TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Khamis, 12 April 2012

DETIK-DETIK AMARAN TSUNAMI DI KAMPUNG BAKAU




 11. APRIL . 2012 (RABU)

 BERTEMPAT DI STATION FCU 1
 LANGKAWI

 Ini adalah lapuran terkini dari Kampung Bakau Tepi Laut. Oleh kerana peristiwa ini adalah antara memori yang terpenting, tidak bisa untuk menunggu hingga tamat lapuran SIRI PENJELAJAHAN FCU KE SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA.

Seperti hari-hari sebelumnya, Kampung Bakau Tepi Laut sungguh tenang dan indah sekali. Beburung berterbangan dengan kicauan yang berterusan. Sang Helang menerjah angkasaraya tanpa saingan. Azan Asar hanya menunggu detik waktu untuk dilaungkan. Kami sudah siap berjubah dan bertelekung di atas sejadah, sambil berselawat sementara menunggu detik jam seterusnya. Kalau dulu, ruang tamu ini penuh dengan hamparan sejadah tetapi kini hanya empat helai menyeri ruang. Kami berempat ditugaskan menjaga STATION FCU 1, setelah hampir tiga bulan menjelajah Malaysia. Dua orang penjaga Langkawi yang ditugaskan sebelum ini, kini berada bersama-sama ahli FCU lain di
STATION FCU 2 (Pasir Gudang).

Tiba-tiba sahaja aku rasa lantai bergerak. Pada mulanya, ingatkan hanya perasaaanku yang terkeliru. Makin lama makin terasa gerakan itu benar-benar berlaku dan bukan hayalan semata. Musa yang sedang menyandar di pintu juga menunjukkan reaksi yang serupa.

"Eh....Ummu rasa macam dok atas sampan saje ni... Perasan tak?"
"Memang....Musa pun rasa macam ada orang goncang tiang rumah. Mungkin ombak kuat memukul tiang rumah kot... Eh mana ada air pasang. Dah lama surut. Tak ada sangkut paut dengan ombak laut langsung" Musa mengiyakan tentang goncangan yang tidaklah ketara tapi memang pelik."

"Hafidz kot goncang kerusi.. " Aku masih lagi mencari punca goncangan sambil meninjau Hafidz yang sedang bertafakur di atas kerusi di beranda mengadap air terjun.

" Mana ada...Hafidz pun rasa kena goncanglah...." Jawab Hafidz penuh kehairanan.
Aku nampak lutut Musa bergoncang-goncang. Piano juga bergoncang. Lap top juga bergegar-gegar. 



Aku menyatakan pendapatku bahawa kerak bumi sedang bergerak dengan nada tenang . Memang tak terlintas akan tanda tsunami kerana peristiwa itu sudah 8 tahun berlalu. Situasi janggal ini berlangsung selama lebih kurang 5 minit.

Selesai solat berjemaah Asar, baru kami sedar bahawa goncangan tadi adalah dari gempa bumi di Acheh. Begitu cepat berita itu hangat di FB dan kami yang kehairanan tadi mula tahu jawapannya. Secepat itu juga STATION FCU 2 menghubungi kami berempat, bertanya khabar tentang tsunami yang bakal berlaku. Melalui FB dan berita terkini TV3, kami mendapat tahu bahawa banyak tempat-tempat lain di Malaysia mengalami goncangan seperti itu.

Keadaan menjadi agak tegang bila siren yang agak kuat menerpa telinga kami. Mungkinkan itu siren ambulan? Tak mungkin kerana jalan utama terletak jauh dari rumah kami. Setelah diperiksa, rupanu siren itu adalah siren amaran tsunami dari pihak polis. Kami dikehendaki berjaga-jaga dan jauhi kawasan pantai hingga amaran itu ditarik balik.

Kami updatekan berita terkini kepada STATION 2 FCU melalui skype. Tidak boleh dibayangkan apa yang bakal berlaku namun hati kami tenang sahaja. Apa yang boleh kami lakukan sekarang ialah berdoa dan baca ayatul Kursi. Berbagai doa menolak bala dimuatkan oleh pengguna FB termasuklah nasihat-nasihat berguna kepada mereka yang tinggal di sekitar pantai.






PERISTIWA TSUNAMI 2004

Ini adalah kali kedua aku menghadapi situasi begini. Berbalik kepada 8 tahun yang lalu, ketika peristiwa itu berlaku, kebanyakkan ahli FCU juga berada di luar. Hanya 7 orang ahli yang berada di Langkawi termasuk Tajrid. Ketika itu dia berumur 9 tahun. Hafidz dan Musa berada di KL bersama ahli yang lain memasuki pertandingan catur.

Gegaran ketika itu tidaklah sekuat dan selama yang kami rasakan sekarang. Oleh kerana itu adalah pengalaman pertama, sedikit pun kami tidak rasa bimbang. Perkataan tsunami memang asinglah bagi kebanyakkan rakyat Malaysia waktu itu kerana kita tidak pernah dilanda bala itu lagi. Malah ramai yang tidak tahu bala itu memang wujud dimuka bumi ini, lainlah di Jepun. Pihak kerajaan juga tiada persediaan seperti sekarang dimana kami yang tinggal di persisiran pantai diberi amaran siren yang hebat juga (terkejut jugalah dengar siren yang kuat itu...).

Ditakdirkan ada satu keluarga warga Indonesia yang tinggal di Kampung Bakau. Rumahnya hanya sebelah rumah kami. Mereka sering mengalami gempa bumi dan juga tsunami di kampung halaman mereka. Oleh itu, mereka sangat peka akan bala yang bakal menimpa penduduk tepi pantai bila berlaku gegaran seperti ini.


