Ini boleh dicari, janji rajin aje. Bila mula niat nak homeschoolkan anak, dah kena rajin mencari ilmu di blog-blog homeschool dan website yang berkenaan. Inilah modal yang paling penting. Adakah perlu kita seorang lulusan universiti untuk jadi homeschooler? Jawapannya adalah tidak. Yang penting adalah rajin.  Rajin ini terbit dari api semangat yang tak pernah padam. Bagi saya peralatan yang paling penting ialah komputer. Ia umpama sebuah classroom yang sangat besar dan kita boleh pilih nak guru yang macam mana. Perlu rajin buat research dan implementkan dalam HS kita. Sekali lagi saya bergantung kepada Allah agar cepat faham.

Standard homeschool, anak-anak mesti dapat 3 bahasa, barulah berbalui. Bahasa Melayu dan Inggeris dah tak jadi masaalah. Paling-paling tidak anak-anak boleh bertutur dengan baik, cukup lah ....walaupun tak boleh menulis dengan baik. Satu lagi bahasa ? Saya pilih mandarin (Memang kalau ikutkan hati nak ajar bahasa Arab tapi....dulu tak sekolah arab dan tak pernah berpeluang belajar. Pasti akan belajar juga bahasa Al-quran ini suatu hari nanti). Ini adalah hasil dari perasaan geram saya juga bila sering terkebil-kebil apabila mendengar orang Cina bersembang sesama mereka. Apalah yang mereka bualkan. Sesekali terlintas juga dalam benak ini yang mereka tengah mengata kita. Almaklumlah kita tak faham apa-apa. Tengok tulisan cina pun seperti tikus melihat besi. B

Perlu tahu bahawa language adalah sesuatu yang natural dengan manusia. Ia tidak memerlukan intelligent untuk menguasainya. Ia adalah budaya dan semua orang boleh  bercakap bahasa ibunda mereka melainkan mereka bisu atau mempunyai masaalah dalam pertuturan. Budaya sesuatu bangsa adalah terbit dari kebiasaan mereka dalam melakukan sesuatu. Jadi di sini, rahsia besarnya adalah kebiasaan. Kebiasaan adalah sesuatu yang sangat senang tapi dilakukan berulang-ulang hingga mendarah daging. Sebab itulah Rasulullah S.A.W. menggalakkan umatnya menguasai 7 bahasa. Oleh kerana bahasa tidak memerlukan intelligent seseorang, jadi....semua orang berpeluang. Kebiasaan itu hanya akan bisa wujud bila ada rajin. Alat untuk belajar berada sekeliling pinggang. Hanya dengan Mp3, kita dah boleh belajar sambil memasak, sambil mengemas rumah dan juga terngiang-ngiang di telinga hingga tertidur. Andai kita dah bermimpi bercakap bahasa yang sedang kita pelajari beberapa kali, itu tanda dah kita sudah berada di ambang kejayaan. Cara inilah yang saya lakukan kerana manalah ada lagi ruang masa  untuk pelajari bahasa setelah rutine harian dah ketat. Masyaallah....belum cuba belum tahu akan keajaiban bantuan Allah.

Pernah kami hantar anak kesembilan dan kesepuluh ke sekolah cina dari tadika lagi. Terkial-kiallah saya cuba faham untuk ajar mereka kerja sekolah. Setakat darjah satu dan dua bolehlah sikit-sikit. Bila dah darjah empat, asyik-asyik anak kena denda sebab tak siap kerja rumah, kami terpaksa mengalah dan tukar ke sekolah melayu balik. Namun, rasa bersyukur kerana sedikit sebanyak dapat jugalah sikit-sikit mandarin untuk diajar dalam homeschool. Target boleh mereka faham dan baca yang simple-simple jadilah. Lepas tu...doa agar mereka teroka sendirilah. Sebenarnya bila kita buat homeschool, kita juga masuk kelas belajar di rumah dan kita adalah guru pada diri sendiri. Kedengaran pelik tapi itulah hakikatnya.


4- Focus:
Inilah pusat kehidupan kita setelah bergelar homeschooler. Kalau dulu ramai kawan, kini kena mengelak aje terutama bersembang di talian atau chatting di internet.Kalau dulu banyak rehat, kini kena sentiasa buat kerja untuk perbaiki homeschool kita. Kalau dulu suka layan movie di internet atau di tv, sekarang kena layan programme ilmiahlah  yang banyak. Pendek kata, kita mesti ada disiplin diri yang kuat dan sentiasa positive dalam tindakan. Selalu fokus untuk beri yang terbaik pada HS dalam apa jua situasi.
Pernah sekali dulu, oleh kerana terlalu banyak kerja lain, saya jadi leka dan asyik suruh mereka buat kerja sendiri. Homeschool jadi tak terurus. Anak-anak dah tak ikut jadual. Mereka jadi malas dan susah nak ikut cakap. Rupa-rupanya bila kita hilang fokus, anak-anak kita lagi berganda tak fokus. Nak kembalikan suasana belajar balik memang susah. Inilah padahnya dan kita kena tanggung sendiri akibat ini. Memang serik.

Ciri-ciri sesebuah HS yang ketara ialah pembelajaran yang berasaskan pengalaman. Ini memang jelas ketara perbezaan dengan sekolah kerajaan yang berpusat kepada kerja rumah yang menimbun, peperiksaan dan ketidak adilan pengiktirafan kebolehan pelajar. Hanya mereka yang menonjol dalam akedemik dikira juara. Padahal, akedemik hanyalah sebahagian kecil sahaja dari realiti kehidupan dunia yang sebenar. Ibubapa mestilah memberi fokus kepada penyediaan keperbagaian pengalaman hidup kepada anak-anak dari sesekecil benda hinggalah yang kompleks. Contohnya sesekecil benda ialah bersama mencerap bulan dan bintang dilangit, bersama mengintai beburung yang singgah menghisap madu di taman, bersama menyiang ikan atau memotong ayam sambil mengenal organ dalaman mereka dan fungsinya. Antara yang kompleks pula ialah bersama mengenal erti kehidupan mereka yang susah dan tak bernasib baik bila menolong anak-anak yatim dan golongan tua yang disisihkan, sama-sama membantu mereka yang ditimpa kemalangan yang kehilangan jiwa. Sama-sama mengenal hati nurani masing-masing dan cuba mencapai  keikhlasan dalam setiap perbuatan. Atau dengan lebih tepat, sama-sama menyelam ilmu kejiwaan agar anak-anak menjadi manusia yang sangat sensitif dengan segala perbuatannya di atas muka bumi ini, bimbang akan kemurkaan Ilahi.

5- Creativity:
Dengan kecanggihan internet dimana kita boleh surf apa saja tentang homeschool, alasan tak berdaya kreatif memang tak masuk akal. Sedikit pun kita tak salah seandainya meniru idea orang lain sekiranya idea itu bersuaian dengan anak kita. Apabila idea itu dah diimplementkan dalam suasana rumah kita, maka ia akan jadi unik dan tersendiri. Ianya sudah jauh berbeza dari idea yang asal. Sebab itu, setiap homeschooling dalam dunia ini adaalah unik dan tersendiri. Tiada satupun yang lebih baik dan kurang. Kejayaannya adalah kita sendiri yang berhak ishtihar. Kejayaannya kita sendiri yang tahu. Tidak perlukan penilaian orang lain kerana kejayaan itu adalah subjektif sifatnya.


Betapa seronoknya anak-anak apabila kita buat cooking class kepada mereka. Di sinilah terletaknya kreativiti kita untuk mengajar mereka. Semasa membuat dough nut, kita boleh mengajar mathematik. Contohnya berapa biji dough nut perlu dibuat untuk setiap ahli keluarga dapat tiga biji dough nut seorang. Begitu juga dengan pelajaran sains apabila yeast yang sebelum itu merupakan butiran-butiran kecil sahaja, tetapi mampu untuk mengembangkan dough hingga dua kali ganda saiznya. Penerangan berbentuk saintifik sangat menarik dan anak-anak akan mengajukan berbagai-bagai soalan yang membina pembesaran mereka.


