Dalam n3 yang lepas, saya ada menyentuh tentang MENGENALI DAN MENDEKATI ANAK REMAJA ANDA. N3 kali ini pula, saya ketengahkan isu berkenaan BAGAIMANA MENANGANI ANAK REMAJA YANG BERMASAALAH. Oleh kerana saya mempunyai anak remaja yang ramai, apa-apa sahaja artikel yang berkaitan dengan perkembangan remaja sangatlah menjadi priority kepada saya.
Berdasarkan pandangan Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling barat, punca kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:
Pertama : Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di rumah. Ini adalah kerana perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa sejak mereka bayi lagi.
Ketika menjelaskan perkara yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.”
(Riwayat Bukhari)
Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah dari pembawaan keluarga itu sendiri.
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.
Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor.
Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor.
Ketiga : Faktor sekolah
.
a. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
b. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
c. Pengaruh rakan sebaya yang banyak membawa kepada keruntuhan akhlak. d. Anak-anak tertekan kerana dibuli oleh pelajar-pelajar lain.
e. Anak-anak tertekan kerana gagal untuk memperolehi gred yang baik seperti yang diharapkan oleh ibubapa dan sekolah.
f. Anak-anak tertekan kerana terlalu banyak kerja sekolah dan kurikulum yang perlu disiapkan. akhlak.
Keempat : Faktor Persekitaran
Faktor persekitaran adalah merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.
Aktiviti faktor persekitaran yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah:
i) Persembahan konsert rock
ii) Pusat-pusat video game
iii) Pengguguran
iv) Pergaulan bebas lelaki dan perempuan
v) Penyiaran gambar lucah
vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan yang berunsur seks
vii) Aktiviti simbol seks seperti pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.
RAWATAN KENAKALAN REMAJA:
1) Kaedah Pendidikan Hati
Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia. Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia, pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau buruk, betul atau salah.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempegaruhinya.
Allah berfirman:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
(Surah Al-Zukhruf:36)
Ternyata bahawa pendidikan hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan.
Zikir-zikir yang paling baik diamalkan ialah lafaz:
a. Subhanallah
b. Alhamdulillah
c. Allahuakhbar
d. Lailahaillallah
2) Kaedah Menghayati Ibadat Khusus
Ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan melatih dan menggilap manusia supaya kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini, sembahyang merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan akhlak manusia. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut:45)
Manakala dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.”
(Surah Al-Mu’minun:1-2)
Ibadat sembahyang dianggap senjata terpenting dalam pembentukan akhlak manusia berdasarkan keterangan berikut:
a. Rasulullah s.a.w. menerima sendiri perintah sembahyang fardhu ketika mengadap Allah pada masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan Malaikat Jibril;
b. Rasulullah s.a.w. mensifatkan sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak menunaikan sembahyang bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang itu Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya melakukan perbuatan keji tanpa segan silu.
c. Rasulullah s.a.w. telah berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu dan melatih anak bersembahyang bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan enggan dan degil untuk mendirikan sembahyang maka pukullah anak itu dengan tidak mencederakannya atau membahayakannya.
d. Sembahyang adalah sebahagian daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat sembahyang difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.
3) Kaedah Qiyamullail
Qiyamullail adalah merujuk kepada amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti sembahyang sunat, berzikir, bertahlil, membaca al-Quran dan beristighfar. Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan penyakit dari badan.”
(Riwayat Al-Tirmizi)
Melalui penjelasan di atas menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah.
KEMAHIRAN IBUBAPA
Al-Quran dan Hadis telah memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak. Sebagai pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:
a 1) Ibubapa hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya.
(Surah Al-Nahl:90)
b 2) Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan digunakan, maka orang akan menjauhkan diri daripada kita.
(Surah Ali’-imran:159)
c 3) Ibubapa jangan menjadi kecewa dengan tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan menjadi sengsara kerana perbuatan ibu bapanya.
