TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Jumaat, 27 April 2012

SIRI 16 (LAMAN EJO 2) : CACATAN PENJELAJAHAN FCU KE SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA.



(GUIDANCE CORNER)
MEMORI KHAS BUAT TATAPANMU WAHAI PENJAGA LANGKAWI



SABTU (31.12.2011)


Hari ini adalah hari terakhir dalam lebaran 2011. Kami masih berada di LAMAN EJO buat hari kedua.
Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap untuk meneroka bandar Sri Menanti setelah seharian semalam hanya berperap merehatkan minda dalam mahligai belantara.


SRI MENANTI BANDAR DIRAJA NEGERI SEMBILAN




Pintu gerbang indah menyambut kedatangan kami.


Seri Menanti adalah bandar diraja bagi Negeri Sembilan. Ia terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu negeri, Seremban dan 14 kilometer dari pekan Kuala Pilah. Seri Menanti terletak di suatu kawasan lembah yang dikelilingi bukit bukau menghijau. Rata-rata penduduk di sini adalah rakyat sederhana yang asalnya petani.
Dipercayai Seri Menanti telah diteroka oleh orang-orang Minangkabau dari Rembau pada sekitar kurun Masihi ke-15. Menurut cerita lisan, semasa meneroka kawasan tanah di situ telah terjumpa tiga rumpun padi yang subur menghijau. Maka itu dipanggil tempat itu Padi Menanti. Lama kelamaan tempat itu bertukar sebutan kepada 'Seri Menanti'. Dipercayai Seri adalah perkataan Jawa Kuno yang bermakna padi. Nama Seri Menanti diberi nama oleh Datuk Puteh yang berasal dari Pagar Ruyong. Datuk Puteh percaya dengan penemuan tiga batang padi itu, akan memakmurkan negeri itu.



ISTANA LAMA SRI MENANTI


Kawasan Istana Lama Sri Menanti ini memang cantik dan klasik. Banyak 
pohon pinang ditanam di tepi jalan yang menambahkan lagi keindahannya.




Pemandangan Istana Lama Sri Menanti indah tersergam dari bahagian depan. 




Pemandangan Istana Lama Sri Menanti dari bahagian tepi.


Istana Lama Seri Menanti adalah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang DiPertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.


Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Tukang Kahar dan TukangTaib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. 


Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu dari jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak.






Demi menjaga kedaulatan keluarga di raja Negeri Sembilan, para pengunjung 
tidak dibenarkan merakam photo atau video dalam muzium diraja ini. Kami hanya 
boleh merakam bahagian luar sahaja.



Inilah batu keping bersurat yang memaparkan info berkenaan 
Muzium Diraja Sri Menanti





Afiqah menerang sesuatu kepada Afiq setelah membaca info yang tertera. 
Nampaknya mereka juga tidak mahu ketinggalan dari mengetahui butir-butir 
berkenaan muzium diraja ini.






PENDEDAHAN KEHIDUPAN DIRAJA BUAT FCUHOMESCHOOL


Tingkat pertama dan kedua banyak mempamerkan sejarah dan info tentang keluarga diraja Negeri Sembilan. Tingkat ketiga pula banyak mempamerkan cara hidup keluarga diraja. Ini termasuklah pakaian diraja yang dipakai oleh keluarga diraja, kamar beradu ahli keluarga diraja, barang-barang dalam istana termasuk segala peralatan yang digunakan didapur dan ruang tamu, meja makan diraja berserta hidangan lauk pauk dan juadah pemanis mulut di zaman itu. Warna kuning memenuhi ruang yang ada, melambangkan warna diraja.Pendek kata kita boleh bayangkan bagaimana kehidupan keluarga diraja ini dengan jelas. 


Lawatan kali ini mendedahkan kehidupan keluarga diraja kepada pelajar homeschool kami. Afiqah yang selalu berangan jadi puteri raja nampak sungguh teruja (terpengaruh cerita-cerita dalam buku ceritanya). Asyik tanya kenapa keluarga diraja guna warna kuning dan tidak warna pink. Baginya warna pink lebih cantik dari warna kuning. Macam-macam soalan dia tanya dan tidak semuanya dapat kami jawab.


