Selain Pavlova, anak-anak FCU juga menggemari Cheese Cake. Aduhai... harganya memang mahal. Satu bekas kecil sebesar telapak tangan pun sudah mencecah RM20. Untuk menjamu selera ahli keluarga yang ramai, tentu sahaja seratus ringgit baru cukup.
Alhamdulillah..Chef Muda Hafidz membuat cadangan untuk membuat Cheese Cake sendiri. Bagi saya, Cheese Cake bukan senang seperti kek biasa melainkan memerlukan pengalaman. Namun Hafidz tidak merasakan proses membuat Cheese Cake satu perkara yang susah. Sambil tersenyum dia berkata bahawa sekira kita yakin jadi, pasti jadi walaupun tidak sempurna. Dua tiga kali buat, tentu akan lebih baik dan jadi sempurna. Yang penting mesti berani mencuba!!!
ANAK-ANAK HOMESCHOOL MEMANG BERKEYAKINAN TINGGI
Pada pandangan saya, tahap keyakinan diri Hafidz memang tinggi kerana saya sendiri sering teragak-agak apabila mencuba resepi baru yang asing seperti Western Food. Begitu juga dengan Afiqah, yang dari awal lagi memang tidak pernah mahu mengalah dalam mempelajari sesuatu dan selalu lebih cepat dari kita yang sudah berumur terutamanya dalam bidang komputer. Personaliti mereka berdua memang nampak ketara jika dibanding dengan abang-abang semasa seusia mereka.
Nampaknya Homeschooling memang berjaya membentuk keyakinan diri yang tinggi pada anak-anak. Mereka tidak pernah merasa mereka kurang atau dikategorikan yang kurang baik kerana tidak ada peperiksaan yang akan meletakkan diri mereka dalam kategori A atau sebaliknya. Apa yang mereka rasa ialah mereka yang terbaik kerana kami sentiasa memberitahu mereka bahawa mereka memang hebat asalkan mereka rajin berusaha. Sekali mereka mengorak langkah, memang mereka dapat pergi jauh kerana mereka tidak pernah tahu apakah standard rakan-rakan sebaya mereka. Mereka hanya akan membuat rujukan kepada orang-orang dewasa di sekeliling mereka ataupun individu-individu yang mereka belajar di internet seperti video youtube.
Hal ini dapat dilihat dalam diri Hafidz. Sekali dia mula minat memasak, dia membandingkan dirinya dengan Chef Wan dan Chef-Chef lain yang di youtube. Masyaallah....Saya mula nampak keajaiban dalam pendidikan homeschooling yang tidak akan tercapai di sekolah-sekolah biasa. Saya selalu membandingkan dengan pencapaian saya semasa di bangku sekolah sebagai batu ukuran. Saya akan sentiasa terpengaruh dengan tahap pencapaian rakan-rakan sebaya. Semasa saya di sekolah rendah, tidak pernah terfikir untuk membuat pencapaian seperti mereka di sekolah menengah. Ketika di sekolah menengah pula, tidak terfikir untuk mencabar mereka yang berada di peringkat Universiti. Melainkan kita terperangkap dalam pemikiran kawan sebaya dan tidak dapat berfikir diluar kotak yang telah tercetak untuk kita. Cuba kita hitung, ruang masa kita bersama rakan adalah jauh lebih lama dibandingkan ruang masa kita bersama keluarga. Andai kita murid cemerlang, kita akan berpeluang untuk belajar di asrama penuh dan kemudian sambung belajar ke universiti. Siapakah yang selalu mendampingi kita saban waktu sepanjang pembesaran itu?
Kita tidak akan dapat keluar dari lingkaran yang telah ditetapkan. Inilah titik perbezaan yang paling besar antara anak-anak homeschool dan mereka yang dihantar ke sekolah biasa. Dengan lain perkataan, anak-anak homeschool tidak mengenal batas dalam pencapaian kerana mereka tidak terperangkap dalam lingkaran pemikiran yang telah dicetak. Mereka sangat bebas untuk berkarya apa sahaja tanpa ada batasan tajuk tertentu yang akan menjerat mereka dari terus ke hadapan.
KEK KEJU OREO
1) RESEPI KEK CHIFFON COKLAT
Bahan A
7 kuning telur (gred B)
150 ml susu segar (apa-apa susu pun boleh asalkan jangan susu tepung)
85 ml minyak jagung (minyak masak pun boleh)
1/4 camca teh garam halus
100 gm gula halus
150 gm tepung gandum
20 gm serbuk koko
1 camca teh esen vanilla
1 camca teh baking powder
1 camca teh omelette (tidak mahu gunakan pun tak apa tetapi kena pukul telur lama sikit)
Bahan B
7 putih telur (gred B)
90 g gula halus
Secubit cream of tartar
Cara-cara
Panaskan oven pada suhu 175C. Satukan tepung gandum, serbuk koko, baking powder dan garam, gaul rata dan ayak. Satukan kuning telur bersama omelette dan gula halus (bahan A), kacau rata dan tuang susu, kacau hingga gula larut. Masukkan bahan yang diayak tadi dan gaul hingga sebati, tuang minyak dan esen vanilla, kacau hingga sebati. Ketepikan.
Putar putih telur hingga kembang, masukkan gula halus (bahan B), dan cream of tartar dan terus memutar hingga pekat.