(Surah Al-Baqarah:233)
d 4) Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.
(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)
a. Model Ibu bapa Yang Salih
Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan: ‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga lemah.
b. Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang
Disiplin adalah merujuk kepada kaedah untuk melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa yang mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif.
c. Terima Anak Tanpa Syarat
Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah kaunseling itu boleh di buat dengan cara:
i) Wujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa.
ii) Minta si anak memberi penerangan dan penjelasan tentang latarbelakang masalah yang berlaku.
iii) Mendengar dengan penuh minat penjelasan anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak.
iv) Meminta anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya.
v) Jika didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan yang tidak diingini itu.
d. Memenuhi Masa Lapang Bersama Anak
Ketagih terhadap kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan disebalik itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan bermain bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi meraih kasih sayang. Apa yang penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah
-sembahyang berjemaah
-makan bersama
-membaca al-Qur’an bersama
-bersukan bersama dan sebagainya.
Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa, kerana telah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.
e. Peka terhadap Pergerakan Anak
Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Kemahiran ini amat penting untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat jahat.Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:
i. Rakan sebaya anak dan aktivitinya;
ii. Fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya;
iii. Tingkah laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya;
iv. Kemampuan anak membezakan perkara yang baik dan buruk;
v. Siapakah lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya;
vi. Keupayaannya untuk berdikari.
f. Jangan Salah Guna Kuasa
Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak memerlukan rasa selamat,. aman dan
rasa di terima dalam keluarga.
Dalam pergaulan seharian, kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.
g. Jangan memaksa anak dalam membuat pilihan sekiranya tidak salah dalam segi Islam
Seringkali kita ibubapa terlalu berhati-hati dalam membuat pilihan buat anak-anak. Kita mahu yang terbaik buat mereka. Apa yang terbaik pada pandangan kita tidak semestinya terbaik pada pandangan anak-anak. Selagi apa yang mereka pilih itu tidak bersalahan dalam Islam, kita hendaklah berlapang dada dan menyokong mereka hingga berjaya. Jangan sesekali memaksa mereka kerana akibat nya sangat besar dalam jiwa anak-anak. Mereka akan memendam rasa dan akan memberontak. Sekiranya permasalahan ini tidak dirawat dari peringkat awal, seringkali akan berlaku remaja memilih jalan keluar dengan melakukan perkara yang tidak diingini.
Islam
h. Kesabaran
Satu lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza. Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu tanda beriman.
h. Sentiasa berdoa kepada Allah dan sembahyang hajat untuk kecemerlangan anak
Inilah hadiah yang paling besar dari ibubapa buat anak-anaknya.Pengisian kerohanian yang berpanjangan kepada anak-anak sangat penting untuk memperoleh anak yang soleh. Anak-anak yang tiada pengisian kerohanian umpama sebuah rumah kosong yang sangat rapuh binaannya. Hanya sedikit tiupan angin kencang sudah cukup untuk meranapkannya. Apalagi untuk berdepan dengan ribut taufan, badai lautan ataupun gempa bumi. Pasti rumah itu hancur sebelum berakhir segala dugaan-dugaan itu. Sering ibubapa berusaha keras untuk menyediakan rumah yang besar, pakaian yang hebat, makanan yang lazat dan berzat, pendidikan akedemik yang tinggi dan segala kenikmatan kehidupan yang paling maksima mungkin. Hati mereka puas dan rasa sungguh bahagia kerana anak-anak mereka bahagia. Mereka lupa untuk mengisi keperluan kerohanian kepada anak-anak, samaada kerana mereka terlalu sibuk atau diri mereka sendiri pun kosong dari segi kerohanian. Inilah yang dimaksudkan rumah yang rapuh binaannya. Kerohanianlah yang akan menjadikan binaan itu sangat kukuh dan menghiasi indah rumah tersebut dengan akhlak yang murni.
rujukan penulisan: