INFO FCUHOMESCHOOLING
Bonus 1Malaysia buat mereka yang aktif di usia emas
Walhal senaman jika dilakukan dengan cara yang salah atau dilakukan berterusan, tanpa rehat yang mencukupi, pada satu tahap melebihi kemampuan badan juga adalah tidak elok kerana boleh mengundang kecederaan dan tekanan pada otot. Namun saya belum pernah lagi menulis keburukan bersenam. Kerana saya percaya di Malaysia mereka yang betul-betul “kuat bersenam” adalah amat sedikit (yang bersenam seminggu sekali pun tak sampai 50%, ini kan pula nak bersenam sampai 2 kali sehari, memang sangat susah nak jumpa). Jika ada pun, mereka yang kuat bersenam sudah mempunyai persedian/ilmu bagaimana untuk mengelak kecederaan ketika bersenam, mahupun di luar senaman.
Apa-apa pun, berbalik kepada tajuk entri ini, saya ingin menambah satu lagi manfaat bersenam, terutamanya buat mereka yang rajin bersenam di usia emas. Ini kerana sekumpulan penyelidik dari Edinburgh University mendapati bersenam pada usia emas (60 tahun ke atas) mampu mencegah penyusutan saiz otak, yang mana merupakan penyebab utama penyakit Dementia di usia emas (Dementia merujuk kepada otak kehilangan sebahagian fungsinya, seperti nyanyuk, mudah lupa, atau lebih teruk hilang ingatan). Kajian tersebut yang mengambil imbasan otak ke atas 638 individu yang bersara menunjukkan mereka yang kurang penyusutan saiz otaknya dalam tempoh 3 tahun adalah mereka yang kerap bersenam. (Dilaporkan semula dalam BBC News Health)
Penemuan ini sekaligus menyokong beberapa kajian lepas berkenaan hubungkait senaman (peningkatan kadar aktiviti) dan Dementia, antaranya hubungkait Kelajuan (pace) ketika berjalan dengan Dementia – lebih laju kelajuan ketika berjalan, lebih kurang risiko Dementia dan juga beberapa penyakit kronik lain; sebaliknya mereka yang berjalan sambil lewa lenggang-lenggang kangkung dikatakan berisiko sebaliknya – hasil kajian ini, oleh sekumpulan penyelidik dari Boston Medical Center diketuai oleh Dr Erica Camargo, telah dibentangkan di perhimpunan tahunan Academy of Neurology.
Meskipun hubungkait ini sudah ditemui, namun saintis masih bingung dalam menghuraikan mekanisma ini secara lebih lanjut. Ada yang percaya ini disebabkan oleh peredaran darah yang efisyen sehingga ke otak, lalu tidak menjejaskan bilangan sel-sel otak meskipun manusia tersebut telah mula memasuki fasa tua; fasa di mana badan tidak lagi mampu berkembang/tumbuh, sebaliknya bilangan sel dalam badan mula menyusut.
Oleh itu, mesej mudah untuk semua pembaca kali ini, terutamanya mereka yang masih muda, mulakan aktiviti bersenam secara rutin mulai saat ini dan pastikan amalan itu berkekalan hingga ke usia emas. Bila mula dari sekarang, badan pasti tidak mudah “rapuh” ketika usia emas (berbanding mereka yang muda-muda tak mahu bersenam, bila dah kronik baru nak insaf, ketika itu mungkin sudah terlambat). Anggaplah senaman dari usia muda ini sebagai satu cabang latihan dan persediaan agar ketika di usia emas kelak, badan terus kuat dan masih mampu bersenam.
P/S: Berjalan pantas di taman untuk 30 minit setiap sesi juga merupakan senaman yang baik untuk mereka di usia emas.
sumber:
http://sususejat.com/senaman-mencegah-penyusutan-otak/