TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Khamis, 26 Mei 2011

FARDHU AIN


( GUIDANCE CORNER )

Salam sejahtera buat semua. 

Bila kita homeschool anak-anak, segala mata pelajaran yang diajar adalah bergantung kepada kita. Di sinilah kita perlu strategi yang rapi sesuai dengan anak kita. Subjek yang paling penting dan wajib atas kita mengajar ialah fardhu ain. Sebelum ni..ajar fardhu ain tak ikut turutan dan secara santai aje. Bolehlah kita sama-sama check yang mana tak lengkap lagi.


KOD 1 (MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH)
Soalan L1.1:
Sebutkan Dua Kalimah Syahadah dengan Sempurna.
Soalan L1.2:
Nyatakan erti Dua Kalimah Syahadah
Jawapan:
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad Pesuruh Allah.


KOD 2 (RUKUN ISLAM)
Soalan L2.1:
Sebutkan Rukun Islam satu persatu.
Jawapan:
  1. Mengucap Dua kalimah Syahadah.
  2. Menunaikan Solat Lima Waktu sehari semalam.
  3. Mengeluarkan zakat.
  4. Berpuasa bulan Ramadhan.
  5. Menunaikan Haji bagi yang berkuasa.
Soalan L2.2:
Huraikan Rukun Islam:
  1. Mengucap Dua kalimah Syahadah.
  2. Menunaikan Solat Lima Waktu sehari semalam.
  3. Mengeluarkan zakat.
  4. Berpuasa bulan Ramadhan.
  5. Menunaikan Haji bagi yang berkuasa
Jawapan : Huraian Rukun Islam ialah
  1. Mengucap Dua Kalimah Syahadah: Suatu pengakuan tentang adanya Allah dan keesaanNya, dan satu pengakuan tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW.
  2. Solat lima waktu ialah: Ibadat yang mengandungi perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Ia wajib ditunaikan lima waktu iaitu: Zuhur, Asar, Maghrib, Isya' dan Subuh.
  3. Mengeluarkan Zakat: Ibadat dengan cara mengeluarkan sebahagian harta yang tertentu, diberikan kepada orang yang tertentu, dengan syarat tertentu. Zakat tersebut ialah Zakat Fitrah dan Zakat Harta.
  4. Berpuasa bulan Ramadhan ialah: Ibadat dengan cara menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertakan dengan niat. Ia wajib ditunaikan selama sebulan dalam bulan Ramadhan.
  5. Menunaikan haji bagi yang berkuasa: Ibadat yang wajib ditunaikan di Mekah sekali dalam seumur hidup ke atas orang yang mampu, dengan syarat tertentu dan pada waktu yang tertentu.
Soalan L2.3:
Terangkan kepentingan Rukun Islam bagi setiap muslim.
Jawapan:
Rukun Islam adalah perkara sangat penting yang wajib dilaksanakan supaya seseorang itu menjadi muslim yang sejati. Ibadat-ibadat yang terkandung dalam rukun Islam itu menghubungkan manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia.

KOD 3 (RUKUN IMAN)
Soalan L3.1:
Sebutkan Rukun Iman satu persatu.
Jawapan:
  1. Beriman kepada Allah.
  2. Beriman Kepada Malaikat.
  3. Beriman kepada Kitab.
  4. Beriman kepada Rasul.
  5. Beriman kepada Hari Akhirat.
  6. Beriman kepada Qada dan Qadar.

KOD 4 (ISTINJA')
Soalan L4.1:
Terangkan bagaimana cara beristinjak dengan menggunakan batu.
Jawapan:
Menyapu qubul dan dubur dengan menggunakan sekurang-kurangnya tiga biji batu atau bahan yang kesat sehingga diyakini bersih.
Soalan L4.2:
Terangkan bagaimana cara beristinjak dengan air?
Jawapan:
Membasuh qubul dan dubur dengan air mutlak sehingga diyakini bersih

