Seringkali
saya mengaitkan fizik kuantum didalam artikel-artikel saya yang lepas,
mungkin ramai dikalangan rakan-rakan yang pernah mendengar perkataan
Fizik kuantum ataupun Quantum physic akan tetapi mungkin tidak ramai
yang mengetahui apakah sebenarnya yang dikatakan fizik kuantum itu.
Pada awal abad ke 19, seorang
saintis German bernama Max Plank melalui kajiannya mengenai struktur
atom dan juga "black body radiation" mendapati tenaga (energy) secara
semulajadinya adalah dalam bentuk gumpalan (lump) atau ketulan (chunk)
dan bukanlah dalam bentuk gelombang radiasi berterusan seperti yang
difahami sebelum itu, ianya dinamakan "quanta" iaitu bermaksud kuantiti,
dari situ wujudlah bidang fizik baru yang dinamakan Quantum Fizik atau
Quantum Mekanik.
Quantum Fizik (QF) adalah fizik
mengenai atom, apa yang membentuk atom itu dan juga bagaimana perilaku
"sub-atomic particle" atau zarah-zarah yang membentuk atom itu sendiri.
QF juga digelar sebagai fizik baru atau moden dan amat berbeza daripada
fizik klasik (sebelum 1900) yang diasaskan oleh Aristotle hinggalah oleh
Newton. Menerusi quantum fizik juga, falsafah barat yang dikemukakan
oleh ahli falsafah Peranchis pada kurun ke 17 Rene Descarte iaitu jasad
atau material dan minda adalah dua unsur yang berbeza atau tiada kaitan
antara satu sama lain menjadi goyah oleh penemuan-penemuan baru oleh
fizik moden ini. Melalui ujikaji QF, terbukti minda mempengaruhi dunia
materialistik yang manusia anggap selama ini diluar kawalan mereka.
Bagaimana pula sifat dan
perilaku atom itu mempengaruhi manusia? Kita semua terbentuk dari
jutaan-jutaan sel yang bergabung membentuk jasad, dan sel-sel terbina
dari molekul, dan molekul pula terbentuk dari atom, jadi jika kita ingin
mengkaji kehidupan, bukankah kajian mengenai atom itu sendiri yang
merupakan asas binaan tubuh manusia itu amat penting? Hampir kesemua
alat elektronik kegunaan manusia moden masa kini amat berkait dengan QF,
dari pemain CD, DVD, TV, telefon bimbit, komputer, tenaga nuklear dan
sebagainya, semua ini dicipta dengan prinsip QF itu sendiri. Walaupun
rata-rata manusia menggunakan alat yang dicipta dengan bantuan fizik
moden ini didalam kehidupan manusia seharian, pemikiran manusia itu
sendiri masih lagi menggunakan prinsip klasik dalam hampir setiap detik
kehidupan yang dilalui.
Disini saya akan cuba untuk berkongsi dengan rakan-rakan sekalian
beberapa idea-idea baru dan falsafah disebalik QF yang mana pada
pendapat saya amat penting untuk menjalani kehidupan yang lebih
bermakna. Ada sesetengahnya sudah kita gunakan atau alami sehari-harian
akan tetapi tidak tahu mengapa ianya sebegitu, contohnya apabila kita
tersedak kononnya ada orang menyebut-nyebut nama kita, bagaimana jika
saya katakan eksperimen untuk menunjukkan kejadian itu memang boleh
berlaku dan terbukti didalam ujikaji yang dijalankan?, dan ini adalah
satu konsep didalam QF yang dipanggil "entanglement" yang mana
menyatakan zarah, objek mahupun manusia didunia ini berkait dan
berhubungan sesama sendiri tanpa perantaraan yang jelas. Saya akan
berkongsi beberapa konsep didalam fizik kuantum dan cuba mengaitkan
dengan kehidupan kita sehari-harian.
1. KEDUDUKAN ZARAH - HANYA KEMUNGKINAN DAN KEBERANGKALIAN
Atom yang kita belajar disekolah adalah seperti planet-planet
mengelilingi matahari dimana elektron berputar mengelilingi nukleus yang
terdiri daripada neutron dan proton. Walaupun konsep ini diterima pakai
untuk menjelaskan kelakuan atom dan bagaimana ia boleh berinteraksi
dengan atom-atom lain untuk membentuk molekul dan seterusnya membentuk
semua benda disekeliling termasuklah tubuh badan manusia itu sendiri,
hasil dari kajian dan eksperimen terbaru atom tidak terbentuk sebegitu
rupa, lebih kepada abstrak, suatu yang tidak boleh dijelas atau
digambarkan, malah untuk menentukan kedudukan dan perilaku zarah-zarah
didalamnya atom itu sendiri hanyalah dapat dilakukan dengan bahasa
metematik dan formula yang didalam perkiraannya juga hanyalah memberikan
kemungkinan dan kebarangkalian sahaja dimana zarah-zarah itu berada.