Yang paling mencabar ialah untuk naik ketingkat empat. Tangga yang dihiasi dengan permaidani berwarna kuning ini sangat curam dan sempit. Memang mencabar untuk sampai ke atas. Ramai yang menanggalkan kasut terutamanya bila kasut itu bertumit tinggi. Kena pegang kuat-kuat pagar tangganya. Alhamdulillah...semua ahli FCU dapat naik di tingkat 4 termasuklah Alyssa yang didukung oleh nenekandanya. Masyaallah....pemandangan di menara diraja ini sangat cantik. Seperti sebuah lukisan hidup dan sangat menakjubkan. Memang istana ini di kelilingi oleh bukit bukau yang memagari tanah lembah yang subur dengan sawah padi. Apa yang terpapar di depan mata sangat bertepatan dengan apa yang digambarkan oleh orang-orang Minangkabau dari Rembau semasa mereka menjumpai tempat ini yang kemudiannya diberi nama Sri Menanti. Terasa sangat nak rakam pemandangan indah ini dengan kamera yang tersimpan dalam beg. Tapi....oleh kerana tindakan ini melanggar peraturan muzium, terpaksa lupakan sahaja .




 
Sempat juga bergambar beramai-ramai buat kenang-kenangan 




Tuan puteri Afiqah berangan berada di halaman istananya.





HUTAN LIPUR ULU BENDUL


Hutan Lipur Ulu Bendul terletak di KM 20 jalan Seremban - Kuala Pilah di dalam Hutan Simpan
Angsi. Dari Seremban, kita akan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk ke Hutan Lipur ini. Terdapat sebuah Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut dan boleh di daki dengan menyusuri Sungai Batang Terachi.






Pada mulanya Hutan Lipur ini telah dibangunkan oleh Tuan Tulis pada 1971 dengan tujuan sebagai tempat ibadat. Memang tidak dinafikan bahawa suasana sekelilingnya amat tenang dan memberangsangkan jiwa kita. Dalam tahun 1980an, tempat ini telah dijadikan tempat riadah dimana terdapat sebuah rumah rehat dan ladang kuda. Landskap semulajadi Hutan Lipur sangat sesuai  untuk mandi-manda, beraktiviti lasak, berkhemah dan bersiar-siar sambil menghirup udara nyaman hutan.






Kanopi pokok-pokok di sini hampir memenuhi ruang angkasa langit 
Hutan Lipur ini.



Arca penunjuk arah di dalam hutan ini sangat menarik


Aktiviti bermain sepak raga pasti tidak akan ketinggalan.....


Terdapat banyak alat permainan untuk kegiatan sukan lasak 
kerana satu ketika dulu, PLKN pernah bermukim di sini. 


Setelah penat bermain dan meneroka tempat ini, kami berehat 
disalah sebuah tempat perhentian sambil menguyah kuaci. 
Perut terasa lapar tetapi tiada pula gerai menjual makanan di sini.

Tedapat sebuah sungai yang cernih dan cetek tidak jauh dari tempat kami berehat. 
Sungai ini jadi tumpuan ramai kerana anak-anak boleh mandi manda. 
Kami tidak pergi ke sungai ini kerana terlalu ramai orang berkelah di situ. 


Kami berhenti membeli buah-buahan di salah sebuah gerai di tepi jalan. 
Memang banyak gerai buah-buahan di sepanjang jalan kerana sekarang
 adalah musimnya. Kami beruntung kerana di Langkawi, musim buah 
sudah lama berlalu.


Buah ini tak pernah kami temui di Langkawi. Mungkin ada tapi tidak..di pasarkan. 
Oleh itu...inilah kali pertama kami makan. Memang manis

Kulitnya sungguh tebal. Isinya kecil sahaja di tengah-tengah buah .




SEJAHTERA BUAT 2012
1.1.2012 (AHAD) 




Di saat semua penghuni dunia menunggu detik-detik tahun baru 2012, kami sekeluarga meraikan ulang tahun kelahiran Intan. Bagi keluarga besar seperti kami, meraikan hari ulang tahun kelahiran bagi setiap ahli adalah sangat bermakna. Selain dari mengikat kasih sayang rahmat Allah, kami juga turut memasang niat bagi setiap individu. Niat itulah yang penting dengan diiringi doa ke hadrat Ilahi.





Bila bermusafir macam ni....beli aje keknya. Biasanya kami buat sendiri . 
Kalau ramai begini kena buat dua biji kek baru cukup.





