Indah nian bulan sabit di malam Syawal (ihsan: falakonline)
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri di FCU sangat meriah. Pagi-pagi hari lagi sudah ada tetamu datang menjengah. Sebab itulah kami membuat persiapan sejak selepas subuh lagi. Tetamu istimewa ini tidak lain tidak bukan adalah kanak-kanak sekitar Kampung Bakau yang sentiasa menanti untuk menikmati Sate FCU yang hanya dapat dirasa sekali sahaja dalam setahun. Mereka datang bukan untuk duit raya atau untuk menikmati hidangan lain. Ada yang datang berulang-ulang demi menikmati hidangan sate sepuas-puasnya. Di samping umat Islam, kami juga menerima tetamu dari berbagi bangsa yang juga merupakan kenalan rapat keluarga kami. Inilah gambaran tepat komuniti masyarakat Pulau Langkawi yang didiami oleh berbagai bangsa sesuai dengan gelaran Bandaraya Perlancongan Malaysia. Begitulah kenangan
1 Syawal setiap tahun yang sangat disyukuri atas limpah rahmat Allah.
PUASA MEMBERI MODAL KEROHANIAN UNTUK BERJAYA
Puasa 3 bulan berturut-turut ( Rejab, Syaaban dan Ramadhan ) adalah amalan tetap di FCU. Kebaikan berpuasa selama 3 bulan ini memang meninggalkan kesan yang sangat positif kepada minda dan jasad. Puasa itu sendiri tidak langsung membebankan malah adalah satu bekalan kerohanian untuk kita harungi setahun sebelum bertemu kembali di tahun hadapan. Tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad Al- Fateh sentiasa berpuasa pada siangnya dan tidak merasa letih untuk melakukan latihan perang. Di sebelah malamnya pula dihabiskan dengan ibadat malam. Sesungguhnya mereka adalah sebaik-baik tentera dan Sultan Muhammad Al-Fateh adalah sebaik-baik raja hingga ditakdirkan Allah dapat menakluki Konstatinopel. Malah Afiqah (8 tahun) juga dapat menghabiskan puasa ini hingga ke akhirnya tanpa dipaksa. Homeschool sangat membantu proses ini kerana anak-anak kecil sebesar Afiqah tidak perlu berdepan dengan pengaruh rakan-rakan di sekolah yang tidak berpuasa sepertinya.
Sebagai penamatnya, kami memulakan puasa 6 pada 2 Syawal dan ibadat ini tidak menghalang tetamu yang
datang pada hari raya kedua dan ketiga. Insyaallah kami akan merayakan Hari Raya Puasa 6 pada 8 Syawal nanti. Semua kudrat ini adalah dari Allah yang memberkati dan setinggi-tinggi kesyukuran jua dipanjatkan. Dapatlah merasa 2 kali raya dalam masa terdekat.
FADHILAT PUASA 6
Nabi saw memberi galakan menyusuli puasa Ramadhan dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, Abu Ayyub al-Ansori meriwayatkan:
Maksudnya: “Siapa yang berpuasa
Ramadhan, kemudian diikuti dengan (puasa) 6 hari dalam bulan Syawal,
maka seoleh-olah dia berpuasa setahun penuh.” (HR Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Yang dimaksudkan dengan al-Dahr (الدهر)
ialah al-Sanah (السنة = setahun) yakni seolah-olah dia berpuasa setahun
penuh, maka jika sentiasa menunaikannya sepanjang tahun, dia seolah-olah
berpuasa seumur hidupnya.
Penerangan ini tardapat di dalam hadith yang lain:
Maksudnya : “Puasa sebulan (Ramadhan)
menyamai dengan 10 bulan, dan puasa 6 hari (dalam bulan Syawal) menyamai
2 bulan, maka jadilah puasa itu penuh setahun.”
Diantara kelebihan puasa 6 hari di bulan Syawal ialah puasa 6 umpama sunat rawatib sesudah solat fardhu bagi menampung kekurangan kita berpuasa fardhu bulan Ramadhan.
Berbahagialah kita kerana berpeluang hidup berpuasa sepanjang tahun seperti yang diterangkan dalam hadith di atas. Sesungguhnya pertolongan kerohanian sangat penting untuk kita berjaya dalam apa sahaja yang kita usahakan di atas muka bumi demi menjadi khalifah Allah. Semoga Allah masukkan kita ke dalam golongan yang berjaya di dunia dan di akhirat.