TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Jumaat, 27 April 2012

SIRI 16 (LAMAN EJO 2) : CACATAN PENJELAJAHAN FCU KE SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA.



(GUIDANCE CORNER)
MEMORI KHAS BUAT TATAPANMU WAHAI PENJAGA LANGKAWI



SABTU (31.12.2011)


Hari ini adalah hari terakhir dalam lebaran 2011. Kami masih berada di LAMAN EJO buat hari kedua.
Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap untuk meneroka bandar Sri Menanti setelah seharian semalam hanya berperap merehatkan minda dalam mahligai belantara.


SRI MENANTI BANDAR DIRAJA NEGERI SEMBILAN




Pintu gerbang indah menyambut kedatangan kami.


Seri Menanti adalah bandar diraja bagi Negeri Sembilan. Ia terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu negeri, Seremban dan 14 kilometer dari pekan Kuala Pilah. Seri Menanti terletak di suatu kawasan lembah yang dikelilingi bukit bukau menghijau. Rata-rata penduduk di sini adalah rakyat sederhana yang asalnya petani.
Dipercayai Seri Menanti telah diteroka oleh orang-orang Minangkabau dari Rembau pada sekitar kurun Masihi ke-15. Menurut cerita lisan, semasa meneroka kawasan tanah di situ telah terjumpa tiga rumpun padi yang subur menghijau. Maka itu dipanggil tempat itu Padi Menanti. Lama kelamaan tempat itu bertukar sebutan kepada 'Seri Menanti'. Dipercayai Seri adalah perkataan Jawa Kuno yang bermakna padi. Nama Seri Menanti diberi nama oleh Datuk Puteh yang berasal dari Pagar Ruyong. Datuk Puteh percaya dengan penemuan tiga batang padi itu, akan memakmurkan negeri itu.



ISTANA LAMA SRI MENANTI


Kawasan Istana Lama Sri Menanti ini memang cantik dan klasik. Banyak 
pohon pinang ditanam di tepi jalan yang menambahkan lagi keindahannya.




Pemandangan Istana Lama Sri Menanti indah tersergam dari bahagian depan. 




Pemandangan Istana Lama Sri Menanti dari bahagian tepi.


Istana Lama Seri Menanti adalah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang DiPertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.


Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Tukang Kahar dan TukangTaib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. 


Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu dari jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak.






Demi menjaga kedaulatan keluarga di raja Negeri Sembilan, para pengunjung 
tidak dibenarkan merakam photo atau video dalam muzium diraja ini. Kami hanya 
boleh merakam bahagian luar sahaja.



Inilah batu keping bersurat yang memaparkan info berkenaan 
Muzium Diraja Sri Menanti





Afiqah menerang sesuatu kepada Afiq setelah membaca info yang tertera. 
Nampaknya mereka juga tidak mahu ketinggalan dari mengetahui butir-butir 
berkenaan muzium diraja ini.






PENDEDAHAN KEHIDUPAN DIRAJA BUAT FCUHOMESCHOOL


Tingkat pertama dan kedua banyak mempamerkan sejarah dan info tentang keluarga diraja Negeri Sembilan. Tingkat ketiga pula banyak mempamerkan cara hidup keluarga diraja. Ini termasuklah pakaian diraja yang dipakai oleh keluarga diraja, kamar beradu ahli keluarga diraja, barang-barang dalam istana termasuk segala peralatan yang digunakan didapur dan ruang tamu, meja makan diraja berserta hidangan lauk pauk dan juadah pemanis mulut di zaman itu. Warna kuning memenuhi ruang yang ada, melambangkan warna diraja.Pendek kata kita boleh bayangkan bagaimana kehidupan keluarga diraja ini dengan jelas. 


Lawatan kali ini mendedahkan kehidupan keluarga diraja kepada pelajar homeschool kami. Afiqah yang selalu berangan jadi puteri raja nampak sungguh teruja (terpengaruh cerita-cerita dalam buku ceritanya). Asyik tanya kenapa keluarga diraja guna warna kuning dan tidak warna pink. Baginya warna pink lebih cantik dari warna kuning. Macam-macam soalan dia tanya dan tidak semuanya dapat kami jawab.


Yang paling mencabar ialah untuk naik ketingkat empat. Tangga yang dihiasi dengan permaidani berwarna kuning ini sangat curam dan sempit. Memang mencabar untuk sampai ke atas. Ramai yang menanggalkan kasut terutamanya bila kasut itu bertumit tinggi. Kena pegang kuat-kuat pagar tangganya. Alhamdulillah...semua ahli FCU dapat naik di tingkat 4 termasuklah Alyssa yang didukung oleh nenekandanya. Masyaallah....pemandangan di menara diraja ini sangat cantik. Seperti sebuah lukisan hidup dan sangat menakjubkan. Memang istana ini di kelilingi oleh bukit bukau yang memagari tanah lembah yang subur dengan sawah padi. Apa yang terpapar di depan mata sangat bertepatan dengan apa yang digambarkan oleh orang-orang Minangkabau dari Rembau semasa mereka menjumpai tempat ini yang kemudiannya diberi nama Sri Menanti. Terasa sangat nak rakam pemandangan indah ini dengan kamera yang tersimpan dalam beg. Tapi....oleh kerana tindakan ini melanggar peraturan muzium, terpaksa lupakan sahaja .




 
Sempat juga bergambar beramai-ramai buat kenang-kenangan 




Tuan puteri Afiqah berangan berada di halaman istananya.