Apalagi...di.malam penutup segala hari 2011, kami buat BBQ menjamu selera sekeluarga. Syukur ke hadrat Ilahi atas segala rahmat dan kebahagian yang dikecapi. Masih ramai mereka yang tidak bernasib baik dan tiada keluarga diluar sana. Semoga mereka juga beroleh yang terbaik buat diri mereka dan keluarga.

Ibu-ibu juga tidak ketinggalan dalam aktiviti ini. Pada malam kedua, hanya kami
 menguasai seluruh LAMAN EJO. Privasi adalah antara keutamaan kami semasa 
memilih mana-mana penginapan.




Bila makan beramai-ramai ni...memang sedap dan berselera.
Memang licin......





1.1.2012 (AHAD)

Hari ini adalah hari pertama tahun baru dan pasti sekali  setiap dari kami mempunyai keazaman untuk terus maju dan menjadi diri yang lebih baik di sisi Allah. Setiap hari adalah baru dan begitu juga dengan diri kita yang mesti sentiasa menjadi baru setiap kali bangun dari tidur . Kami sekeluarga bergerak awal menuju destinasi seterusnya. Perjalanan masih jauh dan kami semua memang teruja untuk menempuhi sesuatu yang baru dalam hidup ini.


Penginapan di LAMAN EJO pasti akan jadi kenangan manis buat kami sekeluarga. 
Suasana damai dan haruman belantara menambahkan ceria episod kehidupan kami. 





Sebaik sahaja wira-wira kami mula bergerak dan melintasi pondok Lesie, terasa sayu 
melihat anjing itu terkinja-kinja mengejar kami sambil menyalak. 
Perkenalan yang singkat tapi cukup mesra dan bererti.



Bye..bye Lesie !!  We will miss you too. Be a good and strong dog. Tugasmu bukannya mudah dan dipandang mulia di sisi Allah. Jagalah keselamatan sesiapa sahaja yang menginap di LAMAN EJO. Esok lusa, pasti ada pengunjung seperti kami yang sayangkan kamu.




DEAR READERS!! 
YOUR POSITIVE COMMENTS ARE HIGHLY APPRECIATE. 
♥♥♥ FCU MALAYSIAN HOMESCHOOLING ♥♥♥

Ahad, 15 April 2012

SIRI 15 (LAMAN EJO 1) : CACATAN PENJELAJAHAN FCU KE SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA.


(GUIDANCE CORNER)

MEMORI KHAS BUAT TATAPANMU WAHAI PENJAGA LANGKAWI


30.12.2011- JUMAAT

Mahari pagi menyinar terang. Hari yang sangat bagus untuk memulakan perjalanan. Wira-wira sedang meluncur laju namun kami masih tidak ada destinasi yang pasti untuk bermalam bila mentari melabuhkan cahaya keemasannya nanti. Begitulah sebenarnya. Untuk musafir ini, kami lebih serahkan pada petunjuk akhir yang pastinya ditentukan oleh GM. Selalu berdoa ke hadrat Ilahi untuk membawa kami pada tempat yang terbaik buat kami dan minta jauhkan tempat yang tidak baik buat kami. Selepas berdoa dan bertafakur, gerak hati adalah langkah terakhir.

Selalunya kami menggunakan khidmat iphone untuk mencari homestay atau apartment atau chalet di tempat yang kami ingin menginap. Apa-apa pun kami suka pada privacy. Sebab itulah kami mengelak dari tempat tumpuan orang ramai dimana para ibu terpaksa berkurung sahaja. Tentu sekali tidak bermakna percutian keluarga sekiranya kita terpaksa berperap dalam bilik sahaja kerana keadaan sekeliling tidak begitu "Islamic". Kalau boleh, satu pantai itu kita je menginap, atau satu pulau tu..kita je atau satu ladang tu....kita je...Ladang? Yes....kalau ke pendalaman, yang paling best mestilah ladang. Bolehlah rasa kehidupan ladang sebab kami adalah orang pulau dan pantai. Akhirnya, kami dapat info about this LAMAN EJO. Pasti homestay ini akan membawa kami pada sesuatu yang bagus kerana itulah yang didoa-doakan. Mengikut pengalaman yang lepas-lepas, Alhamdulillah....semua tempat penginapan memang memberi sesuatu yang bagus, indah dan ketenangan.



Sebaik sahaja kami memasuki sempadan mana-mana negeri, antara pemerhatian yang pasti tidak terlepas ialah bentuk rumah bagi negeri tersebut. Memang banyak rumah yang cantik-cantik tapi...semuanya terlepas kerana wira-wira bergerak agak laju. Akhirnya dapatlah rakam dua buah rumah Minangkabau bila wira bergerak agak perlahan. Terasa seperti berada di zaman dulu kala. Mungkin kerana bentuk rumah Minagkabau ni...agak asing bagi kami.



Yang ini lagi lentik bumbungnya. Memang uniklah dan amat menarik. Terasa betapa kayanya adat budaya di megara kita Malaysia. Ini belum lagi termasuk reka bentuk rumah orang Cina dan India.

 Semasa wira-wira kami meluncur di jalan-jalan Negeri Sembilan, terdapat
banyak pintu gerbang bentuk ala Minangkau macam ini.


( INFO UNTUK HOMESCHOOLING )



ASAL USUL RUMAH MINANGKABAU


Negeri yang berwarna merah itulah " LAND OF MINANGKABAU". Kebanyakan penduduknya masih kuat berpegang pada adat Perpatih dan dikenali sebagai suku Sumbar.


Dari sisi sejarah, kerbau telah membawa kejayaan yang besar bagi suku besar di Sumbar ini di masa silam. Kononnya pada zaman dahulu kala, karana bantuan kerbaulah masyarakat di Sumbar menang perang melawan suku Jawa. Akhirnya sampai sekarang mereka menamakan diri mereka sebagai suku Minangkabau. "Minang" bererti menang dan "Kabau" bererti kerbau.

Sejak peristiwa itulah peraduan beradu kerbau menjadi budaya turun-temurun masyarakat Minangkabau, Sumatra Barat. Budaya warisan leluhur yang telah berlangsung ratusan tahun itu sampai kini masih dijaga dengan baik oleh masyarakat Minang.


Istano Pagarruyuang, Batusangkar, Minangkabau, Sumatera Barat

Cantik dan unik sungguh Istano Pagarruyung ini. Ada tiga tingkat semuanya. Lihatlah bentuk atapnya seperti tanduk kerbau. Istana ini telah dibina pada 31 Ogos 1987 dan pernah terbakar akibat dipanah petir pada 27 Februari 2007. Pembangunan kembali istana ini selesai pada 2010.


Ini pula pakaian traditional masyarakat Minangkabau. Bentuk tutup kepalanya juga berbentuk ala tanduk kerbau. Begitu hebat pengaruh kerbau  dalam masyarakat ini hingga dapat dilihat pada pakaian, alat perabut dan barang perhiasan.




ASAL USUL BENTUK RUMAH MINANGKABAU

Menurut cerita, lancang(kapal) nenek moyang orang Minangkabau telah belayar menuju hulu Batang Kampar. Setelah sampai di suatu daerah, para penumpang dan awak kapal naik ke darat. Lancang ini juga ikut ditarik ke darat agar tidak lapuk dalam air sungai.
Lancang kemudian ditopang dengan kayu-kayu agar berdiri dengan kuat. Mereka membina atap atas lancang itu dengan menggantungkan layarnya pada tali yang dikaitkan pada tiang lancang tersebut. Oleh  kerana layar yang menggantung sangat berat, tali-talinya membentuk lengkungan yang menyerupai gonjong. Lancang ini menjadi tempat hunian buat sementara.

Seterusnya, para penumpang perahu tersebut telah membuat rumah menyerupai lancang tersebut. Keturunan nenek moyang orang Minangkabau ini telah tersebar ke serata nusantara dan bentuk lancang yang bergonjong terus dijadikan sebagai ciri khas bentuk rumah mereka. Dengan adanya ciri khas ini, mereka lebih senang untuk mengenali sesama mereka. Mereka akan mudah mengetahui bahwa rumah yang memiliki gonjong adalah milik kerabat mereka yang berasal dari lancang yang sama mendarat di pinggir Batang Kampar. 

ADAT PERPATIH ADA 5 PRINSIP:(sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_Perpatih)
  1. Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
  2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
  3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
  4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
  5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

PEMBAHAGIAN HARTA

Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid(tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).



KAMPUNG STAY LAMAN EJO 


 Setelah melalui kawasan berbukit bukau, kami mula di kelilingi ladang getah. Kiri kanan jalan dipagari pepohon getah yang tersusun rapi. Sememangnya satu pemandangan  baru buat Afiq dan Afiqah. Berbagai-bagai soalan keluar dari otak mereka. Tak sabar mereka nak teroka ladang getah dan kutip getah scrap untuk buat bola.