6- Passion:
Bagi saya inilah penggerak utama untuk terus jadi homeschooler yang berjaya. Minat yang mendalam dalam bidang mengajar adalah umpama nafas kepada saya. Sedikit pun saya tak rasa bebannya. Punya anak yang ramai telah menyediakan para pelajar yang rami tanpa mencari diluar. Kami sudah memulakan homeschool ini sejak tahun 1983. Anak pertama, kedua dan ketiga lalui HS sepenuhnya. Masa tu....memang pelikkah sekolah di rumah. Ramailah yang membangkang dan mengata. Pendirian kena kuat betul dan hasilnya kita macam dipulau macam ajaran sesat aje !! Mungkin ada yang menganggap begitu. Pihak sekolah pula bagaimana? Mungkin masa tu..kerajaan tak begitu strick, kami tidak diganggu pula. Adalah yang melawat dan bertanya tapi tidak pula dikenakan apa-apa tindakan. Anak-anak kami dilabelkan tidak sekolah oleh masyarakat.

Hal ini berterusan hinggalah mereka masuk ke sekolah menengah. Oleh kerana anak-anak ingin merasa sekolah kerajaan, kami hantarlah mereka balik ke sekolah public. Memanglah apa yang kami ajar tak sama dengan sekolah kerajaan dari segi syllabus. Hanya beberapa bulan anak-anak terkial-kial untuk menyesuaikan dengan cara pembelajaran baru mereka. Selepas itu mereka mula menunjukkan kejayaan mengatasi rakan-rakan mereka hingga semuanya berjaya ke peringkat tinggi pengajian dan ada yang menyambung ke luar negara. Walaupun anak-anak seterusnya kami hantar ke sekolah kerajaan, homeschool tak pernah berpisah. Minat mengajar membuat saya juga turut membaca buku-buku add math, physic, chemistry dan bio demi menolong mereka memahami pelajaran tersebut dan berjaya. Walaupun dah ada ijazah, kebanyakan mereka lebih suka kerja dengan keluarga. Sama-samalah kami anak beranak membangunkan perniagaan on-line dan menubuhkan FCUPRODUCTION. Mereka nampak dengan jelas bahawa 9 daripada 10 pintu rezeki adalah dari perniagaan. Akhirnya, kami nekad mengambil Tajrid dan Hafidz dari sekolah kerajaan dan mulakan HS dan bermulalah episod FCUHOMESCHOOLING yang menyeronokkan.

Sebenarnya idea homeschooling ini sudah menarik hati saya ketika saya masih di bangku sekolah lagi. Pertama kali saya didedahkan pada HS ialah bila menonton cerita THE SOUND OF MUSIC sekitar tahun 1970an. Masa itu saya adalah pelajar tingkatan satu di Sekolah Tun Fatimah. Masa itu semuanya adalah baru bagi saya. Anak pingitan kampung yang terpilih ke sekolah asrama penuh adalah umpama satu mimpi yang indah. Ianya terlalu besar bagi saya. Manakan tidak, masa itu hanya ada berapa kerat saja sekolah berasrama penuh antaranya MCKK, SDAR, STAR dan TKC. Tergamam juga pada mula menjejakkan kaki ke STF kerana rata-rata mereka cakap orang putih. Adalah beberapa kerat pelajar baru macam saya yang banyak mendengar dari bercakap sebab takut tersalah sebut. Yang lain tu...berabuk cakap orang putih kerana kebanyakan mereka adalah anak raja atau keturunan raja, anak menteri dan diplomat. Cikgu-cikgunya juga ramai mat salleh termasuklah si Mr. Best ni. Dia adalah guru Bahasa Inggeris saya. Movie The Sound Of Music ni...adalah english literature kami. Kisah sebuah keluarga besar seorang kapten tentera yang kematian isteri. Dia ambil seorang pengasuh untuk homeschool anak-anaknya . Banyaklah kisah-kisah yang menarik berkenaan belajar di rumah hingga saya sering berangan untuk berada di tempat mereka.