Antara dua formula yang masyur adalah "Wave Function Equation" oleh
Erwin Schrodinger dan "Matrices Mechanic" oleh Werner Heisenberg.
Pada tahun 1927, berlaku satu perjumpaan ahli fizik di Brussel (Solvay
Conference) yang mana mereka membincangkan penjelasan mengenai
zarah-zarah dunia sub-atomik. Terdapat dua pihak yang bertelagah, iaitu
satu pihak yang diwakili oleh Albert Einstein yang menyatakan tidak
mungkin zarah ber"kemungkinan" sahaja berada disuatu tempat, Neils Bohr
yang mewakili sebelah pihak lagi mengemukakan pendapatnya bahawa secara
matematiknya itulah sifat atau kelakuan zarah-zarah didalam atom. Satu
ungkapan Einstein yang amat popular dalam perdebatan mereka adalah
"Tuhan tidak bermain dadu", Bohr pula membalas "Einstein, berhenti
memberitahu tuhan apa yang patut dilakukan".
Berbeza dengan falsafah fizik klasik yang mana semua kehidupan didunia
ini adalah berlandaskan 3 hukum gerakan Newton (Newton Law Of Motion)
yang mana semua kejadian boleh diramalkan, ini tidak berlaku didalam
dunia sub-atomik yang mana hanya kemungkinan dan kebarangkalian sahaja
yang boleh dikira. Jika kita kaitkan konsep ini didalam kehidupan
sehari-harian, tiada apa yang pasti, semua hanyalah kemungkinan dan
kebarangkalian sahaja yang ianya boleh dan akan berlaku. Malah jika
kedudukan zarah diketahui, kita tidak boleh mengira momentum zarah
tersebut, begitu juga sebaliknya.
Lihat kehidupan yang kita lalui ini, nampaknya seolah-olah ianya juga
sebegitu jika kita samakan ianya dengan dunia sub-atomik, dunia
seolah-olah tiada kepastian, hanya kebarangkalian dan kemungkinan
sahaja, jadi jika tiada kepastian, dari mana pula datangnya takdir?
Sebab itu Albert Einstein tidak dapat menerima kenyataan Neils Bohr
kerana baginya tuhan tidak menjadikan dunia ini seperti suatu perjudian.
Saya juga bersependapat dengan Einstein, akan tetapi apa yang akan
menjadikan dunia ini suatu kepastian atau takdir adalah dengan
undang-undang kehidupan seperti yang Allah berikan didalam Al Quran.
Akan saya jelaskan selepas ini.
2. DUA SIFAT ELEKTRON - ZARAH (PARTICLE) ATAU GELOMBANG?
Cahaya amat berkait rapat dengan atom, cahaya terbina dari unit kecil
yang dipanggil photon manakala atom diwakili oleh unsur sub-atomik lebih
kecil yang dipanggil zarah samada elektron, neutron atau proton. Atom
boleh mengeluarkan tenaga darinya dalam bentuk photon. Sejarah awal
kajian mengenai cahaya adalah oleh Christian Huygens dalam abad ke 16,
dia mengemukakan pendapat bahawa cahaya berfungsi sebagai gelombang,
umpama gelombang apabila seketul batu dijatuhkan didalam kolam. Pada
kurun ke 17 pula Sir Isaac Newton meramalkan bahawa cahaya terbina dari
zarah-zarah kecil yang dinamakan "corpuscular". Dalam abad ke 18 pula,
Thomas Young melakukan ujikaji yang amat mashyur didalam dunia fizik
iaitu apa yang dinamakan "Double Slit Experiment" membuktikan bahawa
cahaya berkelakuan sebagai gelombang dan bukan zarah. Pada tahun 1905
pula, Albert Einstein yang pada masa itu bekerja sebagai kerani di
Zurich mengeluarkan kertas saintifik mengenai "Photoelectric Effect"
yang mana menyatakan bahawa cahaya terdiri dari zarah-zarah kecil yang
dinamakan photon melalui konsep bagaimana tenaga diserap dan disebarkan.