KOD 5 (BERSUCI DARI NAJIS )
Soalan L A 5.1:
Kain ini terkena najis Mukhoffafah. Terengkan dan tunjukkan cara bagaimana menyucikan kain ini.
Jawapan:
Percikkan air mutlak di kawasan yang terkena najis.
Soalan L A 5.2:
Kaki anda terkena najis Mutawassitah. Terangkan dan tunjukkan cara menyucikannya.
Jawapan:
Bersihkan benda najis daripada tempat yang terkena najis, kemudian basuh bahagian yang terkena najis itu dengan air mutlak sehingga hilang bau, warna dan rasanya.
Soalan L A 5.3:
Dilantai ini terdapat najis Mughollazah. Terengkan dan tunjukkan cara bagaimana menyucikannya.
Jawapan:
Bersihkan benda najis daripada tempat yang terkena najis, kemudian basuh tujuh kali. Basuhan yang pertama dengan air tanah dan enam kali berikutnya dengan air mutlak.

KOD 6 (CARA BERWUDHU' )
Soalan A6.1:
Tunjukkan cara berwuduk dengan betul dan sempurna.
Jawapan:
  • Membaca : Bismillah hirrah ma nirrahim.
  • Membasuh kedua-dua tangan hingga ke pergelangan tangan, tiga kali
  • Berkumur tiga kali
  • Memasukkan air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya, diulangi tiga kali.
  • Menyebut lafaz niat wuduk
  • Membasuh muka tiga kali. Basuhan pertama disertakan dengan niat. Niatnya ialah: "sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala".
  • Membasuh tangan kanan hingga ke siku, tiga kali. Kemudian membasuh tangan kiri hingga ke siku, tiga kali.
  • Menyapu sebahagian kepala dengan air, tiga kali.
  • Menyapu kedua-dua telinga dengan air, tiga kali.
  • Membasuh kaki kanan hingga ke buku lali, tiga kali. Kemudian membasuh kaki kiri hingga ke buku lali, tiga kali.
  • Berdoa sambil mengangkat tangan, mendongakkan muka sedikit menghadap kiblat.

KOD 7 (CARA BERTAYAMMUM)
Soalan A7.1:
Tunjukkan cara bertayamum dengan betul dan sempurna.
Jawapan:
Cara bertayamum ialah:
  • Menyediakan dan meratakan debu tanah di atas tempat yang disediakan.
  • Mengadap kiblat.
  • Membaca: Bismillah hirrahma nirrahim.
  • Menyebut lafaz niat tayamum
  • Menepuk dua tangan ke debu dengan jari terbuka sambil berniat "sahaja aku bertayamum untuk mengharuskan solat Fardu kerana Allah taala" dan mengekalkan niat sehingga menyapu muka.
  • Menipiskan debu/ mengurangkan dengan meniup atau menengkuh kedua-dua tangan di luar tempat debu yang disediakan.
  • Menyapu debu kemuka.

KOD 8 (CARA MANDI WAJIB)
Soalan L8.1:
Nyatakan sebab-sebab yang mewajibkan mandi
Jawapan:
Sebab-sebab yang mewajibkan mandi ialah;
  1. keluar mani
  2. haid
  3. Janabah (bersetubuh)
  4. Wiladah (bersalin)
  5. Nifas (darah yang mengiringi wanita yang bersalin)
  6. Mati, selain mati syahid
Soalan L8.2:
Terangkan cara mandi wajib yang betul dan sempurna.
Jawapan:
Cara mandi wajib ialah:
  • Bersihkan badan daripada segala kekotoran.
  • Hilangkan segala benda yang boleh menghalang air sampai ke kulit anggota badan.
  • Ambil wuduk.
  • Sebut lafaz niat
  • Jiruskan air mutlak ke kepala berserta dengan niat sebaik-baik sahaja air mengenai anggota kepala. Jirusan ke kepala itu sebanyak tiga kali. Niatnya ialah: "sahaja aku mengangkat Hadas Besar fardhu atasku kerana Allah Taala" atau "sahaja aku mandi kerana haid/janabah/nifas fardhu atasku kerana Allah Taala"
  • Jiruskan air ke anggota badan sebelah kanan tiga kali, kemudian jiruskan pula air ke anggota badan sebelah kiri tiga kali.
  • Ratakan air keseluruh anggota badan. Selatkan rambut, janggut dan semua bulu supaya air sampai ke kulit. Ratakan juga air ke tempat lipatan-lipatan dan celah anggota badan yang zahir seperti telinga, hidung, mata, ketiak, pusat, celah paha, qubul dan dubur dalam keadaan mencangkung. Jika air tidak rata dengan tiga jirusan seperti di atas, maka hendaklah ditambah lagi jirusan sehingga air rata ke seluruh anggota badan. Semasa meratakan air, hendaklah dijaga supaya tapak tangannya tidak menyentuh qubul dan dubur tanpa lapik yang menyebabkan wuduknya batal.

