TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Jumaat, 26 Ogos 2011

NOSTALGIA 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN


Seperti malam-malam yang lain sepanjang bulan Ramadhan, sebaik sahaja melaksanakan solat sunat tahajud dan witir, aku akan ke taman untuk menikmati keindahan langit di pagi syahdu. Ah! Rupanya dah ada penghuni di tempat kegemaranku, di hujung jambatan gantung di mana langit terdedah dengan seluas-luasnya untuk diamati.

"Dah solat sunat tahajud dan witir?" Sapaku lembut sambil mengambil tempat di sisinya. Seperti biasa, aku tidak akan melepaskan peluang untuk memeluk rapat anak-anak bila berkongsi menikmati sesuatu baik di depan komputer, depan tv dan tak kecuali ketika mencerap bintang. Amalan dari mereka kecil ini mesti berterusan agar kasih sayang terus mengalir tanpa batas. Seringkali, anak-anak yang jarang dibelai begini, akan merasa janggal untuk memeluk ibunya bila mereka sudah meningkat dewasa. Malah ada yang rasa betah untuk sesekali mencium ibu yang sudah tua. Bukan kerana mereka tidak sayang tapi kerana tidak biasa lantas terasa sangat janggal.
"Udah..."Ringkas sahaja jawapannya.
"Apa yang Hafidz tengok tu...." Aku memulakan perbualan memecah gemersik bunyi deruan air terjun yang sentiasa mencurahkan airnya ke dalam kolam, sungguh taat menceriakan semua penghuni FCU.
"Adakah malam ini malam Lailatul Qadar?" Tanya Hafidz meminta kepastian.
Aku tidak terus menjawab pertanyaan anak bujang yang baru menginjak ke alam baligh. Suaranya dah tak senyaring dulu. Besar dan garau dan sering aku tergelak dalam hati bila mendengar lontaran suaranya.

"Cantiknya malam ini. Tengok bulan tu....bentuknya separuh bulatan . Cahayanya terang dan gemerlap. Langit pun tanpa awan yang tebal. Jarang kita berpeluang menikmati malam sebegini indah"
Malam ini memang tenang dan malam ini adalah dalam bilangan ganjil. Tiada hujan, tiada angin yang sering buat aku kesejukan di waktu-waktu begini, malah tiada juga bunyi bising binatag-binatang sekeliling yang boleh mencacatkan kesyahduan dinihari ini.
" Entahlah Hafidz, hanya Allah yang tahu. Tapi malam ini memang istimewa dan membuat hati rasa tenang dan bahagia sekali.. Mungkin juga malam Lailatul Qadar. Kita berdoa ajelah setiap malam Ramadhan, mudah-mudahan doa-doa itu berada dalam malam Lailatul Qadar. Tambah-tambah pula pada malam 10 yang terakhir dan yang ganjil seperti malam ini. Terutamanya, sekarang ini kita berada dalam phasa pengampunan." Terangku sebagai menjawap persoalan Hafidz yang memang mencari-cari bilakah malam yang lebih baik dari 1000 bulan itu.

"Betulkah kata orang yang air akan beku, pokok akan sujud dan air telaga akan jadi masin pada malam Lailatul Qadar?" Tanya Hafidz sambil matanya meninjau-ninjau sekeliling, mungkin mencari-cari pokok yang sedang sujud.
"Cerita ini memang dah wujud sejak dulu lagi. Ummu sendiri pun sentiasa tertunggu-tunggu nak tengok pokok sujud hingga pernah termimpi melihat air sungai membeku dan pokok-pokok sekelilingnya sujud ke bumi. Masa itu Ummu masih kecil lagi. Bila tersedar aje dari mimpi , Ummu terus ke pangkuan arwah nenek dan menceritakan semuanya. Arwah nenek ajak Ummu sama-sama berdoa dengannya." Ceritaku mengimbau kembali kisah 40 tahun yang lalu bersama arwah ibu. Memang masih jelas dan akan terus menjadi satu nostalgia yang sangat manis dalam hidupku.

"Semua itu hanya andaian orang saja. Mungkin ada yang mengalaminya sebab tidak ada yang mustahil dalam kekuasaan Allah mengurniakan rahmat kepada hambanya yang betul-betul ikhlas.Tetapi kita mesti berlandaskan dalil-dalil yang nyata dari Al-Quran dan Hadith. Sebagaimana sebuah hadits, dari Watsilah bin al-Asqo’ dari Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam:
“Lailatul qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi setan)” (HR. at-Thobroni dalam al-Mu’jam al-Kabir 22/59 dengan sanad hasan)" Terangku panjang lebar.