 "Oi....cepat-cepat orang kampung. Keluar dari sini. Air laut besar nak mai ni..." Tempik Tini, isteri kepada Man (kedua-duanya warga Indonesia). Tempikannya sungguh kuat hingga berjaya menyedarkan keluarga yang berada di sekeliling rumahnya. Aku juga turut mendengar tempikan amaran itu. Kelihatan di kedua-dua tangannya menjinjing beg pakaian. Kelihatan pelik benar perlakuannya. Dia betul-betul cemas dan terus berlalu ke kawasan yang lebih tinggi. Berita tsunami melanda Acheh cepat saja tersebar. Tapi...kitakan jauh dari Acheh. Apa kena mengena mala petaka itu dengan Kampung Bakau yang selama ini sangat tenang dan aman? Rasanya tak logik betul. Begitulah perkiraan dalam kepala otak kami. Namun....pekikan Tini berjaya menyedarkan orang kampung untuk terus ke Petronas dan berhimpun di sana. Kedudukan Petronas ini agak jauhlah dari pantai dan agak selamat andai tsunami berlaku.


Aku dan 3 lagi ahli FCU masih lagi di rumah. Tajrid dan yang lain dah pergi ke Petronas bersama-sama orang kampung. Mengapa ek kami...masih lagi kat rumah ketika itu? Dah tak ingat sebabnya. Namun begitu kami sempat rakam dengan cemcodar peristiwa air disedut hingga kering pantai di depan rumah dan dalam sekelip mata itu juga air melimpah pantai hingga sampai ke lantai rumah. Tidak pernah air laut naik setinggi itu dan rumah kami memang tinggi dari paras laut.Kami cuba keluar dari pintu depan tapi air sudah memenuhi halaman dan memang tinggi. Kami dah terperangkap dalam rumah. Ketika itu semua orang kampung dah selamat di Petronas. Diceritakan balik, Tajrid meraung sekuat hatinya kerana ibu dan abangnya masih tak sampai di Petronas. Mestilah dia cemas dan bimbang akan keselamatan kami. Oleh kerana inilah kali pertama kami mengalami peristiwa seperti ini, kami hanya pasrah kepada Allah ketika itu. Sekali lagi air laut disedut hingga kering pantai nun jauh di sana. Adakah kali ini pantai akan menyembur air yang lebih tinggi dari hembusan yang pertama? Kami hanya mampu melihat apa yang terpapar dan berdoa.

Alhamdulillah....rupa-rupanya Pulau Tasik Bunting yang betul-betul berada di depan Pantai kami telah ditakdirkan menyelamatkan kami. Air hembusan yang kedua dipatahkan oleh kewujudan Pulau tersebut dan kami terselamat. Memang mendebarkan suasana ketika itu dan kini masih lagi dalam ingatan. Alhamdulillah.....

Jadi ini adalah kali kedua peristiwa yang sama berlaku. Kali ini kami tidak mahu ambil mudah saja amaran yang telah dikeluarkan. Hafidz dan Tajrid memberitahu bahawa orang kampung dah bersiap sedia di perkarangan letak kereta. Mungkin menunggu arahan seterusnya sahaja. Walaupun hati kami rasa tak ada apa-apa yang bakal berlaku, tetap kami juga bersiap sedia. Masukkan sedikit pakaian dan keperluan asas ke dalam beg. Begitu juga dengan dokumen-dokumen penting. Image dan laptop serta printer juga kami angkut ke dalam kereta. Aku masak awal untuk makan malam. Kalau ada apa-apa berlaku, kami dah kenyang. Mengikut perkiraan, air laut besar akan melanda kami dalam pukul 8 hingga 9 malam. Kami dah siap berpakaian dan menunggu arahan seterusnya untuk meninggalkan rumah. Ada sesetengah orang kampung  sudah meninggalkan rumah mereka menuju ke destinasi yang lebih selamat. Kami hanya berdoa dalam rumah saja. Barang- barang penting dah selamat dalam kereta melainkan sebuah laptop yang masih kami gunakan untuk mengikuti berita di FB dan juga untuk terus berhubung dengan ahli FCU lain yang berada di Pasir Gudang.


 
 Kedua-dua ekor anak Genius ini pun menunjukkan keresahan yang agak ketara. Ibunya 
( Genius) entah kemana. Kalau ada apa-apa berlaku...kami akan bawa kamu bersama. So don"t worry ya kitty....

Ini pula abang dan kakak Si Kitty ni...Namanya Amazing dan Happy....Yang peliknya, hari dah nak malam tapi mereka tak mahu masuk rumah. Puas diajak dan bila kami dukung untuk dibawa kedalam rumah, mereka terus cabut lari. Kita dapat kesan tsunami melalui alat teknlogi tinggi tapi binatang....Allah dah beri instinct yang hebat untuk rasa apa yang bakal berlaku. Pergilah...cari tempat selamat. Kalau jadi apa-apa, kami dah tak risau tentang kamu !



Antara barang-barang penting yang kami angkut ke dalam kereta (beg pakaian dan Image). 


Printer juga turut kami angkut. Alat elektronik yang lain tu besar-besar sangat. 
Tawakkal ajelah dan berdoa ke hadrat Ilahi.



Alhamdulillah....selepas pukul 9 malam, keluar kenyataan di TV3 bahawa amaran tsunami di sekitar Pantai Utara Malaysia di tarik balik. Angkutlah balik barang-barang yang kami dah simpan dalam kereta. Sememangnya kita tidak boleh mengambil mudah dengan amaran tsunami. Persekitaran kita nampak macam tiada apa berlaku tapi ombak besar datang dalam sekelip mata dan menyapu apa yang ada.





DEAR READERS!! 
YOUR POSITIVE COMMENTS ARE HIGHLY APPRECIATE. 
♥♥♥ FCU MALAYSIAN HOMESCHOOLING ♥♥♥
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...