Selain ladang getah, kawasan  LAMAN EJO ini di sekelilingi oleh pepohon kayu yang sangat tinggi termasuk pokok buah-buahan seperti durian, manggis dan lain-lain. Memang terpencil sungguh kedudukannya. Semua pelajar homeschool merasa sangat teruja untuk teroka tempat ini terutamanya Hafidz. Bau segar hutan sangat menyenangkan dan pemandangan serba hijau sungguh menyejukkan mata. Terima kasih Allah atas limpah rahmat yang tak terkira.

Kawasan sekelilingnya memang luas. Kita ada pilihan untuk memilih homestay jenis banglo atau dorm. Yang paling menariknya ialah taman di sekelilingnya yang tersusun rapi dan kelihatan seperti mahligai di tengah hutan belantara. Memang tiada rumah orang di sekelilingnya.Untuk membeli bahan makanan pun....kena keluar jauh juga. Tak kisahlah...sebab kami dah diberitahu terlebih dahulu dan sempat membeli belah bahan mentah untuk dimasak selama 2 hari.


Kedatangan kami disambut mesra oleh Lesie, anjing peliharaan tuan punya homestay ini. Sebenarnya anjing ini tinggal di luar pagar. Rumahnya juga berada di luar pagar. Menurut tuannya, Lesie telah dibela sejak kecil lagi. Sejak itulah Lesie menjaga keselamatan LAMAN EJO dari sebarang gangguan samaada  binatang ataupun manusia. Awal-awal lagi dia dah buat kawan dengan Hafidz. Permainan yang paling Lesie suka ialah mengutip batang kayu yang kita baling dan membawa kepada kita balik. Memang dia adalah anjing yang hebat.


Cepat Lesie belajar menurut perintah Hafidz. Bila buat isyarat suruh dia berdiri, 
dia akan berdiri. Begitu juga bila suruh duduk. Memang Lesie adalah 
anjing yang cerdik dan pandai berkawan.


Semua pelajar homeschool suka bermain dengan anjing. Pernah Afiqah minta untuk belikan seekor anak anjing yang berbulu tebal dan sangat comel. Kami benarkan dia bermain dengan anak anjing itu dan kemudianya mengajar dia cara untuk samak. Dari situ dia dapat ilmu bahawa menyentuh anjing kering sama kering tak apa tapi kalau basah, kena samak. Kami juga terang mengapa perlu disamak apabila menyentuh anjing dan babi.


Kami memilih untuk tinggal di dorm dibandingkan di banglo. Ini adalah satu pengalaman yang 
baru kepada kami semua terutamanya Hafidz, Afiqah, Afiq dan Alyssa. Lagipun...dorm yang
 berhawa dingin itu cukup luas dan membolehkan kami yang ramai(17 orang ) ini mempunyai
 katil setiap seorang. Nostalgia kehidupan tinggal di asrama
 ketika belajar dulu menggamit kembali.


Dorm yang luas ini sangat sesuai untuk kami buat activity dan game keluarga.



Oleh kerana mereka homeschool, peluang untuk tinggal di asrama seperti rakan-rakan sekolah kerajaan tidak wujud. Inilah masanya untuk mereka merasa keindahan kehidupan sebegini. Yang paling teruja ialah Afiq dan Afiqah serta Alyssa. Bentuk katil 2 tingkat ini memudahkan mereka membina khemah dengan selimut mereka. Panjat sana, panjat sini dan lompat katil sana dan sini. Kami rasa sangat bertuah kerana berpeluang memberi pengalaman sebegini kepada mereka walaupun dalam masa yang singkat.


 Lihatlah betapa lasaknya Alyssa. Kami sangat menggalakkan mereka meneroka apa sahaja yang mereka mahu asalkan bukan benda merbahaya. Sebolehnya perkataan "no" dan "cannot" diminimakan agar mereka bebas berfikir mana yang baik dan mana yang tidak. Memang mencabar kesabaran kita tetapi there is no short cut dalam pendidikan. Kalau kita nak senang kemudian hari, bersedialah untuk berkorban apa sahaja dari segi masa dan wang ringgit. Bagi yang terbaik dan kita akan dapat yang terbaik. Andai kita ambil mudah masa membesar anak, air mata dan kesalan yang tak terhingga bakal menghiasi hidup kita . Bukan setakat di dunia sahaja tapi juga di akhirat.