Ini selari dengan penemuan Max Plank yang mana asal nama QF itu bermula
iaitu "quanta". Persoalannya mana satu yang betul, adakah cahaya atau
sub-atomic bersifat gelombang atau zarah, atau mungkinkah kedua-duanya
sekali?
Atom dan cahaya amat penting didalam kehidupan manusia, tanpa atom tiada
jasad atau benda yang terbentuk dan tanpa cahaya pula tiada apa yang
boleh dilihat oleh manusia. Akan tetapi hasil dari kajian fizik kuantum
ini, ahli fizik membuat kesimpulan bahawa keputusan suatu ujikaji yang
menentukan samada hasilnya adalah gelombang atau zarah adalah
berdasarkan untuk tujuan apa ujikaji itu dijalankan, jika ia untuk
mengkaji cahaya atau zarah sebagai gelombang, maka gelombang yang akan
dilihat dan begitu juga sebaliknya. Ini apa yang dipanggil sebagai
"complimentary principle" sub-atomik yang mana ia boleh bersifat sebagai
zarah atau gelombang bergantung kepada niat dan tujuan sesuatu ujikaji
itu dijalankan.
Berbalik kepada kisah perjumpaan ahli fizik di Brussel, hasil dari
perbincangan mereka terhasilah interpretasi mengenai fizik kuantum, apa
yang disebut "Conpenhagen Interpetation of Quantum Mechanic". Ia secara
amnya menyatakan kita tidak boleh mengukur atau memeriksa kedudukan
sesuatu zarah itu sebelum kita melihat zarah itu sendiri, hanya
kemungkinan dan kebarangkalian sahaja zarah itu berada pada suatu lokasi
sehinggalah kita melihat atau mengukurnya. Hanya apabila kita mengukur
atau melihatnya, apa yang dinamakan "Collapse of Wave Function" berlaku
menyebabkan zarah yang sebelum ini berada pada semua lokasi
(superposition) pada satu-satu masa itu menjadi suatu yang nyata.
Dari penerangan video diatas, atom berada dalam keadaan "superposition"
iaitu semuanya adalah hanya kebarangkalian dan kemungkinan sahaja. Hanya
apabila kita membuat pengukuran atau melihat maka ia menjadi suatu yang
nyata dan bukan sekadar gelombang (collapse of wave function). Ini yang
dikatakan kita mencipta realiti kehidupan, melalui cara kita
melihat dunia itu sendiri dari pemikiran. Ini juga rahsia disebalik
hukum tarikan (Law of Attraction). Pada pendapat saya, disinilah kita
sebagai manusia perlu menumpukan terhadap apa yang kita ingin kan dan
sebagai seorang muslim kita sudah ada latihan untuk fokus dan tumpukan
perhatian iaitu solat. Akan tetapi berapa ramai manusia yang mampu
melakukannya?, maka untuk mencipta realiti hidup amat sukar dan
rata-rata manusia akan hidup didalam ketakutan, risaukan perkara buruk
akan berlaku kerana mereka adalah lemah dan hanya menjadi mangsa
keadaan.
Fahaman baru ini juga amat bercanggah dengan fizik klasik yang mana
dunia ini sudah dijadikan oleh tuhan seolah-olah sebuah "Great Machine"
dan kita adalah salah satu gear-gear yang berputar didalamnya dan apa
yang berlaku pada diri kita adalah disebabkan gear bersebelahan yang
berputar, baik atau buruk yang berlaku didalam kehidupan, kita hanyalah
sebagai mangsa dan tiada kena mengena langsung dengan sebab terjadinya
sesuatu kejadian itu. Akan tetapi hasil dari kajian QF ini mendapati
dari pemikiran kita sendiri, iaitu bagaimana kita mahu melihat kehidupan
itu sendiri akan mempengaruhi kehidupan sebenar yang akan kita alami.
Adakah bercanggah dengan Islam? Bagi saya tidak kerana Allah itu Maha
Pemurah dan apa sahaja yang kita kehendaki pasti akan dikurniakannya.
Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Surah Ghafir 40:60)
Akan
tetapi mengapa hidup kita penuh dengan duka? Jika dari cara kita
melihat atau mengukur dunia ini menentukan baik atau buruk "collapse of
wave function" didalam kehidupan kita, cuba selidik rata-rata manusia
hari ini hidup dengan pemikiran yang lebih negatif dari positif, manusia
sentiasa berada didalam keadaan ketakutan, lihatlah apa paparan utama
didalam berita, apa tajuk perbualan utama antara rakan-rakan, maka itu
jugalah makin lama makin nampak didalam kehidupan. Sebab itu kita
digalakkan sentiasa solat tanda bersyukur, jiwa yang tenang dan
bersyukur akan memberikan pemikiran yang gembira lantas akan memberikan
lebih kegembiraan didalam kehidupan.
Jika pemikiran kita mempengaruhi kehidupan dan Allah SW itu maha
pemurah, mengapa apa yang kita pohon, kita pinta, kita mahukan tak
kunjung tiba?
Dan
apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa
kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi
perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi
baik serta betul. Surah (Albaqarah 2:186).
Kerana
kebanyakan kita hanya berdoa apabila susah dan lupakan Allah dikala
senang. Kita beriman kepada Allah tetapi tidak percaya Allah itu Maha
Melihat dan Maha Mengetahui dan kita melakukan maksiat dan melanggar
perintah Allah dengan mudahnya, kemudian merungut Allah tidak
perkenankan doa. Allah mahukan "full time" muslim dan bukannya "part
time" muslim seperti maksud ayat surah AlBaqarah diatas.
Minda manusia memengaruhi kehidupan sebenarnya dan ujikaji dari bidang
fizik kuantum ini telah membuktikannya, kita bukanlah hanya sekadar
"mesin ciptaan Allah" dan hidup atas takdir yang kita sendiri tidak tahu
samada ianya benar-benar takdir Allah. Manusia yang selalu menyalahkan
takdir adalah manusia yang tidak mahu bertanggungjawab, samada mahu
lepas tangan, hanya menyalahkan manusia lain atau tidak tahu bahawa apa
yang terjadi sebenarnya adalah disebabkan samada dari pemikiran atau
perbuatan yang mereka lakukan sendiri, apa yang saya panggil "takdir
ciptaan sendiri". Apa? Takdir yang kita sendiri ciptakan? Ya, kita hidup
didunia ini bukanlah bebas, ada "certain set of law" iaitu
undang-undang yang harus diikuti dan ianya termaktub didalam Al-Quran
dan jika kita menyimpang darinya, akan ada "takdir" yang tidak diundang
dari sebab menyimpangnya kita itu.
3. BELL THEORAM - AKU, ENGKAU, KITA DAN MEREKA ADALAH BERKAIT.
Salah satu fenomena pelik didalam QF adalah dimana prinsip fizik klasik
iaitu "locality" menjadi goyah. "Locality" maksudnya sesuatu kejadian
itu hanya boleh terjadi apabila ada penyebab secara langsung dan
berdekatan. Contohnya sesuatu kejadian itu tidak mungkin berlaku hanya
kerana orang lain yang letaknya beribu-ribu kilometer melakukan sesuatu.
Telah saya berikan contoh pada dalam perenggan yang kelima mengenai
gurauan kita terhadap fenomena tersedak, bagaimana pula dengan fenomena
siibu yang berasa tak sedap hati atau resah gelisah apabila sesuatu
kejadian buruk berlaku terhadap anaknya dirumah sedangkan dia tidak
diberitahu pun apa yang terjadi?
Pada tahun 1964, seorang ahli fizik Irish bernama John Bell membuktikan
secara matematik bahawa teori kuantum hubungan "non-local" yang digelar
"spooky action at a distance" iaitu suatu unsur boleh memberi kaitan
kepada sesuatu unsur yang lain walaupun tiada ada hubungan baik maklumat
atau kominikasi sesama mereka. Teori beliau dinamakan Bell Theorem yang
mana dianggap penemuan paling bermakna didalam abad ke 20 ini. Pada
tahun 1972, dua ahli fizik Amerika bernama Stuart Freedman dan John
Clauser telah berjaya melakukan ujikaji untuk membuktikan Bell Theoram
dan pada tahun 1979 pula ahli fizik Peranchis bernama Alain Aspect
berjaya melakukan ujikaji yang diterima secara meluas dalam pembuktian
Bell Theoram, kaitan sesama unsur sub-atomik bukanlah lagi hanya
menerusi matematik akan tetapi dengan bukti ujikaji yang kukuh.