KOD 9 (AZAN 7& IQOMAH)
Soalan A/L 9.1:
Soalan kepada murid laki-laki
Anda dikehendaki melaksanakan azan dengan betul dan sempurna.
Jawapan:
Para pelajar hendaklah melaksanakan azan dari mula hingga akhir
Soalan A/L 9.1:
Soalan Kepada murid perempuan
Anda dikehendaki menerangkan cara melaksanakan azan dengan betul dan sempurna.
Jawapan:
  1. Berwuduk, makruh azan tanpa wuduk.
  2. Berdiri dan menghadap kiblat
  3. Meletakkan jari telunjuk di telinga.
  4. Menghadap kiblat.

KOD 10 (SOLAT FARDHU)
Soalan L10.1:
Anda dikehendaki memperdengarkan (tasmi') bacaan-bacaan berikut:-
  1. Lafaz niat solat subuh, zuhur, asar, margrib, dan Isya'
  2. Takbiratul ihram.
  3. Doa Iftitah
  4. Surah al Fatihah
  5. Dua surah (pilihan murid)
  6. Bacaan ketika ruku'
  7. Bacaan i'tidal
  8. Bacaan sujud.
  9. Bacaan duduk antara dua sujud
  10. Bacaan tahiyat
  11. Salam
  12. Bacaan Qunut
Soalan A10.2:
Anda dikehendaki melakukan cara solat dengan betul dan sempurna. (soalan ini hanya layak dijawab/ dilakukan apabila calon telah berjaya menjawab Soalan L10.1 di atas)
Jawapan:
Calon melakukan solat dengan betul dan sempurna seperti yang dinyatakan di bawah. Contoh Solat Zuhur:-
  1. Berwuduk
  2. Menutup Aurat
  3. Mengadap kiblat
  4. Berdiri bagi orang berkuasa
Rakaat Pertama
  1. Menyebut lafaz niat
  2. Takbiratul ihram sambil mengangkat kedua-dua tangan dengan menyamakan ibu jari ke paras cuping telinga dan jari yang lain separas bahagian atas telinga dan kedua-dua tapak tangan mengadap kiblat beserta dengan niat "sahaja aku solat fardu zohor empat rakaat kerana Allah Taala"
  3. Meletakkan kedua-dua tangan di antara pusat dan dada, tangan kanan menggenggam pergelangan tangan kiri, jari telunjuk dan jari tengah diluruskan.
  4. Membaca doa iftitah.
  5. Membaca surah alFatihah.
  6. Membaca ayat-ayat atau surah daripada al Quran.
  7. Takbir intiqal dengan mengangkat kedua-dua tangan seperti no.2 di atas dan ruku' serta tama'ninah sambil membaca bacaan ruku' 3 kali.
  8. Ruku' ialah membongkokkan badan dengan menyamakan belakang dengan tengkuk. Kedua-dua tapak tangan diletakkan di atas lutut dengan jari terbuka sambil memandang tempat sujud.
  9. I'tidal serta tama'ninah dengan membaca bacaan i'tidal .
  10. Takbir intiqal dan sujud serta tama'ninah dengan membaca bacaan sujud.
  11. Takbir intiqal dan duduk antara dua sujud secara iftirasy serta tama'ninah dengan membaca bacaan duduk antara dua sujud.
  12. Takbir intiqal dan sujud serta tama'ninah seperti no.10 di atas.
  13. Takbir intiqal dan bangun dari sujud dan duduk sebentar sekadar tama'ninah, kemudian terus berdiri untuk rakaat kedua tanpa mengangkat tangan.
Rakaat Kedua
  1. Membaca Surah al Fatihah
  2. Membaca ayat-ayat atau surah daripada al Quran.
  3. Melakukan ruku', i'tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan sujud yang kedua sepertimana rakaat pertama.
  4. Takbir intiqal dan duduk Tahiyat Awal secara iftirasy, kecuali jari tangan kanan digenggam, manakala jari telunjuk diluruskan. Pada masa ini dibaca Yahiyat Awal. Ketika menyebut "Illa" dalam perkataan  , jari telunjuk hendaklah diangkat sedikit.
  5. Takbir intiqal dan bangun berdiri untuk rakaat yang ketiga serta mengangkat tangan
Rakaat Ketiga
  1. Membaca surah al Fatihah sahaja.
  2. Melakukan ruku', I'tidal, sujud, Duduk antara dua sujud, Sujud yang kedua, dan bangun berdiri untuk rakaat yang keempat tanpa mengangkat tangan.
Rakaat keempat
  • Membaca Surah al Fatihah.
  • Melakukan Ruku', I'tidal, Sujud, Duduk antara dua sujud, Sujud yang kedua.
  • Takbir Intiqal dan dudul tahiyat akhir secara tawaruk , dan membaca Bacaan tahiyat akhir.
  • Mengucap salam sambil memalingkan muka ke kanan dan kemudian mengucap salam kedua sambil memalingkan muka ke kiri.
  • Meletakkan tangan di kepala sambil berdoa