Setiap banglo disediakan segala peralatan untuk memasak. Begitu juga dengan dorm tapi agak istimewa lagi kerana ruang dapur dan tempat makan terletak diluar. Masak secara open dan makan pun di open air. Bahan-bahan kering seperti gula, minyak, tepung, cili kering dan rempah ratus banyak tersusun dalam almari. Berbagai-bagai jenis cordeal juga tersusun dalam bilik store. Kebanyakan bahan-bahan kering ini adalah lebihan dari kenduri kendara majlis pertunangan dan perkahwinan yang sering diadakan oleh penginap homestay ini. Tidak hairanlah kalau bilik storenya penuh dengan kawah dan pinggan mangkuk serta peralatan kenduri kendara.


Terdapat sebuah dewan serba guna dikhaskan kepada mereka yang ingin 
mengadakan sebarang majlis beramai-ramai.



Seperti biasa, aktiviti sepak raga pasti tak ketinggalan. Main sekejap je...badan
dah lencun berpeluh. Sepintas pandang macam dok berdiri tak buat apa sangat.
Hakikatnya guna tenaga yang banyak untuk bersilat dengan bola yang
diperbuat dari rotan ini.



Hari-hari tengok unclenya main sepak raga, Afiqah dan Afiq juga 
turut terpengaruh.



Skating adalah antara sukan kegemaran Afiqah di LAMAN EJO.




 Terdapat berbagai jenis bunga dan tanaman herba ditanam disekeliling LAMAN EJO. Peluang yangada digunakan buat mengajar pelajar homeschool kami tentang biologi.

Antaranya ialah:
1) Mengenal nama bunga-bunga yang terdapat di sini.
2) Mengenal pasti tumbuhan berbunga dan yang tidak berbunga.
3) Kegunaan tumbuhan-tumbuhan ini dalam perubatan traditional. Dari kecil lagi kami sudah kenalkan mereka dengan berbagai jenis herba kerana banyak herba-herba tempatan yang kami gunakan dalam product kami di http://www.fcumiracle.com/. Kami juga menggalakkan mereka untuk meneroka sendiri herba-herba di dalam persekitaran dan mencari kegunaan perubatannya. Setakat ini, Hafidz menunjukkan minat yang mendalam dan arif tentang herba dalam hutan bakau.


 Banyak juga pokok bunga yang tak pernah lihat seperti di atas. 
Cantik dan menarik sekali.



Bunga ini memenuhi atap corridor. Suasana menjadi ceria dengan 
warna warninya.



  Setelah penat bermain, kedua-dua cucunda ini kelaparan pula. Yang paling cepat dan senang...masak mee segeralah kali ini. Masih awal untuk masak untuk dinner. Buat sekian kalinya, kami beri peluang untuk mereka masak sendiri. Cooking classlah... Seronok sungguh mereka. Pasti kenangan masak secara open air ini akan diingati dalam lipatan sanubari mereka.


Antara mata pelajaran yang paling mereka gemari ialah cooking class. Di samping mereka berpeluang makan masakan sendiri, mereka juga mendapat berbagai kemahiran kehidupan. Biasanya sambil memasak, mereka akan diajar berkenaan kandungan zat dalam makanan yang dimasak. Kali ini mereka belajar pasal bayam yagn tinggi dalam besi. Mereka suka makan bayam sebab mereka hendak jadi kuat macam Popeye...Rupanya pengaruh kartun popeye makan bayam dan jadi kuat menarik hati mereka...Kami juga memberitahu bahawa mee segera tidak bagus dan bahaya jika dimakan dengan kerap.





 
Inilah mee yang paling enak pernah mereka makan kerana dimasak sendiri.
 Habis licin....!!



Buat pertama kalinya kami bermalam di tengah-tengah "belantara". Kiri kanan, depan belakang dipagari pepohon hijau tanpa gangguan manusia. Ditakdirkan juga hanya satu keluarga sahaja yang turut menginap bersama kami. Mereka menginap di banglo bahagian depan. Jadi kelibat mereka tidak langsung mengganggu privasi kami. Sayup-sayup kedengaran haiwan hutan menyapa malam yang kian larut.


DEAR READERS
YOURPOSITIVE COMMENTS ARE HIGHLY APPRECIATE. 
♥♥♥ FCU MALAYSIAN HOMESCHOOLING ♥♥♥





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...