Jika kita lihat asal kejadian dunia ini dari teori big bang (Surah
Al-Anbiya 21:30) hinggalah kepada penciptaan Adam, dari penciptaan atom
hinggalah kepada penciptaan manusia, kita semua sebenarnya mempunyai
kaitan antara satu sama lain, terdapat perhubungan antara semua benda
dan kehidupan ciptaan Allah ini melalui ruang tenaga yang tidaj
kelihatan. Masaalah umat manusia hari terjadi kerana kita dibesarkan
dengan pendekatan yang salah terutama dengan pemikiran Darwinian yang
mementingkan perlunya menjadi yang terkuat, terhebat, terpandai, terkaya
dan sebagainya untuk terus hidup, diri manusia itu menjadi semakin
terasing. Kita tidak lagi melihat insan dan hidupan lain sebagai
sebahagian dari diri kita sendiri ataupun sebagai salah satu dari
ciptaan Allah yang perlu dijaga, dihormati, dididik, dikasihi dan
sebagainya, sebaliknya manusia lebih mementingkan diri sendiri dan juga
keluarga terdekat. Perpecahan dikalangan manusia makin jelas ketara hari
ini apabila sianak dan ibubapa ada yang turun naik mahkamah bertelagah.
Apa yang kita lakukan akan menyebabkan sesuatu yang sama juga akan
berlaku ditempat lain dan akhirnya akan kembali kepada diri kita semula,
inilah janji Allah seperti ayat berikut,
Jika
kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah
untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang
buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Surah Al-Isra 17:7.
Pengasihnya
Allah itu melarang manusia melakukan sesuatu kejahatan adalah kerana
ianya akan berbalik kepada manusia itu sendiri. Inilah antara
undang-undang kehidupan yang Allah telah tetapkan. Ambil contoh larangan
riba', didalam riba' kita menghisap darah manusia lain dengan memaksa
mereka membayar lebih dari apa yang dipinjam, jadi kita hanya goyang
kaki tanpa perlu peluh menitik setitis pun menantikan pulangan, kita
menjadi perompak terhormat sebenarnya, dan apabila kita merompak orang
lain, dari konsep "non-locality" fizik kuantum, kita membentuk diri
insan lain menjadi perompak juga yang mana suatu hari nanti mereka ini
akan merompak diri kita pula.
Cuba lihat kawasan perumahan masa kini, mengapa kecurian pecah rumah
kerap terjadi hingga terpaksa mengupah pengawal untuk menjaga rumah?
Mengapa setiap rumah harus dipasang grill? Manusia terpaksa hidup
didalam penjara buatan sendiri. Boleh dikatakan hampir 99.99% rumah yang
dibeli adalah dengan pinjaman riba' baik riba' ikut pintu depan
(konvensional) mahupun riba' ikut pintu belakang (islamik), maka sebab
itulah rompakan pecah rumah dan sebagainya semakin menjadi-jadi.
Disebabkan kita merompak manusia lain tanpa sedar iaitu dengan
menggalakkan inflasi (melalui lambakan wang pinjaman), menurunkan nilai
wang dan menganiaya insan lain terutama yang miskin maka siapa harus
dipersalahkan jika tidak diri sendiri? Manusia sendiri yang mencipta
perompak yang akhirnya merompak diri mereka sendiri.
4. TIADA YANG PERCUMA DI DUNIA INI.
Dunia zarah sub-atomik sebenarnya amatlah sibuk, zarah tidak kekal
didalam satu bentuk dan berubah menjadi unsur berlainan dan kemudiannya
kembali kepada keadaan asal. terdapat hampir seratus sub-zarah baru
dijumpai hasil dari ujikaji mengenai dunia subatomik ini, ahli fizik
Kenneth Ford menggelar keadaan ini sebagai "particle zoo". Elektron
contohnya tidak hanya kekal sebagai elektron tetapi sepanjang masa
mengeluar dan menyerap photon. Keadaannya sebegini, mulanya ada
elektron, kemudian elektron dan photon, kemudiannya hanya elektron.
Proton boleh berubah menjadi dua unsur iaitu proton dan neutral pion
(salah satu unsur sub-atomik), dan kemudiannya kembali kepada proton
asal. Lihat photo disebelah yang menunjukkankan diagram untuk fenomena
tersebut, diagram sebegini dinamakan Feynman diagram yang di kemukakan
oleh ahli fizik Richard Feynman untuk menggambarkan fenomena dunia
subatomik ini.