"Ummu pernah dapat malam Lailatul Qadar?" Hafidz bertanya dengan penuh pengertian.
"Masa tu...Ummu baru habis belajar di UPM dan dapatlah berRamadhan sepenuhnya bersama keluarga. Menjadi kebiasaan kami sekeluarga untuk bersiap-siap ke masjid untuk solat subuh berjemaah selepas saja sahur. Malam itu adalah malam yang ke 27. Ummu berada di perkarangan rumah sambil menunggu arwah atok dan adik-beradik yang lain. Sebaik sahaja Ummu mendongak ke langit, terus rasa sangat terharu dan air mata terus menitik-nitik tanpa henti. Ummu sendiri tidak dapat tafsirkan perasaan ketika itu. Langit mempamerkan sesuatu yang tak pernah lagi Ummu melihatnya. Bukan awan...tapi sejauh mata menjangkau langit, seluruh langit nampak seperti berbalam-balam. Bagai sisik-sisik ikan gambarannya di sekeliling bulan sabit yang bercahaya. Pernah Ummu mendengar dari ceramah ustaz yang mengatakan bahawa tanda-tanda malam Lailatul Qadar ialah langit kelihatan berbalam-balam menjelang subuh kerana terlalau banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi dan naik ke langit menjelang subuh. Sayap-sayap dan tubuh mereka yang banyak itulah menyebabkan langit kelihatan berbalam-balam dan juga menutupi dan menghalang cahaya mentari hingga kelihatan suram pada siangnya." Ceritaku mengimbau kisah yang pasti tak dapat ku lupakan.

"Apa doa Ummu ketika itu?" Risik Hafidz penuh keterujaan mendengar kisahku.
"Cepat-cepat Ummu panggil ahli keluarga untuk sama-sama berdoa. Banyak yang ibu doakan pada mlam itu. Menjadi perempuan yang soleh sudah pastilah. Tapi yang paling jelas ialah Ummu memohon jodoh seorang suami yang soleh dan dapat membimbing Ummu menjadi seorang isteri dan ibu yang soleh" Sambungku lagi.


Tidak lama kemudian Ummu dirisik abah. Prosesnya sangat mudah. Ummu berikan 3 syarat iaitu
-seorang yang soleh dan hidupnya untuk Allah
-seorang pemimpin dan boleh memimpin isteri-isterinya
-seorang yang mampu memberi zuriat yang bakal menjadi pemimpin alam

Jelas abah miliki lebih dari itu. Jesteru itu potrait Ummu diserahkan sebagai pengganti diri dan Ummu sendiri tidak pernah melihat dan mengenali abah sebelum kami diijabkabulkan. Pernah arwah atok melawak, bagaimana kiranya bakal suami itu cacat anggota badan, bisu..ke..., sumbang ke...apa-apa sahaja yang boleh menyakitkan hati. Ummu sudah pasrah pada Allah dan jodoh itu datang sebaik sahaja peristiwa malam 27 Ramadhan. Ummu sudah pasti dan jawapan setuju dari Ummu itu terus disusuli dengan akad nikah selang beberapa hari selepas itu. Akad dilangsungkan dan Ummu hanya bersetuju di sebalik tabir. Selepas selesai segalanya, arwah atok memanggil Ummu untuk melihat suami buat pertama kali. Perkahwinan kami tiada kenduri besar dan ambil yang wajib sahaja. Arwah atok adalah seorang yang solih dan faham sangat selok belok perkahwinan yang dituntut oleh Allah. Suasana akad nikah kami sedikit pun tidak dicemari dengan kehadhiran mereka yang bakal mengurangkan berkahnya. Juga tidak dicemari dengan adat istiadat yang akan meninggalkan kesan hitam dalam kesucian majlis akad. Ummu sungguh bertuah kerana ahli keluarga sangat faham. Arwah nenek adalah anak tunggal kepada seorang tok guru di kampung Ummu. Setiap malam selasa, beliau akan membaca kitab dan ramailah orang kampung datang mendengar bacaan itu. Ketika itu Ummu masih terlalu kecil tapi masih boleh ingat cahaya pelita dan lampu gasoline menerangi ruang tamu. Ketika itu masih tak ada bekalan elektrik dan telaga adalah merupakan sumber utama air kami. Hafidz kena sedar bahawa Hafidz adalah dari keturunan orang soleh yang mencintai Allah. Segala tindak tanduk Hafidz mestilah sentiasa kearah yang sama iaitu mengenal dan mencintai Allah dengan sebenar-benar kenal dan sebenar-benar cinta."
Begitu kusyuk Hafidz mendengar ceritaku. Semoga apa yang disampaikan di dinihari yang hening dan syahdu itu meresap ke kalbunya.