KOD 11 (SOLAT JENAZAH)
Soalan L11.1
Bagaimana kedudukan jenazah lelaki dan perempuan ketika hendak disolatkan.
Jawapan:
Kedudukan jenazah lelaki ialah kepalanya di sebelah kiri imam, manakala jenazah perempuan pula kepalanya di sebelah kanan imam.
Soalan L11.2
Dimanakah kedudukan imam dan ma'mum ketika hendak menunaikan solat jenazah laki-laki dan perempuan
Jawapan :
Kedudukan imam bagi jenazah:
Laki-laki: Imam berdiri bertentangan dengan kepala jenazah.
Perempuan: Imam berdiri bertentangan dengan punggung jenazah.
Kedudukan ma'mum pula ialah di belakang imam, dan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya dalam tiga saf dan berdiri rapat.
Soalan L11.3
Tunjukkan cara solat jenazah dengan betul dan sempurna
Jawapan :
  • Menyebut Lafaz niat solat jenazah.
  • Takbir ihram serta dengan niat.
  • Membaca Surah al Fatihah.
  • Takbir.
  • Membaca Selawat.
  • Takbir.
  • Membaca doa bagi mayat.
  • Takbir.
  • Membaca doa
  • Salam.

KOD 12 (PUASA)
Soalan L12.1
Sebutkan lafaz niat puasa Ramadhan dan nyatakan ertinya.
Ertinya:
“Sahaja aku puasa esok hari, menunaikan puasa fardu Ramadhan, tahun ini, kerana Allah Taala”
Soalan L12.2
Sebutkan perkara yang membatalkan puasa.
(1) Makan dan minum pada siang hari dengan sengaja.
(2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan.
(3) Muntah dengan sengaja.
(4) Melakukan persetubuhan pada siang hari.
(5) Mengeluarkan mani dengan sengaja
(6) Keluar darah haid dan nifas
(7) Gila
(8) Mabuk atau pengsan sepanjang hari.
(9) Berbuka puasa sebelum masuk waktu maghrib
(10)Murtad.
Soalan L12.3
Nyatakan hikmat puasa.
  1. Mengukuhkan iman dan takwa kepada Allah SWT.
  2. Membentuk sifat-sifat mulia seperti sabar, berdisiplin, bertimbangrasa dan bersyukur.
  3. Dapat menjauhkan diri dari segala dosa dan kejahatan.
  4. Mendatangkan kesihatan dan kecerdasan