Akan tetapi kewujudan zarah lain ini tidak kekal dan hanya wujud dalam
masa yang teramat singkat. Situasi ini amat bercanggah dengan hukum
pengekalan tenaga (Conservation Law Of Mass-Energy, ingat e=mc2?) yang
menyatakan kita tidak boleh mendapat sesuatu dari tanpa penambahan
tenaga atau jisim (energy or mass), tetapi menurut teori kuantum ini,
kita boleh mendapatkan sesuatu dari tanpa penambahan tenaga atau jisim,
akan tetapi ia hanyalah untuk jangka masa yang teramat singkat iaitu
kira-kira satu per trillion saat.
Apabila saya membaca kenyataan ini, terfikir akan saya tentang mereka
yang mengambil hak orang lain seperti makan riba', mencuri, makan rasuah
dan sebagainya dan menyangkakan bahawa mereka mendapatkan ianya secara
percuma dan tidak ada apa yang akan berlaku kepada diri mereka. Apa yang
diambil itu tadi hanya wujud dalam masa yang singkat sahaja berdasarkan
cerita "particle zoo" itu tadi, hukum pengekalan tenaga itu juga
menyatakan tiada yang datang secara percuma, perlu ada suntikan tenaga E
atau M untuk mendapatkan sesuatu dan jika diperolehi pun hanya akan
kekal dalam masa yang singkat. Jadi ambil contoh mereka yang makan harta
riba', mereka yang mencuri, makan rasuah dan sebagainya, jika apa yang
mereka ambil itu tidak hilang sebagai wang dalam bentuk kecurian, akan
ada cara lain ianya akan hilang samada hilang kegembiraan, hilang
kesihatan dan sebagainya. Kerana apa? Kerana Allah itu maha adil
dan inilah dia salah satu undang-undang kehidupan tersedia dari awal
dunia dicipta hinggalah kehari kiamat. Apa yang dinikmati dengan percuma
akan kembali kepada keadaan asalnya.
Bergembiralah mereka yang ditimpa musibah kerana dalam hidup kita hari
ini yang penuh dengan riba' baik dari penggunaan wang kertas yang tidak
punyai nilai didalamnya hinggalah kepada rumah dan kereta yang kita beli
dengan riba' kerana Allah mahu mengembalikan semula tenaga yang bukan
hak kita itu. Akan tetapi buat mereka yang mencari perlindungan selain
dari Allah, dengan mempunyai pengawal peribadi keliling pinggang, punyai
kroni dan pengikut yang memastikan mereka senantiasa di tangga atas
menggunakan pangkat dan jawatan untuk menindas, balasan Allah diakhirat
nanti amatlah pedih dan tidak mampu terbayang oleh pandangan mata dan
jiwa.
Buktinya sudah ada, lihat beza bom kimia dan bom nuklear, bom kimia
adalah dari manipulasi kimia dan atom, bom nuklear adalah manipulasi
nukleus yang berjuta-juta kali lebih kecil dari atom itu sendiri akan
tetapi tenaga yang dikeluarkan amatlah hebat. Bayangkanlah jika ada
sebezar zarah sekalipun dosa yang akan dibalas oleh Allah diakhirat,
harap gambaran bom nuklear sudah cukup untuk memberi khabar buruk bagi
mereka yang tidak percayakan Allah dan meninggalkan segala larangannya
itu.
Rujuk kembali kepada sifat atom, walaupun asas kehidupan dan benda
didunia itu bersifat penuh ketidaktentuan, manusia tidak mengambil
pandangan sebegitu didalam kehidupan. Ambil contoh cara kita mendidik
generasi masa kini terutama anak-anak, kita terlalu taksub dengan
pencapaian anak kita disekolah dengan catitan markah berdasarkan apa
yang boleh dilihat didalam sijil, kerana apa? kerana dari berapa banyak A
didalam sijil itulah nanti seolah-olah menentukan baik atau tidak
kehidupan mereka dimasa akan datang. Kita semakin hilang pertimbangan
untuk menilai sasuatu yang tidak nampak iaitu "ukuran iman" anak kita
sendiri. Akan tetapi bagaimana perkiraan iman itu akan diambil kira jika
kita sendiri beriman hanya mengikut masa, samada pada hari jumaat
sahaja atau pada masa nak nikah kahwin atau cerai, malah lebih teruk
lagi hanya apabila nak mati.
Kita semakin hari semakin menolak Allah dengan iman yang semakin nipis,
contohnya lari dari hukum-hukum Allah contohnya membenarkan arak dan
perjudian didalam sebuah negara yang kononnya negara Islam, jika ditanya
pada pemimpin-pemimpin, rata-rata menyatakan kerana mengambil kira kaum
lain, walaupun arak dan judi itu sendiri adalah salah satu penyebab
utama penyakit sosial didalam kaum tersebut, akan tetapi kerana arak dan
judi itu adalah salah satu punca utama pendapatan negara melalui cukai
dan juga menggalakkan pelancong asing yang mahukan hiburan, maka
"apabila aku membenarkan arak dan judi, pendapatan untuk negara aku akan
terjamin, itu sudah pasti dari pengiraan yang aku lakukan", pendapatan
dari suatu yang nyata lebih dipercayai sedangkan sepatutnya pendapatan
atau rezeki itu hanyalah dari Allah, dari suatu yang tidak nampak, dari
suatu yang tidak boleh dibayangkan.
Amat sukar untuk mempercayai suatu yang tidak kelihatan dan tiada
kepastian (ganjaran Allah), maka sebab itu manusia hari ini rata-rata
hidup dengan kepastian yang ada didalam gengaman mereka, contohnya
mengambil rasuah apabila peluang ada, menaikkan harga atau ubah
kualiti/kuantiti barang yang dijual untuk keuntungan maksimum, minta
gaji yang lebih besar hanya kerana punyai ijazah kelas 1 dan bukan mutu
kerja yang dimiliki dan sebagainya. Hidup sebenarnya penuh dengan
kemungkinan dan kebarangkalian, dan gembira, duka, baik atau buruk
kehidupan itu sebenarnya datang dari diri kita sendiri (dengan izin
Allah), kita harus mencuba untuk mendapatkannya (nikmat dunia) akan
tetapi disebabkan asas binaan alam ini iaitu atom penuh dengan
ketidaktentuan, kemungkinan dan kebarangkalian, nikmat dunia yang
sebenarnya hanyalah dengan mengikut landasan-landasan undang-undang yang
dibenarkan Allah.
Bagi saya sesuatu yang tidak nampak, iaitu iman (fizik kuantum) itu
lebih utama dari ukuran sijil (fizik klasik) kerana hidup ini penuh
dengan kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Sedangkan ada kalanya
perbezaan beratnya amal walau sebesar zarah itu pun sudah cukup untuk
menentukan samada kita kesyurga atau neraka. Ambil contoh perbezaan
raksa atau merkuri dengan emas, kedua-duanya adalah logam tetapi raksa
dalam bentuk cecair, kurang bernilai malah beracun. Emas pula suatu yang
keras dan amat bernilai. Perbezaan antara keduanya hanyalah satu
elektron sahaja (raksa emas 79 dan emas raksa 80) akan tetapi keduanya memberi perbezaan yang amat nyata umpama syurga dan neraka.
Kebanyakan manusia beriman tetapi tidak percaya, tidak percaya yang
Allah itu maha pemberi, sebab itu kita lebih pasti rezeki dengan
menghambakan orang lain walaupun kononnya dengan niat untuk menolong
(pembiayaan jual beli), tidak percaya Allah itu maha adil, sebab itu
dengan selambanya menghabiskan duit rakyat untuk kepentingan sendiri dan
kroni, rasuah dan sebagainya. Sebab itu didalam Al-Quran apabila Allah
SW menyeru manusia Allah menyebutnya "O people who beleive", iaitu wahai
manusia yang percaya dan bukan manusia yang sembahyang, puasa dan
sebagainya, kerana percaya itu sendiri amat penting. Lepas percaya
dengan sepercayanya barulah rukun islam secara automatiknya akan
dilakukan oleh manusia dengan ikhlas dan bukan kerana terpaksa.
Tetapi disebabkan Allah itu tidak kelihatan, maka amat sukar untuk
manusia mempercayai Allah itu wujud walaupun Allah SW itu lebih hampir
dari urat leher mereka sendiri. Sebab itu kafirun membuat patung
berhala, kerana apa? kerana bila nampak tuhan baru percaya, sedangkan
fizik kuantum telah membuktikan bahawa sesuatu yang tidak kelihatan itu
(nukleus) punyai kuasa yang teramat hebat, jadi jika kita percayakan
Allah dengan sepenuhnya maka mencipta sesuatu yang hebat dan mendapat
bantuan Allah itu amatlah mudah. Sebab itu para Nabi mampu melakukan
mukjizat kerana percaya mereka seratus-peratus dan sepanjang masa dan
bukan manusia akhir zaman ini yang percayanya adalah bermusim sahaja.