HUTAN LIPUR ULU BENDUL


Hutan Lipur Ulu Bendul terletak di KM 20 jalan Seremban - Kuala Pilah di dalam Hutan Simpan
Angsi. Dari Seremban, kita akan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk ke Hutan Lipur ini. Terdapat sebuah Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut dan boleh di daki dengan menyusuri Sungai Batang Terachi.






Pada mulanya Hutan Lipur ini telah dibangunkan oleh Tuan Tulis pada 1971 dengan tujuan sebagai tempat ibadat. Memang tidak dinafikan bahawa suasana sekelilingnya amat tenang dan memberangsangkan jiwa kita. Dalam tahun 1980an, tempat ini telah dijadikan tempat riadah dimana terdapat sebuah rumah rehat dan ladang kuda. Landskap semulajadi Hutan Lipur sangat sesuai  untuk mandi-manda, beraktiviti lasak, berkhemah dan bersiar-siar sambil menghirup udara nyaman hutan.






Kanopi pokok-pokok di sini hampir memenuhi ruang angkasa langit 
Hutan Lipur ini.



Arca penunjuk arah di dalam hutan ini sangat menarik


Aktiviti bermain sepak raga pasti tidak akan ketinggalan.....


Terdapat banyak alat permainan untuk kegiatan sukan lasak 
kerana satu ketika dulu, PLKN pernah bermukim di sini. 


Setelah penat bermain dan meneroka tempat ini, kami berehat 
disalah sebuah tempat perhentian sambil menguyah kuaci. 
Perut terasa lapar tetapi tiada pula gerai menjual makanan di sini.

Tedapat sebuah sungai yang cernih dan cetek tidak jauh dari tempat kami berehat. 
Sungai ini jadi tumpuan ramai kerana anak-anak boleh mandi manda. 
Kami tidak pergi ke sungai ini kerana terlalu ramai orang berkelah di situ. 


Kami berhenti membeli buah-buahan di salah sebuah gerai di tepi jalan. 
Memang banyak gerai buah-buahan di sepanjang jalan kerana sekarang
 adalah musimnya. Kami beruntung kerana di Langkawi, musim buah 
sudah lama berlalu.


Buah ini tak pernah kami temui di Langkawi. Mungkin ada tapi tidak..di pasarkan. 
Oleh itu...inilah kali pertama kami makan. Memang manis

Kulitnya sungguh tebal. Isinya kecil sahaja di tengah-tengah buah .




SEJAHTERA BUAT 2012
1.1.2012 (AHAD) 




Di saat semua penghuni dunia menunggu detik-detik tahun baru 2012, kami sekeluarga meraikan ulang tahun kelahiran Intan. Bagi keluarga besar seperti kami, meraikan hari ulang tahun kelahiran bagi setiap ahli adalah sangat bermakna. Selain dari mengikat kasih sayang rahmat Allah, kami juga turut memasang niat bagi setiap individu. Niat itulah yang penting dengan diiringi doa ke hadrat Ilahi.





Bila bermusafir macam ni....beli aje keknya. Biasanya kami buat sendiri . 
Kalau ramai begini kena buat dua biji kek baru cukup.





Apalagi...di.malam penutup segala hari 2011, kami buat BBQ menjamu selera sekeluarga. Syukur ke hadrat Ilahi atas segala rahmat dan kebahagian yang dikecapi. Masih ramai mereka yang tidak bernasib baik dan tiada keluarga diluar sana. Semoga mereka juga beroleh yang terbaik buat diri mereka dan keluarga.

Ibu-ibu juga tidak ketinggalan dalam aktiviti ini. Pada malam kedua, hanya kami
 menguasai seluruh LAMAN EJO. Privasi adalah antara keutamaan kami semasa 
memilih mana-mana penginapan.




Bila makan beramai-ramai ni...memang sedap dan berselera.
Memang licin......





1.1.2012 (AHAD)

Hari ini adalah hari pertama tahun baru dan pasti sekali  setiap dari kami mempunyai keazaman untuk terus maju dan menjadi diri yang lebih baik di sisi Allah. Setiap hari adalah baru dan begitu juga dengan diri kita yang mesti sentiasa menjadi baru setiap kali bangun dari tidur . Kami sekeluarga bergerak awal menuju destinasi seterusnya. Perjalanan masih jauh dan kami semua memang teruja untuk menempuhi sesuatu yang baru dalam hidup ini.


Penginapan di LAMAN EJO pasti akan jadi kenangan manis buat kami sekeluarga. 
Suasana damai dan haruman belantara menambahkan ceria episod kehidupan kami. 





Sebaik sahaja wira-wira kami mula bergerak dan melintasi pondok Lesie, terasa sayu 
melihat anjing itu terkinja-kinja mengejar kami sambil menyalak. 
Perkenalan yang singkat tapi cukup mesra dan bererti.



Bye..bye Lesie !!  We will miss you too. Be a good and strong dog. Tugasmu bukannya mudah dan dipandang mulia di sisi Allah. Jagalah keselamatan sesiapa sahaja yang menginap di LAMAN EJO. Esok lusa, pasti ada pengunjung seperti kami yang sayangkan kamu.




DEAR READERS!! 
YOUR POSITIVE COMMENTS ARE HIGHLY APPRECIATE. 
♥♥♥ FCU MALAYSIAN HOMESCHOOLING ♥♥♥

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...