KOD 13 (ADAB TERHADAP IBU BAPA)
Soalan L13.1
Terangkan jasa dan pengorbanan ibu bapa yang mesti dikenang oleh seorang anak?.
(a) Mengandung
(b) Melahirkan
(c) Menyusukan
(d) Mengasuh
(e) Mendidik
(f) Memberi nafkah
(g) Mengasihi
 
KOD 14 (PERKAHWINAN)
Soalan L14.1
Nyatakan Rukun Nikah .
Jawapan :
Rukun nikah ialah:
  1. Suami
  2. Isteri
  3. Wali
  4. Dua orang saksi (lelaki yang adil)
  5. Aqad (Ijab dan Qabul)
Nyatakan Syarat akad nikah.
Syarat Akad :
  1. Ijab dan Qabul berlaku dalam satu majlis.
  2. Ucapan qabul tidak menyalahi ijab.
  3. Bahasa yang digunakan jelas maksudnya dan difahami oleh wali, bakal suami dan dua orang saksi.
  4. Di antara ijab dan qabul tidak diselangi dengan kata-kata yang lain.

 
KOD 15 (IHSAN)
Soalan L15.1:
Apakah dimaksudkan dengan ihsan.
Jawapan :
Melakukan ibadat kepada Allah dengan sebaik-baiknya seolah-olah kamu melihat Allah atau sesungguhnya Allah melihat kamu. Dengan perkataan lain bahawa:
  • Allah melihat apa yang anda lakukan
  • Allah mendengar apa yang anda perkatakan
  • Allah mengetahui apa yang anda fikirkan.
Soalan L15.4:
Apakah konsep ihsan?
Jawapan:
Konsep ihsan ialah:
Melakukan sesuatu ibadat dan pekerjaan berasaskan ilmu dan kefahaman yang betul, dengan cara yang terbaik, mengikut peraturan serta IKHLAS SEMATA-MATA KERANA ALLAH.
Ihsan mencetuskan sikap dan akhlak yang mulia. Menjadikan kehidupan bersih, selesa, aman dan harmoni.
Soalan L15.5:
Nyatakan maksud ihsan;
  • dalam ibadat
  • dalam pekerjaan
  • terhadap diri sendiri
  • terhadap sesama insan
  • terhadap binatang
  • terhadap alam sekitar
Jawapan :
  1. Ihsan dalam ibadat ialah: Bersungguh-sungguh dan khusyu' dalam mengerjakan ibadat seperti bangun di tengah malam untuk melakukan solat tahajud.
  2. Ihsan dalam pekerjaan ialah: Melakukan setiap pekerjaan dengan bersungguh-sungguh, tekun, cekal dan cermat supaya menghasilkan sesuatu yang sempurna, bermanfaat dan berkualiti.
  3. Ihsan terhadap diri sendiri ialah: Menyempurnakan hak diri yang boleh membawa kebaikan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dengan iman, ilmu, harta benda dan keluarga yang soleh. Tidak menzalimi diri sendiri dengan mendedahkannya kepada segala punca dan bentuk kebinasaan seperti minum arak, mengambil dadah, berjudi, zina, liwat, membunuh diri, syirik dan murtad.
  4. Ihsan terhadap sesama ihsan ialah: Melakukan kebaikan, memberikan khidmat bakti, memberikan pertolongan, bersikap adil, belas kasihan dan berperi kemanusiaan.
  5. Ihsan terhadap binatang ialah: Memelihara dengan baik atau melepaskannya hidup bebas dalam nature dan habitatnya. Jika melakukan sembelihan hendaklah dengan cara yang paling baik seperti menggunakan pisau yang tajam.
  6. Ihsan terhadap alam sekitar ialah: Memelihara dan memulihara alam sekitar supaya bersih dari segala bentuk kekotoran, pencemaran dan kerosakkan. Menjadikan alam sekitar tempat yang aman, sejahtera, selesa dan indah untuk dinikmati dan didiami.





DEAR READERS!! 
YOUR POSITIVE COMMENTS ARE HIGHLY APPRECIATE. 
♥♥♥ FCU MALAYSIAN HOMESCHOOLING ♥♥♥
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...