"Habis...apa yang terbaik untuk Hafidz doakan?" Suara Hafidz serak, penuh rasa terharu mungkin.
"Mari kita sama-sama berdoa." Ajakku.
"Ya Allah yang mencipta segala yang ada di langit dan di bumi. Tuhan yang Maha Esa dan Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Jadikan aku hamba yang soleh dan mencintai Mu lebih dari segala. Ampunkan dosaku dan kedua orang tuaku dan semua ahli keluarga dan semua umat Islam baik yang hidup mahu pun yang mati, terangkan hatiku dengan hikmahmu, murahkan rezekiku dalam melaksanakan tugasku sebagai seorang khalifahmu, permudahkah segala urusanku dalam mencintaimu" Hafidz mengikuti setiap patah perkataanku.
"Selebihnya Hafidz boleh tambah sendiri apa sahaja hajat Hafidz" Tambahku....

Malam ini, malam sebelumnya dan malam yang bakal menjelang....tiada siapa tahu kepastian bilakah malam Lailatul Qadar. Tetapi bagi mereka yang ikhlas mencari seperti yang dituntut oleh Allah dan Rasul,  hati kecil mereka dapat merasakan kelainan dan keistimewaan malam yang penuh berkat itu. Wallahualam.

Tidak lama kemudian, suara azan memecah suasana dinihari yang memang meninggalkan satu nostalgia buat diriku dan juga Hafidz.


***********************************



Kepentingan malam Lailatul Qadar:

 “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al Qur’an) pada suatu malam yang diberkahi. dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (QS. Ad Dukhan [44] : 3-4).


“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan.
Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” [QS Al Qadar: 1 - 5]


Tanda-tanda Malam Lailatul Qadar:

1) Malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi setan)


Sebagaimana sebuah hadits, dari Watsilah bin al-Asqo’ dari Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam:
“Lailatul qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi setan)” (HR. at-Thobroni dalam al-Mu’jam al-Kabir 22/59 dengan sanad hasan)



Udara dan angin sekitar terasa tenang. Sebagaimana dari Ibnu Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
لَيْلَةُ القَدَرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلَقَةٌ لَا حَارَةً وَلَا بَارِدَةً تُصْبِحُ الشَمْسُ صَبِيْحَتُهَا ضَعِيْفَةٌ حَمْرَاء
Lailatul qadar adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak kemerah-merahan.”

2) Malaikat menurunkan ketenangan sehingga manusia merasakan ketenangan tersebut dan merasakan kelezatan dalam beribadah, yang tidak didapatkan pada hari-hari yang lain. Pada malam itu malaikat jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

3) Manusia dapat melihat malam ini dalam mimpinya sebagaimana terjadi pada sebagian sahabat.

4) Matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan jernih, tidak ada sinar.
Dari Abi bin Ka’ab bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang artinya,”Shubuh hari dari malam lailatul qadar matahari terbit tanpa sinar, seolah-olah mirip bejana hingga matahari itu naik.

5) Orang yang beribadah pada malam tersebut merasakan lazatnya ibadah, ketenangan hati dan kenikmatan bermunajat kepada Rabbnya tidak seperti malam-malam lainnya.