Inilah sebenarnya janji Allah, semakin kita percaya kepada Allah,
semakin hebat sebenarnya kehidupan kita, ambil contoh zaman kegemilangan
islam dahulu yang hebat baik dari segi ekonomi hinggalah kepada tamadun
ilmu, akan tetapi sedikit demi sedikit ianya lenyap hingga umat islam
hari ini seolah-olah diratah oleh kafirun.
Thawban meriwayatkan,
Nabi (SAW) bersabda: Orang-orang kafir akan memanggil satu sama lain
untuk menyerang kamu sebagaimana orang yang makan menjemput orang lain
untuk berkongsi hidangan. Seorang bertanya: Adakah itu kerana jumlah
kami yang kecil? Baginda menjawab: Tidak, jumlah kamu banyak umpama
sampah2 yg dihanyutkan oleh arus banjir, akan tetapi telah Allah
hilangkan rasa takut dari dada orang kafir keatas kamu dan meletakkan
"wahn" didada kamu. Seorang bertanya: Apakah itu "wahn". Baginda
menjawab: Cintakan dunia dan takutkan mati. Abu Dawud Hadis 4284
Manusia
cintakan dunia kerana apa? Kerana dunia inilah bagi mereka suatu yang
nyata berbanding dengan syurga yang janji Allah yang tidak kelihatan.
Maka dunia materialistik hari ini menjadi mantra kehidupan dan semuanya
boleh dicapai dengan ekonomi berasaskan riba', pinjam dan bayar
bulan-bulan menjadi hamba kepada bank hinggalah sampai keliang lahat pun
hutang tak habis dibayar. Dan apabila cintakan dunia, manusia semakin
sibuk dan tidak punya masa lagi untuk mendekati Allah apatah lagi
mempercayai dengan sepenuhnya keesaan Allah itu.
Fizik kuantum amat pelik dan sukar diterima oleh minda manusia yang
sudah terbiasa dengan fizik klasik malah Albert Einstein sehingga dia
meninggal dunia, beliau menganggap fizik kuantum tidak lengkap walaupun
kajian dan ujikaji terbaru semakin mengesahkan kepelikannya. Banyak
perkara kehidupan yang dapat dijelaskan dengan fizik kuantum, malah
hukum tarikan yang menjadi corak pemikiran baru untuk memberi motivasi
kepada manusia hari ini juga berasaskan kepada fizik kuantum, akan
tetapi ianya juga mengesahkan beberapa hukum yang perlu diikuti. Fizik
kuantum juga membuktikan bahawa minda dan pemikiran kita juga adalah
suatu yang nyata dan mempengaruhi persekitaran, sebab itu menjaga minda
itu amat penting didalam islam baik dengan solat yang khusyuk hinggalah
kepada larangan mengambil sesuatu yang memabukkan.
Satu fakta terakhir disini yang saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan
adalah struktur atom itu sendiri, selain kedudukan zarah tidak dapat
ditentukan, kebanyakan ruang didalam atom adalah kosong, jika saiz atom
sebesar Stadium Merdeka, saiz nukleus hanyalah sebesar seekor lalat
ditengah-tengah padang stadium itu sahaja. Jika semua ruang kosong dari
dalam atom tubuh badan manusia dikeluarkan, manusia itu sendiri lebih
kecil dari sebutir garam. Dan jika semua manusia didalam dunia ini
dikumpulkan dengan ruang kosong atom didalam badan mereka dikeluarkan,
kita semua hanyalah sebesar sebiji epal sahaja, inilah bukti bahawa kita
semua seolah-olah berada didalam "genggaman" Allah SW. Harap sedikit
perkongsian ilmu ini dapat membantu rakan-rakan agar dapat melihat dunia
ini dari sudut yang berbeza, iaitu sudut dunia teramat halus akan
tetapi punyai kuasa yang luar biasa, insyaallah.
Sumber: http://syurgadidunia.blogspot.com/2010/05/fizik-kuantum-dan-falsafahnya-dalam_31.html