Campurkan 1/4 dari adunan putih telur tadi ke dalam adunan no 1 dan kacau dengan spatula menggunakan kaedah kaup balik hingga sebati. Kemudian masukkan 1/4 lagi adunan putih telur ke dalam adunan no 1 dan ulang kaedah kaup balik hingga sebati. Kaedah kaup balik ini perlu dibuat dengan lembut dan tidak terlalu laju kerana kita tidak mahu udara yang telah terperangkap dalam adunan putih telur terlepas keluar. Langkah seterusnya ialah memasukkan adunan no 1 yang baru kita adunkan itu ke dalam 1/2 adunan putih telur yang masih berbaki. Sekali lagi kita menggunakan teknik kaup balik agar udara yang terperangkap tidak terlepas keluar.
Alas dasar loyang yang diguna dengan kertas kek sebelum menuang aduan kek. Jangan sesekali menyapu mentega di sekeliing loyang, Bakar kek selama 45-50 minit hingga kek masak. Keluarkan dari oven dan terbalikkan loyang serta merta dan biarkan kek berada dalam keadaan macam tu sehingga betul2 sejuk.
Bila kek sejuk, sisip tepi tin dengan pisau untuk melonggarkannya.
2)KRIM KEJU
2 paket biskut oreo
250g krim keju ~ pada suhu bilik
80g gula kastor
100g coklat masakan putih ~ dicairkan
250g krim putar
50g air
15g halal gelatin
1 sudu teh asen vanilla
Larutkan gelatin dalam 50g air dan biarkan kembang
Kemudian panaskan gelatin secara double boiler hingga gelatin melarut dan ketepikan
Cairkan coklat masakan putih secara double boiler juga dan ketepikan
Pukul krim keju dan gula kastor hingga lembut dan berkrim.
Pastikan krim keju pada suhu bilik.
Tuangkan coklat putih ke dalam adunan krim keju
Tuangkan pula gelatin dan kacau hingga sebati
Tambahkan sedikit asen vanilla dan kacau adunan sempurna
Dalam bekas lain, pukul krim putar (non dairy whipping krim) hingga gebu dan kental.
Masukkan 1/3 krim putar ke dalam adunan keju tadi
Kaup balik adunan hingga rata
Tuangkan baki krim putar yang selebihnya dan kaup balik hingga bergaul sempurna
Hafidz memutar putih telur hingga menjadi kental sama seperti proses membuat Pavlova. Beginilah gaya Chef muda yang lebih lebih mementingkan cepat dan ringkas dalam segala gerak kerja. Tidak hairanlah dalam masa sekejap dia sudah siap segala kerja dibandingkan dengan saya yang lebih mementingkan ketelitian dalam atur kerja.
Telur merah diputar dengan bahan-bahan yang lain sebelum dicampur
dengan putih telur yang sudah kembang.
Kek Chiffon Coklat sudah bersedia untuk di lapisi dengan cheese cream
Dengan penuh teliti Hafidz memotong dibahagian tengah kek untuk mendapat dua lapis kek yang seragam tebalnya, Ini bermakna kita boleh membuat dua biji Cheese Cake kerana setiap kek hanya
memerlukan selapis sahaja.
Masukkan selapis kek ke dalam loyang yang telah di lapik dengan plastik terlebih dahulu.
Dengan ini kita akan dapat keluarkan kek ini dengan senang apabila keju sudah mengeras.
Fungsi gelatin yang berasaskan tumbuh-tumbuhan ini adalah untuk mengeraskan
kek keju agar senang untuk dipotong
Teknik double boiler digunakan untuk melarutkan gelatin
Hafidz memasukkan periuk yang berisi heavy cream ke dalam periuk lain yang berisi ketulan ais.
Cara ini dapat mempercepatkan proses heavy cream menjadi whipping cream.
Cream Cheese yang telah dicairkan dicampur bersama white chocolate(dicairkan terlebih dahulu) dan whipping cream. Walaupun pertama kali membuat Cheese Cake, Hafidz dapat mengadun bahan-bahan dengan baik sekali.
Sebahagian dari cream cheese dituang kedalam loyang yang berisi kek tadi. Susun biskut oreo
mengikut gaya sendiri. Biskut oreo membuat cheese cake ini menjadi lebih istimewa dan lazat. Kemudian tuangkan lebihan cream cheese ke dalam loyang. Pastikan lapisan kedua cream cheese menutup semua biskut oreo dengan sempurna.
Hiasan biskut oreo di atas kek ini juga menarik walaupun ringkas. Sebagian dari biskut itu dihancurkan untuk mendapat texture yang menarik.
Inilah Cheese Cake yang menjadi idaman semua. Belum boleh makan lagi....Mesti masukksan ke dalam freezer selama 3 jam atau lebih. Suhu dingin dalam peti ais memejalkan cream cheese. Sebaik sahaja kek itu sudah mengeras, keluarkan kek tersebut dari loyang dengan menarik plastik pelapik ke atas.
Lapisan biskut oreo di tengah-tengah kek membuat kek ini menarik sekali.
Hafidz menghidangkan sekeping Cheese Cake untuk "cikgunya",
"Wah..ini dah boleh buka kedai. Ummu tengok kek ini lebih canggih dari Cheese Cake yang kita beli dulu. Rasanya mesti double sedapnya dari rupa" Komen dari seorang ibu yang merasa sangat bangga dengan kebolehan anak terunanya. Habis licin aku menikmati hasil air tangan Hafidz. Memang sedap dan terasa mahu sekeping lagi tetapi aku perlu pertimbangkan kandungan cholestrol yang tinggi ini. Kesihatan juga perlu dijaga dan sebaiknya makan secara sederhana sahaja.