6) Bulan nampak separuh bulatan
Abu Hurairoh radliyallahu’anhu pernah bertutur: Kami pernah berdiskusi tentang lailatul qadar di sisi Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam, baginda bersabda,
“Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul, yang berukuran separuh nampan.” (HR. Muslim)


Bilakah berlakunya malam Lailatul Qadar:

Lailatul Qadar itu terjadi pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan, sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari)
Terjadinya lailatul qadar di malam-malam ganjil itu lebih memungkinkan daripada malam-malam genap, sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari)
Terjadinya lailatul qadar di tujuh malam terakhir bulan ramadhan itu lebih memungkinkan sebagaimana hadits dari Ibnu Umar bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
الْتَمِسُوهَا فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ - يَعْنِى لَيْلَةَ الْقَدْرِ - فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُكُمْ أَوْ عَجَزَ فَلاَ يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ الْبَوَاقِى
Carilah lailatul qadar di sepuluh malam terakhir, namun jika ia ditimpa keletihan, maka janganlah ia dikalahkan pada tujuh malam yang tersisa. (HR. Muslim)
Dan yang memilih pendapat bahwa lailatul qadar adalah malam kedua puluh tujuh sebagaimana ditegaskan oleh Ubay bin Ka’ab radhiyallahu ‘anhu. Namun pendapat yang paling kuat dari berbagai pendapat yang ada sebagaimana dikatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari bahwa lailatul qadar itu terjadi pada malam ganjil dari sepuluh malam terakhir dan waktunya berpindah-pindah dari tahun ke tahun. Mungkin pada tahun tertentu terjadi pada malam kedua puluh tujuh atau mungkin juga pada tahun yang berikutnya terjadi pada malam kedua puluh lima tergantung kehendak dan hikmah Allah Ta’ala. Hal ini dikuatkan oleh sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam,
الْتَمِسُوهَا فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى تَاسِعَةٍ تَبْقَى ، فِى سَابِعَةٍ تَبْقَى ، فِى خَامِسَةٍ تَبْقَى
Carilah lailatul qadar di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan pada sembilan, tujuh, dan lima malam yang tersisa.”  (HR. Bukhari)




Petua oleh  Imam Ghazali dan lain-lain ulama untuk cari mencari malam Lailatul Qadar:

Jika awal ramadhan jatuh pada hari:
I) Ahad atau rabu-- malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 ramadhan
II) Isnin - malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 ramadhan;
III) Selasa atau jumaat - --malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 ramadhan;
IV) Khamis--- malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 ramadhan;
V) Sabtu--- malam qadar dijangka berlaku pada malam 23 ramadhan
Kata sheikh abu hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas.
Berdasar petua di atas, insyaallah malam qadar jatuh pada malam ke 25 ramadhan bersamaan dengan malam selepas siang 7 hb oktober 2007.
Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga!!!!

Tanda-tanda orang yang telah mendapat malam Lailatul Qadar:

Ada 4 tanda bagi mereka yang telah mendapat berkat malam Lailatul Qadar.

1) Mereka senantiasa ingin berusaha menjadi yang terbaik di mata Allah maupun kepada manusia. Selalu mengerjakan yang terbaik di mata Allah.

2) Selalu merasakan mereka masih kurang dalam beribadah. Padahal ibadah wajib, seperti solat dan puasa serta ibadah sunah seperti tahajud dan tarawihnya tidak pernah ketinggalan.

3)Dalam pergaulan dengan sesiapa pun, baik dengan golongan atasan atau golongan bawahan, mereka senantiasa menjadi orang yang biasa-biasa saja.Tidak meninggi diri kepada golongan bawahan dan juga tidak merendah diri kepada golongan atasan.

4) Mukanya bercahaya dan 'bersinar'. Sesiapa memandangnya akan rasa sejuk dan seronok. Muka yang bercahaya ini tidak akan diperolehi dengan solekan atau apa saja yang boleh mencantikkan wajah. Cahaya ini adalah cahaya iman dan kurniaan Allah.




Catatan:
Hikmah Allah menyembunyikan pengetahuan tentang terjadinya malam lailatul qadar di antaranya adalah agar ada perbezaan antara orang yang sungguh-sungguh untuk mencari malam tersebut dengan orang yang malas. . Hal ini juga sebagai rahmat Allah agar hamba memperbanyak amalan pada hari-hari tersebut dengan demikian mereka akan semakin bertambah dekat denganNya dan akan memperoleh pahala yang amat banyak. Semoga Allah memudahkan kita memperoleh malam yang penuh keberkahan ini. Amin Ya Sami’ad Da’awat.


Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Wallahualam


sumber:
http://www.wonosari.com/t5962-antara-tanda-tanda-lailatul-qadar
http://rumaysho.com/belajar-islam/amalan/2692-mengenal-tanda-tanda-malam-lailatul-qadar.html
http://suhaimy.org/agama/tanda-tanda-berlaku-malam-lailatul-qadar/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...