Jadinya FCUHOMESCHOOLING is a dream come true for me. Seperti yang saya kata tadi, kita bukan saja homeschool anak-anak kita tapi hakikatnya kita juga homeschool diri kita sendiri. Setiap aktiviti HS adalah baru pada kita. Kita sama-sama lalui pengalaman dengan anak-anak. Mereka pun tahu kita baru nak berexperiment dan mereka tak kisah  kalau experiment itu gagal pada mulanya. Kami sama-sama cari  cara yang terbaik di internet. Akhirnya kita dah jadi kawan sebelajar dengan anak-anak. Seperti yang telah saya katakan, ajar remaja tidak seperti ajar anak-anak kecil. Perlu banyak bersaikologi dan berfikir cara yang terbaik. Kita perlukan different approach bagi setiap anak kerana personality mereka yang berbeza. Kedengaran sangat rumit tapi inilah tanggung jawab kita dan dengan bantuan Allah, pasti kita berjaya.


7- Patience:
If there is any place that we need extra patience, it is in raising our children. What more if we home-school our kids.
Kita memerluka satu " magic " untuk membuat anak-anak mendengar arahan kita. Magic ini adalah kewibawaan dalam diri kita sendiri. Kewibawaan ibubapa yang hanya dapat diperolehi melalui kerohanian yang dipupuk melalui hubungan kita dengan Allah.
Anak yang degil dan malas pun akan menyiapkan kerja sekolah lantaran tidak mahu di denda di hadapan rakan-rakan. Apabila anak yang degil dan malas ini belajar di rumah di mana guru adalah ibunya (selalunya begitulah kerana bapa keluar mencari rezeki), kebiasaannya mereka tidak mahu buat kerja homeschool mereka. Kalau tak ditangani, malasnya menjadi-jadi hingga langsung tak belajar dan jauh tinggal ke belakang. Pelajar-pelajar sebeginilah yang selalu membuat ibubapa HSkan mereka kerana mereka sering membuat masaaalah di sekolah.

Disinilah ibu bapa perlu kesabaran yang tinggi untuk membetulkan keadaan. Kita akan diuji hingga ke peringkat tertinggi. Air mata? Usah dikata....fikiran sakit dan hati pun sakit. Namun kesedaran bahawa mendidik anak adalah tanggung jawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak dan juga merupakan harta kita dunia dan akhirat, segala usaha mesti digembelingkan hingga ke peringkat terakhir. Kata orang hingga ke titisan darah yang terakhir....!! Solat hajat dan doa yang berterusan adalah senjata yang paling efective di samping pamerkan unconditional love yang tulus suci. Mereka akan dapat rasa kehebatan kasih sayang ibu bapa yang membawa ke syurga. Mereka juga akan terpanggil untuk menilai apa itu yang baik dan apa itu yang buruk dalam kehidupan mereka. Allah pasti membuka hati mereka seluas-luasnya kerana doa ibu adalah yang paling mujarab di antara segala doa di muka bumi ini. Pasti....dan pasti hasilnya sungguh di luar dugaan kita sama sekali selagi kita tidak berputus asa.

Perlu analisa kemampuan anak kerana pencapaian akedemik tidak mengukur kelebihan dan kemampuan sebenar mereka. Di sinilah masyarakat silap mengukur dan membuat penilaian. Sebenarnya kecerdikan boleh di tonjol dalam berbagai-bagai cara termasuk kebolehan kreativiti tangan, kebolehan bercakap dengan petah, mencipta sesuatu yang boleh menyenangkan urusan manusia, akhlak yang tinggi, kemurnian hati yang tak ada pada yang lain dan  banyak lagi. Setelah HS anak sendiri, saya telah dapat mengenal pasti keistimewaan dan kelebihan anak-anak saya yang boleh membantunya untuk menempa kejayaan bagi dirinya, agama dan bangsa.

Memang banyak lagi kriteria yang lain yang di perlukan oleh  seorang  homeschooler. Mungkin anda ada idea yang bernas dapat dikongsikan demi memperbaiki mutu homeschooling khasnya dan pendidikan sejagat amnya. Segala pendapat anda sangatlah saya hargai.
Wallahualam.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...